Rasuah: Barah yang Semakin Parah

RASUAH: BARAH YANG SEMAKIN PARAH

Oleh: Rojana Md. Noor
(Ahli Lajnah I'lamiyyah MHTM)

Sikap berdiam diri pihak berkuasa tempatan terhadap rungutan dan aduan mengenai kegiatan penerokaan tanah secara haram di Cameron Highlands dikatakan punca terjadinya banjir lumpur yang meragut lima nyawa dan mencederakan lima yang lain pada 5 November lepas. Bagaikan cacing kepanasan pelbagai pihak berwajib yang sebelum ini hanya menutup mata mula melompat apabila kejadian ini dikaitkan dengan amalan rasuah yang semakin berleluasa dan tidak dapat dibendung lagi.

Amalan rasuah didakwa sudah menjadi budaya di Cameron Highlands sejak 1980an apabila kawasan tanah tinggi itu menjadi tumpuan untuk pertanian komersial dan aktiviti pembalakan. (1) Walaupun pelbagai aduan telah dibuat tetapi tiada pihak yang mengambil tindakan atas aduan tersebut. Lebih menyedihkan apabila setiap laporan yang dibuat tidak kira kepada pemimpin tempatan ataupun menteri, semuanya tidak diambil peduli dan didiamkan begitu sahaja. (2)

Malah perkara yang sama juga turut dilaporkan berlaku di dalam isu pembalakan haram di utara Sarawak.Secara keseluruhannya terdapat berpuluh-puluh laporan di seluruh utara Sarawak terhadap pembalakan haram dibuat oleh kumpulan hak asasi manusia, alam sekitar dan penduduk kampung serta individu. Tetapi sehingga hari ini, tiada satu pun daripada laporan-laporan ini disiasat oleh pihak polis, SPRM atau Jabatan Perhutanan. (3)


Kenyataan ini membuktikan bahawa rasuah telah berjaya menjangkiti setiap golongan masyarakat sehingga ke akar umbi. Dari serendah jawatan hinggalah ke pegawai atasan. Tanggungjawab yang diamanahkan tidak lagi dilaksanakan dengan jujur.

Rasuah adalah harta yang diperolehi kerana terselesainya suatu kepentingan manusia (baik untuk memperolehi keuntungan mahupun untuk menghindari kemudharatan) yang sepatutnya wajib diselesaikan tanpa imbalan.

Pengharaman rasuah adalah jelas berdasarkan Al-Qur’an dan Hadis. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman,

“Dan janganlah ada di antara kalian yang memakan harta benda sebahagian yang lain dengan jalan yang batil, dan janganlah menggunakannya sebagai umpan (untuk menyuap) para hakim dengan maksud agar kalian dapat memakan harta orang lain dengan jalan dosa, padahal kalian mengetahui (hal itu)” [TMQ Al Baqarah (2):188].

Abu Dawud meriwayatkan sebuah hadis dari Abu Hurairah ra. bahawasanya Rasululah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda,

“Laknat Allah terhadap pemberi dan penerima rasuah di dalam urusan pemerintahan”.

At-Tirmidzi meriwayatkan sebuah hadis serupa berasal dari Abdullah bin ‘Amr, bahawasanya Rasulullah bersabda,

“Laknat Allah terhadap pemberi dan penerima rasuah”.

Sememangnya dalam sistem ekonomi kapitalis, manusia bebas membuat kerosakan dan melakukan kemungkaran malah lebih parah lagi sanggup memberi dan menerima rasuah dalam pelbagai bentuk tanpa menghiraukan kesan buruk yang mungkin berlaku. Maka tidak hairanlah jika terjadinya pelbagai bencana buruk yang bukan sahaja memusnahkan harta benda malah meragut nyawa manusia.

Untuk menghapuskan amalan rasuah ini bukanlah kerja mudah. Selagi pemimpin tidak amanah dan sistem yang mengatur individu itu rosak, selagi itu rasuah ini sukar dibendung. Sistem yang berideologi kapitalis yang rosak ini telah memaksa individu untuk bekerja tanpa memikirkan dosa dan pahala tetapi apa yang ingin diraih hanyalah manfaat semata-mata. Ini berbeza dengan sistem berideologi islam dimana akidah islamiyyah itu amat ditekankan sehingga menjadikan individu itu amanah dalam menjalankan tanggungjawab dan hanya takut kepada undang-undang Allah.

Rujukan:

(1) Rasuah Amalan Biasa, Sudah Jadi Rahsia Terbuka. Berita Harian, 13 November 2014.
(2) Pihak Berkuasa Didakwa ‘Tutup Mata’. Utusan Malaysia, 8 November 2014.
(3) Rasuah Balak: Banyak Aduan Tapi Tiada Tindakan. Mstar, 19 November 2014.

SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment