Nama ‎Aceh Terconteng Oleh Program Miss Indonesia

#‎WomenandShariah

Aceh sejak zaman dahulu (baca : masa kejayaan Islam selama 13 abad) kental dengan syariat, sehingga syariat dan budaya masyarakatnya tidak boleh dipisahkan. Bahkan dunia Barat mencatat bahawa Aceh adalah salah satu tempat munculnya generasi ulama Islam. Namun, agenda Miss Indonesia 2015 yang rutin diadakan setiap tahun oleh Indonesia selalu melukakan hati rakyat Aceh. Hal ini disebabkan oleh sebahagian besar perwakilan Aceh yang menyertai acara tersebut tidak berpakaian menurut Islam melainkan berpakaian ala-Barat. Tentu sahaja ini akan memberikan imej buruk terhadap Aceh yang digelar Nanggroe syariat.

Memang acara ini selalu menerima reaksi pro dan kontra dari masyarakat. Jika ditinjau dari segi syariat Islam tentulah acara ini haram dilaksanakan, sebab wanita yang menyertai Miss Indonesia ini perlu berpenampilan seksi dan berpakaian terbuka, ditambah lagi dengan gaya mereka yang manja dan menarik untuk dilihat. Kemudian, jika kita tinjau dari segi manfaat dan mudarat, acara ini ternyata lebih condong pada mudaratnya. Perkara ini boleh dilihat dari konsep acaranya yang membawa kepada eksploitasi wanita.

Kemudaratan yang lain adalah wanita dijadikan komoditi jualan bagi syarikat kecantikan. Walaupun tujuan ini ditutup-tutup, pada dasarnya yang paling mendapat manfaat dalam acara ini bukanlah wanita, tetapi syarikat yang menaja acara tersebut. Bukti acara ini dibentuk untuk perniagaan dapat kita lihat pada salah seorang pemilik ajang pertandingan kecantikan ini, iaitu isteri Eric Morley, Julia Morley. Dari perniagaan pertandingan wanita ini, Julia memperoleh keuntungan mencapai 450 juta dolar Amerika. Di tangan wanita ini, acara tersebut terus berkembang menjadi sebuah perniagaan raksasa / global.

Acara pertandingan ratu cantik ini juga berpeluang untuk membuka sumber kemaksiatan. Sebab konsep acara ini berbau kelucahan yang ditonton oleh orang ramai termasuk kanak-kanak kecil. Walhasil, ajang ini menambah senarai tahap gangguan seksual dan pemerkosaan. Acara yang berprestij ini sebenarnya juga menyebarkan virus Hedonisme dan Konsumerisme. Masyarakat secara tidak sedar ditentukan untuk berpenampilan cantik dan terbiasa dengan pakaian terbuka sebagaimana yang ditampilkan oleh peserta Miss Indonesia ini. Akhirnya, generasi Indonesia khususnya Aceh disibukkan dengan membeli perhiasan kecantikan dan berlumba-lumba untuk tampil seksi. Kerana syarat cantik yang disebarkan oleh acara ini adalah bertubuh seksi dan berpakaian minimum. Sungguh ironi!


Sudah sepatutnya acara yang menampakkan aurat ini ditolak. Namun, dari setahun ke setahun acara ini tetap sahaja diadakan. Seolah-olah kerajaan hanya mampu mengecam tanpa mengambil tindakan yang tegas untuk membubarkan acara yang melecehkan wanita tersebut. Tidak terkecuali Aceh, setiap tahun selalu ada yang mewakili Aceh untuk menyertai acara Miss Indonesia. Padahal ini adalah satu bentuk penghinaan terhadap Nanggroe Aceh.

Perlu kita sedari bahawa wanita sebenarnya mempunyai kedudukan yang mulia, iaitu sebagai ummu warabbatul bait. Namun, kedudukan itu kini telah tergadai dengan material dan gaya hidup hedonisme, akibatnya wanita jauh dari fitrahnya dan dijadikan pemain ekonomi kaum kapitalis (pemilik modal). Sejarah telah membuktikan bahawa wanita yang hidup dalam sistem Islam begitu dimuliakan. Peranannya sebagai pencetak generasi emas dan pendidik pertama menjadikannya mulia. Namun sistem Kapitalisme-Liberalisme yang diterapkan di negara ini menjadikan wanita hidup sengsara dan merana. Hanya penerapan Islam dalam bingkai Khilafahlah kunci kepada kemuliaan wanita. Wallahu’alam

(Oleh: Moni Mutia Liza, Mahasiswi FKIP Unsyiah Banda Aceh)


#womenandshariah #‎wanitadanshariah #‎tolakmissindonesia #‎putriindonesiakonteseksploitasi
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment