Sabar dan Reda Dalam Menerima dan Memegang Amanah

Oleh: Ustazah Husna (Ahli Lajnah Tsaqafiyyah MHTM)

Sesungguhnya kita akan melalui masa-masa sulit, masa yang mana kelelahan dan pelbagai ujian akan hadir menghujam dalam setiap sudut kehidupan kita. Walhal kita berada di jalan kebenaran dan disibukkan dengan aktiviti menyeru kebaikan kepada manusia. InsyaAllah , jika kita teguh pada jalan ini nescaya kepedihan akan hilang, kelelahan akan hilang dan yang tinggal hanyalah ganjaran pahala daripada Allah Yang Maha Menganugerahkan.

Oleh itu, kita janganlah lelah untuk terus berdakwah. Sesungguhnya Rasulullah SAW memuliakan orang-orang yang bersungguh-sungguh dalam mempertahankan izzah Islam. Sesungguhnya Allah SWT akan menolong kita dalam apa jua keadaan. Firman Allah SWT,

“Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong agamaNya” [TMQ al-Hajj (22): 40].

Kita semua mengetahui bahawa langkah pertama kita dalam usaha menuju syurga Allah akan menghapuskan semua kelelahan, dahaga dan kepedihan yang dirasai. Sesungguhnya perniagaan ini adalah sesuatu yang menguntungkan. Firman Allah SWT,

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka” [TMQ at-Taubah (9):111].


Ingatlah setiap apa yang dikorbankan akan dihadiahkan dengan Jannah. Kita adalah merupakan pekerja Allah. Maka bekerjalah dengan semaksimanya kerana barangsiapa yang bersantai ketika bekerja, dia akan menyesal ketika pembahagian upah yang diberikan.

Sabar dan reda menerima amanah Allah SWT menuntut pengorbanan yang mana pengorbanan adalah merupakan suatu kemuliaan yang paling tinggi daripada Allah. Firman Allah SWT,

“Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah,dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hambaNya” [TMQ al-Baqarah (2):207].

Setiap umat, bangsa atau kaum pasti memiliki akidah atau keyakinan yang dianuti, pemikiran-pemikiran yang dibawa dan peraturan-peraturan yang digunakan untuk mengurusi urusan kehidupan umat. Mereka sanggup mengorbankan diri dalam mempertahankan kesemua hal tersebut kerana menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka. Ini merupakan sunnatullah dalam penciptaanNya yang tetap akan berlaku dalam setiap umat. Dalam sirah juga menggambarkan bahawa bangkitnya nabi dan rasul yang diutus untuk umat tertentu dengan membawa akidah, pemikiran-pemikiran dan hukum-hukum yang berbeza dengan anutan umat pasti ada penentangannya. Bahkan ramai yang mendustakan dan menganiayanya dengan mempertahankan akidah, pemikiran-pemikiran dan hukum-hukum jahiliyyah yang telah mengkristal dalam kehidupan mereka.

Nabi Muhammad SAW adalah utusan Allah SWT yang telah diturunkan Islam kepada Baginda sebagai ad-Deen yang mengatur kehidupan manusia dengan Rabbnya, mengatur hubungan manusia dengan dirinya dan mengatur hubungan manusia sesama manusia. Baginda SAW mendapat pelbagai macam penganiyaan dan penyeksaan seperti yang dijelaskan dalam Kitabullah. Firman Allah SWT,

“Dan Sesungguhnya telah didustakan (pula) rasul-rasul sebelum kamu, akan tetapi mereka sabar terhadap pendustaan dan penganiyaan (yang dilakukan) terhadap mereka, sampai datang pertolongan Kami kepada mereka. Tidak ada seorang pun yang dapat mengubah kalimat-kalimat Allah.Dan Sesungguhnya telah datang kepadamu sebahagian dari berita rasul-rasul itu” [TMQ al-An’am (6):34].

Pendokong amanah Allah SWT setelah kewafatan baginda Rasulullah SAW iaitu generasi setelah para nabi dan rasul, mereka pun menghadapi situasi penganiyaan dan penyeksaan. Firman Allah SWT,

“Binasa dan terlaknatlah orang-orang yang membuat parit, yang berapi (dinyalakan dengan) kayu bakar, ketika mereka duduk disekitarnya, sedang mereka menyaksikan apa yang mereka perbuat terhadap orang-orang yang beriman” [TMQ al-Buruj (85):4-7].

Dalam sebuah hadis Nabi SAW, yang diriwayatkan oleh Khubab bin al-Art, beliau pernah menuturkan demikian,

“Kami pernah mengadu kepada Nabi SAW. Ketika itu baginda sedang mengenakan sehelai kain burdah di bawah Kaabah. Kami berkata kepada baginda, “Tidakkah engkau memintakan pertolongan untuk kita? Tidakkah engkau berdoa kepada Allah untuk kita?. Nabi SAW bersabda, “Sesungguhnya pernah ada seseorang dari generasi sebelum kalian yang dibuatkan untuknya lubang di atas tanah. Dia kemudian dimasukkan ke dalamnya. Kemudian dibawanya gergaji dan digergajinya kepalanya. Kemudian, kepalanya dibelah menjadi dua bahagian. Akan tetapi, hal tersebut tidak sampai memalingkannya dari agamanya. Orang itu kemudian disisir dengan sisir yang dibuat dari besi sehingga tidak ada daging, pada tulang dan urat sarafnya. Akan tetapi hal tersebut tidak sampai memalingkannya dari agamanya. Demi Allah, Allah pasti memenangkan perkara (agama) ini sehingga seorang yang berkenderaan dari Shan’a menuju Hadramaut tidak berasa takut kecuali kepada Allah atau sehingga serigala takut pada domba buruannya. Akan tetapi kalian itu bersikap tergesa-gesa” [HR Bukhari, Ahmad, an Nasa’I dan Abu Dawud].

Dalam al Bidayah wa an Nihaya, dikisahkan bahawa Urwah bin az-Zubair pernah bertanya kepada Amru bin al-‘Ash mengenai peristiwa paling keras yang dihadapi baginda ketika berdakwah mengajak orang masuk Islam. Amru kemudian menceritakan,

“Ketika Nabi SAW sedang menunaikan solat di sekitar Kaabah, tiba-tiba datanglah ke hadapan baginda ‘Uqbah Ibn Abi Mu’aith. Kemudian dia meletakkan bajunya pada leher Nabi dan mencekiknya dengan keras. Setelah itu datanglah Abu Bakar RA untuk menolong baginda sambil menolak ‘Uqbah dan menjauhkan dari baginda SAW. Abu Bakar berkata “Apakah engkau hendak membunuh laki-laki yang mengatakan ‘Tuhanku adalah Allah! Padahal dia telah membawa keterangan daripada Tuhan kamu?

Walaupun demikian, para nabi, rasul dan pengikut mereka tetap meneruskan dakwah serta menyampaikan syariat Islam. Bahkan mereka tetap bersabar atas apa yang menimpa mereka sehingga Allah memberikan keputusan antara mereka dan kaum mereka. Tidak pernah dikenal dalam sejarah bahawa seorang nabi, rasul atau para pengikut mereka meninggalkan dakwah dan melepaskan amanah hanya kerana hendak menghindari diri daripada penyeksaan, pendustaan dan penghinaan yang mereka terima.

Sehubungan dengan itu, daie yang berdakwah menyebarkan Islam tentunya bersedia dengan ujian-ujian ini. Jika mereka menerima cemuhan, penghinaan, penolakan umat dan sebagainya, mereka bersedia menerima dengan penuh kesabaran dan ketakwaan. Jika kita tidak bersikap sabar atas semua kemungkinan-kemungkinan ini, bererti kita tidak benar-benar berdakwah dan tidak memahami konsekuensi yang akan dihadapi, yang akhirnya boleh menyebabkan kita tersungkur di tengah jalan dakwah. Ini semua merupakan sunnatullah yang tidak berubah atau berganti. Allah SWT berfiman,

“Dan sesungguhnya Kami benar-benar akan menguji kamu agar Kami mengetahui orang-orang yang berjihad dan bersabar diantara kamu,dan agar Kami menyatakan (baik buruknya) hal ihwalmu” [TMQ Muhammad (47):31]

Menyebarkan dakwah merupakan aktiviti yang paling mulia yang dilakukan oleh seorang manusia. Dakwah adalah sandaran terbesar bagi pelbagai kebaikan serta diperoleh darjat yang tinggi dan kedudukan yang mulia. Semua itu tidak layak diperoleh hanya dengan jalan mudah, pengorbanan yang sedikit tanpa menghadapi tentangan dan gangguan. Ujian dan penganiyaan adalah dua perkara yang dihadapi seseorang dalam usahanya menyebarkan Islam. Begitu juga dengan kesabaran dan kecekalan adalah dua perkara yang mesti ada dalam diri seorang pendakwah. Ia menuntut pendakwah untuk bersikap ikhlas, rajin dan bersungguh-sungguh dalam bermujahadah. Kesabaran dalam melaksanakan amanah Allah SWT akan dapat memastikan para pendakwah mendapat ganjaran seperti yang dijanjikan Allah. Sa’ad bin Abi Waqash ada menuturkan,

“Aku pernah bertanya kepada Rasulullah SAW, “Ya Rasulullah, siapakah orang yang paling berat menerima ujian?” Baginda menjawab, “Mereka adalah para nabi, kemudian orang-orang yang soleh, dan kemudian orang-orang yang seperti mereka. Seseorang diuji berdasarkan kadar agamanya. Apabila ia teguh dalam agamanya, ujian baginya akan ditambah. Apabila ia lemah dalam agamanya, ujiannya akan diringankan. Ujian itu akan sering dilalui oleh seorang hamba sehingga ia mencapai hidup di atas muka bumi ini dengan tidak memiliki satu dosa atau kesalahan pun” [HR an Nasa’I, Ahmad, Ibn Majah, Ibn Hibban ad Darimi, al Hakim dan at Tirmidzi].

‘Aisyah RA juga ada menuturkan bahawa Nabi SAW bersabda, “Sesungguhnya orang-orang soleh itu akan mengalami ujian berat. Sebab, tidak ada satu duri pun mengenai seseorang mukmin atau yang lebih besar dari itu, kecuali dihapuskan satu dosa atau kesalahan darinya dan ia diangkat satu darjat” [HR Ahmad, Ibn Hibban, al Bayhaqi dan adz Dzahabi].

Oleh itu, sabar dan reda dalam menerima dan memegang amanah Allah memerlukan pengorbanan yang tinggi. Pengorbanan yang ikhlas semata-mata kerana Allah SWT, tanpa mengenal keluh kesah, mengadu apatah lagi bersedih walaupun tubuh mereka terluka atau kehilangan orang tersayang. Sesungguhnya penawar daripada pelbagai tentangan tersebut adalah harapan tinggi untuk meraih ridhwanullah.

Seandainya Muslimah ketika ini mempunyai cita-cita semulia sahabiyah zaman baginda Rasulullah SAW seperti Ummu Imaroh, nescaya mereka tidak mudah melupakan Allah SWT dan berputus asa daripada RahmatNya. Tentangan perjuangan pasti datang silih berganti, namun janji Allah SWT pasti ditepati. Dia akan menolong orang-orang yang menolong agamaNya. Jika kaum Muslimin saat ini kembali kepada agama Allah SWT secara kaffah, menjunjung tinggi syariat Islam sebagai satu-satunya pengatur kehidupan mereka, nescaya umat Islam mampu keluar dari kemerosotan, kehinaan dan ancaman musuh-musuh Islam. Semua itu telah dibuktikan sendiri oleh Ummu Imaroh, salah satu contoh Muslimah yang sabar dan reda menerima dan memegang amanah Allah ketika orang lain mengingkarinya, ia telah memperoleh kemenangan hakiki ketika segala daya dan usaha telah dicurahkan untuk menolong agama Allah SWT walaupun terpaksa menjalani pelbagai kesulitan dan kesakitan.

Wallahu a’lam...


Rujukan :
1. Pengemban Dakwah kewajiban dan sifat-sifatnya, Mahmud Abdul Latif Uwaidhah. 2012.
2. Hikmah-hikmah bertutur, Arief B. Iskandar. Al Azhar Press. 2009.
3. Pesan-pesan Menggugah, Dr Najih Ibrahim. Al Azhar Press. 2009.
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment