Peranan Wanita: Penyumbang Ekonomi Atau Pengurus RumahTangga

Oleh: Dr Ainul @ Aeni bt Shuib
(Ahli Lajnah I’lamiyyah MHTM)

BERITA: “Bajet 2015: Ekonomi Keperluan Rakyat”

STRATEGI KELIMA: MEMARTABAT PERANAN WANITA

Pada masa ini, wanita hanya mewakili 38% daripada jumlah tenaga kerja di negara ini. Bagi meningkatkan sumbangan wanita dalam pembangunan negara, Kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada usaha-usaha untuk meningkatkan penglibatan wanita dalam pasaran kerja dan aktiviti keusahawanan. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah diperuntukkan RM2.26 bilion bagi perbelanjaan pembangunan dan operasi. Antara program termasuk:

Pertama: Memperkukuhkan Program Pengarah Wanita untuk mencapai 30% penyertaan wanita dalam peringkat pembuat keputusan. Pada tahun 2015, Kerajaan merancang untuk melatih 125 pengarah wanita berpotensi untuk mengisi jawatan sebagai ahli lembaga syarikat-syarikat berkaitan kerajaan dan sektor swasta. “Saya menyeru syarikat-syarikat milik kerajaan dan sektor swasta menyediakan lebih banyak peluang untuk wanita profesional untuk diwakili dalam Lembaga Pengarah”

Kedua: Menambah baik peluang bagi wanita untuk kembali ke pasaran pekerjaan melalui Sokongan 1Malaysia untuk Suri rumah program yang menekankan latihan kemahiran dan insentif untuk suri rumah; dan
Ketiga: Talent Corp akan menubuhkan Wanita Program Comeback Kerjaya untuk wanita profesional kembali ke pasaran kerja berdasarkan kelayakan profesional.

KOMENTAR:

Realiti hari ini menyodorkan wanita berkerjaya adalah satu fenomena yang sangat biasa, samada dalam bidang kesetiausahaan ataupun bidang professional. Wanita berkerjaya menjadi idaman anak-anak muda sedari bangku sekolah rendah lagi. Ini membuatkan mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk merealisasikan impian mereka.

Malaysia merupakan sebuah negara yang sedang membangun dengan taburan purata penduduk sebanyak 28.3 juta, yang terdiri daripada 14,562,638 penduduk lelaki dan 13,771,497 adalah wanita¹. Jika dilihat daripada laporan banci penduduk yang dilakukan pada tahun 2010, wanita mempunyai bilangan yang sedikit rendah berbanding lelaki. Namun peranan wanita dalam menyumbangkan tenaga untuk kemajuan Negara tidak kurang hebatnya.


Wanita bukan sahaja memainkan peranan utama dalam pembentukan generasi akan datang, malah penyumbang ekonomi yang tidak kurang pentingnya. Peranan wanita dalam menyumbang kepada kemajuan dan pendapatan Negara tidak dapat disangkal lagi apabila Perdana Menteri Malaysia sendiri telah membentangkan strategi memperkasakan ekonomi Negara dengan menyarankan keterlibatan wanita dalam pasaran kerja dan aktiviti keusahawanan. Ini dapat dilihat apabila sebanyak RM 2.26 bilion diperuntukan untuk tujuan tersebut.

Wanita, dengan peredaran masa, peningkatan pendidikan dan perubahan struktur ekonomi Malaysia menyebabkan penglibatan mereka menjadi semakin ketara². Disamping itu juga, intergrasi ekonomi dunia seiring dengan kemajuan teknologi yang pesat membentuk realiti ekonomi wanita dalam pelbagai pendekatan. Oleh itu,wanita kini menjadi entiti yang penting sebagai penggerak ekonomi sesebuah Negara³.

Namun begitu, tiga program di bawah strategi memperkasakan wanita dilihat hanya mengerahkan tenaga wanita dalam memastikan kemajuan dan pembangunan ekonomi Negara terus dilestarikan tanpa memikirkan tanggungjawab utama wanita terhadap keluarga. Peranan wanita sebagai “ummu wa rabbatul bayt” atau ibu dan pengurus rumahtangga telah dikesampingkan demi mencapai tujuan memperkasakan wanita.

Wanita sebagai ibu telah “menswastakan” peranan mereka untuk mengasuh dan mendidik anak-anak kepada Taman Asuhan Kanak-Kanak demi memenuhi tuntutan kerjaya mereka. Begitu juga peranan pengurus rumahtangga “diswastakan” kepada pembantu rumah yang diupah bagi memastikan rumah sentiasa diatur dan diurus setiap hari semasa mereka bekerja di luar.

Beginilah situasi yang akan sentiasa berlaku saban hari apabila wanita sering digambarkan bahawa wanita cemerlang adalah wanita yang bekerjaya. Apatah lagi dengan kesempatan ini pihak yang mengangkat idea Feminisme tegas menyatakan bahawa program-program tersebut adalah penting untuk wanita supaya wanita mendapat hak yang samarata dalam ekonomi Negara bak kata pepatah “duduk sama rendah, berdiri sama tinggi”. Inilah yang dibawakan oleh ‘Muasawah’ iaitu satu gerakan global untuk kesamarataan dan keadilan dalam keluarga Muslim yang telah dilancarkan di Malaysia pada Februari 2009.

Sebenarnya Islam telah menggariskan peranan wanita dan lelaki, di mana setiapnya ada peranan masing-masing dalam menjalankan kehidupan seharian. Wanita lebih layak untuk diberikan tugas khas untuk membesarkan anak (child bearing) kerana keistimewaan dan keunikan mereka yang tidak dimiliki oleh lelaki dari segi biologi, mental dan emosi. Kualiti dan sifat penyayang serta penyabar ini sangat penting dalam membesarkan anak (4). Lelaki dengan sifat ketahanan fizikal dan mental lebih layak sebagai ketua dan pemimpin keluarga serta berperanan dalam mencari nafkah untuk menstabilkan ekonomi keluarga.

Allah telah berfirman: “Bagi kaum lelaki ada bahagian dari apa yang diusahakannya. Bagi kaum wanita pun ada bahagian dari apa yang diusahakannya” [TMQ an-Nisa (4):32].

Namun dalam sistem ekonomi kapitalis yang diamalkan sekarang,tenaga kerja yang dapat menyumbang kepada pembangunan Negara dan kemajuan ekonomi akan dimanfaatkan tanpa mengira gendernya. Begitu juga negara tidak melihat peranan sebenar wanita dalam pembangunan masyarakat demi mendidik dan mengasuh anak-anak untuk menghasilkan generasi cemerlang dan terbilang.

1 Laporan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010
2 Rencana Dewan Ekonomi Ogos 2013,Dewan Bahasa dan Pustaka
3 Utusan Online 24 Jun 2014
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment