Adakah Wanita Dihargai Dalam Kesetaraan Gender?

Oleh: Sumayyah Amar (Wakil Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir, Malaysia)
#‎WanitadanShariah #‎WomenandSyariah #‎Womenagainstfeminism #‎Berita #‎HMetro #‎HarianMetro

Berita

Pada 4 Mac 2015, akhbar Harian metro melaporkan bahawa wanita Malaysia berada pada kadar 34 peratus jawatan pengurusan di Negara. Malaysia hanya ketinggalan sedikit saja di belakang China, yang mencatat kadar 36 peratus dan kekal sebagai peneraju kepelbagaian di rantau ini. Menurut Panduan Gaji Hays Asia 2015, perangkaan bagi Malaysia itu meningkat daripada 29 peratus pada tahun lalu. Malaysia diekori Hong Kong (31 peratus, menurun daripada 33 peratus pada tahun sebelumnya) dan Singapura (27 peratus, tidak berubah daripada tahun sebelumnya). Purata bagi Asia ialah 29 peratus.

Hays mendapati Jepun masih ketinggalan dari segi kedudukan kepelbagaian, dengan wanita di negara itu mengisi hanya 19 peratus jawatan pengurusan. Menurut Hays, kepelbagaian kekal sebagai isu kritikal dalam perniagaan. Pengarah urusan Hays di Asia, Christine Wright berkata, walaupun semua penyelidikan mendapati tenaga kerja pelbagai gender mempunyai kelebihan, tetapi wanita tidak mempunyai perwakilan sama rata dalam barisan kepimpinan dan mereka juga tidak digalakkan mencapai cita-cita dalam kerja masing-masing.

Sambil menyeru supaya diwujudkan keserataan gender, beliau berkata, lebih banyak tempat kerja perlu mengamalkan waktu bekerja fleksibel, mengetengahkan wanita sebagai model peranan, mengubah dasar organisasi bagi menyokong kepelbagaian gender dan memberi sokongan di peringkat lembaga pengarah terhadap isu kepelbagaian. “Satu daripada langkah paling praktikal ialah mengamalkan dasar kenaikan pangkat berasaskan prestasi kerana ini akan membantu membina budaya meritokrasi dan menghapuskan kewujudan sikap berat sebelah yang tidak disedari dalam proses membuat keputusan.”– BERNAMA

Komen

Inilah indikator kejayaan Malaysia berada di belakang China dalam mewujudkan cita-cita sebagai Negara yang membangunkan. Pelbagai pihak telah dikerah bagi menggalakkan wanita keluar bekerja dan terlibat dalam pengurusan. Wanita dikatakan diberi penghargaan apabila wanita dibenarkan berada di barisan pengurusan seterusnya menyamaratakan hak wanita untuk maju ke hadapan bersama-sama dengan lelaki. Hal ini sudah tidak asing lagi bagi sistem kapitalis.

Namun ironinya, pada 2 Mac 2015, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat telah mengeluarkan kenyataan media berkenaan isu 10% kanak-kanak terlibat dengan penyalahgunaan dadah. Pihak kementerian sedar bahawa keprihatinan dan sikap lebih berwaspada oleh ibu bapa dan keluarga haruslah dititikberatkan dalam menangani hal seperti ini. Menurut laporan ini, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), agensi di bawah KPWKM berperanan dalam memberi kemahiran keibubapaan kepada ibu bapa mengenali dan memahami serta memupuk kasih sayang kepada-anak-anak mereka agar tidak terjebak dalam kancah penagihan dadah.

Jelaslah penghargaan terhadap wanita tidak dicapai dengan menyamakan hak dan peranan mereka dengan lelaki. Realiti ini juteru menggambarkan kepada kita kesan daripada wanita meninggalkan tugas hakikinya. Penghargaan ini hanya bergantung kepada pandangan terhadap wanita yang dicipta oleh nilai-nilai dan sistem yang wujud dalam sesebuah Negara sehingga menafikan fitrah kejadian wanita dan lelaki. Apakah kita sanggup menagabaikan generasi kita demi untuk mengecapi penghargaan fatamorgana yang diberikan oleh manusia? Benarlah firman Allah swt dalam surah an-Nuur ayat 39;

“Dan orang-orang kafir amal-amal mereka adalah laksana fatamorgana di tanah yang datar, yang disangka air oleh orang-orang yang dahaga, tetapi bila didatanginya air itu dia tidak mendapatinya sesuatu apapun. Dan didapatinya (ketetapan) Allah baginya. Lalu Allah memberikan kepadanya perhitungan (amal-amal) dengan sempurna, dan Allah sangat cepat perhitungan-Nya.” [TMQ an-Nuur: 39]

Dengan Islam, seorang wanita mempunyai kedudukan yang mulia sebagaimana Allah swt juga memuliakan lelaki. Kedudukan mulia wanita boleh dilihat dari tugas utamanya sebagai ibu dan pengurus rumah tangga. Rasulullah saw bersabda:


“Wanita adalah pengurus rumah tangga suaminya dan anak-anaknya dan bertanggung jawab atas kepemimpinannya” (HR. Bukhari-Muslim).

Tugas ini tidak boleh dipandang sebelah mata sebagai tugas domestik yang bertaraf rendah. Sudah pasti, ibu adalah satu-satunya insan yang mampu memberikan yang terbaik untuk anak-anaknya berbanding orang lain. Oleh yang demikian, tugas ini merupakan tugas yang sangat penting malah menentukan corak masyarakat. Keluhuran sebuah masyarakat ditentukan oleh generasi dan kehidupan berkeluarga. Wanita diberikan penghargaan dengan memiliki tugas yang sangat strategik ini. Begitulah Islam memuliakan wanita dengan tugas utamanya.

Selain itu, wanita diberikan nafkah dan kehormatannya menjadi kewajiban suaminya. Ia tidak tertindas meskipun diberikan peranan yang berbeza dengan lelaki dalam masyarakat dan keluarga. Anak-anak akan mendapat hak-hak mereka. Tiada siapa yang menelantarkan mereka, baik dalam pengasuhan, pendidikan mahupun nafkah. Inilah keunikan dan keunggulan sistem dalam Islam. Unik kerana menjadi satu-satunya sistem buatan al-Khaliq yang mencipta manusia dengan satu set peraturan yang pasti sesuai untuk makhluk-Nya. Unggul kerana memuliakan manusia pada saat sistem sosial yang berlaku ketika ini rosak dan merosakkan.
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment