Kes Buli: Kembali Kepada Aturan Islam

KES BULI: KEMBALI KEPADA ATURAN ISLAM

Oleh: Nazirah Abdul Rahman
(Ahli Lajnah I'lamiyyah MHTM)

Kelakuan negatif para pembuli terhadap mangsa yang telah tersebar luas melalui rangkaian laman sosial pada bulan November 2014 yang lalu, telah mendapat perhatian seluruh rakyat Malaysia. Klip rakaman video berdurasi hampir tujuh minit itu jelas memaparkan kejadian buli yang membabitkan seorang pelajar yang berfizikal kecil berusia sebelas tahun yang telah dibuli oleh lima orang pelajar lain dengan begitu teruk tanpa rasa belas kasihan terhadap mangsa. Kejadian itu dilaporkan berlaku di sebuah sekolah asrama anak yatim di Kangar, Perlis.

Kes tersebut telah berjaya diselesaikan oleh pihak polis dan kelima-lima tertuduh yang berusia antara 13 hingga 16 tahun didakwa atas kesalahan mendatangkan kecederaan terhadap mangsa dengan menggunakan kekerasan. Mereka didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.

Jika ditelusuri faktor-faktor yang boleh membawa kepada kelakuan ganas oleh pembuli terhadap mangsa, kita akan dapati, antara lain ia disebabkan oleh pengaruh media elektronik dan media massa yang banyak menyajikan filem-filem yang berunsurkan keganasan dan gangsterisme. Tayangan filem yang langsung tiada kawalan dan pengawasan menyebabkan aksi-aksi ganas yang dilakonkan dengan mudah ditiru oleh para penonton yang kebanyakannya terdiri dari golongan remaja. Maka, tidak mustahil aksi-aksi ganas ini dibawa ke dalam kehidupan mereka ditambah pula dengan factor persekitaran serta kaedah dan sistem pembelajaran yang langsung tidak membentuk keperibadian mereka.

Kejadian buli yang melibatkan pelajar sekolah bukanlah satu isu yang baru. Sebelum ini juga rakyat Malaysia pernah digemparkan dengan kejadian yang sama. Walaupun ada usaha daripada pihak-pihak yang berkenaan untuk menangani salahlaku sosial remaja ini namun kes ini tidak berjaya dibendung. Timbul persoalan, kenapa akhlak remaja kini kian merosak? Akhlak mereka jauh tersasar dari ajaran Islam. Nilai moral dan perikemanusiaan juga turut lenyap dari diri merka. Inilah antara sebahagian isu yang dapat dilihat dari peristiwa ini.

Kembali kepada nilai yang diajar dalam Islam

Sesungguhnya Allah mengutuskan Rasulullah SAW kepada manusia untuk menjadi contoh, gambaran pemilik akhlak yang sempurna lagi terpuji. Sosok yang menjadi ikutan manusia sejagat. Sekiranya umat Islam mengikuti keperibadian Rasulullah SAW yang mulia, sesungguhnya mereka adalah manusia yang mempunyai ciri-ciri akhlak yang terpuji, sentiasa mendapat kasih dan redha Allah swt.

Allah swt berfirman dalam surah al-Ahzab, ayat 21, yang bermaksud “Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu contoh teladan yang baik untuk kamu”. Manakala dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Sayyidatina Aishah ada dinyatakan “Akhlak (Rasulullah SAW) itu adalah al-Quran” [HR Muslim].

Dalil-dalil ini menunjukkan bahawa akhlak Rasulullah SAW adalah mulia, terpuji lagi sempurna kerana baginda mengamalkan segala ajaran di dalam al-Quran.

Dari satu sudut yang lain pula, kes buli juga membuktikan bahawa sistem pendidikan hari ini gagal mengajarkan isi al-Quran kepada para pelajar sehingga sebahagian daripada mereka tumbuh tanpa hala tuju hidup yang benar serta jahil. Kejahilan inilah yang justeru melahirkan sifat-sifat yang negatif dan zalim. Berbeza halnya di dalam sistem pendidikan yang berasakan al-Quran, aqidah Islam menjadi tunjang kepada pendidikan Islam dan diterapkan kepada pelajar-pelajar. Hasilnya sudah pasti dapat melahirkan syakhsiyyah Islami di dalam diri pelajar.

Islam datang lengkap dengan aturannya, tidak ada permasalahan yang tidak dapat diselesaikan. Selagi umat Islam berpegang teguh dengan Al-Quran dan As-Sunnah, InsyaAllah umat Islam akan dipandu oleh Islam. Sekiranya sistem pendidikan menerapkan pengajaran pendidikan Islam yang benar, sudah pasti remaja tidak bertindak ganas dan kes-kes seperti ini tidak akan berlaku.

Penyelesaian yang paling tuntas kepada permasalahan kes buli ini dan juga permasalahan-permasalahan yang lain ialah dengan kembali kepada ajaran Islam secara keseluruhannya. Prinsip-prinsip Islam sudah pasti mampu membentuk keperibadian yang agung. Sistem pendidikan Islam pula sudah terbukti menghasilkan ilmuan dan sarjana yang hebat. Apabila Islam diketepikan maka hilanglah peradaban manusia. Mulianya manusia itu apabila Islam dimuliakan.
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment