Suntikan Racun Sekular-Kapitalis dalam Sistem Pendidikan


SUNTIKAN RACUN SEKULAR-KAPITALIS DALAM SISTEM PENDIDIKAN
Oleh: Pn. Rahmah Nadzri (Ketua MHTM Perak/Ahli Lajnah Tsaqafiyyah MHTM)

“Belajar rajin-rajin ya… Besar nanti cari kerja yang bagus. Boleh beli kereta dan rumah besar”. Itulah antara kata-kata perangsang segelintir ibu bapa kepada anaknya agar berusaha bersungguh-sungguh dalam pelajaran. Tidak sedikit daripada orang tua yang menjadikan pendidikan sebagai batu loncatan untuk anak-anaknya berjaya daripada aspek material. Berjaya ke menara gading, menjawat jawatan tinggi, bergaji lumayan, memiliki rumah dan kereta mewah seakan menjadi penanda aras kejayaan dalam hidup seseorang.

Pendidikan yang materialistik ini merupakan gambaran kehidupan sekular yang terbukti gagal menghasilkan individu yang berkeperibadian Islam. Apabila sistem kehidupan sekular dijadikan asas kehidupan, maka tujuan pendidikan yang ditetapkan juga jauh tersasar daripada apa yang ditentukan oleh akidah Islam. Produk yang dikeluarkan adalah sekadar individu-individu yang berfahaman materialistik dan sekular. Oleh kerana itu, tidaklah menghairankan apabila lahirnya ramai pelajar cemerlang dalam pencapaian akademik, namun keperibadian Islam tidak terpancar dalam kehidupan sehariannya.

Realiti Dalam Sistem Pendidikan Sekular

Pertama, kerosakan akhlak pelajar. Pelajar melawan guru, membuli rakan-rakan sebaya di asrama mahupun bilik darjah, menghisap rokok, menagih dadah, mencabul rakan serta terlibat vandalisme merupakan barisan realiti yang acapkali dilaporkan di sekolah. Sekolah yang pada awalnya merupakan institusi melahirkan individu-individu yang berkeperibadian Islam, justeru sebaliknya menjadi institusi yang mencetak mereka yang rosak akhlaknya, hilang malu dan terlibat dalam pelbagai bentuk jenayah yang menakutkan.

Kedua, pendidikan juga dilihat sebagai satu bidang yang boleh diniagakan dan dikomersialkan sehinggakan ia hanya dapat dikecapi oleh mereka yang mempunyai wang dan berkemampuan. Sedangkan pendidikan merupakan hak setiap warganegara. Oleh kerana itu negaralah yang sewajarnya mengelola bidang pendidikan baik dari segi pembiayaan mahupun kurikulumnya. Ini kerana baik atau buruknya sistem pendidikan itu secara langsung mengakibatkan baik atau buruknya sesebuah negara itu.

Ketiga, pendidikan juga dinilai sebagai satu bentuk pelaburan dengan menganggap pendidikan haruslah mampu untuk mengembalikan pulangan yang menguntungkan. Pulangan yang dimaksudkan bukanlah diukur dengan lahirnya individu yang berkeperibadian mulia, namun dinilai dengan jawatan yang tinggi dalam kerjaya serta banyaknya aset yang mampu dimiliki dan menjadi kebanggaan masyarakat.

Transformasi Pendidikan Acuan Kapitalis

Saban tahun pelbagai transformasi pendidikan dilaksanakan dengan pelbagai tujuan dan target yang hendak dicapai. Terbaru adalah transformasi kurikulum pendidikan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. Pelan ini memberi penekanan kepada konsep Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Kementerian Pendidikan Malaysia akan memberikan tumpuan pada peningkatan prestasi sistem pendidikan negara. Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) dan Programme for International Student Assessment (PISA) adalah pentaksiran peringkat antarabangsa yang merupakan instrumen yang digunakan sebagai penanda aras kualiti pembelajaran Sains dan Matematik. PPPM menyasarkan Malaysia mencapai sekurang-kurangnya purata antarabangsa dalam pentaksiran berkenaan pada tahun 2015. Menjelang tahun 2025 pula, PPPM menyasarkan agar Malaysia berada pada kedudukan satu pertiga teratas dalam kedua-dua pentaksiran TIMSS dan juga PISA.

Dari satu segi, ia ternyata memberi manfaat kepada pelajar dengan membiasakan mereka berfikir secara kritis dan kreatif serta tidak hanya menghafal suatu fakta untuk berjaya dalam peperiksaan. Namun dalam masa yang sama, ia tidak memberikan tumpuan kepada pembentukan keperibadian seseorang pelajar. Antaranya, sama ada pelajar itu mempunyai kebolehan untuk menilai sesuatu perkara itu berdasarkan tolok ukur halal atau haram iaitu kefahaman dalam menjadikan hukum syarak sebagai standard dalam perbuatan sehariannya. Malah, apa yang ditekankan adalah daripada aspek kedudukan negara Malaysia di peringkat antarabangsa berdasarkan prestasi dan pencapaian akademik semata-mata. Jika hal ini yang dikejar saban tahun, maka tidak hairanlah produk yang terhasil daripada sistem pendidikan negara tidak lain adalah mereka yang hanya cemerlang dalam bidang akademik namun belum tentu tampil dengan syakhsiyah Islam yang sepatutnya.

Guru sebagai pendidik juga tidak terkecuali menerima impaknya dengan polisi pendidikan negara yang tidak konsisten dan acapkali berubah. Dengan penerapan sistem pendidikan kapitalis, para guru ternyata dibebankan dengan kerja dan pelbagai kursus sehingga tugas murni membimbing anak didik mereka tidak lagi menjadi keutamaan. Bahkan para guru disibukkan dengan bermacam-macam kerenah birokrasi dan penanda aras pencapaian (KPI) sehingga menyebabkan fokus mereka lari daripada melaksanakan amanah utama iaitu mendidik pelajar menjadi generasi yang taat kepada penciptaNya dan berakhlak mulia. Para guru perlu memastikan kesemua murid lulus cemerlang dalam peperiksaan dengan menjadikan bilangan A dalam peperiksaan sebagai satu-satunya kayu ukur kejayaan seseorang murid.

Keunikan Polisi Pendidikan Dalam Islam

Hal ini berbeza dengan polisi pendidikan Islam. Polisi pendidikan Islam dalam sistem Khilafah memberikan penekanan terhadap pembentukan keperibadian Islam yang melahirkan individu Mukmin serta membentuk masyarakat yang Islami. Keperibadian Islam akan mendorong seseorang itu menjadikan hukum syarak sebagai satu-satunya kayu ukur perbuatan serta mencapai keredaan Allah itu sebagai matlamat kehidupan dan bukannya demi mengejar manfaat material semata-mata. Malah Islam meletakkan kewajipan kepada pemerintah (Khalifah) dalam mengatur segala aspek berkaitan pendidikan termasuklah kurikulum, tujuan dan strategi pendidikan, kaedah pengajaran serta pembiayaan pendidikan agar dapat dikecapi warganegaranya dengan mudah dan lancar. Rasulullah SAW bersabda,

“Seorang imam (khalifah) adalah pemelihara dan pengatur urusan rakyat dan ia akan diminta pertanggungjawaban atas urusan rakyatnya” [HR al-Bukhari dan Muslim].

Polisi pendidikan Islam merupakan satu usaha yang berstruktur dan sistematik. Ia tidak cenderung berubah-ubah atau ditukar ganti. Sistem Pendidikan Islam bertujuan untuk mencetak individu yang mempunyai keperibadian Islam yang luhur. Inilah kesan daripada keimanan seorang Muslim. Seorang Muslim yang terhasil daripada sistem pendidikan Islam sudah tentu memiliki cara berfikir (aqliyah) dan cara bertingkahlaku (nafsiyah) yang diasaskan kepada akidah Islam. Selain itu, ia bertujuan untuk mencetak individu yang dapat menguasai tsaqafah Islamiyah dengan baik. Tsaqafah Islam yang terdiri daripada bahasa Arab, sirah Nabawiyah, ulumul Quran, tahfidzul Quran, ulumul hadis, ushul fiqh dan lain-lain wajib dipelajari agar pengkajian dan penerapan ilmu yang berbentuk umum tidak membahayakan akidah kaum Muslimin.

Selain itu, polisi pendidikan Islam juga mampu menghasilkan individu yang dapat menguasai cabang ilmu yang berkaitan dengan sains dan teknologi agar umat Islam dapat memajukan peradaban dengan pelbagai inovasi yang kreatif untuk memudahkan umat menjalankan kewajipannya sebagai seorang manusia dan warganegara Daulah. Di samping itu juga, ia mampu melahirkan generasi Islam yang berkemahiran tinggi dan unggul demi memenuhi tuntutan Allah SWT ke atas setiap Muslim. Rasulullah SAW bersabda,

“Menuntut ilmu itu merupakan kefarduan ke atas setiap Muslim” [HR Baihaqi].

Khatimah

Ternyata dalam Daulah Islam, polisi pendidikan menjadi satu keutamaan dalam membentuk masyarakat yang bertamadun. Ini kerana melalui pendidikan, potensi insan yang bersyakhsiyah Islam akan dilahirkan demi menjamin kelestarian Daulah. Potensi insan yang dicetak hasil daripada sistem pendidikan berasaskan akidah Islam inilah yang akan meneruskan perjuangan dan penerapan hukum syarak dalam seluruh aspek kehidupan. Bukankah tokoh-tokoh dan ilmuan Islam yang berjaya dan terkemuka lahir daripada sistem pendidikan Islam di bawah naungan Daulah Khilafah?

Tidaklah menghairankan pada masa Khilafah Islam, lahirnya para tokoh pendidik yang hingga kini begitu terasa sumbangan ilmu mereka bagi peradaban umat. Para tokoh pendidik ini bukan hanya menjadi pendidik umat, malah turut menjadi ulama dan juga ilmuwan yang memberikan banyak manfaat bagi kehidupan umat. Siti Aisyah, Fatimah az-zahra, Imam Ghazali, Imam Syafi’i, Ibnu Sina, ar-Razi, Ibnu Rusyd adalah contoh daripada beberapa nama dalam kalangan tokoh pendidik yang banyak memberi sumbangan bagi umat dan kemajuan peradaban Islam.

Muslimah sekalian, ayuh kita bersatu pemikiran dan tekad untuk berjuang menegakkan Daulah Khilafah iaitu satu-satunya sistem yang mampu membentuk generasi insan yang cemerlang dalam mencapai target hidup di dunia dan akhirat yang benar.


Rujukan:
1. Tarikh Daulah Khilafah Islam (Al-Baghdadi, 1996; Sistem Pendidikan Islam).
2. Muhammad Ismail Yusanto, et.al, 2004, Menggagas Pendidikan Islami
3. H. Fahmi Lukman, M.Hum., 2002; Syari’at Islam dalam Kebijakan Pendidikan.
4. Al-Quranul Kareem dan Hadis Rasulullah SAW
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment