Diskusi Meja Bulat Rohingya


[REPORT]

Opening Ceremony

"Rohingya: Di Lautan Tanpa Negara ATAU Sebahagian Daripada Khairu Ummah?"

Krisis Muslim Rohingya sekali lagi mencuri tumpuan Malaysia dan Indonesia bahkan dunia amnya buat seketika apabila ribuan daripada mereka hanyut di tengah lautan dalam usaha melarikan diri dan mencari perlindungan dari kekejaman ekstremis Buddha dan rejim Myanmar. Mereka dikatakan ditinggal terkapai-kapai oleh sindiket penyeludupan manusia yang bergerak antara Thailand-Malaysia-Indonesia. Sebelum itu, pada awal April lepas, sebuah kubur besar dijumpai di hutan Songkhla, Thailand di mana mayat-mayat pelarian Rohingya yang meninggal dalam keadaan serba daif, ditanam beramai-ramai. Thailand menjadi negara transit sebelum pelarian Rohingya ini dibawa ke Malaysia atau Indonesia melalui jalan laut. Sudah jatuh ditimpa tangga, begitulah nasib Muslim Rohingya apabila ribuan daripada mereka tidak mampu berbuat apa-apa setelah ditinggalkan di tengah-tengah lautan. Sebahagian mereka bernasib baik apabila berjaya sampai ke daratan setelah berminggu-minggu melalui perjalanan maut.

Bahagian Wanita di Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir telah melancarkan kempen global untuk membawa perhatian antarabangsa kepada penyeksaan wanita dan kanak-kanak Rohingya yang semakin teruk dan mengerikan. Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia dengan kerjasama Bahagian Wanita di Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir dan Khilafah Centre turut menyelenggarakan Rundingan meja Bulat dengan mengangkat tema "Rohingya: Di Lautan Tanpa Negara ATAU Sebahagian Daripada Khairu Ummah?". Rundingan Meja Bulat akan mengetengahkan penindasan yang semakin meningkat, dasar aparteid yang menindas, dan penyembelihan yang ditaja oleh kerajaan yang dihadapi oleh wanita dan kanak-kanak Rohingya dan telah menyebabkan ribuan dari mereka terpaksa lari dari tempat tinggal mereka.

Rundingan Meja Bulat yang akan dihadiri oleh oleh para tokoh ilmuan, intelektual dan media turut membincangkan peranan ASEAN dalam menangani masalah ini. Selain itu, para panel yang juga didatangkan khas dari Indonesia, Australia dan Wilayah Arab turut memfokuskan usaha dan tindakan negara-negara umat Islam dan Barat melalui perjanjian-perjanjian dan resolusi-resolusi yang telah dimeterai. Adakah perjanjian dan resolusi ini mampu untuk memberikan harapan baru buat Muslim Rohingya?
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment