Persidangan Global Musawah 2009: Membela atau menyesatkan?

Persidangan Global Musawah 2009: Membela atau menyesatkan?
Oleh: Pn. Sumayyah Amar
(Wakil Pusat Media Pusat Hizbut Tahrir, Malaysia)


Isu mengenai hak wanita diperdebatkan secara meluas di seluruh dunia lebih-lebih lagi dalam era globalisasi ini apabila kesaksamaan hak kaum hawa diangkat sama pentingnya dengan hak asasi manusia. Di kebanyakan negara membangun termasuk Malaysia, berlaku perubahan positif yang memperkasakan peranan wanita. Dan, kaum lelaki turut mengiktiraf kedudukan mereka di peringkat atasan tidak ketinggalan dalam lapangan politik. Namun, pada masa sama masih terdapat halangan dan kelemahan apabila menyentuh bab status, kedudukan serta hak seorang wanita De Boodschap van Islam yang secara realitinya kini merupakan pencari nafkah dan pelindung keluarga.

Persidangan Global Musawah mengangkat tema Tuntutan Kesaksamaan dan Keadilan dalam Keluarga Islam telah berlangsung di Kuala Lumpur bermula 13 hingga 17 Februari 2009. Persidangan ini telah dilancarkan oleh Penasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan dihadiri lebih 250 peserta termasuk aktivis, sarjana, penggubal polisi, ahli Parlimen, usahawan dan golongan profesional dari 47 buah negara.

Pengarah Projek Musawah, Zainah Anwar menjelaskan persepsi konservatif segelintir pihak juga mengekang kebebasan wanita Islam sebagai isteri dan anak serta memberikan undang-undang juga polisi yang memasungkan golongan berkenaan sebagai masyarakat dan Muslim kelas kedua. Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Majlis Wanita Islam Kanada (CCMW), Alia Hogben berkata, sekitar 2003, sebuah organisasi digelar Islamic Institute of Civil Justice (Institut Keadilan Sivil Islam) ditubuhkan di Ontario sebagai badan penimbang tara bagi komuniti Islam. Ia ditubuhkan untuk menggunakan prinsip undang-undang Islam untuk mengendalikan hal keluarga dan pewarisan harta untuk kegunaan umat Islam berbanding mahkamah sekular untuk menyelesaikan masalah. Menurut beliau, CCMW membantah perlaksanaannya kerana ia dilihat tidak menganggap wanita setaraf dengan lelaki oleh itu tidak mampu berlaku adil dalam isu berkaitan penceraian, penjagaan anak atau pembahagian harta. "Kami lebih rela memilih undang-undang yang sama rata untuk semua tanpa mengira latar belakang agama, bangsa, etnik, budaya dan penggunaan undang-undang Syariah di Kanada boleh mendatangkan kesan negatif apabila tidak mempunyai asas prinsip kesaksamaan terhadap wanita.”

Jika diteliti dari hasil kertas kerja dan bengkel-bengkel yang dibentangkan semasa persidangan tersebut dilihat mereka bersepakat untuk menginterpretasikan semula al-Qur’ān dan al-Hadīth dari sudut pandang wanita yang selama ini dikatakan bias pada lelaki. Musawah juga mengenengahkan isu hak sama rata antara lelaki dan perempuan dalam kekeluargaan Islam melalui hukum-hakam seperti poligami, faraid, ketaatan isteri, izin keluar rumah, aurat wanita, dan sebagainya. Hukum-hakam ini dipertikaikan dengan melanggar segala syariat yang dibawa oleh al-Qur’ān dan al-Sunnah. Mereka juga telah mendatangkan pernyataan bahawa al-Quran seolah-olah boleh ditafsir oleh sesiapa sahaja walaupun bukan ahlinya.

Adakah ini yang dikatakan sebagai perjuangan memperkasakan wanita sebagaimana yang dilaung-laungkan dalam objektif penganjuran persidangan ini? Jika benar, adakah dengan menggubal undang-undang mengikut timbangan akal semata-mata dianggap keadilan? Hukum Islam ditolak kerana tidak sesuai dengan peredaran zaman. Hal ini bertentangan dengan firman Allah surah al-Maidah ayat 49-50.

“Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka. dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepadamu. Jika mereka berpaling (dari hukum yang telah diturunkan Allah), maka ketahuilah bahwa sesungguhnya Allah menghendaki akan menimpakan musibah kepada mereka disebabkan sebagian dosa-dosa mereka. Dan sesungguhnya kebanyakan manusia adalah orang-orang yang fasik. Apakah hukum Jahiliyah yang mereka kehendaki, dan hukum siapakah yang lebih baik daripada hukum Allah bagi orang-orang yang yakin?”

Surah Al-Maidah ayat 49-50 ini dengan sangat tegas menunjukkan bahawa setiap hukum yang tidak berasal dari Syariah Allah berarti ia adalah hukum jahiliyah. Negara yang diatur oleh undang-undang buatan manusia, berdasarkan akal fikiran manusia, sebenarnya adalah negara yang diatur oleh hukum jahiliyah. Mempertahankan hukum jahiliyah seperti ini adalah hal yang haram dan diingkari oleh Allah ta’ala, Tuhan semesta alam. Sebaliknya, memperjuangkan dan menerapkan hukum-hukum Allah, merupakan sebuah kewajiban, bahkan kewajiban yang teragung. Sekarang, pilihan ada di tangan kita, mempertahankan hukum jahiliyah atau memperjuangkan diterapkannya Syariah Allah. Apakah pilihan anda?

#‎WomenandShariah #‎WanitadanSyariah #‎WomenAgainstFeminism #‎TolakFeminism
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment