Merancang Keselamatan Generasi

Oleh: Yusriana (Ka, LKS MHTI)
(‎Edisi Bahasa Melayu)

#WomenandShariah

Badan Kependudukan dan Keluarga Berencana Nasional (BKKBN) menyatakan bahawa program Generasi Berencana (GenRe) boleh mencegah berlakunya seks luar nikah dikalangan remaja. (Republika, 10/02/2015).

BKKBN berusaha mencegah remaja daripada berkahwin di usia yang terlalu muda dan menggalakkan mereka supaya berkahwin di usia matang lantaran remaja yang berkahwin di usia muda semakin menjadi trend masa kini. Situasi inilah yang mendorong perlaksanaan program GenRe.

BKKBN menganggap bahawa remaja yang berkahwin di usia muda lebih terdedah kepada risiko kerana faktor usia yang belum bersedia untuk berkahwin, belum bersedia untuk hamil, risiko kematian yang tinggi sewaktu melahirkan, serta persediaan yang kurang dalam menjaga dan mendidik anak.

Tambahnya lagi, remaja yang berkahwin di usia muda akan membantutkan potensi remajanya untuk berkarya dan menyekat remaja daripada menyumbang kepada pembangunan bangsa dan negara.
Dijangkakan bahawa program GenRe ini mampu mengurangkan jumlah remaja yang berkahwin awal seterusnya menyelesaikan seputar permasalahan seksual, HIV/AIDS, kurangnya pengetahuan tentang kesihatan reproduksi, dan usia perkahwinan.

Sedangkan jika kita perhatikan, perkahwinan di usia muda yang semakin menjadi trend saat ini adalah kerana faktor kehamilan luar nikah.


Hal ini disebabkan oleh penetrasi budaya barat dengan racun pergaulan bebas di kalangan remaja kita. Pelbagai kajian telah dilakukan di beberapa bandar di Indonesia. Hasil kajian menunjukkan jumlah remaja yang sudah melakukan hubungan seks pra nikah semakin meningkat dari tahun ke tahun. Kaji selidik yang dilakukan oleh Komnas PA (Perlindungan Anak) dengan kerjasama Lembaga Perlindungan Anak di 12 bandar besar pada tahun 2012 sahaja telah merekodkan sebanyak 62.7% remaja SMP mengaku pernah melakukan hubungan seks.

Adakah kalian masih ingat tragedi yang menggemparkan di mana seorang remaja melahirkan bayi di kebun warga tempatan dan terdapat juga remaja yang melahirkan bayi di dalam bilik mandi sekolah. Keadaan remaja yang terjerumus dalam kancah pergaulan bebas sangat membimbangkan. Mereka semakin jauh dari batasan agama sehingga tidak mempunyai benteng pertahanan yang kuat dalam menepis budaya barat yang merosakkan dan menyesatkan.

Ditambah pula dengan kurangnya perhatian dan kasih sayang ibu bapa lantaran kesibukan kerja, kurangnya perhatian masyarakat yang semakin tidak menghiraukan keadaan sekeliling, serta kemudahan melayari laman-laman sesawang yang merangsang nafsu syahwat melalui media. Masalah ini menjadi semakin membarah apabila peranan negara yang lemah dengan membuka segala pintu kemasukan budaya barat dengan idea-idea yang merosakkan.

Contohnya terdapat sebuah buku yang tidak.sepatutnya dicetak dan diedar di mana pengisian buku tersebut bukan sahaja mendorong remaja untuk bercouple, malah menggalakkan mereka melakukan hubungan seksual. Na'udzubillah.

Oleh yang demikian, jelaslah apa yang dilakukan kerajaan melalui program GenRe dalam usaha mencegah peningkatan jumlah remaja yang berkahwin di usia muda tidak akan mampu untuk menyelesaikan masalah pokok yang sedang di hadapi remaja masa kini. Peningkatan jumlah remaja yang melakukan hubungan seks pra nikah akan semakin meningkat jika perkahwinan awal dihalang atau ditegah, ditambah pula dengan gaya hidup remaja yang liberal (bebas) dan sekular.

Apa yang diperlukan remaja saat ini adalah persekitaran yang kondusif yang mampu memelihara mereka dari terjebak dalam pergaulan bebas. Persekitaran ini akan terealisasi dengan hanya melalui penerapan hukum-hukum Allah di muka bumi ini. Sehinggakan pada saat itu, remaja yang ingin berkahwin adalah kerana tuntutan syariatNya semata dan bukan kerana terdesak, terpaksa atau bukanlah kerana sudah "ditebuk".

Oleh itu, marilah kita merancang dan berusaha demi keselamatan generasi kita dengan membajai ilmu-ilmu Islam yang sepenuhnya buat remaja. Kerajaan juga tidak terlepas daripada memainkan peranan negara dalam usaha menyelamatkan generasi dengan menutup segala pintu yang mampu merendahkan moral remaja. 

Sesungguhnya Generasi Berencana adalah generasi yang sentiasa merancang dan menjalani rancangan hidupnya sesuai dengan tuntutan dan syariat Allah SWT, kerana hanya redha Allah-lah yang menjadi standard kebahagiaannya di dunia dan akhirat.
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment