Sorotan 2014: Kepentingan Penegakan Khilafah

SEGMEN POLITIK
SOROTAN 2014: KEPENTINGAN PENEGAKAN KHILAFAH
Oleh: Ustazah Nurain Abdul Rahman (Ahli Lajnah Tsaqafiyyah MHTM)

Muqaddimah

2014 bakal melabuhkan tirai tidak lama lagi. Maka, Fikratul Ummah (FU) ingin mengajak para pembaca mengimbau sorotan isu-isu yang diangkat dan dibawakan kepada para pembaca sepanjang keluarannya. Kami mengajak para pembaca sekalian untuk berfikir tentang keadaan umat Islam yang amat kritikal dengan belenggu seribu satu permasalahan yang tiada penghujungnya. Apa yang menjadi kepastian, perjuangan menyampaikan yang hak tetap diteruskan, usaha menanamkan kefahaman kepada umat tentang penyelesaian hakiki kepada segala permasalahan tetap menjadi agenda utama FU. Islam, melalui mekanisme Daulah Khilafah akan terus diserukan kepada umat agar menjadi opini umum dan segera mendapat dukungan umat. Ini tidak lain kerana Islam adalah satu-satunya penyelesaian terbaik.

Sorotan Peristiwa 2014

Bermula dengan keluaran Februari 2014, FU mengangkat tajuk Barat Takutkan Islam, Pemisahan Gender Dipersoalkan. Berkisar kepada realiti aktiviti yang dianjurkan oleh persatuan pelajar Islam di sebuah Universiti di Britain. Aktiviti rutin persatuan yang dihadiri oleh pelajar-pelajar Muslim yang mengasingkan tempat duduk di antara pelajar lelaki dan wanita dilihat sebagai sesuatu yang sukar diterima. Ini bukanlah realiti yang baru berlaku, ia justeru disensasikan sebagai satu agenda Barat untuk menyerang Islam. Barat menonjolkan aturan pergaulan antara lelaki dan perempuan yang digariskan oleh Islam sebagai suatu amalan yang tidak baik malah merugikan. David Cameron, Perdana Menteri Britain menyifatkan pemisahan ini adalah sesuatu yang tidak wajar dan tidak akan dibenarkan. Akibat campur tangan Cameron, Universities UK (UUK) telah menarik semula garis panduan tentang pemisahan gender.

Telah banyak keyakinan dan prinsip Islam yang telah diserang oleh Barat. Daripada isu larangan berjilbab, sekolah-sekolah Muslim, pengadilan Syariah, perkahwinan, larangan membina masjid, larangan laungan azan sehinggalah kepada isu penutup wajah (niqab) dan terkini, isu pemisahan gender. Media Barat dilihat sengaja mencipta kontroversi dengan memburuk-burukkan Islam. Islam dilabel ekstrem, diskriminatif dan tidak sesuai di abad 21.

Mac 2014, Malaysia dikejutkan dengan satu peristiwa yang amat menyedihkan apabila pesawat komersial MAS MH370 yang dalam perjalanan menuju ke Beijing hilang tanpa dapat dikesan sehingga ke hari ini. Bulan Mac juga sebenarnya merupakan tarikh dukacita bagi umat Islam apabila 90 tahun lalu iaitu 24 Mac 1924, Daulah Khilafah Islamiyyah yang menjadi perisai umat Islam telah dihancurkan. Kerana itu, FU Mac membawakan artikel yang bertajuk Perjuangan Politik Wanita bagi menerangkan kepada pembaca bagaimana wanita boleh memainkan peranannya dalam bidang politik untuk mengembalikan penerapan sistem Islam yang diwahyukan oleh Allah SWT selaku Pencipta alam dan seluruh isinya.

Populasi wanita Islam hari ini menjangkau lebih daripada 10% jumlah penduduk dunia (hampir 20% daripada jumlah keseluruhan wanita) iaitu bersamaan dengan 700 juta orang. Namun, angka sebesar ini tidak secara automatik menunjukkan kekuatan peranan Muslimah dalam medan perjuangan politik hari ini. Realitinya, sejak beberapa dekad kebelakangan ini, Muslimah di kebanyakan negara majoriti Muslim seringkali digambarkan sebagai golongan yang dibelenggu penindasan, kemiskinan, kekerasan, diskriminasi dan golongan kelas kedua di bawah kaum lelaki.

Gambaran ini turut disokong oleh pelbagai kajian yang dijalankan oleh pihak Barat bagi menonjolkan kemunduran wanita Islam yang dilihat daripada perspektif sekular kapitalis. Contohnya, kajian terbaru yang dijalankan oleh World Economic Forum yang bertajuk ‘The Global Gender Gap Report 2012’ mencatatkan deretan negara majoriti Muslim, khasnya di kawasan Timur Tengah-Afrika (Yaman, Afghanistan, Mali, Pakistan, Arab Saudi, Bangladesh, Syria, Libya dan lain-lain) sebagai negara-negara yang terburuk layanannya terhadap wanita daripada 135 negara kajian [http://www3.weforum.org/docs/WEF_GenderGap_Report_2012.pdf].

Keadaan ini semakin parah dengan keadaan sosio-budaya masyarakat Arab yang membataskan penglibatan wanita dalam kehidupan umum. Contohnya di Arab Saudi, golongan wanita tidak dibenarkan untuk memandu, tidak memiliki hak bersuara dalam bidang politik, bahkan tidak boleh memiliki telefon bimbit. Keadaan inilah yang sering menjadi perhatian serta modal murahan Barat dan aktivis-aktivis pejuang gender dan feminisme untuk membuat tuduhan buruk terhadap Islam. Islam dipropagandakan sebagai ideologi penindas Muslimah dan mengekang kebebasan wanita.

April 2014 pula mengangkat isu kanak-kanak sebagai tajuk utama iaitu Selamatkan Anak-Anak Daripada Jenayah. Jenayah terhadap kanak-kanak semakin mengerikan apabila media melaporkan bahawa jenayah dan kekejaman terhadap kanak-kanak semakin berleluasa kerana pelbagai cara yang tidak berperikemanusiaan telah dilakukan oleh pemangsa. Manusia seolah-olah semakin hilang pertimbangan dan tersasar jauh daripada norma-norma kehidupan kerana sanggup melakukan kekejaman terhadap insan kecil yang sepatutnya dijaga dan dilindungi. FU dalam keluaran tersebut mengungkapkan kepada pembaca bagaimana Islam dan sistem Khilafah melayan dan menjaga insan kecil ini.

Pada bulan Mei 2014, seruan untuk terus konsisten dalam memperjuangkan sistem Khilafah yang dijanjikan kemenangannya oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW terus dilaungkan. FU mengajak para pembaca untuk sama-sama menyahut seruan tersebut dalam artikel yang bertajuk Tinggalkan Demokrasi, Terapkan Syariah, Tegakkan Khilafah! Sejarah dunia menyaksikan Islam menguasai peradaban dunia selama lebih 1300 tahun. Bermula dengan Negara Islam di Madinah yang diasaskan oleh Rasulullah SAW, diikuti pula oleh Khulafa al-Rasyidin dan seterusnya dilanjutkan oleh Khilafah Bani Umayyah, Khilafah Bani Abbasiyyah sehinggalah yang terakhir iaitu Khilafah Utsmaniyyah. Sepanjang tempoh pemerintahan itu, hanya syariat Islam (hukum Allah SWT) yang diterapkan dalam negara. Selepas kejatuhannya pada 3 Mac 1924 maka umat Islam tidak lagi hidup dengan berlandaskan sistem Islam. Demokrasi yang lahir daripada rahim sekularisme (pemisahan agama daripada kehidupan) telah mendarah daging dalam jasad seorang Muslim dan ia perlu ditinggalkan segera demi memastikan Islam kaffah kembali menjadi hukum yang diterapkan ke atas kaum Muslimin.

Pada Jun 2014, FU memuatkan teks ucapan daripada para pembentang Konferens Muslimah yang bertemakan Selamatkan Wanita Dan Anak-Anak Dengan Syariah Dan Khilafah yang telah berjaya dianjurkan pada 4 Mei 2014. Konferens tersebut adalah acara kemuncak dalam Kempen Kebangkitan Khilafah anjuran MHTM yang diadakan bertujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat terutamanya wanita, bahawa kehidupan saat ini adalah kehidupan yang sempit dan sengsara serta kepentingan untuk mengubahnya. Walaupun Malaysia adalah negara yang aman daripada peperangan fizikal atau kezaliman pihak tentera seperti di negeri umat Islam yang lain, namun Malaysia tidak aman daripada pelbagai jenis masalah sosial, ekonomi, politik dan sebagainya. Jadi, masalah yang sedang dan akan terus merosakkan wanita dan generasi ini harus ditangani segera dengan benar. Konferens yang telah dihadiri oleh wanita daripada pelbagai lapisan masyarakat ini telah membongkar punca permasalahan wanita yang berakar umbi daripada peranan sebuah negara yang berkewajipan untuk mengatur urusan rakyatnya.


Sempena bulan Ramadan 1435H yang penuh berkat, FU Julai 2014 mengajak pembaca menghayati semangat Ramadan dalam artikel yang bertajuk Dakwah Dan Penerapan Syariat. Realiti umat Islam menunjukkan bahawa Ramadan pada zaman ini hanya tinggal sebagai bulan ibadah kerana bahana sekularisasi yang membuatkan umat Islam cuma mengamalkan Islam daripada sudut ruhiyyah (spiritual) semata-mata. Hukum syarak daripada pelbagai lagi aspek kehidupan yang sepatutnya diamalkan oleh setiap Muslim yang telah mukallaf tidak lagi menjadi sebuah perintah yang wajib dipenuhi tetapi ianya menjadi pilihan secara peribadi! Untuk menghayati semangat berlumba-lumba dalam beramal di bulan Ramadhan, FU menjelaskan tentang kewajipan dakwah yang sepatutnya diamalkan oleh setiap Muslim demi memastikan syariat Islam dapat diterapkan secara sempurna dalam pemerintahan Daulah Islam.

Kedatangan Syawal disambut dengan rasa kesyukuran atas kemenangan individu dalam melaksanakan ibadah puasa. Pada bulan Ogos 2014 juga, umat Islam di Malaysia menyambut Syawal seiring dengan Hari Merdeka. Namun, makna kemerdekaan yang dilaung-laungkan masih jauh daripada makna kemenangan sebenar yang sepatutnya diraikan oleh seluruh umat Islam dalam bulan Syawal. Realiti menunjukkan umat Islam khususnya di Malaysia masih berada di bawah hegemoni (penjajahan) Barat yang tidak berkesudahan terutamanya daripada sudut pemikiran. Bulan Syawal sepatutnya disambut dengan kemenangan dakwah dan perjuangan umat Islam terhadap kaum kuffar sekiranya negara memainkan peranannya dalam mempertahankan agama Islam dan menyebarluaskannya ke seluruh dunia. Inilah kupasan istimewa dalam FU Ogos 2014 melalui artikel yang bertajuk Sambutan Aidilfitri Makna Kemenangan Hakiki.

Pada penghujung bulan Ogos, Malaysia menyaksikan sebuah pesta kemaksiatan besar-besaran diadakan di Hotel Sunway iaitu pertandingan ratu cantik Mrs Universe World Final (MU) 2014. Malaysia sebagai sebuah negara Asia yang pertama menjadi tuan rumah pertandingan tersebut begitu bangga dengan acara yang mengundang murka Allah SWT. Alasannya acara sebegini dapat memberi impak yang positif kepada negara daripada sudut ekonomi dan politiknya. Sehubungan dengan itu, MHTM menyatakan secara tegas bantahan terhadap pesta maksiat ini. Pelbagai aktiviti diadakan, antaranya bertemu dengan masyarakat melalui kempen Tolak Mrs Universe, demonstrasi aman, penghantaran memorandum bantahan ke Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta lain-lain lagi.

Artikel yang bertajuk Pentingkah Identiti Negara Islam? dalam FU September 2014 sekaligus menjelaskan tentang hakikat sebenar sebuah negara Islam yang sepatutnya menjadi identiti Malaysia jika ingin mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah Negara Islam. Dengan berleluasanya pesta maksiat seperti pertandingan ratu cantik itu, identiti Negara Islam yang sebenar tidak langsung identik dengan identiti Malaysia saat ini. Hanya dengan penerapan sistem Islam sahajalah sesebuah negara itu layak digelar ‘Negara Islam’ dan bukannya penerapan hukum demokrasi tetapi mengaku Negara Islam seperti Malaysia.

Oktober 2014 pula menyaksikan agenda liberalisasi semakin parah, malahan diperkemaskan secara lebih terbuka dan ‘mesra pengguna’. Pesta Oktoberfest, No Bra Day dan I Want To Touch A Dog adalah siri kesinambungan agenda liberalisasi di tengah-tengah umat. Dalam asakan agenda liberalisasi ini, MHTM tanpa mengenal penat dan lelah terus menyeru umat kepada kebangkitan Islam yang sebenar. Program Suara Wanita Untuk Wanita (SWUW) telah berjaya diadakan pada 21 September yang lalu bertemakan Wanita Cemerlang Membangun Peradaban Gemilang. Wanita daripada segenap lapisan masyarakat mempunyai peranan dan tanggungjawab tersendiri dalam menepis arus liberalisasi yang semakin deras. SWUW mengambil peluang mengungkapkan kepada para Muslimah tentang agenda Barat melalui slogan memperkasakan wanita yang dilaungkan dalam sambutan Hari Wanita bahawa ia sebenarnya agenda Barat untuk mengalihkan para wanita khususnya Muslimah daripada tugas hakiki mereka iaitu ummun wa rabbatul bait (ibu dan pengatur rumahtangga).

Sempena tahun baru 1436H, FU edisi November 2014 membawakan tema khas iaitu Hijrah. Peristiwa Hijrah yang dilalui oleh Rasulullah SAW dan para sahabat sering diingati oleh kaum Muslimin sebagai bermulanya perkiraan kalendar Islam dan bebasnya kaum Muslimin pada saat itu daripada penindasan dan kezaliman kaum musyrik. Namun, FU mengajak para pembaca sekalian untuk menghayati kesan paling penting daripada Hijrah tersebut iaitu tertegaknya sebuah Negara Islam yang berperanan menerapkan hukum Islam secara kaffah (keseluruhan) dan meluasnya penyebaran Islam apabila negara memainkan peranannya.

Khatimah

Setiap isu yang diangkat di dalam setiap keluaran FU sentiasa bertujuan untuk mengajak para pembaca mengenali dan memahami penyelesaian hakiki terhadap semua permasalahan di atas dalam pandangan Islam. Dalam Islam, setiap permasalahan manusia dipelihara dan dijaga melalui tiga tiang yang utama iaitu kawalan individu, kawalan masyarakat dan kawalan negara. Antara ketiganya, kawalan daripada negara adalah mekanisme yang paling berkesan. Rasulullah SAW pernah bersabda,

“Imam (Khalifah) adalah pemelihara/pengatur urusan rakyat dan dia akan diminta pertanggungjawaban atas rakyatnya” [HR Bukhari].

Institusi Daulah Khilafah inilah yang umat Islam perlukan saat ini. Kewajipan menegakkan Daulah Khilafah adalah sangat mustahak dan kritikal. Pemimpin umat Islam yang bergelar Khalifah akan memerintah dan memutuskan perkara sesuai dengan ketentuan hukum syarak semata-mata dalam memenuhi perintah Allah SWT dalam firmanNya,

“Putuskanlah perkara di antara mereka menurut apa yang Allah turunkan dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu. Hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka. Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu daripada sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepadamu” [TMQ al-Maidah (5):48-49].

Semoga fajar tahun 2015 akan menyingsing dengan cahaya penegakan Khilafah ‘ala minhajin nubuwwah yang akan memerintah demi kelestarian dan kesejahteraan seluruh umat manusia.

Wallahu’alam..
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment