Wanita dan Perjuangan

POLITIK
Wanita dan Perjuangan
Oleh: Ustazah Ain Abdul Rahman (Ahli Lajnah Tsaqafiyyah MHTM)

Mukadimah

‘Survival instinct’, itulah yang dikenali sebagai naluri untuk melestarikan kehidupan, satu naluri yang dianugerahkan oleh Pencipta kepada makhlukNya. Dengan naluri inilah manusia sebagai makhluk, sanggup berjuang dengan apa cara sekalipun untuk membela kehidupan daripada sebarang bentuk ancaman yang mengancam hidupnya baik itu berupa ancaman fizikal, spiritual mahupun emosional.

Harapan kepada sebuah perjuangan adalah untuk mengubah satu keadaan yang mengancam kepada keadaan yang lebih harmoni. Perjuangan wanita untuk memperjuangkan hak dan kewujudannya sebagai makhluk daripada sebarang kezaliman serta penindasan telah berlangsung sekian lama. Perjuangan ini tidak pernah terhenti malah semakin mencabar.

Penindasan dan diskriminasi serta perlecehan terlalu sinonim dengan wanita. Sejarah telah menyaksikan wanita terpaksa bangkit berjuang untuk membela dan mengangkat martabat mereka. Namun, tiada suatu peradaban pun kecuali peradaban Islam yang memberi jaminan terbaik kepada wanita dan mengangkat martabat wanita kepada kedudukannya yang sebenar. Kehidupan yang berteraskan syariat Islam dari zaman Rasulullah SAW sehinggalah ke zaman kekhilafahan telah menyaksikan bagaimana peradaban Islam menjamin para wanitanya. Kemuliaan wanita menjadi agenda utama Negara semasa peradaban ini telah berlansung.

Kini setelah kekhilafahan yang terakhir yakni Uthmaniyyah runtuh, wanita kembali ditindas, dicabuli haknya, menghadapi ancaman diskriminasi, diperlekehkan dan tidak diberi layanan yang selayaknya. Wanita justeru diancam dari segenap aspek, fizikal, spiritual mahupun emosi. Kerakusan dominasi Kapitalis memaksa wanita untuk terus berjuang mempertahankan kehormatan dan menggapai kemuliaan yang telah hilang dek zaman dan ditelan arus kemodenan ini.

Beberapa Tokoh Wanita dan Realiti Perjuangan Mereka

Maria Josephine Catherine Maramis atau lebih dikenali sebagai Maria Walanda Maramis merupakan satu nama yang tidak asing di Indonesia, (lahir di Kema, Sulawesi Utara, 1 Disember 1872 – meninggal di Maumbi, Sulawesi Utara, 22 April 1924 pada umur 51 tahun), beliau dianggap sebagai seorang Pahlawan Nasional Indonesia kerana usahanya yang telah memperjuangkan wanita di Indonesia pada permulaan abad ke-20.

Kerana jasanya itu maka tarikh 1 Disember pada setiap tahun masyarakat Minahasa memperingati Hari Ibu Maria Walanda Maramis. Beliau yang dianggap sebagai penyerang adat, pejuang kemajuan dan emansipasi wanita di dunia politik dan pendidikan. Menurut Nicholas Graafland, dalam sebuah penerbitan ‘Nederlandsche Zendeling Genootschap’ tahun 1981, Maria dinobatkan sebagai salah satu wanita contoh Minahasa yang memiliki bakat istimewa untuk menangkap mengenai apapun juga dan untuk memperkembangkan daya fikirnya, bersifat mudah menampung pengetahuan sehingga lebih sering maju daripada kaum lelaki.

Untuk mengenang jasanya, Patung Walanda Maramis telah didirikan di Kelurahan Komo Luar Kecamatan Wenang, lebih kurang 15 minit dari pusat kota Manado. Malahayati, adalah salah seorang pejuang wanita yang berasal dari Kesultanan Aceh. Nama asalnya adalah Keumalahayati. Ayah Keumalahayati bernama Laksamana Mahmud Syah. Datuk di sebelah ayahnya adalah Laksamana Muhammad Said Syah putra dari Sultan Salahuddin Syah yang memerintah sekitar tahun 1530-1539M. Sultan Salahuddin Syah adalah putera dari Sultan Ibrahim Ali Mughayat Syah (1513-1530M), yang merupakan pengasas Kerajaan Aceh Darussalam. Pada tahun 1585-1604, beliau memegang jawatan Ketua Barisan Pengawal Istana Panglima Rahsia dan Panglima Protokol Pemerintah dari Sultan Saidil Mukammil Alauddin Riayat Syah IV.

Malahayati pernah memimpin 2000 orang pasukan Inong Balee (janda-janda pahlawan yang telah terkorban) berperang melawan kapal-kapal dan benteng-benteng Belanda pada 11 September 1599 sekaligus membunuh Cornelis de Houtman dalam pertempuran satu lawan satu di dek kapal dan beliau mendapat gelaran laksamana untuk keberaniannya itu.

RA. Kartini, merupakan seorang pahlawan Nasional dan juga tokoh emansipasi wanita di Indonesia, Raden Adjeng Kartini yang lahir di Jepara, Jawa Tengah, 21 April 1879 dari pasangan Raden Mas Adipati Ario Sosroningrat, bupati Jepara dan M.A. Ngasirah. Sejak pada usia yang masih muda lagi RA. Kartini telah mempunyai keinginan untuk memajukan wanita peribumi. Ini kerana, beliau melihat bahawa wanita peribumi berada pada status sosial yang rendah. Beliau mula belajar sendiri dan menulis surat kepada sahabat-sahabat penanya yang berasal dari Belanda. Salah satunya adalah Rosa Abendanon yang banyak menyokong. Sebahagian besar surat-suratnya berisi keluhan dan kecamannya terhadap budaya di Jawa yang dipandang sebagai penghalang kemajuan wanita. Dia ingin wanita memiliki kebebasan menuntut ilmu dan belajar. Buku yang terkenal dari tulisan RA. Kartini berjudul ‘Habis Gelap Terbitlah Terang’.

Zainab al-Ghazali sangat dikenali kerana beliau dianggap sebagai permata dakwah yang berkilau di era jatuhnya Islam. Zainab al-Ghazali bukanlah seperti wanita biasa. Beliau merupakan rakyat Mesir dan mempertahankan hak-hak wanita Islam berdasarkan apa yang diyakini beliau sebagai fahaman Islam yang betul. Beliau dilahirkan di al-Bihira pada tahun 1917 di dalam keluarga yang terhormat, keturunan Umar al-Khattab dan al-Hasan bin Ali bin Abi Talib. Ayah beliau juga merupakan lulusan al-Azhar. Zaman mudanya sangat aktif dalam pergerakan feminis dan menyertai Kesatuan Wanita Mesir (Egyptian Feminist Union) yang diasaskan oleh Huda as-Syarawi pada tahun 1923. Beliau telah keluar daripada persatuan itu kerana tidak bersetuju dengan idea dan landasan perjuangan gerakan pembebasan wanita. Pada umur 18 tahun (1936), beliau mengasaskan Persatuan Wanita Islam untuk menguruskan hal ehwal dan akitiviti-aktiviti wanita berlandaskan Islam.

Ikhwanul Muslimin yang diasaskan oleh Hasan al-Banna pada 1928 mempunyai perancangan untuk mengasaskan sayap wanita di dalam pertubuhannya. Hasan al-Banna telah meminta beliau untuk mengetuai bahagian wanita dalam Ikhwanul Muslimin. Beliau dan persatuannya menolak tawaran ini tetapi menyatakan persetujuan untuk memberikan kerjasama. Setelah Ikhwanul Muslimin dibubarkan pada tahun 1948, Zainab al-Ghazali telah berbai’ah (berjanji taat setia) kepada Hasan al-Banna pada tahun 1949 untuk menyokongnya dan bersama memperjuangkan sebuah Daulah Islam.

Indira Ghandi atau Indira Priyadarshini Gandhi (19 November 1917-31 Oktober 1984) ialah Perdana Menteri India selama tiga penggal berturut-turut dari tahun 1966 hingga 1977 serta penggal keempatnya mulai tahun 1980 sehingga dibunuh pada tahun 1984. Beliau ialah perdana menteri wanita yang pertama dan satu-satunya dalam sejarah India. Beliau dikenali kerana menubuhkan satu pemerintahan diktator dengan mengisytiharkan darurat setelah sebuah mahkamah membatalkan pemilihan beliau pada tahun 1975, serta memenangi Operasi Bintang Biru menentang kumpulan militan Sikh yang akhirnya membawa kepada pembunuhan beliau.


Indira yang lahir dalam dinasti Nehru dan berpengaruh dalam politik ini membesar dalam suasana yang diselubungi politik. Beliau berpandangan bahawa wanita akan terbela dengan adanya kuasa di tangan! Pada 1950-an, beliau secara tidak rasminya menjadi pembantu peribadi bapa beliau yang ketika itu menjadi Perdana Menteri India yang pertama. Selepas kematian bapanya pada tahun 1964, beliau dilantik sebagai seorang ahli Rajya Sabha oleh Presiden India dan menjadi seorang ahli kabinet LalBahadur Shastri sebagai Menteri Penerangan dan Penyiaran. Setelah dipilih menjadi Perdana Menteri oleh ‘orang dalam’ Parti Kongres selepas kematian Shastri, Gandhi kemudiannya memenangi pilihan raya dan mengatasi lawan-lawannya. Beliau memperkenalkan banyak lagi dasar ekonomi sayap kiri dan memupuk produktiviti pertanian. Kemenangan besar dalam perang menentang Pakistan pada tahun 1971 disusuli satu zaman huru-hara yang menyebabkan beliau mengenakan darurat pada tahun 1975; akibat pemerintahan autoritarian yang berlebih-lebihan, beliau kehilangan kuasa ditangan pembangkang selama tiga tahun.

Sekembalinya ke jawatan perdana menteri pada tahun 1980, beliau semakin banyak terlibat dalam satu konflik menentang golongan pemisah di Punjab yang mengakibatkan beliau dibunuh oleh penjaga keselamatan sendiri pada tahun 1984.

Benazir Bhutto lahir di Karachi, 21 Jun 1953. Beliau merupakan anak sulung dari Perdana Menteri Pakistan yang digulingkan, Zulfikar Ali Bhutto (yang digantung oleh pemerintah militer Pakistan di bawah keadaan yang luar biasa) dan Begum Nusrat Bhutto, seorang suku Kurdi-Iran. Datuk dari sebelah ayahnya ialah Sir Shah Nawaz Bhutto, seorang Sindhi dan tokoh penting dalam gerakan kemerdekaan Pakistan.

Benazir Bhutto merupakan wanita pertama yang memimpin sebuah negeri umat Islam pada masa pasca-kolonial. Bhutto yang sangat berkarisma terpilih sebagai Perdana Menteri Pakistan pada 1988. Namun 20 bulan kemudian beliau digulingkan oleh presiden Pakistan, Ghulam Ishaq Khan yang didukung oleh pihak tentera. Ghulam Ishaq Khan yang secara kontroversial menggunakan Amandemen ke-8 untuk membubarkan parlimen dan memaksa diselenggarakannya pemilihan umum. Bhutto terpilih kembali pada 1993 namun tiga tahun kemudian diberhentikan kerana dituduh terlibat dengan pelbagai skandal korupsi oleh presiden yang berkuasa waktu itu, Farooq Leghari.

Benazir terbunuh pada tanggal 27 Disember 2007 dengan ditembak di bagian leher oleh seorang pembunuh yang kemudian juga meledakkan sebuah bom bunuh diri. Pembunuhan ini terjadi ketika beliau baru saja meninggalkan Liaquat National Bagh di Rawalpindi dalam rangka kempen pilihan raya umum pada awal tahun 2008.

Margaret Hilda Thatcher yang lahir di Grantham, Lincolnshire, Britain, 13 Oktober 1925 ialah Perdana Menteri Britain pada tahun 1979-1990. Beliau merupakan individu yang menjawat jawatan Perdana Menteri Britain yang paling lama dan beliau ialah Perdana Menteri yang memiliki rekod kepimpinan yang terpanjang dalam abad ke-20.

Beliau merupakan satu-satunya wanita yang menduduki jawatan tersebut serta menjadi pemimpin sebuah parti politik besar di Britain dan beliau juga adalah salah satu tokoh penting pada abad ini. Falsafah politiknya kemudian dikenal sebagai Thatcherisme. Sebelum menjawat jawatan Perdana Menteri, beliau memang sudah dikenali sebagai ‘Wanita Besi’ (Iron Lady) di media Uni Soviet kerana penentangannya terhadap komunis.

Maria Corazon Sumulong Cojuangco Aquino (lahir di Paniqui, Tarlac, Filipina, 25 Januari 1933, meninggal di Makati, 1 Ogos 2009 pada umur 76 tahun). Lebih popular dengan nama 'Cory Aquino’ merupakan Presiden Filipina pada 1986–1992. Beliau ialah wanita Asia pertama menjawat jawatan Presiden wanita di dunia. Wanita ini ialah isteri kepada seorang tokoh yang popular, senator Benigno Aquino Jr. Suaminya terbunuh sesaat setelah mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Manila ketika kembali ke negaranya pada 21 Ogos 1983. Beliau kemudian dicalonkan oleh parti pembangkang untuk menentang kekuasaan otokratik yang dilakukan Presiden Ferdinand Marcos. Beliau juga merupakan susuk tubuh wanita yang berpandangan wanita hanya terbela dan terjamin dengan kuasa di tangan.

Malaysia juga memiliki ramai tokoh perjuangan wanita yang mana kebanyakan penglibatan mereka dalam politik bermula bersama gerakan semangat kebangsaan untuk memerdekakan Malaysia. Cadangan penubuhan Malayan Union pada 1945 bagi menamatkan hak orang-orang Melayu telah membangkitkan penentangan secara besar-besaran. Wanita yang sebelum ini lebih tertumpu pada pertubuhan berunsurkan kebajikan telah turut terlibat secara terbuka dalam gerakan politik tanah air. Antara susuk tubuh yang terlibat dalam perjuangan haluan kanan ini adalah seperti Putih Mariah Ibrahim Rashid dari Persatuan Melayu Perak, Zainab Abdul Rahman dari Persatuan Melayu Seberang Perai dan Salena Ali dari Persatuan Melayu Selangor telah bertemu bagi membincangkan mengenai penubuhan sebuah pergerakan wanita Melayu.

Manakala pejuang wanita yang bergerak dalam perjuangan haluan kiri pula adalah seperti Suriani Abdullah dan Shamsiah Fakeh. Dorongan utama kesemua wanita ini bangkit dalam perjuangan walaupun berbeza metodnya adalah satu iaitu memperkasa, memperjuangkan hak kemuliaan dan kehormatan yang rakus dilahap adat setempat, sistem yang korup dan peradaban yang memuncakkan darah perjuangan mereka.

Bagaikan Cendawan Yang Tumbuh Selepas Hujan

Realitinya, pertumbuhan gerakan-gerakan wanita ini muncul bagaikan cendawan yang tumbuh selepas hujan. Namun, sehingga saat ini kita perhatikan gerakan-gerakan wanita yang wujud di seluruh dunia ini masih tidak mampu untuk mencapai objektif kewujudan gerakan tersebut secara kolektif. Kelihatannya, masih banyak lagi masalah yang melibatkan wanita terjadi di seluruh dunia malah terasa bagaikan sudah tidak dapat dibendung lagi. Hal ini menyebabkan timbul persoalan dibenak ini, apakah jalan (metod) perjuangan yang diambil oleh para ‘tokoh wanita’ ini merupakan jalan yang benar-benar boleh membawa kepada kemerdekaan yang hakiki???


Bersambung…
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment