Mengikis Rentak Bangkitnya Feminisme dalam Putaran Neo-liberal

Oleh: Estyningtias P (Lajnah Siyasiyah MHTI)
(Edisi Bahasa Melayu)

Pendahuluan

Rancangan Undang-Undang Kesetaraan dan Keadilan Gender (RUU KKG) dikemukakan semula di hujung masa pentadbiran DPR RI 2009-2014. Kemunculan RUU KKG setelah dua tahun tidak aktif, dilihat sangat tertutup. Bahkan tiba-tiba dikhabarkan ia telah diloloskan oleh Baleg dengan menonjolkan asas neutral agama. Di samping rundingan tertutup, penyusunan semula draf RUU KKG ini juga hanya dirujuk kepada institusi-institusi dan NGO wanita yang selaras dengan ideologi feminisme dan gender.

Usaha untuk terus memperjuangkan RUU KKG sebagai payung undang-undang bagi mempercepatkan penghapusan diskriminasi dan melibatkan wanita dalam segala aktiviti pembangunan memang terus berjalan. Penggiat gender terus melakukan pelbagai langkah untuk melicinkan keinginannya. Dan sebagai negara yang turut mengesahkan CEDAW (Convention on the Elimination of All Forms of Discrimination against Women), sudah tentu Indonesia dituntut untuk memerangi semua bentuk diskriminasi terhadap wanita, di samping tuntutan untuk mengutamakan agar akses kepada keadilan dan pemulihan terhadap wanita mangsa kekerasan seksual dapat tercapai.

Langkah baleg yang meloloskan RUU KKG dengan menonjolkan asas neutral agama ini perlu diperhatikan kerana “neutral agama” biasanya hanya disuarakan oleh para aktivis sekular radikal dan atheis militan. Ini bermakna, jika perkara ini benar, maka feminis muslim yang berjuang di Indonesia telah menangkap umpan dari kalangan feminis radikal dengan baik.

Feminisme Dalam Putaran Neo-liberal

Kembalinya usaha untuk memperjuangkan RUU KKG tentulah bukan tanpa alasan. Terpilihnya Jokowi-JK yang membuat arah pembangunan semakin neo-liberal adalah satu alasan yang cukup untuk membuat feminis muslim ini bangkit semula. Sebab sistem patriarki yang masih cukup kuat di Indonesia ini membuat wanita sangat lemah capaiannya terhadap sumber ekonomi. Akibatnya selama ini wanita masih sangat bergantung pada negara sebagai pengatur yang dianggap berpihak pada wanita. Sekarang, ketika negara mulai menghapuskan peranan sosialnya (sebagai tuntutan dari sistem neo-liberal) maka wanita akan menerima kesan yang cukup signifikan, lebih berat dari laki-laki.

Neo-liberalisme yang sering disebut sebagai kapitalisme tanpa sarung tangan, memang jauh lebih kejam dalam menindas dan menyingkirkan rakyat. Hampir semua dasar ekonomi dan politik, umumnya didorong oleh kelompok perniagaan, diputuskan tanpa melihat akibatnya terhadap rakyat. Intipati dari neo-liberalisme adalah penghapusan tugas negara dalam urusan kesejahteraan sosial dan komoditi kemudahan awam. Bentuknya adalah dengan penswastaan perkhidmatan awam, penghapusan subsidi, liberalisasi perdagangan dan pelaburan dan sebagainya. Dalam kacamata feminis, semua itu menyasar dan memberi kesan langsung kepada wanita.

Sebagai contoh, dasar penghapusan subsidi minyak. Ketika kerajaan menaikkan harga minyak yang mencetuskan kenaikan harga keperluan asas dan kos hidup yang lain, maka wanitalah yang dianggap paling bertanggung jawab atas urusan dapur. Begitu juga dengan dasar liberalisasi perdagangan (pasaran bebas) yang diambil oleh kerajaan. Data dari Kementerian Pemerkasaan Wanita dan Perlindungan Anak menyebutkan sebanyak 60% UKM di Indonesia adalah kaum wanita. Begitu juga penggerak industri rumah tangga dan seumpamanya yang rata-rata juga wanita. Ini bermakna, jika sektor UKM dan industri rumah tangga ini dihancurkan oleh dasar liberalisasi perdagangan, maka wanitalah yang paling terjejas kerana disingkirkan dari sektor pengeluaran. Maka tidak menghairankan, sebahagian besar kes bunuh diri yang disebabkan oleh beban ekonomi rumah tangga, pendidikan, kesihatan dan lain-lain terjadi pada suri rumah (wanita).

Neo-liberalisme juga mendorong feminisasi dunia kerja. Oleh kerana tekanan ekonomi, ramai kaum wanita yang dipaksa bekerja di luar rumah, bahkan dengan menjadi tenaga kerja wanita (TKW). Tidak kurang juga yang bekerja dengan upah murah dan di bawah keadaan kerja yang buruk. Pada tahun 1996 jumlah pekerja asing lelaki mencapai 44% dan wanita mencapai 56%. Dalam satu dekad kemudiannya, tepatnya pada tahun 2007 angka tersebut berubah secara drastik, jumlah pekerja asing wanita meningkat menjadi 78% sedangkan lelaki berkurang menjadi 22%. Kebanyakkan pekerja asing wanita itu terlibat dalam pekerjaan-pekerjaan domestik yang mereka telah terlibat sebelumnya seperti pembantu rumah, jururawat kanak-kanak, jururawat warga tua, pengasuh bayi dan sebagainya.

Selain itu, kes keganasan terhadap wanita terus meningkat. Sepanjang tahun 2013 kes keganasan terhadap wanita meningkat tinggi. Berdasarkan data Suruhanjaya Nasional Anti-Keganasan terhadap wanita, sepanjang tahun 2013 tercatat hampir 280 ribu kes kekerasan yang dialami oleh wanita. Pada tahun 2012, tercatat kes kekerasan terhadap wanita sebanyak 216,156 kes. Di 2013 kes keganasan meningkat menjadi 279,760 kes.

Ini menunjukkan bahawa neo-liberalisme yang berkembang di Indonesia semakin membuat wanita menjadi manusia yang paling tertindas. Ketika wanita berusaha keluar dari patriarkisme tradisional yang mengikat mereka, wanita malah semakin berhadapan dengan paradoks neo-liberalisme yang sebenarnya tidak menguntungkan mereka. Jadi wanita hanya menjadi objek dan komoditi untuk kepentingan kelas kapitalis.

Menggugat Feminisme Islam di Indonesia

Sebagaimana diketahui feminisme merupakan suatu kajian yang mencari akar punca peninindasan wanita hingga pada usaha mencipta pembebasan wanita. Wacana feminisme muncul sebagai pertentangan terhadap struktur dan sistem yang melakukan penindasan atas nama kesetaraan gender. Oleh kerana itu wajarlah jika pada awalnya, feminisme dapat berjalan secara harmoni dengan kapitalisme yang melaungkan idea kebebasan dalam menentang Islam, yang dianggap patriarki. Bahkan kerana idea kebebasan berfikir dan bersuara dalam kapitalisme inilah feminisme dapat dilahirkan di dunia. Namun ketika kapitalisme ini telah menjelma menjadi neo-liberalisme, feminisme mulai melakukan “pertentangan”. Maka kesalahan mendasar idea feminisme, baik aliran feminis radikal maupun aliran post kolonial (termasuk feminis muslim), adalah terletak pada penggunaan akal sebagai asas dalam berfikir dan memandang pelbagai masalah wanita sekaligus memberikan penyelesaian terhadap masalah wanita.

Dalam kacamata feminis, tugas-tugas domestik seorang wanita lebih dirasakan sebagai beban yang sangat berat berbanding tugas lelaki dalam mencari nafkah. Begitu juga dengan pembahagian waris, kepemimpinan dalam rumah tangga dan pemerintahan, ataupun dalam masalah yang lain. Perasaan selesa tidak selesa, menguntungkan atau tidak, seronok atau tidak, berat atau ringan inilah yang mendominasi kacamata feminis. Padahal tidak semua perkara dapat terjangkau oleh akal dan perasaan manusia. Demikian juga tidak semua akal dan perasaan wanita sama. Bahkan boleh jadi pula wanita-wanita yang pada awalnya mempunyai akal dan perasaan yang sama dalam tempoh waktu tertentu boleh berubah, bahkan bertentangan antara satu sama lain.

Dengan kaedah berfikir yang hanya berlandaskan pada akal dan perasaan seperti ini, maka keadaan tertindas yang dituntut oleh para feminis akan mempunyai standard yang tidak jelas. Demikian juga dengan gambaran kebebasan wanita yang mereka idam-idamkan. Sama-sama tidak jelas ukurannya dan kabur kerana para penggiatnya akan memiliki pemikiran dan perasaan yang saling berbeza pada dua perkara di atas. Jika seperti ini yang mereka perjuangkan maka mereka akan sentiasa menggugat dan menentang apa jua sistem.

Memang benar bahawa akal dan perasaan manusia dapat dijadikan sebagai standard dalam menilai sesuatu. Namun sesuatu yang dimaksudkan adalah menilai benda atau sifat. Bukan menilai perbuatan manusia. Ketika manusia, baik lelaki mahupun wanita, dihadapkan pada fakta miskin dan kaya, maka jelas mereka akan menilai kaya lebih baik daripada miskin. Pandai lebih baik daripada bodoh. Manis lebih baik daripada pahit. Demikianlah seterusnya.

Namun, akal dan perasaan manusia, baik lelaki mahupun wanita, tidak akan mampu memberi penilaian terhadap hakikat perbuatan manusia. Mereka tidak mampu menilai apakah mencari nafkah lebih baik daripada melakukan pekerjaan domestik, apakah menjadi pemimpin adalah lebih baik daripada dipimpin, dan sebagainya. Oleh kerana itu keterbatasan dalam menilai hakikat perbuatan manusia ini sepatutnya menyedarkan manusia bahawa dia memerlukan standard yang lain untuk menilainya. Dan standard itu tentu perlu berasal dari pencipta perbuatan manusia, yakni Allah SWT.

Oleh sebab itu Islam datang untuk memimpin manusia untuk menilai sesuatu perbuatan. Bukan kerana Islam bersifat lebih patriarki dan seolah-olah meletakkan wanita sebagai pihak kedua, tetapi kerana Islam memandang apa yang menjadi hak dan kewajipan lelaki dan wanita adalah dua perkara yang berbeza sehingga tidak boleh dibandingkan mana yang lebih baik. Masing-masing memiliki hak, kewajipan dan tanggung jawab dalam kadar yang sama di mata Allah SWT. Demikianlah Allah SWT telah mengatur masing-masing mempunyai hak, kewajipan dan tanggung jawab yang berbeza supaya dapat saling bantu-membantu dalam kehidupan bermasyarakat. Dengan begitu kehidupan masyarakat akan menjadi lebih harmoni.

Jika pada ketika ini fakta tersebut tidak diperolehi, pangkal masalahnya adalah terletak pada penerapan sistem kapitalisme oleh penguasa pada masa ini. Penerapan sistem yang bertuhankan akal ini membuat setiap elemen dalam masyarakat menggunakan standard dan caranya sendiri untuk menyelesaikan segala masalah. Walhasil yang diperoleh bukanlah keharmonian dalam bermasyarakat tetapi kehancuran.

Wallahu a’lam.
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment