Maksiat: Individu dan Masyarakat Terjerat, Negara Hadapi Cabaran Hebat

Oleh: Dr Ainul @Aeni Shuib (Ahli Lajnah I'lamiyyah MHT)

ULASAN BERITA:

‘Menjaga lembu sekandang lebih senang dari menjaga anak dara seorang’.Ini antara bait kata yang sering dilantunkan oleh ibubapa sebelum era globalisasi. Ini adalah kerana tingkahlaku anak perempuan akan mencerminkan didikan ibu dan ayahnya. Memang benar dendangan nasyid Kumpulan Raihan,”iman tidak dapat diwarisi dari seorang ayah yang beriman”. Namun keimanan ibu atau ayahlah yang akan membentuk peribadi dan akhlak anak-anaknya semasa proses pendidikan tersebut .

Berita arus perdana banyak memaparkan berita perzinaan di kalangan remaja dan situasi begini biasa berlaku waktu dinihari. Namun perlakuan zina ini bukan hanya di kalangan remaja sahaja malah lebih teruk apabila berlaku di kalangan golongan yang telah berkahwin, duda atau janda berzina dengan pasangan kekasih masing-masing.

Apa yang lebih menyedihkan apabila kemaksiatan itu berlaku di depan mata apatah lagi di dalam rumah sendiri seperti yang dilaporkan berita ini. Adakah ini yang dinamakan ‘baiti jannati’ (rumahku syurgaku)? Maksiat berlaku di dalam rumah sendiri tanpa disedari ibubapa ataupun jiran tetangga.

Remaja adalah golongan yang akan menjadi peneraju masa depan dan bakal memimpin Negara pada masa akan datang, namun gambaran yang dapat kita lihat sekarang adalah remaja lebih banyak terjerumus dalam masalah sosial. Pergaulan bebas adalah punca utama yang menjadi musibah terbesar dalam masyarakat har ini. Budaya Hendonisme yang meresap masuk dalam diri anak-anak muda terutamanya Muslim telah memesongkan fokus sebenar mereka kepada tujuan hidup mereka di muka bumi Allah ini. Tujuan hidup seorang Muslim adalah meraih keredhaanNya dengan mematuhi segala suruhanNya dan menjauhkan segala laranganNya.

Disamping itu juga, masyarakat menjadi rosak apabila sistem yang menguruskan urusan masyarakat sekarang telah menyimpang jauh daripada ajaran syariat Islam. Bagaimanakah seseorang itu ingin menjalankan peranan seorang Muslim yang bertaqwa sekiranya pendidikan anak-anak sekarang tidak mementingkan penekanan aqidah individu? Malah tidak dapat mencetuskan idraksilahbillah atau adanya keterikatan dengan Penciptanya dalam setiap tingkah laku mereka.

Tambahan lagi, suasana persekitaran tidak mampu mendidik dan tidak juga mampu membendung gejala sosial dari terus berlaku dan akhirnya menjerumuskan individu ke lembah kemaksiatan. Hal ini disebabkan juga oleh kebiasaan masyarakat Melayu yang begitu sinonim dengan kata-kata ‘jangan jaga tepi kain orang’. Walhal sebenarnya, peranan sebuah masyarakat untuk melakukan amal ma’aruf, nahi mungkar iaitu mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran akan terlaksana dengan budaya ‘menjaga tepi kain’. Dengan kata lain, hal ini penting agar bahana kemaksiatan di kalangan anak-anak remaja dan masyarakat sekeliling dapat dibendung.

Ia amat bertepatan dengan firman Allah,

Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah…” [TMQ Ali Imran (3):110].

Disamping itu, peranan negara adalah paling penting iaitu dengan menerapkan Syariat Islam dalam Sistem Pemerintahan termasuk Sistem Perundangan Negara. Jika dilihat kepada undang-undang yang ada pada hari ini, pelaksanaannya tidak mampu membendung masalah sosial dan tidak mampu mencegah maksiat perzinaan yang berleluasa sekarang. Perundangan syariah di Malaysia menurut Enakmen 11 Tahun 1965, Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam 1965, Seksyen 155 memperuntukkan undang-undang yang melibatkan denda dan penjara sahaja dengan kadar yang sangat minimum dan kebanyakan pesalah pula mampu membayar denda dengan mudah tanpa perlu ke penjara.

Malahan undang-undang sekarang tidak mengenakan tindakan kepada ibu yang melahirkan anak luar nikah yang bukan beragama Islam tetapi tindakan hanya dikenakan ke atas ibu yang beragama Islam yang tertakluk kepada jenayah syariah. Jika sabit kesalahan, mereka dihukum denda tidak lebih RM500 dan penjara tidak lebih 3 tahun. Bagi ibu yang berumur 16 tahun ke bawah mereka tertakluk kepada peruntukan 376 Kanun Keseksaan di mana mereka dikira kes rogol kerana mereka dikira masih di bawah umur.

Di dalam syariat, Islam, sesuatu hukuman (uqubat) yang dikenakan itu bertindak sebagai penebus (jawabir) dan pencegah (zawajir) apabila ianya diterapkan dan dilaksanakan. Sepertimana firman Allah swt,

“Perempuan pezina dan laki-laki pezina, cambuklah masing-masing dari keduanya seratus kali pukulan, dan janganlah belas kasihan kepada keduanya mencegah kamu untuk (menjalankan) agama Allah, jika kamu beriman kepada Allah, dan hari akhirat, dan hendaklah (pelaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan orang-orang yang beriman.” [TMQ an Nur (24):2].

Oleh itu dalam membangunkan generasi remaja Islam peneraju masa depan negara, tiga faktor yang perlu ditekan iaitu pertama, Individu yang berakhlak mulia dan beridentiti muslim sejati yang mencetak peribadi dengan ajaran al-Quran dan as-Sunah. Kedua, masyarakat yang sentiasa membina suasana amal maaruf nahi mungkar dan yang ketiga yang paling penting adalah tanggungjawab negara atau pemimpin menerapkan sistem pemerintahan mengikut sistem pemerintahan yang dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w dalam mengatur segala urusan umatnya.

Wallah hu a’lam

Sumber berita:
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment