Syariah Membongkar Pembohongan Feminisme

[Edisi Bahasa Melayu]

#‎WomenandShariah #‎WomenAgainstFeminism

Tuduhan kaum feminis liberal terhadap hukum-hukum Islam khususnya yang berkaitan dengan isu-isu hubungan sosial dan keluarga pada asasnya adalah satu pembohongan. Apa yang mereka ungkapkan menunjukkan bahawa mereka tidak memahami makna satu hukum di dalam Islam sama sekali.

1. Mereka menuduh perwalian adalah punca wanita menjadi lebih rendah dari lelaki. Adakah ini betul? Makna perwalian menurut Islam adalah perlindungan, jaminan keamanan, keselamatan, juga nafkah. Perwalian diberikan supaya wanita tidak perlu mencari nafkah sehingga dia boleh menjalankan tugas mulianya sebagai ibu, pendidik sejati dan pencetak generasi berkualiti. Perwalian diletakkan ke atas bahu lelaki dan tidak kepada wanita bukanlah menunjukkan wanita lebih rendah daripada lelaki, juga tidak menunjukkan kesetaraan gender.

Apabila sistem kapitalisme liberal membatalkan perwalian ini ke atas para wanita, maka wanita dipaksa mencari nafkah dan perlu bersedia menghadapi ancaman keganasan fizikal mahupun seksual.

2. Mereka juga menuduh bahawa pergantungan kewangan wanita kepada lelaki menyebabkan wanita terdedah kepada kemiskinan; Adakah ini betul? Malah sebaliknya yang berlaku. Islam menghendaki lelaki menafkahi wanita untuk menjauhkan mereka dari kemiskinan. Wanita tetap dibenarkan bekerja dan memainkan peranan lain dalam kehidupan bermasyarakat.

Dan hakikat bahawa pada hari ini, ketika sistem kapitalisme memaksa wanita untuk bekerja, keadaan mereka malah amat membimbangkan. Tenaga mereka diperah untuk memacu roda perekonomian. Anak-anak terpaksa dijaga oleh pihak lain yang tidak boleh sepenuhnya menggantikan tempat seorang ibu.

Timbul pula masalah sosial lain, iaitu kenakalan remaja seperti pergaulan bebas, dadah, pergaduhan hingga jenayah menjadi perkara yang biasa dilihat di sekeliling kita. Inilah harga mahal yang perlu dibayar apabila wanita meninggalkan peranan utamanya sebagai ummu wa rabbah al-bayt, ibu dan pengurus rumah tangga serta pada masa yang sama, pendidik anak anaknya.

3. Perkahwinan pada usia muda juga dianggap sebagai keganasan terhadap kanak-kanak; bagaimana faktanya? Di dalam Islam, berkahwin dengan seorang perempuan yang sudah baligh tidak boleh dianggap berkahwin dengan kanak-kanak. Di dalam Islam juga, berkahwin pada usia muda bukanlah satu tindakan jenayah atau keganasan, tetapi satu anjuran.

Sementara keganasan yang sering berlaku di dalam rumah tangga, bukanlah kerana umur. Keganasan biasanya berlaku kerana suami atau isteri atau kedua-duanya kurang memahami peraturan Islam. Dalam hukum-hukum Islam tentang perkahwinan, pencabulan kehormatan, keganasan domestik dan penganiayaan terhadap isteri adalah perkara-perkara yang dilarang.

Dan hakikat bahawa pada hari ini, amat jelas memperlihatkan kepada kita semua bahawa syariah bukan pencetus keganasan terhadap wanita. Tahap keganasan terhadap wanita di seluruh dunia didominasi oleh negara-negara kufur barat. 10 buah negara dengan tahap pemerkosaan dan gangguan seksual tertinggi di dunia adalah AS, Afrika Selatan, Sweden, India, Britain, Jerman, Perancis, Kanada, Sri Lanka, dan Ethiopia. Inilah prestasi mereka mengenai perlindungan maruah wanita. Masihkan mereka mempunya keberanian untuk menuduh syariat Islam sebagai punca keganasan terhadap wanita?

4. Kaum feminis juga menuduh bahawa hukum-hukum sosial Islam adalah halangan kepada kerjasama antara lelaki dan wanita dalam masyarakat. Jelas sekali, ini merupakan salah faham dan tidak ada sama sekali faktanya dalam masyarakat Islam. Islam tidak melarang kerjasama antara lelaki dan wanita. Islam membenarkan berlakunya interaksi antara kedua-duanya. Cuma Islam memberikan batasan dalam bentuk beberapa hukum sosial / pergaulan.

Melalui hukum-hukum ini, Islam menjaga kehormatan lelaki dan wanita. Interaksi di antara lelaki dan wanita untuk memperoleh kemaslahatan dan kerjasama antara kedua-dua mereka benar-benar akan berjalan dengan baik. Peraturan ini akan mengelakkan daripada berlakunya keganasan dan gangguan seksual terhadap wanita, serta untuk mengelakkan lelaki dan wanita terjatuh ke dalam kemaksiatan oleh pergaulan bebas.

Dengan mengkaji pelbagai tuduhan serong terhadap undang-undang keluarga dan sosial, dapat disimpulkan bahawa tuduhan tersebut muncul dan berkembang kerana hukum Islam dinilai melalui kaca mata sejarah feminis Barat. Hukum Islam juga dilihat sebagai hukum yang berasingan dari tubuh hukum syariat secara keseluruhan dan jaminan-jaminan untuk wanita.

Wanita Barat telah mengalami sejarah suram diskriminasi ketika mereka dianggap sebagai rakyat bawahan. Sebab itulah muncul perjuangan yang baru untuk mengubah nasib kaum wanita. Sedangkan Islam, datang di tengah-tengah bangsa Arab Jahiliyah untuk mengangkat status wanita yang telah dihina oleh sistem Jahiliyah. Islam datang untuk memuliakan wanita dengan meletakkannya sebagai ratu rumah tangga yang perlu dipelihara, dilindungi dan dijamin hidup dan mata pencariannya.

Memahami hukum Islam perlulah dilakukan dengan kaca mata Islam, juga dengan mengambil kira keadaan masyarakat semasa hukum Islam itu diterapkan. Membincangkan hukum Islam berkaitan hubungan sosial dan keluarga, perlulah dalam konteks yang lebih luas, iaitu bagaimana hukum-hukum ini berhubungan dengan tubuh hukum syariah Islam yang lebih luas, yang menjamin perlindungan dan kesejahteraan wanita, kehidupan berkeluarga, dan masyarakat Islam.

Islam menjamin tercapainya kesejahteraan hidup melalui mekanisme pelaksanaan sistem politik ekonomi Islam. Dalam politik ekonomi Islam, usaha untuk meraih kesejahteraan bukan hanya dibebankan kepada individu dan keluarga, tetapi juga merupakan tanggung jawab negara. Sejarah telah mencatatkan bahawa jika hukum Islam diterapkan keseluruhannya oleh sistem Islam, iaitu daulah Islamiyah, maka kesejahteraan wanita dapat tercapai.

Oleh itu, penerapan peraturan sekular liberal atas nama kesetaran gender dan kebebasan wanita tidak menghasilkan apa-apa selain kehinaan dan penderitaan. Wanita akan memperoleh kesejahteraan dan kebahagiaan hakiki jika peraturan-peraturan hidup sekular dicampakkan dan kembali kepada sistem Islam. Kerana Islam, baik pada peringkat konsep mahupun amalan telah terbukti mampu menjadikan umat Islam sebagai umat terbaik, di mana semua orang akan dapat merasakan kesejahteraan di bawah naungannya untuk jangka masa yang sangat lama.

(LTs-WN)
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment