Keteguhan Ibu Menjamin Keteguhan Generasi

SERIKANDI
KETEGUHAN IBU MENJAMIN KETEGUHAN GENERASI
Oleh: Cik Hidayah Muhammad (Ahli Lajnah Tsaqafiyah MHTM)

Muqaddimah

Apabila kita berbicara tentang perjuangan maka kita tidak akan terlepas juga berbicara tentang generasi-generasi penggerak perjuangan. Apabila kita berbicara tentang generasi-generasinya, maka tidak terlepas pula kita berbicara tentang wanita-wanitanya kerana wanitalah yang akan melahirkan generasi seterusnya. Generasi yang hidup pada masa Rasulullah SAW ialah generasi yang terbaik. Mereka dilahirkan dan dibesarkan dalam suasana ketakwaan oleh seorang ibu yang bersyakhsiyah Islam. Jika kita telusuri lembaran-lembaran sejarah Islam, maka pasti kita akan menemukan setiap tokoh-tokoh Islam yang memainkan peranan amat besar dalam perjuangan menyebarkan Islam lahir daripada wanita-wanita yang hebat.

Sosok Yang Hebat Lahir Daripada Ibu Yang Mulia

Kisah Zubair bin al-Awwam RA iaitu seorang panglima Islam yang mewarisi sifat dan watak ibunya sesuai untuk dijadikan iktibar. Zubair RA merupakan orang yang pertama menghunuskan pedangnya di jalan Allah. Beliau memeluk Islam pada usia 15 tahun dan antara orang yang pertama masuk Islam. Beliau juga merupakan salah seorang mubasyirin bil jannah (sepuluh sahabat yang dijamin masuk syurga). Beliau juga mendapat gelaran al-Hawari (pengawal setia) Rasulullah SAW. Sebagaimana yang pernah dikisahkan, semasa Perang Uhud, Thalhah bin Abu Thalhah Abdari (pembawa bendera kaum Musyrikin) pada hari itu telah mengajak kaum Muslimin untuk beradu tenaga, maka Zubair RA pun menyahut cabarannya. Mereka berdua bertarung sehingga Zubair RA melompat ke atas untanya dan menariknya jatuh ke atas tanah sehingga dapat mengalahkan Thalhah dan membunuhnya. Lantaran itu Rasulullah SAW telah berkata, “Tiap-tiap Nabi ada pengiringnya, dan pengiringku ialah Zubair.” (Al-bidayah wan-nihayah 4:20).

Tokoh besar ini dilahirkan, dibesarkan dan dididik oleh seorang wanita yang hebat iaitu Shafiyyah binti Abdul Muthalib al-Hasyimiyyah RA. Beliau ialah ibu saudara Rasulullah SAW sekaligus saudara kandung Hamzah bin Abdul Muthalib. Beliau berasal daripada suku Bani Quraisy al-Hasyimiyyah. Ibunya bernama Halah binti Wahb iaitu saudara kandung Aminah binti Wahb, ibu Rasulullah SAW. Ayahnya, Abdul Muthalib bin Hasyim pula seorang pemimpin dan tokoh kaum Quraisy iaitu datuk Rasulullah SAW. Hasil pernikahan dengan al-Awwam bin Khuwalid, mereka dikurniakan cahaya mata iaitu Zubair bin al-Awwam RA.


Daripada latar belakang inilah karakter Shafiyyah RA dibentuk sehingga beliau membesar sebagai seorang wanita yang berkeperibadian kuat, fasih dalam berbicara dan tajam pemikirannya. Beliau merupakan seorang ahli syair. Beliau juga seorang yang berani dan tangkas dalam menunggang kuda serta mahir menggunakan pedang dan panah layaknya seperti seorang panglima Islam. Oleh itu, tidak hairanlah jika anaknya Zubair RA mengikuti sifat dan karakter ibunya.

Shafiyyah membesarkan Zubair RA dengan didikan yang tegas dan penuh keprihatinan. Beliau mengajar sendiri anaknya cara menunggang kuda dan menggunakan pedang. Jika beliau melihat anaknya enggan maju atau ragu, maka beliau akan memukulnya. Cara Shafiyyah mendidik anaknya pernah ditegur oleh bapa-bapa saudaranya. Mereka berkata, “Bukan seperti itu caranya mendidik dan memukul anak. Pukulanmu lebih mirip dengan pukulan orang yang marah, bukan pukulan untuk mendidik”. Shafiyyah membantah dengan mengatakan, “Siapa yang menganggap aku memukulnya kerana marah, maka anggapan itu salah. Aku memukulnya demi membuatnya semakin mengerti. Agar kelak dia tidak pernah gentar menghancurkan musuh dan pulang daripada medan perang dengan kemenangan”. (Shuwar Min Hayaat Ash-Shahaabah, hal 23).

Keislaman Shafiyyah RA

Ketika Islam mulai menyinari Jazirah Arab dan turunnya wahyu yang memerintahkan Rasulullah SAW untuk menyerukan Islam kepada kaum kerabat dan keluarganya, di situlah bermulanya kisah keislaman Shafiyyah RA. Allah SWT berfirman,

“Dan berilah peringatan kepada kerabat-kerabatmu yang paling dekat denganmu” [TMQ asy-Syu’ara (26):214].

Aisyah RA meriwayatkan, “Ketika turunnya ayat, ‘Dan berilah peringatan kepada kerabat-kerabatmu yang paling dekat denganmu,’ Nabi SAW mengumpulkan seluruh ahli keluarganya dan bersabda, “Wahai Fatimah binti Muhammad, Wahai Shafiyyah binti Abdul Muthalib, Wahai Bani Abdul Muthalib, aku tidak dapat membela kalian sedikit pun di hadapan Allah; adapun mengenai harta, silakan minta dariku sesuka hatimu” [Diriwayatkan oleh Muslim, Kitab Al-Iimaan, No 205, Ahmad, vol 6 hal. 187 dan An-Nasa’I vol 6 hal. 250].

Nur Islam telah menembusi relung hatinya dan wanita ini telah menyatakan dirinya sebagai pemeluk agama Islam. Sejak saat itu juga Shafiyyah RA mendalami ajaran-ajaran Islam. Tidak hairan jika solatnya dijaga, rajin berpuasa sunat, lidahnya sentiasa berzikir kepada Allah dan selalu memikirkan apa yang boleh dilakukan untuk membela Islam.

Peranan Shafiyyah RA Di Medan Jihad

Apabila Rasulullah SAW memerintahkan kaum Muslimin untuk berhijrah ke Madinah, Shafiyyah RA dan anaknya Zubair RA juga turut sama berhijrah. Ketika di Madinah, Shafiyyah RA memainkan peranan dalam menyebarkan Islam. Semangat jihad yang tinggi mendorong beliau untuk ikut serta dalam Perang Uhud bersama rombongan wanita lainnya untuk membawa air kepada tentera kaum Muslimin yang dalam kehausan, membantu merawat tentera dan menyiapkan anak panah.

Beliau selalu memperhatikan setiap gerak-geri anak saudaranya (Rasulullah SAW), saudara kandungnya (Hamzah RA) dan anaknya (Zubair RA). Apabila keadaan menjadi kucar kacir disebabkan pasukan pemanah ingkar terhadap perintah Rasulullah SAW, akhirnya pasukan kaum Muslimin kalah. Sebahagian besar daripada pasukan kaum Muslimin lari menyelamatkan diri dan meninggalkan Rasulullah SAW dan sebilangan kecil para sahabat yang tetap bertahan melindungi Rasulullah SAW. Melihat keadaan itu, Shafiyyah pun mengambil tombak dan berteriak kepada pasukan Muslimin yang lari, “Kenapa engkau telah membiarkan Rasulullah SAW berjuang seorang diri!”. Rasulullah SAW yang melihat Shafiyyah sudah berlari, menyuruh Zubair RA untuk menghalang ibunya supaya Shafiyyah tidak melihat keadaan saudara kandungnya, Hamzah yang sudah pun syahid.

Begitu juga dalam Perang Khandaq, Shafiyyah RA memainkan peranan yang cukup besar. Beliaulah wanita pertama yang membunuh orang Musyrik. Ketika Rasulullah SAW dan pasukan kaum Muslimin menjaga sepanjang parit yang dibuat di sekitar Madinah, Baginda SAW menempatkan kaum wanita di suatu benteng yang dikenali dengan benteng Fari’. Urwah meriwayatkan, “Ketika Rasulullah SAW keluar Madinah untuk menghadapi musuh (dalam Perang Khandaq) maka Baginda SAW menempatkan kaum wanita di benteng milik Hasan RA kerana ia termasuk antara benteng yang paling kuat. Tiba-tiba seorang Yahudi datang dan cuba melihat keadaan dalam benteng itu. Shafiyyah menceritakan, “…Melihat keadaan itu, maka aku langsung mengambil sepotong kayu dan turun dari benteng untuk mendekati orang Yahudi tersebut. Aku membuka pintu benteng, lalu menyerang orang Yahudi dan memukulnya hingga mati” (Thabaqaat Ibnu Sa’ad vol 8, hal. 27).

Meskipun pada ketika itu usia beliau ialah 60 tahun, namun semangat juangnya yang tinggi membuatkannya tidak pernah lelah berkorban untuk memperjuangkan Islam. Setelah melalui masa-masa yang panjang dihiasi dengan perjuangan dan pengorbanan, Shafiyyah RA pergi menghadap Allah SWT pada usia 70 tahun.

Khatimah

Catatan sejarah kegemilangan Islam menunjukkan bahawa kebanyakan tokoh-tokoh Islam yang terkenal terdiri dalam kalangan lelaki. Mereka dilahirkan dan dididik oleh seorang ibu yang berkarakter mulia dan agung. Dengan iman yang teguh dan semangat juang yang tinggi, mereka siap berjuang untuk meninggikan kalimah Allah SWT. Keimanan dan semangat ini yang mereka salurkan dalam jiwa pejuang-pejuang Islam. Mereka telah mencipta sejarah tersendiri dengan memainkan peranan penting di medan jihad di samping menjadi seorang ibu yang berjaya mendidik generasi yang hebat.

Seorang penyair mengungkapkan:
Ibu adalah madrasah,
Apabila engkau mempersiapkannya dengan baik,
Bererti engkau telah mempersiapkan suatu generasi yang mulia,
Ibu adalah taman,
Apabila engkau rajin menyiramnya,
Maka ia akan tumbuh subur dan lebat dedaunnya,
Ibu adalah guru,
Guru dari segala guru,
Jasa-jasa besarnya akan menyelimuti seluruh cakerawala.

Wallahua’lam

Rujukan
1. Terjemahan Al-Quran
2. Mahmud Al-Mishri, 35 sirah shahabiyyah jilid 2, hal. 157-165, Al-I’tishom, cetakan ke 8, 2012.
3. Mahmud Mahdi al-istabuli, Musthafa Abu Nashr asy-Syaibi; Isteri, puteri dan sahabat wanita seperjuangan Rasulullah, hal. 153-157, synergi media.
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment