Menjana Perubahan Dalam Masyarakat

SEGMEN TAFSIR
MENJANA PERUBAHAN DALAM MASYARAKAT
Oleh: Ustazah Ummu Hajar (Ahli Lajnah Muballighah MHTM)

إِنَّ اللَّهَ لاَ يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِهِمْ

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri” [TMQ ar-Ra’d (13):11].

Tafsir Ayat

Imam Ibnu Kathir ada menukilkan dalam kitab tafsirnya bahawa Ibn Abi Hatim ada meriwayatkan bahawa Ibrahim berkata, “Allah ada mewahyukan kepada salah seorang Nabi daripada kalangan bani Israil, katakanlah kepada kaummu: Sekiranya seseorang di kampung atau di rumahnya yang telah memberi ketaatannya kepada Allah, tetapi beliau kemudiannya mengubah tingkah lakunya menjadi seorang yang derhaka kepadaNya, maka Allah akan mengambil daripada mereka apa yang mereka sukai dan menggantikannya dengan sesuatu yang tidak disukai”. Ibrahim seterusnya menyatakan bahawa kenyataan ini ada buktinya daripada Kitab Allah iaitu,

إِنَّ اللَّهَ لاَ يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِهِمْ

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.”

Pembinaan Umat: Landasan Perubahan Masyarakat

Masyarakat merupakan kumpulan individu yang memiliki pemikiran dan perasaan yang sama, serta interaksi antara mereka diatur oleh satu aturan (nizham) yang tertentu. Untuk masyarakat sekular yang menerapkan ideologi Kapitalisme hendak diubah menjadi masyarakat yang menerapkan Islam, maka perlu ada perubahan dalam pemikiran dan perasaan yang mereka miliki. Pemikiran yang menyangkut keyakinan mahupun cara penyelesaian masalah di tengah-tengah masyarakat perlu diubah kepada asas akidah dan syariat Islam. Reda atau benci dan senang atau sedih mereka pun perlu diubah menjadi reda dan senang sesuai dengan syariat Islam.

Jika majoriti inginkan perubahan atau kehendak tersebut menjadi dominan, iaitu masyarakat inginkan perubahan ke arah Islam, maka pada saat itulah perubahan akan terjadi. Apabila rakyat menghendaki penerapan Islam, mereka akan menjadikan orang-orang yang membela Islam sebagai pemimpinnya, yang mana peraturan Islam akan mampu ditegakkan.

Persoalannya, bagaimanakah caranya untuk mewujudkan pemikiran dan perasaan yang sama, iaitu menjadikan peraturan Islam sebagai satu-satunya jawapan kepada kesemua permasalahan kehidupan? Jawabnya hanya satu, iaitu masyarakat perlu melalui proses pembinaan (tatsqif) untuk menjana perubahan.

Realiti hari ini menunjukkan bahawa masyarakat itu berbeza-beza sikapnya terhadap perubahan. Ada sebahagian masyarakat yang memiliki kemahuan yang tinggi, tahu visi dan misi, serta memahami bagaimana cara melakukan perubahan daripada kehidupan jahiliyyah kepada kehidupan Islami. Kelompok masyarakat yang sebegini sentiasa bersedia untuk mengorbankan waktu, tenaga, wang ringgit, bahkan jiwa raga mereka bagi tertegaknya Islam. Merekalah kelompok penting dalam masyarakat yang menjadi penggerak utama kepada perubahan. Kelompok yang memiliki karakter beginilah yang perlu dibina dan diarahkan untuk berperanan dalam masyarakat sebagai agen perubahan. Oleh itu mereka perlu dibina secara intensif dalam halaqah pembinaan (tatsqif murakkaz).

Dalam menjana perubahan, satu hakikat yang perlu diterima adalah, tidak semua orang dapat dibina secara intensif. Perlu disedari bahawa ada orang yang waktunya amatlah terhad, tidak dapat mengikuti aktiviti pembinaan intensif dan rutin. Bahkan, ada juga sebahagian masyarakat yang tidak peduli terhadap perubahan sedikitpun. Prinsip yang dipegangnya adalah 'yang penting hidupnya selesa, makan kenyang, tidur nyenyak dan anak-anak dapat bersekolah'. Orang-orang demikian tidak boleh dipaksa menjadi penggerak kepada perubahan. Namun, mereka perlu menjadi pendukung kepada perubahan. Setidaknya, jangan sampai mereka menjadi penghalang kepada perubahan. Lantaran itu, pembinaan tetap perlu diberikan kepada orang-orang kelompok ini; bukan secara intensif, melainkan pembinaan secara umum. Inilah pembinaan umum (tatsqif jama’i).

Secara amnya, jelaslah bahawa realiti yang kita hadapi menuntut adanya pembinaan intensif dan pembinaan umum dalam melakukan perubahan daripada masyarakat sekular menjadi masyarakat Islam. Pembinaan perlu dibuat secara intelektual dan bukan dengan kekerasan atau keganasan fizikal.

Pembinaan Umat Oleh Nabi SAW

Nabi SAW merupakan contoh terbaik dalam melakukan pembinaan untuk mengubah masyarakat Arab Jahiliyyah menjadi masyarakat Islam. Sejak baginda diutus menjadi Rasul, baginda sentiasa menyampaikan wahyu yang diterimanya. Orang pertama yang didakwahinya ialah isterinya sendiri, Siti Khadijah RA dan beliau menerima dakwah dan mengimaninya. Baginda juga mendakwahkan sepupunya, Saidina Ali RA, diikuti maulanya, Zaid bin Haritsah RA dan teman terdekatnya, Saidina Abu Bakar ash-Shiddiq RA.

Baginda SAW terus-menerus menyampaikan Islam, ada antara mereka yang beriman, ada pula yang kafir. Orang-orang yang beriman terus dibina oleh Nabi SAW. Antaranya pembinaan intensif di rumah Arqam bin Abi Arqam. Al-Quran dibacakan kepada mereka, jiwa-jiwa mereka ditempa hingga menjadi suci, al-Quran dan as-Sunnah pun ditanamkan dalam diri mereka. Baginda membina mereka, solat bersama mereka, bertahajud pada malam hari dan para sahabat pun menirunya. Ruhiyyah mereka dipenuhi dengan solat dan bacaan al-Quran. Kajian terhadap al-Quran dan perenungan terhadap makhluk-makhluk Allah SWT mempengaruhi fikiran mereka. Baginda menempa akal para sahabat dengan makna al-Quran, serta dengan pemahaman Islam dan pemikiran-pemikirannya. Baginda mencetak mereka menjadi orang-orang sabar dan taat dalam keikhlasan total kepada Allah, Zat Yang Maha perkasa. Allah SWT dengan indah mengabadikan hal ini,

“Dialah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul antara mereka, yang membacakan ayat-ayatNya kepada mereka, menyucikan mereka, dan mengajarkan kepada mereka al-Kitab dan Hikmah (as-Sunnah). Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata”. [TMQ al-Jumu’ah (62): 2].


Para sahabat yang dibina oleh Rasulullah SAW tidak berhenti pada kesolehan peribadi. Sebaliknya, mereka pun membangun suatu kelompok dakwah di bawah pimpinan Nabi SAW. Di dalam Surah al-Maidah ayat 56, Allah menyebut mereka sebagai hizbullah (parti Allah), mereka melakukan dakwah, menyedarkan masyarakat, dan membinanya. Abu Bakar misalnya, mendakwahkan tetangganya dan masyarakat sekitarnya. Melalui beliau berimanlah Utsman bin Affan, Zubair bin Awwam, Abdurrahman bin Auf, Saad bin Abi Waqash dan Thalhah bin Ubaidillah. Sebelum hijrah, Rasulullah SAW mengutus Mus’ab bin Umair untuk membina masyarakat di Madinah.

Bukan hanya pembinaan intensif yang dilakukan Nabi SAW malah baginda turut melakukan pembinaan umum bagi masyarakat. Kitab-kitab sirah menuliskan bahawa Rasul SAW pernah mengundang makan para keluarganya lalu baginda menyampaikan Islam dan mengajak mereka untuk beriman kepada Allah SWT dan RasulNya. Rasulullah SAW juga pernah mengumpulkan masyarakat Arab daripada pelbagai kabilah di Bukit Safa. Maka hadirlah masyarakat Banu Abdul Muthalib, Banu Abdil Manaf, Banu Zuhra, Banu Taim, Banu Makhzum serta Banu Asad dan baginda pun menyampaikan Islam.

Arah Pembinaan

Merujuk kepada aktiviti Nabi SAW dalam membina masyarakat, jelas bahawa pembinaan yang baginda contohkan bukanlah pembinaan tanpa tujuan, bukan pembinaan yang hanya merupakan pemindahan ilmu atau keahlian, bukan pula sekadar pembinaan untuk melepaskan kewajipan. Pembinaan yang dimaksud adalah menyampaikan tsaqafah (tatsqif). Perubahan yang mesti terjadi adalah perubahan sikap dan perilaku.

Pembinaan intensif (tatsqif murakkaz) merupakan pembinaan untuk mencetak individu/masyarakat yang sanggup menggalas tugasan dakwah. Orang-orang yang dibina secara intensif seharusnya memahami bahawa proses pembinaan tersebut ditujukan untuk memahami Islam yang akan diterapkan dan didakwahkan ke tengah-tengah masyarakat. Pembinaan intensif diarahkan untuk membentuk keperibadian Islam (syakhsiyyah Islamiyyah) dalam diri para penggalas tugasan dakwah. Di sana mereka dibina pola fikirnya menjadi pola fikir Islami (‘aqliyyah Islamiyyah) dengan kajian dan penanaman pemahaman, pola jiwanya juga dibina menjadi pola jiwa Islami (nafsiyah Islamiyyah) melalui keyakinan terhadap idea-idea Islam yang dikaji serta pengamalannya. Pembinaan tersebut dilandaskan pada:

1. Kaedah fikriyyah. Ertinya, pemikiran Islam disampaikan dengan disertai dalil dan cara penarikan maknanya (istinbath, atau dengan faktanya jika berkaitan dengan realiti). Para ahli harus benar-benar memahami apa yang dikaji.

2. Landasan iman. Ertinya, pemikiran Islam (baik akidah maupun syariatnya) yang sedang dikaji diyakini sebagai pedoman hidup, diyakini berasal daripada Allah SWT yang bersumber daripada wahyu. Pembinaan intensif bukan sekadar untuk kepuasan intelektual semata.

3. Amal. Ertinya, apa yang telah diketahui diamalkan dalam kehidupan sehari-hari. Setiap hukum syariat yang dipelajari dan belum dapat diterapkan mesti diperjuangkan agar dapat diterapkan.

4. Dakwah. Ertinya, pemahaman yang telah dipelajari bukanlah untuk diri sendiri, tetapi untuk disebarkan kepada masyarakat.

Dengan pembinaan intensif seperti ini akan muncullah pendakwah yang rajin beribadah di masjid (ahlul mihrab) sekaligus pahlawan di medan jihad (bathalul jihad), pejuang (mujahid) dan ahli ibadah (‘abid). Mereka menyatu dalam kelompok dakwah dengan padu. Para pendakwah inilah yang akan berjuang menyatukan Islam dengan umat di tengah-tengah masyarakat melalui pelbagai pembinaan, baik intensif maupun umum. Ibarat air yang sedang dididihkan di atas tungku, mereka adalah bahagian air yang telah memiliki tenaga yang akan dipindahkan kepada bahagian air lainnya sehingga air segera mendidih dan menghasilkan gerak perubahan. Mereka juga adalah ibarat kenderaan yang bersedia untuk menarik gerabak panjang di belakangnya. Tanpa pembinaan intensif, penggerak perubahan di tengah masyarakat tidak ada. Akibatnya, perubahan tidak akan terjadi. Sungguh, pembinaan intensif amat penting dalam proses perubahan masyarakat.

Khatimah.

Pembinaan, sama ada bersifat intensif untuk pendakwah mahupun umum bagi masyarakat keseluruhan, amat penting dalam perubahan masyarakat demi tegaknya Islam. Tanpa pembinaan intensif (tatsqif murakkaz) perubahan tidak akan terjadi. Meskipun terjadi, itu hanyalah tampal sulam dan menuju ke arah yang tidak jelas. Demikian pula, tanpa pandangan umum, masyarakat tidak akan bergerak melakukan perubahan. Pandangan umum yang tidak lahir daripada kesedaran umum hanya akan berhenti pada sikap ‘asal berubah’. Akibatnya, perubahan yang terjadi hanya bersifat simbolik, asal berubah saja. Sementara itu, sistem yang selama ini merupakan pembentuk kemunduran tidak berubah. Di sinilah kepentingan pembinaan umat, baik pembinaan intensif untuk membentuk pendakwah mahupun pembinaan umum untuk mewujudkan pandangan umum, dalam proses perubahan masyarakat ke arah Islam.

Wallahu’alam...

Rujukan :

1. Terjemahan Al Quran oleh Yayasan Penyelenggara Penterjemah/Pentafsir Al Quran Menteri Agama Indonesia.
2. English Translation Tafsir Ibn Kathir (Abridged) Darussalam. 1. Al-Alusi, Rûh al-Ma’ânî, 13/303; Abu Hayyan al-Andalusi, Tafsîr al-Bahr al-Muhîth, 8/111.
3. At Takattul Al Hizbiy (Pembentukan Partai Politik) oleh Sheikh Taqiyuddin Nabhani (Terjemahan).
4. Daulah Islam oleh Sheikh Taqiyuddin Nabhani (Terjemahan).
5. Islam Bangkitlah oleh Abdul Rahman al Baghdadi – Gema Insani Press.
6. Majalah al Waie pelbagai siri.
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment