Program 3+1: Manusia Teraniaya di bawah Negara Demokrasi

PROGRAM 3+1: MANUSIA TERANIAYA DI BAWAH NEGARA DEMOKRASI

Oleh:
Puan Afiqah Hazwani Abdullah
(Ahli Lajnah I'lamiyyah MHTM)

BERITA:

Ulat kaut untung: Sindiket yang bertindak ejen atau ulat dikatakan mengaut keuntungan berjuta ringgit menerusi Program 3+1 (Program Serah Diri Pendatang Tanpa Izin Untuk Pulang Secara Sukarela). Ulat ini dikatakan mengenakan bayaran lebih daripada yang ditetapkan Jabatan Imigresen untuk menguruskan penghantaran pulang pendatang tanpa izin yang kini dianggarkan 2.5 juta orang. Program 3+1 adalah untuk tempoh 2 Jun hingga 31 Disember 2014. Program itu merujuk kepada program serah diri sukarela sama ada majikan sendiri menyerahkan pendatang tanpa izin atau pendatang tanpa izin menyerah diri kepada pihak berkuasa untuk dihantar pulang.

KOMENTAR:

Sejak Januari 2014, sebuah operasi yang diberi nama Ops 6P Bersepadu telah dijalankan oleh kerajaan bagi memburu 400,000 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang berada di Malaysia. Kini, timbul pula program baru yang dipanggil Program 3+1 (Program Serah Diri Pendatang Tanpa Izin Untuk Pulang Secara Sukarela). Golongan PATI ini tidak habis-habis dijadikan sasaran oleh pihak kerajaan dan terbaru , sebuah sindiket pula cuba mengaut keuntungan dari situasi ini.

Mengapa golongan PATI selalu diperlakukan dengan begitu teruk dan seperti dihalau dari negara ini? Bukankah mereka juga manusia seperti kita? Sebenarnya dalam Islam tidak ada istilah PATI yakni pendatang tanpa izin kerana umat Islam itu jelas bersaudara dan diikat oleh akidah yang satu. Kita juga tidak dibenarkan menzalimi sesiapapun termasuk non-muslim. Allah telah mengingatkan kita dalam Al-Quran “dan Allah tidak menyukai orang-orang yang zalim”. [TMQ Ali Imran [3]:57].

Di dalam sebuah hadith pula, dari Abu Dzar Al-Ghifari ra dari Nabi SAW bersabda, Allah ‘azza wa jalla, berfirman, “Wahai hamba-hambaku, sesungguhnya Aku mengharamkan kezaliman atas diri-Ku dan Aku mengharamkannya pula atas kalian, maka janganlah kalian saling menzalimi. [HR Muslim].


Lantas, patutkah mereka dilayan sedemikian rupa sedangkan sifat orang-orang beriman itu akan sentiasa melindungi saudaranya tidak kira bangsa atau keturunan. Hal tersebut sebenarnya berlaku kerana sentimen nasionalis yang telah ditanam oleh pihak Barat ke dalam benak umat Islam. Justeru menjadikan mereka mengamalkan sikap assobiyyah. Dalam Islam, tiada sempadan antara negara-negara yang berada di bawah kekuasaan Negara Islam, Khilafah. Warganegara Khilafah bebas bergerak dalam daulah Khilafah tanpa dikenakan sebarang cukai atau bayaran untuk melepasi batasan negara-negara.

JIka kita telusuri, kebanyakan PATI ini datang dari Negara-negara yang miskin. Misalnya, Indonesia, Bangladesh, Nepal dan Myanmar. Tujuan mereka datang ke sini adalah kerana hendak mencari sesuap nasi bagi diri sendiri dan keluarga mereka. Ini selari dengan ayat Al-Quran yang memang menggalakkan kita berusaha mencari nafkah. Ini jelas dari firman Allah awt:

“…Maka bertebaranlah kamu di muka bumi; dan carilah karunia Allah dan ingatlah Allah sebanyak-banyaknya supaya kamu beruntung." [TMQ Al-Jumu'ah [62]:10].

Namun demikian, sistem kapitalis yang menyengsarakan telah menindas umat manusia melalui sistem negara bangsa yang telah menghalang peluang dan meminimakan manusia utk mencari rezeki sebaiknya. Manusia disekat dari mencari rezeki yang halal sedangkan bumi Allah ini sangat luas dan tidak perlu adanya sebarang sekatan. Tambahan lagi, akibat buruk sistem kapitalis yang diterapkan adalah golongan yang kaya semakin kaya dan yang miskin semakin miskin. Golongan kaya mengaut banyak harta yang sepatutnya menjadi milik umum sehinggakan rakyat umum tidak mendapat keperluan asasi yang secukupnya. Mereka terpaksa mengambil risiko masuk ke negara lain bagi mendapatkan pekerjaan untuk menafkahi keluarga.

Dalam Islam, setiap warganegara akan dijamin semua keperluannya, lalu tidak akan timbul isu perlu menyusup Negara lain untuk mencari pekerjaan kerana Khalifah akan memastikan rakyatnya diberi pekerjaan. Namun demikian, tiada sekatan jika seorang individu hendak berhijrah ke Negara lain yang berada dalam kekuasaan daulah Islam kerana Khilafah akan membenarkan, malah akan membuka pintu negara dan kewarganegaraan kepada setiap Muslim yang ingin datang untuk bertempat tinggal di dalam Negara Khilafah. Justru sekiranya orang kafir ingin datang untuk menetap dan menjadi kafir zimmi, ini juga akan dibenarkan oleh Khilafah. Mereka akan diberikan kewarganegaraan dengan amat mudah dan akan dilayan sebagai warganegara. Hak dan tanggungjawab mereka adalah sama dengan warganegara yang sedia ada.

Oleh itu, sudah sepatutnyalah kaum Muslimin, memahami hal ini dan menolak pemerintahan berasaskan Negara bangsa yang ditinggalkan oleh penjajah Barat ini. Negara bangsa membuatkan umat Islam hilang kesatuannya sebagai ummatan wahidan (umaat yang satu) dan kekal dalam perpecahan sehingga ke hari ini. Manakala para pemimpin pula kehilangan segala sifat persaudaraan dan perikemanusiaan dek kerana terlalu menjaga batasan geografi lakaran Barat. Natijahnya nasib umat Islam tidak terbela dan semakin tertindas. Rasulullah saw dan para sahabat telah menunjukkan contoh dan model Negara Islam yang memelihara kesejahteraan umat Islam sejagat. Bangkitlah wahai umat Islam untuk hidup mulia di bawah naungan Daulah Islam yang tidak mengenal lakaran sempadan asobiyyah! Bangkitlah menuju satu-satunya pemerintahan Islam di atas jalan kenabian yang akan membela hak setiap warganya! Allahuakbar!!!

Rujukan : Berita Harian, 22 Disember 2014
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment