Hubungan Wanita dengan Saudara Ipar Lelaki

 Oleh: Ukhti Farisha Aris (Ahli Lajnah Tsaqafiyyah MHTM)

Soalan:

Ada seorang wanita yang tinggal bersama saudaranya yang sudah bersuami. Ketika bersama saudara iparnya, dia tidak berhijab. Apabila diingatkan tentang hal itu, dia berdalih bahawa dia dengan iparnya adalah mahram muaqqat (mahram sementara). Adakah ini benar?

Jawapan:

Definisi Mahram (Bagi Wanita)

Definisi secara bahasa, seseorang disebut sebagai mahram bagi seorang wanita adalah apabila orang itu tidak halal untuk menikahi wanita tersebut buat selama-lamanya. Manakala secara istilah, mahram bagi seorang wanita adalah lelaki yang boleh memandangnya, berduaan dengannya, boleh melakukan safar (perjalanan) bersamanya dan juga mereka yang diharamkan bernikah dengannya buat selama-lamanya dengan sebab fitrah yang menjadikannya mahram.

Ketetapan ini berlaku sama ada disebabkan ikatan nasab (keturunan) seperti ayah dan anak lelakinya, sebab ikatan pernikahan seperti suami dan suami dari anak perempuannya serta anak lelaki suaminya, atau pun dengan sebab penyusuan seperti anak yang disusukannya serta saudara lelaki sepersusuan. Lelaki dan perempuan yang dilarang (diharamkan) menikah terbahagi kepada dua larangan iaitu larangan muabbad dan larangan muaqqat.

Mahram Muabbad: Larangan muabbad ialah larangan untuk selama-lamanya disebabkan oleh tiga perkara iaitu ikatan nasab (keturunan), penyusuan dan pernikahan. Mereka ini termasuklah, ibu atau bapa dan ke atas, adik beradik termasuk adik beradik susuan atau sesusu (musoharah) dan ke bawah, anak kepada adik-beradik dan ke bawah, bapa dan ibu mentua dan ke atas. Firman Allah SWT,

“Dan janganlah kamu kahwini wanita-wanita yang telah dikahwini oleh ayahmu,terkecuali apa masa yang telah lampau.Sesungguhnya perbuatan itu amat keji dan dibenci Allah dan seburuk-buruk jalan (yang ditempuh)[TMQ an-Nisaa’ (4):22].

“Diharamkan atas kamu (mengawini) ibu-ibumu dan anak-anakmu yang perempuan, saudara-saudaramu yang perempuan,saudara-saudara bapamu yang perempuan,saudara-saudara ibumuyang perempuan, anak-anak perempuan dari saudara-saudaramu yang lelaki,anak-anak perempuan dari saudara-saudaramu yang perempuan,ibu-ibumu yang menyusui kamu,saudara perempuan sepersusuan, ibu-ibu isterimu (mertua),anak-anak isterimu yang dalam pemeliharaanmu dari isteri yang telah kamu campuri,tetapi jika kamu belum campur dengan isterimu itu (dan sudah kamu ceraikan),maka tidak berdosa kamu mengawininya, (dan diharamkan bagimu) isteri-isteri anak kandungmu (menantu) dan menghimpunkan (dalam perkawinan) dua perempuan yang bersaudara, kecuali yang telah terjadi pada masa lampau, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” [TMQ an-Nisaa’(4):23].

Kata al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah bahawa ayat di atas menjelaskan bahawa haramnya mahram disebabkan oleh nasab (keturunan) dan sebab-sebab lain yang berkaitan dengan penyusuan dan pernikahan. Ibnu Abi Hatim meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas RA, beliau berkata, “Diharamkan ke atas kamu tujuh wanita kerana nasab dan tujuh wanita lagi kerana pernikahan.” Kemudian beliau membaca, “Diharamkan atas kamu (mengahwini) ibu-ibumu; anak-anakmu yang perempuan; saudara-saudaramu yang perempuan...” sehingga akhir ayat.

Ath-Thabari meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas RA, beliau berkata, “Yang diharamkan kerana nasab ada tujuh dan kerana pernikahan juga ada tujuh. Kemudian beliau membaca ayat, “Diharamkan atas kamu (mengahwini) ibu-ibumu; anak-anakmu yang perempuan; saudara-saudaramu yang perempuan, saudara-saudara bapakmu yang perempuan; saudara-saudara ibumu yang perempuan; anak-anak perempuan dari saudara-saudaramu yang laki-laki; anak-anak perempuan dari saudara-saudaramu yang perempuan.” Mereka adalah mahram dengan sebab nasab.

Firman Allah SWT, “Ibu-ibumu yang menyusui kamu; saudara perempuan sepersusuan.” Sebagaimana diharamkan atas kamu ibu-ibu yang melahirkan kamu, maka demikian juga diharamkan ke atas kamu ibu-ibu yang menyusui kamu” (Rujuk Tafsir Ibnu Katsir, 2/247-248).

Allah SWT berfirman, “Katakanlah kepada wanita yang beriman, “Hendaklah mereka menahan (menjaga) pandangannya dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan (melabuhkan) kain tudung (khimar) ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau anak-anak lelaki mereka, atau anak-anak lelaki suami mereka, atau saudara (adik-beradik) mereka yang lelaki, atau anak-anak saudara lelaki mereka, atau anak-anak lelaki saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita islam, atau hamba-hamba yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak memiliki keinginan (terhadap wanita) atau kanak-kanak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu semua kepada Allah wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu beruntung[TMQ an-Nur (24):31].

Dalam ayat ini Allah SWT menjelaskan bolehnya mahram yang disebutkan melihat bahagian perhiasan (aurat tertentu) daripada tubuh wanita. Iaitu sebagaimana yang ditegaskan oleh ayat:

“... dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya (auratnya), kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan (melabuhkan) kain tudung (khimar) ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka...”

Mahram Muaqqat: Larangan muaqqat ialah larangan untuk tempoh masa atau keadaan tertentu. Apabila keadaan berubah, maka hukum larangan itu pun terbatal. Antaranya:

1. Adik ipar atau kakak ipar. Seorang lelaki diharamkan mengahwini adik atau kakak kepada isterinya (iparnya) selagi mana isterinya masih ada ikatan pernikahan dengannya.
2. Anak kepada adik-beradik isterinya (anak saudara “sabit”). Melainkan selepas berpisah dengan isterinya. Walaupun begitu, batas pergaulan dengan mahram muaqqat sama seperti hukum dengan bukan mahram.
3. Isteri kepada bapa saudara atau suami emak saudara (emak/bapa saudara "sabit") juga termasuk dalam kategori mahram muaqqat.
Sementara itu, sepupu (anak kepada emak/bapa saudara) adalah lelaki atau wanita ajnabi dan mereka bukan mahram, walaupun ia seperti berada dalam senarai pertalian darah. Oleh itu, wanita wajib menjaga keseluruhan aurat semasa berada di hadapan bukan mahram.

Hubungan dengan Saudara Ipar Lelaki

Oleh yang demikian, mengenai hubungan dengan ipar, maka Rasulullah SAW menyuruh kita berhati-hati kerana hubungan mereka boleh menimbulkan fitnah dalam keluarga. Bahkan Rasulullah SAW sendiri menganggap ipar itu sebagai maut. Rasulullah SAW bersabda, dari Uqbah Bin Amir, katanya; Rasulullah SAW bersabda,

"Jangan kamu sekalian masuk ke dalam ruang wanita”. Maka berkatalah seseorang dari Anshor, “Ya Rasulullah bagaimana dengan Al-Hamwu (saudara ipar)?” Rasulullah menjawab, “Al-Hamwu adalah kematian” [HR Ahmad, Tirmidzi, Shahih al-Jami’ ash-shaghir No. 2677, Bukhari No. 5232 dan Muslim No. 2172].

Imam Baghowi berkata; “Yang dimaksudkan Al-Hamwu di dalam hadits ini adalah saudara suami (ipar) kerana dia tidak termasuk mahram bagi si isteri. Dan seandainya yang dimaksudkan ialah mentua sedangkan dia termasuk mahram, lantas bagaimanakah pendapatmu terhadap orang yang bukan mahram?” Lanjutnya: “Maksudnya, waspadalah terhadap saudara ipar sebagaimana engkau waspada daripada kematian”. Yang dimaksudkan dengan maut di sini juga iaitu berhubungan dengan keluarga dekat si suami yang bukan mahram perlu lebih berhati-hati dibandingkan dengan yang lain. Ini kerana dengan mereka seringkali bertemu dan tidak ada yang boleh menyangka bahawa perbuatan yang menghampiri kepada zina atau zina yang keji itu sendiri boleh terjadi.

Dengan kata lain, hubungan antara seorang wanita dengan abang/adik iparnya hanyalah mahram muaqqat (mahram sementara), bukan mahram muabbad (mahram kekal), yang mana dia dibolehkan berkahwin dengan abang/adik iparnya itu jika ditakdirkan berlaku penceraian dengan suaminya atau suaminya meninggal dunia. Oleh itu, tidak boleh dia membuka aurat di hadapan abang/adik iparnya, berdua-duaan termasuk keluar bermusafir tanpa mahram muabbad.


Khatimah

Sesungguhnya hukum-hakam dari As-Syari’ yang telah ditetapkan ke atas kita, wajib kita utamakan daripada pandangan akal dan nafsu manusia. Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa berusaha mencapai keredhaan manusia dengan menjadikan Allah murka kepadanya, Allah akan menyerahkannya kepada manusia. Sesiapa menjadikan manusia marah kepadanya dengan kerana ia mencari redha Allah, Allah akan mencukupkannya dari pergantungan kepada manusia” [HR Imam at-Tirmizi dari ‘Aisyah RA. Menurut Imam as-Suyuti; hadis ini hasan. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 8394].

Wallahu’alam..

Sumber:
1) Al-Quran dan Terjemahan.
2) Sistem Pergaulan Dalam Islam; Sheikh Taqiyuddin An-Nabhani; HTI-Press, Jakarta Selatan; 2007.
3) Tafsir Ibnu Kathir; Pustaka Jiwa, Kuala Lumpur; 2007.
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment