Kejayaan Dan Kekuasaan Adalah Milik Umat Islam


TAFSIR
KEJAYAAN DAN KEKUASAAN ADALAH MILIK UMAT ISLAM
Oleh: Ustazah Ummu Hajar (Ahli Lajnah Muballighah MHTM)

وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الأرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَى لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُمْ مِنْ بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا يَعْبُدُونَنِي لا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا وَمَنْ كَفَرَ بَعْدَ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

Surah an-Nur ayat 55

Terjemahan

“Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal soleh, bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah di redhai-Nya untuk mereka,dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembahKu dengan tidak mempersekutukanKu dengan sesuatu apapun dengan Aku. Dan barang siapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik”.

Asbabun Nuzul Ayat

Ibnu Jarir ath-Thabari rahimahullah menyatakan bahawa ayat ini diturunkan kepada Rasulullah SAW sebagai jawapan kepada keluh kesah sebahagian para sahabat. Ini berpunca daripada beberapa kejadian memilukan yang telah menimpa mereka, lantas mereka ditimpa rasa takut yang mencengkam dan menggerunkan akibat gangguan dan hal-hal yang menyusahkan oleh kaum Musyrikin [Tafsir ath-Thabari: 19/209].

Imam as-Sam’ani asy-Syafi’i rahimahullah pulamengatakan bahawa sebahagian ahli tafsir menyebutkan bahawa para Sahabat Rasulullah bercita-cita untuk menguasai Mekah (yang saat itu sedang dikuasai oleh orang-orang Musyrik), maka Allah menurunkan ayat ini [Tafsir as-Sam’ani: 3/544].

Tafsir Ayat

Para ulama menjelaskan bahawa dalam ayat ini terdapat sumpah Allah yang tersirat daripada ungkapan “لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ” yang diistilahkan oleh pakar bahasa al-Qur’an sebagai jawabul-qasm (jawapan sumpah). Apakah sumpah Allah tersebut? Allah bersumpah akan menjadikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh sebagai Khalifah (penguasa/pentadbir/pemimpin) di muka bumi yang akan mengatur dunia dengan syariatNya.

Allah SWT telah membuktikan sumpah tersebut berlaku ke atas umat-umat sebelumnya, ketika Dia menganugerahkan kekuatan dan kekuasaan kepada Nabi Sulaiman dan Nabi Daud ASdan kepada Bani Israil ketika mereka berhasil mengambil alih kekuasaan daripada tangan-tangan raja yang zalim di Mesir dan Syam. Dia juga bersumpah akan menjadikan Islam sebagai agama yang kukuh dan mengungguli agama-agama lainnya. Rasa aman akan tercipta dan akan menggantikan ketakutan yang menyelimuti kaum Muslimin.

Namun janji Allah tersebut ada syaratnya. Dalam ayat ini dinyatakan ada 3 syarat yang wajib dipenuhi agar janji-janji Allah dapat diperoleh. Pertama; iman dan amal soleh, kedua; beribadah hanya untuk Allah (tauhid) dan ketiga; menjauhi syirik dengan segala jenisnya, termasuklah beramal dengan tujuan selain Allah.

Di akhir ayat ini, Allah SWT menyatakan bahawa barangsiapa yang kufur nikmat (iaitu dengan meninggalkan syarat-syarat yang dituntut) setelah anugerah kejayaan dan keamanan tersebut diraih, maka merekalah orang-orang yang fasik, iaitu yang telah keluar daripada ketaatan kepada Allah dan telah membuat kerosakan.

Adakah Janji Tersebut Telah Berlaku ?

An-Nahhas rahimahullah menjelaskan bahawa janji Allah dalam ayat tersebut telah ditunaikan ketika Rasulullah SAW masih hidup. Ianya terbukti dengan pembukaan kota Mekah dan berbondong-bondongnya manusia di jazirah Arab memeluk Islam [Tafsir al-Qurthubi: 12/297].

Mufassir yang lain mengatakan bahawa ayat ini adalah dalil atas zaman kekhalifahan Abu Bakar, Umar, Utsman, dan Ali radhialla’anhum jami’an. Dengan kata lain, janji Allah dalam ayat ini wujud dan berlaku pada masa kekhalifahan mereka. Telah jelas bahawa merekalah kaum yang telah beriman kepada Allah dengan sebenar-benar iman, merekalah generasi terbaik dalam menunaikan ibadah dan amal soleh, mengabdikan diri hanya kepada Allah secara zahir dan batin. Demikianlah pendapat adh-Dhahhak rahimahullah sehingga Abul ‘Aliyah rahimahullah mengatakan, ketika menafsirkan siapakah orang-orang yang dimaksud dalam ayat ini: هُمْ أَصْحَابُ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ “Mereka adalah para sahabat Nabi Muhammad SAW” [Tafsir Ibnu Abi Hatim: 8/2627, no. 14760].

Ibnul ‘Arabi rahimahullah mengatakan bahawa “Jikalau janji (dalam ayat) ini bukan untuk mereka (para sahabat), tidak tertunaikan kepada mereka dan tidak datang untuk mereka, maka kepada siapa lagi kalau begitu? Sementara tidak ada satupun yang mampu menyamai mereka sampai hari ini dan tidak pula di masa depan” [Tafsir al-Qurthubi: 12/297].

Adakah Janji Tersebut Masih Berlaku ?

Para ulama ahli tafsir seperti al-Qurthubi rahimahullah berpendapat bahawa janji Allah dalam ayat tersebut berlaku umum untuk seluruh umat Muhammad SAW. Beliau juga mengatakan bahawa janji Allah ini tidak terbatas untuk Khulafa’ ar- Rasyidin sahaja, bahkan segenap Muhajirin dan kaum Muslimin yang lain juga termasuk dalam janji-janji ayat ini [Tafsir al-Qurthubi: 12/299].

Al-Imam as-Sa’di rahimahullah mengatakan bahawa janji Allah dalam ayat ini akan sentiasa berlaku sehingga hari kiamat, selama mereka (kaum Muslimin) menegakkan iman dan amal soleh. Janji Allah SWT adalah pasti. Kemenangan orang-orang kafir dan munafik pada masa-masa tertentu, serta berkuasanya mereka ke atas kaum Muslimin, tidak lain adalah disebabkan oleh pelanggaran kaum Muslimin dalam hal keimanan dan amal soleh” [Tafsir as-Sa’di hal. 573].

Beramal Soleh

Ibnu Jarir ath-Thabari menafsirkan bahawa yang dimaksudkan dengan “وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ” dalam ayat ini adalah “mereka mentaati Allah dan RasulNya pada perkara yang diperintahkan dan perkara yang dilarang oleh kedua-duanya” [Tafsir ath-Thabari: 19/209].

Dalam konteks kekuasaan, para ulama bersepakat bahawa terdapat empat ciri yang menunjukkan bahawa penguasa atau pemimpinnya layak terhadap janji Allah dalam ayat ini. Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah mengatakan bahawa, “Kebaikan seorang penguasa adalah dengan memurnikan ittiba’ (mengikut) pada Kitabullah dan Sunnah RasulNya serta menjadikan orang ramai untuk melakukan hal yang sama.

Sesungguhnya Allah SWT telah menjadikan kebaikan bagi Ahlut Tamkin (orang yang memiliki kekuasaan) dengan adanya empat perkara iaitu menegakkan solat, menunaikan zakat, melaksanakan amar ma’ruf dan nahi mungkar” [Majmu’ al-Fatawa: 28/242]. Apa yang diungkapkan oleh Ibnu Taimiyyah ini didasarkan pada firman Allah,

“(iaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi niscaya mereka mendirikan solat, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma’ruf dan mencegah daripada perbuatan yang mungkar…” [TMQ al-Hajj (22):41].

Mengabdi Diri Kepada Allah

Dalam Tafsir ath-Thabari disebutkan bahawa makna يَعْبُدُوْنَنِيْ adalah “mereka menundukkan diri padaKu dengan ketaatan dan mereka menghinakan diri di bawah perintahKu dan laranganKu”. Mujahid rahimahullah mengatakan: يَعْبُدُوْنَنِيْ iaitu لا يخافون غيري; “Mereka tidak takut kepada selainKu”. Sedangkan makna لا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا adalah “mereka tidak menyekutukan Aku dalam peribadatan mereka kepadaKu dengan sesuatu apapun seperti berhala dan patung-patung akan tetapi mereka memurnikan peribadatan hanya untukKu. Mereka mengkhususkan ibadah tersebut hanya untukKu, tidak untuk segala macam sesembahan selainKu”.

Justeru, jika kita renungkan hakikat makna “يَعْبُدُوْنَنِيْ” lalu kita bandingkan dengan realiti umat Islam saat ini, maka kita akan mendapati bahawa ramai dalam kalangan umat Islam di zaman ini tercicir daripada kemurnian tauhid. Terdapat kaum Muslimin yang terjerumus dalam amalan syirik dan kekufuran dalam bentuk moden, di samping ada yang masih mengamalkan perkara khurafat. Amalan syirik dan kekufuran dalam bentuk moden merangkumi aspek ideologi dan peraturan hidup seperti memberi ketaatan kepada para penguasa yang mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah atau pun mereka menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah. Tidak ketinggalan juga ada yang ragu-ragu kepada syariat Islam, tidak yakin kepada kebijaksanaan Allah serta tidak mahu menerima hukum-hakam yang termaktub dalam al-Quran dan as-Sunnah untuk dilaksanakan sebagai sistem kehidupan.

Khatimah

Keyakinan kepada janji kemenangan dan pertolongan Allah perlu sentiasa ditanam dalam dada-dada kaum Muslimin, khususnya para pejuang dan pendakwah Islam. Roda pusingan Islam pasti akan berputar ke atas dan akhirnya roda kejayaan akan berhenti berputar tepat saat Islam dan kaum Muslimin berada di titik puncak kejayaan dan kekuasaan. Justeru itu, marilah kita semua sama-sama menyumbang ke arah kebangkitan dan menghidupkan semula sistem Islam secara keseluruhan dalam kehidupan umat ini. Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawasanya Rasulullah SAW pernah bersabda,

“Kiamat tidak akan terjadi sampai kaum Muslimin memerangi Yahudi. Kaum Muslimin membinasakan mereka sampai-sampai mereka bersembunyi di balik batu dan pepohonan, maka saat itulah batu dan pohon berkata: ‘Wahai Muslim, wahai hamba Allah, ini Si Yahudi bersembunyi di balikku, kemari! Bunuhlah dia! Kecuali pohon Gorqod, kerana ia adalah pohon Yahudi” [Shahîh Muslim No. 2922].


Berdasarkan dalil-dalil dan penjelasan yang dinyatakan, maka sangat jelas bahawa masa depan dunia ada di tangan Islam. Kemenangan, sudah pasti pada akhirnya milik Islam dan kaum Muslimin! Namun yang menjadi inti permasalahannya adalah, sudahkah kita berusaha gigih agar kita dapat menggolongkan diri ke dalam kelompok yang dipuji dan dijanjikan kekuasaan seperti yang dinyatakan dalam ayat-55 surah an-Nur ini?

Wallahu’alam..

Rujukan
1. Ash-Shahîhul Musnad min Asbâbin Nuzûl hal. 151, Cetakan Maktabah Ibnu Taimiyyah – Kairo, 1408-H.
2. Mu’jamul Alfaazhil Qur’ânil Karîm: 1/369, disusun oleh sekumpulan ulama yang diketuai oleh Dr. Ibrahîm Madkûr, Cetakan 1409-H, Jumhûriyyah Mishr al-Arabiyyah.
3. Tafsîr al-Baghawi (3/425, Cetakan Dâr Ihyâ’ at-Turâts, 1420-H, Tahqîq: Abdurrazzâq al-Mahdi).
4. Tafsîr as-Sa’di hal. 573, Cetakan. Mu-assasah ar-Risâlah, 1420-H.
5. English Translation Tafsir Ibn Kathir (Abridged) Darussalam.
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment