Kesejahteraan Wanita: Antara Fakta Dan Fiksyen


KESEJAHTERAAN WANITA: ANTARA FAKTA DAN FIKSYEN
Oleh: Pn. Sumayyah Amar (Wakil Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir, Malaysia)

Bagi wanita muslim, risalah yang telah disampaikan oleh Nabi Muhammad s.a.w. merupakan satu sumber inspirasi utama yang telah mengangkat darjat wanita dan memimpin mereka untuk memainkan peranan yang sebenar dan menurut tuntutan syariat Islam. Sebagai Rasulullah s.a.w, beliau telah mengajar kita agar memuliakan wanita sebagai ibu, mencintainya sebagai isteri, mendidik dan mengasihinya sebagai anak dan melindunginya sebagai saudara kandung.

Islam telah menjamin hak-hak kehidupan wanita yang asas, termasuk hak ke atas identitinya sendiri, hak untuk hidup, hak untuk mendapat pendidikan, hak bersuara, hak memiliki dan mewarisi harta dan hak-hak kemanusiaan lainnya, malah dianjurkan untuk berperanan aktif dalam pembangunan keluarga dan masyarakat. Cara hidup Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. mencetuskan fenomena revolusi sosial yang mengubah masa depan wanita sehingga Saidina Umar Khalifah Islam yang kedua pernah menyebutkan “Pada zaman jahiliah kami tidak mengambil berat sedikit pun tentang wanita. Namun ketika Islam datang dan Allah s.w.t. menjelaskan perihal mereka, maka kami tahu mereka mempunyai hak ke atas kami”.

Begitulah pembelaan Islam terhadap wanita. Namun demikian, pencapaian dan pembelaan ini masih tidak dirasai oleh semua lapisan masyarakat wanita Malaysia khusunya dan dunia umumnya. Indeks kesejahteraan dan pembangunan wanita masih menunjukkan angka-angka yang menuntut kepada penambahbaikan dengan melakukan perubahan.

Hakikatnya, masih ramai wanita yang belum mendapat pembelaan yang sebenar. Beberapa petunjuk sosial menunjukkan seorang daripada tiga orang wanita dan gadis di dunia pernah menjadi mangsa keganasan sama ada dipukul, dijadikan habuan seks atau didera dan dianiaya melalui pelbagai cara. Seorang dari empat orang wanita dizalimi dan didera semasa mengandung. Di Malaysia, setiap hari secara purata enam orang wanita dan gadis dirogol. Namun bilangan sebenar jauh lebih tinggi kerana hanya 25% kes rogol yang dilaporkan. Ini membuktikan bahawa pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang yang diterapkan masih belum berupaya memberi pembelaan sebenarnya kepada wanita. Sebagai contoh, masih ramai wanita yang tidak mendapat hak nafkah secara benar, hak kesejahteraan dan ketenteraman hidup, hak keadilan dan sebagainya.

Di Malaysia, kemasukan pelajar wanita ke institusi pengajian tinggi melebihi angka 65% di kebanyakan institusi berbanding pelajar lelaki. Hak pendidikan setiap wanita di Malaysia tidak pernah dinafikan. Lelaki dan wanita mendapat hak yang sama untuk menuntut ilmu dalam pelbagai bidang yang mereka kehendaki. Namun ironinya, keadaan ini telah menjadi alasan mendesak wanita untuk menjadi pemangkin dan tulang belakang ekonomi dalam keluarga dan negara. Statistik penglibatan wanita dalam bidang koperat ditetapkan oleh pihak tertentu bagi mencapai indeks yang diinginkan. Bebanan wanita ditambah dengan mengalas pelbagai tugas sebagai ibu, isteri, pengurus rumahtangga, mencari nafkah dan sebagai wanita bekerjaya.

Sudah pasti, bebanan ekonomi yang semakin bertambah menyukarkan wanita untuk mengimbangi antara tuntutan kerjaya dan keluarga. Sehingga kini, masalah ini masih menjadi satu cabaran kehidupan bagi wanita berkerjaya. Walaupun banyak dasar mesra wanita telah diumumkan oleh pihak kerajaan namun pelaksanaannya masih jauh dari apa yang sepatutnya. Jurang di antara ketetapan dasar dengan pelaksanaan ini sangat jauh dari yang diharapkan. Perjuangan untuk memartabatkan kaum wanita ini hanyalah fatamorgana dan omongan kosong. Ini adalah fakta yang terpaksa ditelan oleh kebanyakan wanita. Luaran kelihatan sejahtera tetapi dalaman wanita menanggung beban di tahap maksimum.

Oleh yang demikian, tugas hakiki seorang wanita perlulah dikembalikan kepada wanita. Tugas wanita sebagai ibu dan pengurus rumahtangga adalah tugas yang sesuai dengan firtah kejadian seorang wanita. Sesungguhnya Allah SWT telah memuliakan wanita sebagai ibu dan pengurus rumahtangga. Islam juga telah mengangkat martabat para wanita dan memelihara kehormatan dan hak mereka. Nabi Muhammad s.a.w. sendiri telah menegaskan perihal pentingnya kaum wanita dilayan dengan baik serta penuh lemah-lembut dan kasih sayang. Pesanan ini disampaikan dalam Khutbah Wida’ di Padang Arafah, pada tahun ke 10 Hijrah ketika mengerjakan Hujjatul Wada’: “…Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah lemah dan pembantu kamu yang setia….”

Begitu istimewa sekali kedudukan wanita dalam Islam sehingga kaum lelaki digesa agar menggalas tanggungjawab untuk memastikan segala hak kemanusiaan bagi wanita disempurnakan dengan sebaik mungkin. Perkara ini disebut dengan jelas dalam Al-Quran dalam surah An-Nisaa ayat 34: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan...”

Wahai kaum Muslimah, sedarlah bahawa

Barat telah menyebarkan berbagai-bagai pemikiran negatif seperti feminisme dan liberalisme sehingga para wanita tidak merasakan peranan ibu dan pengurus rumah tangga adalah mulia dan memberikan pengaruh yang besar terhadap masyarakat. Ini merupakan salah satu racun Barat untuk menjatuhkan institusi kekeluargaan seterusnya menghancurkan generasi umat Islam.

#‎WomenandShariah #‎WanitadanShariah #‎Sejahtera
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment