Sistem Kapitalis Hanya Akan Menyuburkan Pesta Maksiat!

Oleh: Nazirah Abdul Rahman (Ahli Lajnah I'lamiyyah MHTM)

BERITA penangkapan pasangan kekasih yang didapati sedang berdua-duaan di tempat yang sunyi seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian bertarikh 6 April 2015 sudah menjadi perkara yang biasa dalam masyarakat pada hari ini. Perkara maksiat sebegini masih sering berlaku walaupun pihak yang berwajib telah menjalankan tanggungjawab mereka dengan melakukan serbuan dan penangkapan di tempat berlakunya perkara terkutuk ini.

Kejadian ini berlaku di hotel Changlun, yang melibatkan seorang ibu tunggal yang berasal dari selatan Thailand dan didapati sedang berdua-duaan di tempat sunyi dengan seorang lelaki dari Shah Alam. Peristiwa ini hanya secebis kisah maksiat yang berlaku akibat tiadanya penerapan Islam di dalam kehidupan.

Sudah menjadi kewajipan setiap Muslim untuk melakukan yang ma’ruf dan mencegah kemungkaran. Sebagaimana Allah SWT berfirman,

“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia (kerana kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)” [TMQ Ali-Imran (3):110].

Rasulullah SAW juga bersabda,

“Siapa yang melihat kemungkaran hendaklah dia mengubahnya (taghyir) dengan tangan, jika tidak mampu hendaklah mengubahnya dengan lidah, jika tidak mampu hendaklah dia mengubahnya dengan hati dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman” [HR Muslim].

Malangnya, sistem kapitalis yang hanya mementingkan keuntungan semata-mata telah membuatkan pihak hotel membenarkan pasangan terbabit menginap di hotel tanpa melakukan penyelidikan dan pemeriksaan terlebih dahulu. Seharusnya setiap pasangan yang akan menginap di hotel perlu mempunyai bukti yang kukuh bahawa mereka adalah pasangan suami isteri yang sah ataupun mempunyai hubungan mahram.

Tindakan Pegawai Agama Daerah Kubang Pasu dan anggota-anggotanya yang melakukan penangkapan terhadap pasangan ini sememangnya merupakan satu tanggungjawab. Usaha murni ini bertujuan untuk melakukan amar ma’ruf nahi mungkar.


Namun, mencegah daripada berlakunya kemungkaran di dalam perhubungan terlarang yang sekaligus akan membawa kepada berlakunya penzinaan merupakan pencegahan awal yang perlu dilaksanakan terlebih dahulu. Dengan kata lain, setiap individu dalam masyarakat perlu diberi pendidikan dan pendedahan mengenai hubungan di antara lelaki dan juga perempuan. Individu dalam masyarakat perlu disedarkan dengan kesedaran dan pemahaman yang benar mengenai perkara-perkara yang akan berlaku hasil daripada hubungan keduanya ini. Namun, ketakwaan individu semata-mata belum pasti mampu menjadi benteng utama tanpa kesedaran masyarakat secara menyeluruh.

Oleh yang demikian, kawalan masyarakat memainkan peranan sebagai penghadang kepada maksiat seperti ini dari terus berleluasa. Setelah kawalan individu dan masyarakat berjalan dengan harmoni, maka benteng seterusnya adalah kawalan Pemerintah. Negara merupakan institusi yang memainkan peranan yang besar bagi memastikan pencegahan sekaligus merupakan pihak yang mempunyai kuasa dalam melaksanakan hukuman sebagaiman yang telah ditetapkan oleh Allah swt. Oleh itu, jelaslah bahawa untuk mencegah maksiat, peranan individu, masyarakat dan pemerintah (Negara) perlu berjalan serentak. Sistem kapitalis yang rosak yang bercirikan sikap individualistik ini perlu dibuang jauh-jauh. Sistem Islam yang sesuai dengan fitrah manusia dan seisi alam perlu dilaksanakan dan diterapkan di bawah naungan Daulah Islam, pemelihara syariah.
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment