Kubur Pelarian Rohingya: Pemimpin Dan Setiap Muslim Yang Lalai Menanggung Dosa

Penemuan lebih daripada 30 mayat pelarian Rohingya di Mukim Padang Besar, Songkhla, berhampiran sempadan Malaysia-Thailand pada penghujung April lalu merupakan sebahagian kecil daripada bukti kezaliman terhadap Muslim Rohingya yang terperangkap dalam sindiket pemerdagangan manusia setelah melarikan diri daripada penindasan yang menimpa mereka di tanah air mereka sendiri.

Menurut laporan akhbar The Bangkok Post bertarikh 1 Mei 2015, kira-kira 50 buah kubur telah ditemui di sekitar kawasan kem pelarian tersebut. Hasil daripada siasatan, mayat tersebut merupakan sebahagian daripada kira-kira 200-300 pelarian Rohingya yang ditempatkan di kem tersebut sebelum diseludup masuk melepasi sempadan Thailand-Malaysia.

Keadaan kem tersebut tidak ubah seperti penjara di mana pelarian-pelarian tersebut ditempatkan di dalam kurungan yang diperbuat daripada pokok buluh sehingga bayaran upah diterima daripada sanak-saudara pelarian. Malangnya, meskipun bayaran telah dibuat, terdapat sebahagian daripada pelarian yang jatuh sakit dan tidak berupaya untuk bergerak yang ditinggalkan begitu sahaja tanpa sebarang bantuan.

Sudah jatuh ditimpa tangga, inilah nasib pelarian Rohingya lari akibat penindasan di bumi sendiri dan terpaksa berdepan pula dengan kekejaman pihak yang mengambil kesempatan mengaut keuntungan melalui sindiket pemerdagangan manusia. Para pelarian dilayan seperti binatang serta dinafikan perkara-perkara asas untuk hidup.

Thailand menjadi laluan dan transit utama bagi pelarian Rohingya daripada Myanmar menuju ke Malaysia bagi mencari kehidupan baru yang lebih selamat. Demikianlah harga darah, air mata dan nyawa yang terpaksa dibayar oleh pelarian Rohingya dalam usaha mereka melarikan diri daripada diskriminasi serta penindasan oleh rejim Myanmar semenjak sekian lama.

Pemimpin kaum Muslimin, khususnya Malaysia, Indonesia dan negeri yang berdekatan sesungguhnya menanggung dosa yang cukup besar apabila tidak mempedulikan nasib Muslim Rohingya ini, apatah lagi rata-rata mereka adalah beragama Islam. Pemerintah sepatutnya bukan sahaja membantu mereka berhijrah dari tempat asal mereka, malah sepatutnya menyediakan tempat tinggal dan memberikan kewarganegaraan kepada mereka di sini kerana tanah Malaysia, Indonesia dan lain-lain wilayah Islam adalah tanah umat Islam secara keseluruhannya.

Pemimpin kaum Muslimin bukan sahaja sudah hilang amanah, malah sudah hilang ketakutan mereka kepada Allah SWT dengan mengabaikan nasib saudara seakidah mereka dari Myanmar ini. Sungguh, Allah SWT pasti akan menghisab para pemimpin ini kerana tidak menggunakan kekuasaan yang ada pada mereka untuk menyelamatkan saudara-saudara seakidah mereka.

Lebih buruk, pemimpin Malaysia tidak sedikitpun menyuarakan bantahan kepada rejim Myanmar dalam hal ini, sebaliknya terus mengekalkan hubungan baik dengan rejim tersebut atas dasar permuafakatan ASEAN!
Semua ini membuktikan betapa umat Islam memerlukan seorang Khalifah yang memerintah dengan Kitabullah dan Sunnah RasulNya, yang akan menyelamatkan kesemua kaum Muslimin yang tertindas dan melawan rejim-rejim kuffar yang melakukan kekejaman ke atas umat Islam.

Selain pemimpin yang menanggung dosa secara langsung kerana membiarkan saudara-saudara mereka dalam keadaan tertindas seperti ini, setiap individu Muslim yang tidak berusaha untuk menukar pemimpin yang buruk ini juga turut menanggung ‘dosa pelaburan’ atas kelalaian masing-masing. Nauzubillah min zalik.

SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment