Wanita Dan Batas-Batas Kepimpinannya

FIKH
WANITA DAN BATAS-BATAS KEPIMPINANNYA
Oleh: Ustazah Sakinah (Ahli Lajnah Tsaqafiyyah MHTM)

Dalam sistem pemerintahan demokrasi hari ini, sebahagian besar wanita salah faham mengenai peranan politik mereka yang hakiki. Mereka masih beranggapan bahawa seorang wanita dikatakan telah memainkan peranan politik tertentu hanya apabila mereka terlibat dan menang dalam pilihanraya, menjadi wakil rakyat dan menduduki posisi dalam parlimen atau menjadi menteri. Malahan, terdapat desakan daripada wakil DAP, Chong Eng (Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita dan Keluarga) dalam sebuah kenyataan media bertarikh 2 November 2014 (Sumber: DAPMalaysia.org) yang menuntut Kerajaan Barisan Nasional untuk mencadangkan pindaan kepada Akta Pilihan Raya bagi melaksanakan kuota 30% calon wanita untuk semua parti politik yang bertanding dalam pilihan raya akan datang. Ini adalah respon daripada trend perwakilan politik wanita yang semakin meningkat dalam sistem demokrasi negara jiran kita, Indonesia sehingga pada tahun 2014 (selepas pelaksanaan reformasi pilihan raya Indonesia sejak tahun 1999), calon wanita yang bertanding dalam pilihan raya Indonesia meningkat kepada 37%, berbanding hanya 10.7% dalam pilihan raya Malaysia tahun 2013. Menurut Global Gender Gap Report 2014 (Laporan Jurang Gender Antarabangsa 2014), yang baru dikeluarkan oleh World Economic Forum; Indeks Pemberdayaan Politik Wanita Malaysia adalah sangat rendah. Malaysia menduduki tangga ke-132 daripada 142 buah negara, kedua paling teruk di ASEAN sebelum Brunei (tangga ke-142 kerana Brunei tidak mengadakan pilihan raya). Menurutnya, ini adalah satu hal yang memalukan bagi Malaysia.

Sebelum kita membahas lanjut mengenai hukum wanita menjadi pemimpin dalam Islam, perlu difahami bahawa kedudukan ‘wakil rakyat/pemimpin’ dalam sistem demokrasi sekarang adalah berbeza sama sekali dengan ‘wakil rakyat’ dalam sistem Islam (Khilafah). Dalam sistem demokrasi, wakil rakyat akan dipilih melalui pilihan raya untuk ke Parlimen/DUN yang mana mereka akan (i) membuat/menggubal undang-undang (haram hukumnya dalam Islam), (ii) melantik/memberhentikan penguasa dan (iii) mengawasi/memuhasabah (check and balance) pemerintah. Sementara dalam sistem Islam, Majlis Umat (majlis syura) yang dipilih untuk menjadi ‘wakil rakyat’, bertanggungjawab untuk memuhasabah pemerintah dan menyampaikan aduan dan cadangan yang bersifat tidak mengikat kepada pemerintah (khalifah). Majlis Umat tidak boleh (haram) untuk menggubal dan membuat undang-undang kerana ia semata-mata adalah hak Allah SWT secara mutlak.

Bolehkah Wanita Menjadi Pemimpin?

Sebelum menjawab persoalan ini, kita perlu memahami bahawa struktur pemerintahan Islam (Khilafah) terbahagi kepada dua konteks: (i) pemerintahan (ii) administrasi (pentadbiran). Beberapa jawatan dalam pemerintahan Islam yang termasuk dalam waliyatul-amri (wilayah pemerintah) adalah (1) Khalifah, (2) Muawin tafwidh, (3) Wali, (4) Amil, (5) Jawatan atau orang yang dihukumi sama seperti mereka, seperti Qadhi Mazhalim, Qadhi Qudhat, dan Muawin Tanfidz. Oleh sebab posisi-posisi tersebut berkaitan dengan pemerintahan dan kekuasaan, maka wanita haram menduduki posisi tersebut secara mutlak. Hal ini didasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Abu Bakrah, bahawa ia menuturkan,

“Ketika sampai berita kepada Rasulullah SAW bahawa penduduk Parsi telah melantik Puteri Kisra sebagai ratu (ketua) mereka, baginda lalu bersabda, tidak akan pernah beruntung suatu kaum yang menyerahkan urusan (pemerintahan) mereka kepada wanita” [HR Bukhari, No. 4073, 6570].

Adanya dzamm (celaan) dalam kata lan yufliha (tidak beruntung) merupakan qarinah (indikator) bahawa thalab at-tarki jazim[an] (tuntutan untuk meninggalkan dalam hadis tersebut bersifat pasti). Maka dengan itu, haram bagi wanita menjawat jawatan sebagai hukkam (penguasa) yakni Khalifah, Muawin, Wali, Qadhi Qudhat dan Qadhi Mazhalim.

Selain daripada jawatan yang bersifat waliyatul-amri, terdapat skop kepimpinan yang boleh diduduki oleh wanita iaitu yang melibatkan aspek pentadbiran. Misalnya, wanita dibenarkan menjadi Ketua Jabatan Kesihatan, Jabatan Pendidikan, Jabatan Perindustrian atau menjadi kakitangan awam kerana pekerjaan seperti ini tidak termasuk dalam urusan pemerintahan tetapi merupakan urusan kerja pentadbiran yang tidak termasuk waliyatul amri. Bukan itu sahaja, wanita boleh memegang jawatan seperti qadhi hisbah, menjadi anggota Majlis Wilayah dan anggota Majlis Ummah (Majlis Syura).


Wanita boleh bekerja sebagai pegawai negara kerana pekerjaan ini tidak ada hubungannya dengan urusan pemerintahan secara langsung, melainkan termasuk bahagian dari akad kerja (ijarah). Wanita juga boleh mengendalikan urusan peradilan (memegang jawatan hakim) kerana jawatan ini hanyalah mengatasi persengketaan di tengah-tengah masyarakat serta memberikan penjelasan kepada pihak-pihak yang bersengketa tentang hukum syariat yang bersifat mengikat. Wanita juga boleh memegang jawatan sebagai ketua pejabat, pengetua sekolah, pemimpin organisasi persatuan dan sebagainya. Asalkan jawatan itu tidak terkait secara langsung dengan urusan pemerintahan.

Bolehkah Wanita Memilih Pemimpin?

Hakikat bahawa wanita tidak boleh memegang tampuk pemerintahan tidak bererti bahawa wanita tidak boleh memilih pemimpin. Isu ‘menjadi pemimpin’ dan ‘memilih pemimpin’ adalah aktiviti yang berbeza. Ini kerana aktiviti ‘memilih pemimpin’ tidak menjadikan wanita sebagai penguasa, melainkan wanita hanya sekadar menjalankan hak memilih orang yang akan memerintahnya. Hukum syara’ telah membolehkan seorang wanita untuk memilih pemimpin bagi menjalankan tugas-tugas pemerintahan. Ummu Athiyah menuturkan bahawa,

“Kami membaiat Nabi SAW, lalu baginda membacakan kepada kami ‘Bahawa mereka tidak akan menyekutukan sesuatu pun dengan Allah’ [TMQ Mumtahanah (60):12] dan baginda melarang kami untuk meratap. Maka seorang wanita di antara kami menarik kembali tangannya lalu ia berkata, ‘Seorang wanita telah membahagiakan diriku dan aku ingin sekali membalasnya.’ Baginda tidak memberikan apa-apa komen. Selanjutnya wanita itu pergi, lalu kembali lagi” [HR al-Bukhari].

Baiat terhadap Nabi SAW dalam hadis di atas bukanlah baiat atas keNabian baginda, tetapi baiat untuk mentaati baginda sebagai seorang Ketua Negara (Pemimpin). Hadis ini menunjukkan bahawa kaum wanita berhak untuk membaiat pemimpin dan memilihnya.

Wanita juga berhak untuk menjadi anggota Majlis Umat kerana Majlis Umat hanyalah majlis untuk mengambil dan menyampaikan pendapat. Rasulullah SAW sendiri, pada tahun ke-13 pasca kenabian atau pada tahun yang mana baginda melakukan hijrah, telah datang kepada baginda 73 orang lelaki dan 2 orang wanita iaitu Ummu Ammarah binti Kalb dan Asma’ binti Amr ibn Adi. Mereka telah berbaiat kepada Rasulullah dengan baiat yang bersifat politik iaitu memilih atau dipilih sebagai ahli politik (menjadi wakil dalam Majlis Umat). Maka, selagimana anggota Majlis Umat merupakan wakil dalam hal pendapat, maka wanita juga mempunyai hak untuk memberikan pendapatnya dalam setiap perkara baik yang bersifat politik, ekonomi, mahupun undang-undang dan sebagainya. Islam telah memberikan hak ini kepada kaum wanita sebagaimana hal itu juga telah diberikan kepada kaum lelaki. Allah berfirman ,

“Dan bermusyawaratlah dengan mereka dalam urusan itu” [TMQ Ali Imran (3):159].

“Sedang urusan mereka (diputuskan) dengan musyawarat antara mereka” [TMQ asy-Syura (42):38].

Kalimah dalam dua ayat di atas bersifat umum, iaitu mencakup lelaki dan juga wanita.

Khatimah

Dalam Islam, politik didefinisikan sebagai suatu pengaturan urusan umat di dalam negeri dan di luar negeri dengan cara menerapkan Islam secara kaffah dan menyebarkan dakwah Islam ke seluruh pelusuk dunia. Seorang ibu yang mendidik anaknya menjadi pemimpin yang baik, yang seterusnya dia berusaha untuk mengatur urusan umatnya; usaha mulia ini juga dikatakan sebagai aktiviti politik seorang wanita. Sebenarnya, aktiviti politik itu tidak hanya dalam aspek kekuasaan sahaja. Malah, usaha dakwah yang dilakukan oleh wanita, ‘amar makruf nahi mungkar, juga dikira sebagai usaha politik.

Sesungguhnya sangat banyak ayat Allah yang menyebut tentang wanita juga mempunyai hak yang sama dengan lelaki dalam pelbagai sudut yang lain. Contohnya dalam hal ibadah, hak-hak wanita juga terjamin sebagaimana hak lelaki dalam Islam. Selain itu, pada dasarnya, segala yang menjadi hak lelaki, turut menjadi hak wanita baik agamanya, kehormatannya, hartanya, akalnya dan jiwanya terjamin dan dilindungi oleh syariat Islam sebagaimana yang kaum lelaki.

“Barangsiapa yang mengerjakan amal-amal soleh, baik kaum lelaki mahupun wanita sedang ia orang yang beriman, maka mereka itu masuk ke dalam syurga dan mereka tidak dianiaya walau sedikitpun” [TMQ an- Nisa (4): 124].

Wallahua’lam....


Rujukan
1. Taqiyuddin an-Nabhani, Sistem Pergaulan Dalam Islam.
2. SN 246. Wanita sebagai wakil rakyat. Apa hukumnya?
3. Dr.Rahma Qomariyah, MPd.I “Syariah Merendahkan Wanita?
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment