Tiada Feminisme Dalam Islam [BAHAGIAN 2]

((Edisi Bahasa Melayu))
#‎WomenandShariah

Kesan Feminisme

Terdapat banyak perubahan yang dibawa oleh gerakan feminisme.
Kaum wanita telah berjaya menempatkan diri ke dalam sektor yang asalnya dimonopoli oleh kaum lelaki. Jumlah wanita yang bekerja telah meningkat dua kali ganda sejak tahun 1950-an, iaitu daripada 33% pada tahun 1950 menjadi 60% pada tahun 1990. Jumlah ini semakin bertambah saban tahun. Tidak menghairankan jika keadaan ini menyebabkan kemunculan pelbagai kesan terhadap kehidupan bermasyarakat.

Jika kita mengkaji perkembangan idea ini di mana-mana sekalipun, kita akan mendapati bahawa idea feminisme tidak akan memberi apa-apa kebaikan pun.

Malah apa yang berlaku adalah makin rosak stuktur masyarakat kesan daripada hubungan yang rancu dan konflik peranan antara mereka. Ketidakstabilan stuktur ini adalah berpunca daripada idea feminisme di mana ia telah meracuni fikiran para wanita untuk melepaskan diri daripada ikatan dan tanggungjawab kekeluargaan, sehingga akhirnya menghilangkan peranan institusi keluarga itu sendiri.

Sedangkan kita tahu bahawa institusi keluarga adalah tunggak asas yang utama bagi sesebuah masyarakat.
Fakta buruk yang mewarnai masyarakat barat dan Amerika seperti meningkatnya kes perceraian, generasi ekstasi dan shabu, fenomena single parent, seks bebas dan gangguan seksual sesungguhnya menjadi bukti yang kukuh bagi menunjukkan kerosakan dan penyimpangan idea feminisme.

Maka tidak hairan jika muncul penentangan daripada sebahagian lapisan masyarakat yang masih mempunyai kesedaran akan buruknya idea-idea yang diperjuangkan oleh golongan feminis.

Jadi bagaimana menurut pandangan Islam? Adakah benar bahawa Islam juga menggaris prinsip kesetaraan sebagaimana yang dicanang oleh golongan feminis?

Pandangan Islam Terhadap Wanita

Manurut Islam, lelaki dan wanita dipandang secara proporsional, bukan secara subjektif atau asumtif sebagaimana yang dipandang oleh para feminis. Allah SWT Yang Maha Tahu telah mengatur kehidupan manusia secara adil dan seimbang; adakalanya Allah memberikan beban yang sama antara lelaki dan wanita dengan memandangnya sebagai manusia (insan); namun adakalanya Allah memberikan beban yang berbeza kepada keduanya, kerana sifat dan tabiat khusus sebagai lelaki dan wanita.

Pengkhususan beban yang Allah telah tetapkan bagi lelaki dan wanita adalah mengikut kesesuaian aktiviti serta peranan lelaki dan wanita berdasarkan sifat dan fitrah masing-masing. Pengkhususan yang Allah telah tetapkan bagi lelaki dan wanita tidak boleh dianggap sebagai suatu bentuk diskriminasi syariat Islam ke atas wanita.

Malah hal ini membuktikan bahawa ketetapanNya adalah bersifat manusiawi dan holistik. Fakta perbezaan antara lelaki dan wanita adalah suatu yang tidak boleh dipertikaikan sama sekali oleh manusia. Bahkan dengan adanya perbezaan inilah keduanya boleh saling mengisi dan melengkapi dalam mewujudkan tujuan-tujuan luhur masyarakat.

Disebabkan itulah Allah memerintahkan keduanya redha terhadap ketetapan-Nya, dan melarang saling mendengki dengan kelebihan yang telah diberikan atas sebahagian yang lain.
Allah SWT berfirman:

"Dan janganlah kamu iri hati terhadap kurniaan yang telah dilebihkan Allah kepada sebahagian kamu atas sebagian yang lain. (kerana) bagi lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan dan bagi perempuan (pun) ada bahagian dari apa yang mereka usahakan" [TMQ an-Nisa’ (4):32].

Lebih lanjut lagi dapat dijelaskan bahawa daripada sisi kemanusiaan, lelaki dan wanita adalah sama kerana keduanya mempunyai akal dan potensi hidup yang sama. Persamaan inilah yang menyebabkan beban taklif hukum yang sama bagj keduanya seperti wajib beriman kepada apa-apa yang wajib diimani, beribadah kepada Allah, berdakwah, menuntut ilmu, dibolehkan bekerja, mengembang harta dan lain-lain.

Namun di sisi lain, Islam tidak menafikan terdapat perbezaan jenis yang membawa konsekuensi perbezaan peranan sosial sebagaimana yang dinafikan oleh golongan feminis.

Realiti bahwa wanita mempunyai alat pembiakan (dan disebabkan alat itu wanita mengalami haid, hamil, melahirkan, menyusukan dan sebagainya) mewajibkan adanya hukum-hukum yang berbeza dengan lelaki. Hal ini termasuklah apabila akhirnya wanita diberi peranan sosial yang khas sebagai isteri dan ibu manakala lelaki pula sebagai ketua keluarga.

Perbezaan-perbezaan ini tidak dianggap sebagai suatu keistimewaan yang satu daripada yang lain atau sebagai bentuk diskriminasi Islam terhadap kaum wanita, malah disinilah letaknya keadilan Islam.

Islam memberi nilai kemuliaan bukan pada jenis peranan sosialnya, tetapi pada sejauh mana kedua pihak melaksanakan peranan sosial ini sesuai dengan kehendak Allah SWT (Itulah yang disebut dengan tahap ketakwaan). Oleh itu, keduanya boleh bekerjasama (ta’awun), saling memberi, secara adil dan setara untuk mewujudkan tujuan-tujuan luhur masyarakat sehingga kebahagiaan hakiki boleh dirasakan oleh semua pihak. Selain itu, Islam memberi kesempatan yang sama kepada lelaki dan wanita untuk meraih kebahagiaan yang hakiki iaitu keredhaan Allah dan SyurgaNya. In shaa Allah.

#Womenandshariah #‎WanitadanShariah #‎WomenAgainstFeminism #‎WanitaTolakFeminism #‎NoFeminism
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment