Dua Puteri Berjuang Di Sisi Rasulullah SAW

 Oleh: Ukhti Hidayah Muhammad (Ahli Lajnah Tsaqafiyyah MHTM)

Muqaddimah

Menegakkan Khilafah Islamiyyah adalah sebuah perjuangan. Setiap perjuangan pasti memerlukan pengorbanan. Pengorbanan pula menuntut kita untuk mengorbankan segala-galanya, tidak kira masa, harta benda hatta nyawa sekalipun. Allah SWT berfirman,

“Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk Syurga, padahal belum datang kepadamu (ujian) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam ujian) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: “Bilakah datangnya pertolongan Allah? Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat” [TMQ al-Baqarah (2):214].

Apabila kita menyelak lembaran-lembaran sirah, perjuangan Rasulullah SAW dalam menyebarkan dan menegakkan Islam juga tidak lepas daripada ujian. Penurunan wahyu pertama di Gua Hira diikuti dengan wahyu kedua (Surah Muddatsir, ayat 1-2), maka bermulalah kisah perjuangan Rasulullah SAW dalam menyebarkan Islam. Orang yang paling setia membantu perjuangan Rasulullah SAW ialah Ummul Mukminin Khadijah RA. Beliaulah isteri Rasulullah SAW sekaligus wanita yang pertama beriman kepada Allah dan RasulNya. Dia daripada keturunan terhormat, mempunyai peribadi yang luhur dan sentiasa menjaga kehormatan dirinya sehingga digelar ath-Thahirah (wanita yang suci).

Ibnu Abbas RA menyebutkan bahawa, Khadijah RA melahirkan keturunan bagi Rasulullah SAW yang terdiri daripada dua lelaki dan empat perempuan. Mereka ialah al-Qasim, Abdullah, Fathimah, Ummu Kalthum, Ruqayyah dan Zainab. (Dala'il Nubuwah, al-Baihaqi jilid 2, hlm 70). Sosok serikandi teladan yang dipilih pada kali ini ialah Zainab RA dan Fathimah RA.

Fathimah Az-Zahra: Wanita Yang Sabar Dan Bertakwa

Fathimah RA dilahirkan di Ummul Qura (Mekah al-Muqarramah) pada saat orang-orang Quraisy memperbaiki Kaabah iaitu lima tahun sebelum Rasulullah SAW diutus menjadi Nabi. Sejak kelahiran Fathimah RA, Rasulullah SAW merasakan adanya keistimewaan pada Fathimah. Beliau akan menjadi wanita yang membawa berkat, lalu diberi nama Fathimah. Beliau sangat mirip dengan Rasulullah SAW.


Beliau hidup dalam suasana keimanan, penuh keberkatan dan bimbingan. Setelah kakak-kakaknya berumahtangga, Fathimah mendapat kasih sayang sepenuhnya daripada ibunya. Kerana itulah, Fathimah tidak dicarikan ibu susuan seperti yang dilakukan oleh kebiasaan bangsa Arab. Beliau disusui oleh ibunya sendiri sehinggakan kelembutan, kesucian, sifat malu dan sifat-sifat baik yang ada pada ibunya mengalir ke dalam diri beliau.

Fathimah RA dinikahkan dengan Ali RA pada tahun kedua hijrah setelah perang Badar. Rasulullah SAW bersabda, “Allah menyuruhku menikahkan Fathimah dengan Ali” [Al-Haitsami berkata, diriwayatkan oleh ath-Thabrani]. Hasil daripada pernikahan mereka, lahirlah Hasan, Husin, Zainab dan Ummu Kalthum.

Tatkala Allah SWT menghendaki cahaya kebenaran menyinari Jazirah Arab yang ketika itu hidup dalam kejahilan, Muhammad SAW diutus menjadi Nabi dan menyampaikan ajaran Islam. Saat itu, ibunya menjadi wanita pertama yang beriman diikuti Fathimah dan saudara-saudaranya. Imam Zarqani berkata, sehingga tidak perlu pernyataan khusus untuk membuktikan bahawa mereka adalah generasi pertama yang memeluk Islam, kerana mereka lahir dan dibimbing kedua orang tua yang penuh kasih sayang dan berakhlak mulia. Daripada ibunya, Fathimah belajar kejernihan fikiran yang tidak dimiliki oleh wanita-wanita lain.

Setelah wafatnya Khadijah RA dan Abu Thalib, bermulalah segala ujian dan pertentangan-pertentangan daripada kaum kafir Quraisy. Di sinilah juga anak-anak Nabi SAW mengambil peranan ibu mereka dan membela Rasulullah SAW. Fathimah adalah anak yang agak menonjol dalam membela Rasulullah SAW. Fathimah RA menyaksikan segala bentuk kesulitan yang dihadapi Rasulullah SAW. Beliaulah yang mengubati kesedihan dan menghiburkan hati ayahnya saat berhadapan dengan kejahilan kaum Musyrikin Mekah ketika itu. Salah satu peristiwa yang membuat Fathimah marah apabila salah seorang kaum Quraisy iaitu Uqbah bin Muith menawarkan diri untuk melemparkan kotoran unta ke belakang tubuh Rasulullah SAW.

Abdullah bin Mas’ud RA menceritakan, saat itu Rasulullah SAW sedang solat berdekatan dengan Kaabah. Sementara itu, Abu Jahal dan beberapa orang kafir Quraisy sedang duduk-duduk di situ. Ada di antara mereka berkata siapa yang berani mengambilkan kotoran unta ini, lalu letakkannya di punggung Muhammad saat dia sujud? Maka bergegaslah Uqbah bin Muith mengambil kotoran unta dan meletakkan di punggung Rasulullah saat baginda sedang sujud. Rasulullah tetap dalam posisi sujud sehinggalah Fathimah datang dan membuang kotoran tersebut.

Kesabaran Fathimah tampak dalam peristiwa pemboikotan oleh kaum Quraisy terhadap Bani Hasyim dan Bani Abdul Muthalib selama tiga tahun. Tidak ada urusan jual beli, jalinan ukhuwah dan perkahwinan, sehinggalah Bani Hasyim dan Bani Abdul Muthalib menyerahkan Muhammad kepada mereka. Fathimah RA juga tercatat sebagai antara wanita yang ikut ke medan jihad iaitu semasa perang Uhud, perang Khandaq dan perang Khaibar.

Zainab RA: Pemilih Antara Islam Dan Kejahilan

Tidak ketinggalan juga kakaknya Zainab al-Kubra RA yang dilahirkan sebelum Rasulullah SAW diutus menjadi Nabi. Beliau adalah puteri pertama Rasulullah SAW. Walaupun kisah Zainab RA tidak menonjol dalam pembelaannya kepada Rasulullah SAW, tetapi Zainab RA mempunyai kisah tersendiri yang perlu dijadikan teladan.

Zainab membesar menjadi wanita teladan yang mulia dengan sifat-sifat terpuji yang dimilikinya. Melihat berbagai sifat terpuji yang dimiliki Zainab RA, sepupunya Abul Ash bin Rabi iaitu salah seorang tokoh Quraisy Mekah yang terkenal dan kaya meminang Zainab. Usia Zainab RA pada masa perkahwinannya masih terlalu muda. Namun, beliau mampu membina kehidupan rumahtangga dengan bahagia. Hasil perkahwinan mereka dikurniakan dua cahaya mata, iaitu Ali dan Umamah. Zainab RA hidup di antara dua pilihan. Seorang suami yang tidak mahu menerima ajaran Islam dan seorang ayah utusan Allah dan pembawa risalah Islam.

Dikisahkan sewaktu suaminya dalam ekspedisi perdagangan, ketika itulah ayahnya, Rasulullah SAW diutus menjadi rasul dan penyebar risalah Islam. Maka Zainab RA pun menerima dan mendakwahkan agama yang dibawa oleh ayahnya, iaitu agama Islam. Sekembali suaminya daripada ekspedisi perdagangan maka Zainab RA pun mendakwahkan Islam kepada suaminya. Malangnya, suaminya menolak dan berkata “Demi Allah, aku tidak menghina ayahmu, tetapi aku tidak senang jika dikatakan, aku menghina kaumku dan mengingkari agama nenek moyangku kerana mengikuti kemahuan isteriku”.

Kegagalan mengajak suaminya untuk memeluk Islam merupakan cabaran berat bagi Zainab RA. Rumahtangga yang dulunya tenteram dan damai mula dilanda kegelisahan dan keresahan. Ketika ahli keluarganya dan kaum Muslimin hijrah ke Madinah al-Munawarah, Zainab RA tetap tinggal bersama suaminya. Sampailah ketika perang Badar, suaminya menjadi tawanan perang pasukan kaum Muslimin. Setelah mengetahui suaminya menjadi tawanan, maka Zainab RA menebusnya dengan kalung pemberian ibunya. Apabila Rasulullah SAW melihat kalung itu, maka Rasulullah SAW menjadi sedih dan terdiam beberapa ketika sehinggalah Rasulullah SAW berkata kepada para sahabat baginda, “Jika kalian berkenan membebaskan tawanan yang ditebus oleh Zainab dan berkenan mengembalikan kalung itu silakan kalian lakukan”. Maka para sahabat yang mendengar pun menjawab, “Ya, baiklah wahai Rasulullah”. Mereka pun melepaskan Abul Ash dan Rasulullah SAW membuat perjanjian dengan Abul Ash agar Abul Ash melepaskan Zainab. Akhirnya Zainab RA berhijrah seorang diri ke Madinah sehinggalah Zainab mengalami keguguran kandungan semasa perjalanannya. Semoga kisah Zainab RA dapat dijadikan teladan.

Khatimah

Wahai Muslimah! Saat ini sudah seharusnya kita memahami fakta-fakta kehidupan para serikandi. Semoga dengan itu, ia menumbuhkan kerinduan pada mereka untuk kita meneladani mereka dalam menjalani kehidupan masa kini sebagai Muslimah solehah dan pejuang agama Allah yang istiqamah.

Waallahu a’lam..


Rujukan
1. Terjemahan Al-Quran
2. Sirah Nabawiyah, Ibnu Hisyam, jilid 1, hlm 238
3. Mahmud Al-Mishri, 35 Sirah Shahabiyyah Jilid 1, hlm 363-365, 368-369, Al-I’tishom, cetakan ke 8, 2012.
4. Mahmud Mahdi al-Istabuli, Musthafa Abu Nashr asy-Syaibi; Isteri, puteri dan sahabat wanita seperjuangan Rasulullah, hlm 103-104, 105-106, Synergi Media.
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment