Pemansuhan Akta Hasutan Adalah Wajib

PEMANSUHAN AKTA HASUTAN ADALAH WAJIB

Oleh:
Dr Ainul @ Aeni bt Shuib
(Ahli Lajnah I'lamiyyah MHTM)

Komentar :

Pelbagai pihak tampil dalam memberikan pandangan berkaitan Akta Hasutan 1948 adakah relevan untuk dimansuhkan ataupun dikekalkan. Felo Utama Pusat Kajian Syariah Institut Kefahaman Islam Malaysia dan Pensyarah Undang-Undang, Prof Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz mengambil pendekatan dengan merujuk kepada fenomena di mana pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri( ISA) sebagai ikhtibar supaya Akta Hasutan 1948 dikekalkan. Manakala tugas memperketatkan akta tersebut adalah menjadi tanggungjawab Jabatan Peguam Negara.

Isu yang dibangkit berkaitan Akta Hasutan1948 apabila Perdana Menteri, Najib Bin Tun Abdul Razak telah membuat usulan supaya Akta Hasutan 1948 dikekalkan sehingga menarik perhatian Naib Presiden US, Joe Biden yang mengkritik Malaysia kerana mengekalkan Akta Hasutan 1948. Akta Hasutan tercipta dari penganut demokrasi yang berpegang kepada prinsip kebebasan bersuara. Ia lahir apabila hak kebebasan bersuara yang diberikan itu menjerut diri sendiri sendiri apabila perkara yang disuarakan itu adalah bertentangan dengan kehendak pemerintah.

Berkaitan dengan isu jenayah yang dikaitkan dengan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA),sebenarnya adalah buah tangan hasil negara yang dipimpin dibawah system sekular-kapitalis. Kawalan masyarakat yang tidak diurus dengan benar berlandaskan syariat Islam dilihat tidak dapat membendung masalah jenayah dan masalah sosial yang lahir dari sistem tersebut. Undang-undang yang digunapakai di bawah sistem pemerintahan sekarang juga dilihat memberikan kuasa yang lebih tinggi kepada Mahklamah sivil berbanding Mahkamah Syariah yang mengangkat Perlembagaan Persekutuan sebagai rujukan dalam segala hal termasuk dalam urusan memimpin negara. Sistem yang meminggirkan undang-undang Islam ini juga jelas menunjukkan bahawa aturan Islam bukanlah kepentingan utama negara tersebut.

Allah SWT berfirman,

“Hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang Allah turunkan. Janganlah kamu mengikut hawa nafsu mereka.Berhati-hatilah kamu terhadap mereka supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian apa yang Allah turunkan kepada kamu” [TMQ Al-Maidah(5):49].

Ayat di atas jelas menunjukkan bahawa tolok ukur perbuatan manusia mestilah berlandaskan hukum ketetapan Allah. Manusia mestilah memutuskan seluruh perkara berdasarkan al-Quran dan Sunnah serta bukanlah mengikut hawa nafsu mereka semata-mata. Maka baik yang memerintah mahupun yg diperintah (rakyat), mestilah hidup berhukum al-Quran dan Sunnah.


Permasalahan pertama dari isu Akta Hasutan ini adalah asal undang-undang (Akta Hasutan) itu sendiri. Akta tersebut berasal daripada perlembagaan kufur yang digubal oleh Lord Reid. Sesungguhnya halal-haramnya sesuatu perbuatan adalah berdasarkan al-Quran dan As-Sunnah dan bukannya berdasarkan kepada yang selainnya, tidak kiralah sama ada ianya demi kepentingan pihak pemerintah atau atas alasan “keselamatan” semata-mata. Hakikatnya, apa jua hukum yang berasaskan ideologi kufur merupakan suatu kezaliman yang hakiki. Firman Allah SWT:

...dan barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim” [TMQ al-Ma’idah (5):45].

Maka persoalan yang sepatutnya timbul di benak umat Islam adalah, ADAKAH AKTA HASUTAN ITU MENEPATI SYARIAH ATAU TIDAK? Bukan dibahaskan berdasarkan logik dan keperluan aqal manusia semata-mata. Sesungguhnya perdebatan-perdebatan itu hanya sia-sia.

Firman Allah SWT:

“Dan tidaklah layak bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan RasulNya memutuskan sesuatu perkara - (tidaklah layak mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata” [TMQ al-Ahzab(33):36].

Sebagai umat Islam yang benar-benar beriman kepada Allah dan RasulNya, kita harus menyatakan dengan jelas bahawa perlembagaan yang ada pada hari ini adalah warisan ideologi kufur yang langsung tidak layak diterima walaupun secuil.

Akta hasutan tidak menilai erti “hasutan secara adil. Definisi hasutan langsung tidak mengambil kira pemahamannya dari sudut syariat. Definisi hasutan yang di ambil ibarat “pukul rata” sehingga turut menjadikan para pendakwah yang menginginkan Islam kaffah sebagai mangsa. Bukti jelas menunjukkan bahawa apa saja suara atau perjuangan yang bertentangan dengan ideologi demokrasi-kapitalis yang sedang diterapkan dalam Negara, dianggap sebagai hasutan. Walhal, Islam membenarkan rakyat memuhasabah penguasa. Itu merupakan hak setiap rakyat. Apabila seorang melihat kepincangan atau perlanggaran hukum syarak dilakukan maka dia berhak memuhasabah si pelaku kesalahan, biarpun dia seorang pemerintah.

Rasulullah SAW justru menjanjikan ganjaran yang besar kepada orang yang mengucapkan kata-kata yang benar di hadapan penguasa yang zalim melalui sabda baginda,

“Penghulu para syuhada adalah Hamzah bin Abdul Muthallib dan orang yang berhadapan dengan pemerintah yang zalim, lalu dia mengingatkan penguasa tersebut (kepada kemakrufan) dan melarangnya (dari kemungkaran), kemudian penguasa itu membunuhnya” [HR al-Hakim].

Sejarah membuktikan Akta Hasutan memberikan pelbagai impak negatif serta menyebabkan kemunduran umat. Maka atas dasar apa sistem perundangan sekular yang tidak adil ini mesti diwujudkan lagi? Wahai kaum Muslimin! Pokok permasalahan sebenar isu ini adalah penerapan undang-undang yang membelakangi hukum Allah adalah HARAM! Maka penghapusannya adalah wajar kerana ia merupakan akta yang lahir dari sistem dan undang-undang kufur tinggalan penjajah.

Wahai orang yang beriman, marilah kita kembali kepada warisan Rasulullah saw. Marilah kita bersama-sama menggantikan undnag-undnag hari ini dengan undang-undang Islam yang berlandaskan kepada Kitabullah dan As-Sunah. Rasulullah saw bersabda:

“Aku tinggalkan kepada kalian dua perkara, kalian tidak akan sesat buat selama-lamanya, selagimana kalian berpegang teguh kepada kedua-duanya (iaitu) Kitabullah (al-Quran) dan Sunnahku” [HR Muslim].

Wallahu a’lam.

Rujukan:


SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment