Kemunduran Wanita Masa Kini Bertitik Tolak Dari Sekularisme dan Feminisme

KEMUNDURAN WANITA MASA KINI BERTITIK TOLAK DARI SEKULARISME DAN FEMINISME

Oleh:
Pn. Sumayyah Ammar
( Wakil Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir, Malaysia)


Dewasa ini, wanita sering dijadikan alat untuk mengaut keuntungan dan pemangkin ekonomi Negara. Bukan itu sahaja, pandangan hidup wanita juga diubah kononnya berdasarkan gaya hidup terkini dan peredaran masa. Tidak hairanlah, wanita kini lebih memilih hidup berkerjaya dibandingkan menjadi wanita klasik yang sinonim dengan gelaran ummun wa rabbatul bait (ibu dan pengurus rumah tangga). Kehebatan wanita pada dekad ini semakin menyerlah dalam hampir kesemua bidang kerjaya kerana mengejar kedudukan sama taraf dengan lelaki. Inilah yang dinamakan fahaman feminisme yang memperjuangkan isu kesetaraan gender. Hasilnya, tidak kurang wanita yang mempunyai pencapaian yang lebih tinggi berbanding lelaki kerana tingginya taraf berpendidikan, jawatan dan kemampuan mereka menguasai ekonomi.

Jika dahulu di zaman jahiliyah, wanita dinafikan hak mereka untuk keluar menuntut ilmu apatah lagi untuk bekerja mencari pendapatan sendiri. Lanjutan daripada sejarah hitam itu, wanita dimomokkan dengan perjuangan feminisme yang kononnya boleh membela maruah dan nasib mereka. Hakikatnya, ia memberi lebih kesengsaraan kepada wanita. Diatas keinginan yang tinggi untuk bekerja, wanita hilang pertimbangan sehingga membenarkan diri sendiri menjadi mangsa ekploitasi industri yang memandang wanita sebagai objek pelaris produk atau perniagaan mereka. Lihat sahaja bagaimana wanita diketengahkan sebagai model-model iklan dengan pakaian yang seksi dan aksi yang menggoda, yang mana akhirnya menjadikan wanita itu sebagai simbol seks.

Fakta yang juga perlu diberi perhatian serius adalah bahawasanya wanita merupakan mangsa jenayah penyeludupan dan pemerdagangan manusia yang paling ramai [Utusan Online (26/2/2012)]. Jenayah kedua tertinggi di peringkat global ini membabitkan pelbagai jenis kes termasuklah eksploitasi seks, perhambaan dan kerahan tenaga buruh tanpa bayaran gaji. Baru-baru ini pula negara dikejutkan dengan sebuah iklan yang mempromosikan “Indonesian Maids Now on Sale” (Pembantu Rumah Indonesia Sekarang untuk Dijual”).

Di samping itu, kerana kesibukan bekerja, maka ibu-ibu mula mengabaikan komitmennya pada suami dan anak-anak. Masa lebih banyak dihabiskan untuk bekerja sehingga tiada masa untuk menguruskan rumah dan keluarga. Tidak kurang juga terdapat para wanita yang terpaksa berhijrah jauh dan meninggalkan keluarga demi kerjaya. Maka, tidak hairanlah kadar penceraian dalam masyarakat saat ini turut meningkat kerana faktor suami isteri tidak serasi. Tidak dapat dinafikan juga, berleluasanya gejala sosial dalam kalangan remaja adalah kerana faktor keruntuhan institusi rumahtangga di mana ibu memainkan peranan yang paling penting dalam mendidik syakhsiyyah anak-anak di rumah.

Tidak cukup dengan itu, wanita yang menjalankan tugas mereka sebagai pengurus rumah tangga juga tidak terlepas dari keganasa rumah tangga. Menurut startistik yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), sepanjang 2007 sehingga Februari 2012 sebanyak 18,124 kes keganasan rumah tangga di awal perkahwinan dilaporkan iaitu 3,756 kes pada 2007; 3,769 (2008); 3,643 pada 2009; 3,173 (2010); 3,277 (2011) dan 506 kes untuk dua bulan pertama tahun ini. 35% daripada jumlah kes merupakan mangsa yang merupakan golongan wanita berusia lingkungan 26 tahun sehingga 35 tahun. [Bernama, mystar.com.my, (18/04/2012)].

Fakta ini sesungguhnya turut diakui oleh mantan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat iaitu Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Beliau menyatakan purata 10 wanita negara ini dilaporkan menjadi mangsa kes keganasan setiap hari, mencakupi keganasan seksual, fizikal dan emosi. Jumlah sebenar mangsa bagaimanapun dipercayai lebih daripada itu kerana angka yang diberikan hanya membabitkan jumlah kes yang dilaporkan. Pendek kata keganasan terhadap wanita boleh berlaku kepada sesiapa saja dan di mana saja. [Berita Harian Online (28/11/2010)].

Inilah episod derita yang dialami oleh kaum wanita. Sudah pasti, episode ini bukan hanya menjadi kisah duka wanita di Malaysia bahkan turut dialami wanita di seluruh dunia dari Timur ke Barat. Wanita di Negara kaum muslim mengalami delima dengan samada syariah Islam mampu membela mereka. Keadaan inilah yang sering menjadi perhatian serta modal murahan Barat dan aktivis-aktivis pejuang gender dan feminisme untuk membuat tuduhan buruk terhadap Islam. Islam dipropagandakan sebagai ideologi penindas Muslimah dan mengekang kebebasan wanita.

Realitinya, di negara-negara kaum Muslim dan Negara Barat wanita telah lama hidup di bawah tekanan rejim despotik (zalim) yang menindas wanita. Hak-hak politik, sosial bahkan ekonomi mereka disekat dan kesejahteraan mereka diragut. Keadaan ini semakin parah dengan keadaan budaya-sosial masyarakat Muslim terutamanya di Negara kaum Muslim yang membataskan penglibatan wanita dalam kehidupan umum. Manakala di Barat, kebebasan yang diberikan tanpa aturan yang adil telah menjerut wanita ke kancah yang lebih hina dan tidak bersifat manusiawi. Sistem pergaulan wanita dan lelaki tidak diatur telah membukakan pintu kemaksiatan dan kedurjanaa berlaku tanpa had. Maruah wanita umpama tidak bernilai menjadikan wanita sangat murah bahkan boleh dinilai dengan wang. Fahaman kebebasan dan kesetaraan gender yang kononya diperkenalkan hanya mampu menjadi laungan dan slogan-slogan indah dan fatamorgana. Puluhan tahun perjuangan ini dituntut, tetapi nasib wanita tetap sahaja semakin tertindas.

Jelaslah, tuduhan-tuduhan liar yang dilemparkan oleh golongan feminis tidak berasas sama sekali. Kemunduran wanita yang kita saksikan sekarang ini sebenarnya bertitik tolak dari berpalingnya manusia dari perintah dan larangan Allah swt yang Maha pencipta. Tidak lain dan tidak bukan iaitu kerana sekali lagi agama Islam tidak menjadi kayu ukur dalam mengatur urusan kehidupan manusia. Inilah yang kita namakan sekularisme iaitu ajaran agama tidak diberi peranan dalam mengatur hidup manusia. Syariah Islam dicampakkan sehingga menjadikan kehidupan yang sempit seperti yang telah digambarkan. Benarlah firman Allah S.W.T:

“Dan barangsiapa berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta” [TMQ Thaaha (20): 124].

Wanita sepatutnya kembali sedar bahawa Rasulullah S.A.W telah diutuskan oleh Allah S.W.T untuk membawa ajaran Islam yang mulia untuk mengubah keadaan masyarakat jahiliyah yang rosak kepada kehidupan yang sejahtera. Ajaran itu termasuklah supaya seluruh umat Islam menghormati wanita dan memelihara hak-hak mereka. Ini dapat diperhatikan dalam firman Allah dan sabda Rasulullah di bawah.

“Hai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mempusakai wanita dengan jalan paksa dan janganlah kamu menyusahkan mereka karena hendak mengambil kembali sebagian dari apa yang telah kamu berikan kepadanya, terkecuali bila mereka melakukan pekerjaan keji yang nyata. Dan bergaullah dengan mereka secara patut. Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) karena mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak” [TMQ an-Nisaa’ (4): 19].

#‎WomenAndShariah #‎WanitaDanSyariah #‎WomenAgainstFeminism #‎WomenAgainstSecularism #‎SayNoFeminism #‎SayNoToSecularism #‎TolakFeminism #‎TolakSekularisma #‎TolakDemokrasi #‎WanitaSejahteraDibawahNaunganIslam
===============================

Bahagian Muslimah Pejabat Media Pusat #‎HizbutTahrir Melancarkan Kempen Global yang akan disusuli dengan acara kemuncaknya iaitu Konferens Wanita Antarabangsa bertajuk "Wanita dan Syariah: Memisahkan Realiti dari Fiksyen".

Anda dipersilakan untuk mengikuti dan mendokong kempen yang penting ini melalui link berikut:

Jika Anda ingin melanggan bahan kempen, sila hubungi: womenandshariah2015@gmail.com.
Untuk pertanyaan atau wawancara mengenai kempen atau konferens , silakan hubungi: media@hizb-ut-tahrir.info.
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment