Hidupkan Ukhuwah Islamiyah, Tinggalkan Assabiyyah!

Tafsir Ayat

Allah S.W.T berfirman:

(Sesungguhnya orang-orang Mukmin itu bersaudara). Berdasarkan ayat ini, dapat disimpulkan bahawa sebab utama yang menyatukan sesama individu Mukmin itu adalah atas dasar ukhuwah (persaudaraan) Islamiyah kerana persamaan akidah. Ayat ini juga turut menekankan bahawa ukhuwah kaum Mukmin atas dasar akidah ini adalah sangat kuat, malah lebih kuat daripada persaudaraan atas dasar nasab (ikatan darah). Hal ini dapat dilihat dari beberapa sudut: Pertama, penggunaan kata ikhwah dan kata ikhwan - yang merupakan jamak dari kata akh[un] (saudara). Kata ikhwah dan ikhwan dalam penggunaannya boleh saling menggantikan. Namun, umumnya kata ikhwah digunakan untuk merujuk saudara senasab, sedangkan kata ikhwan pula untuk merujuk kawan atau sahabat. Penggunaan kata ikhwah dalam ayat ini membuktikan bahawa ukhuwah sesama Muslim itu lebih dari sekadar persahabatan atau kawan-kawan biasa.

Kedua, ayat ini dimulakan dengan kata.Walaupun secara ter-minologi bahasa, kata innama tidak semestinya membawa maksud hasyr (pembatasan), tetapi dalam ayat ini, kata innama membawa makna hasyr. Maksudnya, tidak ada persaudaraan kecuali antara sesama Mukmin, dan tidak mungkin ada persaudaraan antara Mukmin dan kafir. Ini mengisyaratkan bahawa ukhuwah Islam adalah lebih kuat daripada persaudaraan nasab. Persaudaraan nasab boleh terputus kerana perbezaan agama. Sebaliknya, ukhuwah Islam tidak boleh (malah hukumnya haram) terputus kerana perbezaan nasab. Bahkan, persaudaraan nasab dianggap tidak wujud jika ia tidak disertai dengan persaudaraan (akidah) Islam.

Hal ini dapat dibuktikan dengan melakukan penelitian dalam beberapa hukum-hukum syarak, seperti dalam masalah pewarisan. Tidak ada hak waris antara Mukmin dan kafir dan sebaliknya. Jika seorang Muslim meninggal dunia dan dia hanya memiliki saudara senasab yang kafir, saudaranya yang kafir itu tidak layak mewarisi hartanya. Malah, hartanya itu akan menjadi milik kaum Muslimin. Sebaliknya, jika saudaranya yang kafir itu meninggal dunia, dia tidak boleh mewarisi harta saudaranya itu.

Contoh yang lain dapat dilihat dalam hal kekuasaan. Umat Islam tidak boleh menjadikan orang kafir sebagai wali (pemimpin), sekalipun ia adalah bapa-bapa dan saudara-saudara mereka [lihat TMQ at-Taubah [9]: 23].

Kemudian, Allah S.W.T berfirman:

(kerana itu, damaikanlah di antara kedua saudara kalian). Lumrahnya sebagai saudara, kehidupan mereka akan diliputi rasa cinta, kasih sayang dan perdamaian. Jika terjadi persengketaan dan peperangan antara mereka, sesungguhnya itu adalah tindakan penyimpangan. Maka, wajib untuk mengishlahkan (memperbaiki hubungan) mereka yang bersengketa, iaitu dengan mengajak mereka untuk mencari penyelesaiannya dengan kembali kepada hukum Allah dan RasulNya.

Perkataan akhawaykum (kedua saudara kalian) menunjukkan jumlah minimum individu Muslim yang berkemungkinan terlibat dalam persengketaan. Jika dua orang Muslim sahaja yang bersengketa sudah wajib untuk didamaikan, apatah lagi jika jumlahnya lebih dari dua orang!

Kata akhaway (dua orang saudara) yang digunakan dalam ayat ini memberikan makna, bahawa persengketaan atau pertikaian antara mereka tidak akan mengeluarkan mereka dari tubuh kaum Muslim. Mereka tetap sahaja disebut sebagai saudara seakidah. Ayat sebelumnya juga menyebut dua kelompok yang saling berperang sebagai Mukmin. Perkataan akhaway yang di-mudhaf-kan dengan kum (kalian - pihak yang diperintahkan) adalah lebih menegaskan kewajipan islah (mendamaikan) itu, sekaligus menunjukkan takhsis (pengkhususan) atasnya. Maka, segala persengketaan antara sesama Mukmin adalah persoalan internal umat Islam yang wajib diselesaikan sendiri oleh mereka.

Selanjutnya Allah S.W.T berfirman:


(dan bertakwalah kalian kepada Allah supaya kalian mendapat rahmat). Takwa wajib dijadikan panduan dalam melakukan islah dalam semua perkara. Ketika melakukan islah, kaum Mukmin wajib terikat dengan kebenaran dan keadilan, tidak berbuat zalim dan tidak cenderung kepada salah satu pihak.

Hal ini kerana mereka semua adalah bersaudara yang kedudukannya sama di sisi Islam. Maka, persengketaan itu wajib diselesaikan sesuai dengan ketentuan hukum-hukum Allah, iaitu ber-tahkim pada syariat. Semoga dengan itu, mereka akan beroleh rahmat dari Allah S.W.T.

Meninggalkan ‘Assabiyyah

Jelas sekali, ayat ini mewajibkan umat Islam agar bersatu dengan akidah Islam sebagai landasan penyatuan mereka. Islam menolak setiap pemikiran yang tidak didasarkan oleh akidah Islam. Nasionalisme contohnya, adalah haram di sisi Islam kerana ia termasuk dalam perbuatan ‘assabiyyah (fanatik golongan). Rasulullah S.A.W bersabda,

“Bukanlah dari kami orang-orang yang menyeru kepada ‘assabiyyah, berperang atas dasar ‘assabiyyah dan mati kerana (mempertahankan) ‘assabiyyah” [HR Abu Daud].

Seseorang pernah bertanya kepada Rasulullah S.A.W, “Apakah seseorang mencintai kaumnya termasuk ‘assabiyyah?” Beliau menjawab: “Tidak, akan tetapi termasuk ‘assabiyyah jika seseorang menolong kaumnya atas dasar kezaliman” [HR. Ibnu Majah].

Nasionalisme adalah pemikiran yang menjadikan persamaan bangsa sebagai dasar penyatuan individu dalam sebuah masyarakat. Pemikiran ini termasuk sebahagian daripada seruan-seruan jahiliyah (da’wah al-jahiliyyah). Nasionalisme menjadikan ketaataan dan pembelaan terhadap bangsa berada di atas ketaatan dan pembelaan terhadap Islam.Halal-haram pun akan dikalahkan ketika bertembung dengan ‘kepentingan nasional’. Akibatnya, kepentingan bangsa, walaupun menyalahi syariat, akan dibela.Jelaslah, fahaman ini termasuk ‘assabiyyah yang diharamkan dalam Islam.

Mewujudkan Ukhuwah Islamiyah

Ukhuwah Islamiyyah wajib untuk diwujudkan secara nyata dalam kehidupan. Hukum-hukum syariat Islam telah banyak menyebutkan sikap dan perilaku sebagai lambang kepada ukhuwah Islamiyyah ini. Misalnya, sikap saling mencintai sesamaMuslim. Rasulullah S.A.W bersabda,

“Kalian tidak akan masuk syurga hingga kalian beriman dan belum sempurna keimanan kalian hingga kalian saling mencintai…” [HR. Muslim].


Kaum Muslimin juga wajib saling bersikap dzillah iaitu berkasih sayang, belas kasihan dan lemah lembut [lihat TMQ al-Ma’idah (5): 54]; bersikap rahmah terhadap umat Islam [lihat TMQ al-Fath (48): 29]; dan rendah hati kepada kaum Mukmin [lihat TMQ al-Hijr (15): 88].

Kaum Muslimin juga diperintahkan untuk tolong-menolong, membantu keperluan dan menghilangkan kesusahan saudaranya, melindungi kehormatan, harta dan darahnya, menjaga rahsianya, menerima permintaan maafnya dan saling memberikan nasihat. Perlu juga ditekankan bahawa ukhuwah Islamiyyah ini tidak hanya bersifat individual, tetapi juga perlu diwujudkan dalam sistem kehidupan untuk memastikan ia dapat dimanifestasikan dalam komuniti Muslim. Di sinilah Islam telah mewajibkan umatnya agar memiliki hanya sebuah negara dan satu kepimpinan yang dipimpin oleh seorang Khalifah. Rasulullah S.A.W bersabda,


“Jika dibaiat dua orang khalifah, maka bunuhlah yang terakhir dari keduanya” [HR. Muslim].

Islam juga melarang setiap usaha untuk memisahkan diri daripada Khilafah. Allah S.W.T memerintahkan Khalifah untuk memerangi kaum penentang (bughat) hingga mereka kembali tunduk kepada Khilafah [lihat TMQ al-Hujurat (49): 9]. Nabi S.A.W pernah bersabda,
“Siapa saja yang datang kepada kalian sedangkan urusan kalian berada di tangan seseorang (Khalifah), lalu dia hendak memecah-belahkan ikatan kesatuan dan mencerai-beraikan jamaah kalian, maka bunuhlah dia” [HR. Muslim dari Ar Fajah].

Islam menetapkan bahawa penyatuan umat dan negara merupakan salah satu qadhiyyah masiriyyah (perkara utama) untuk diselesaikan. Dengan penyatuan itu, kaum Mukmin menjadi kuat, sebagaimana sabda Rasul S.A.W.

“Mukmin dengan Mukmin lainnya bagaikan satu bangunan; sebahagian menguatkan sebahagian lainnya” [HR. Bukhari, at-Tirmidzi, an-Nasa’i dan Ahmad].

Ukhuwah Islamiyah wajib dimanifestasikan secara nyata dalam kehidupan dan tidak hanya disebut dengan lisan sahaja. Kaum Muslimin wajib saling bersikap kasih-sayang, lemah lembut dan rahmah terhadap sesama Muslim. Islam menuntut supaya kita memuliakan saudara kita, membangunkan rasa tanggungjawab, iaitu sense of responsibility ketika melihat saudara kita teraniaya meskipun mereka jauh dari pandangan mata kita.

Tidak kira di mana mereka berada, sama ada di Palestin, Rohingya, Syria atau di belahan dunia mana sekalipun, hatta walaupun tidak ada pertalian darah dan nasab dengan kita. Islam juga menuntut supaya kita menolong mereka, menghilangkan kesusahan mereka dan melindungi kehormatan, harta dan darah mereka.

Khatimah

Islam mewajibkan umatnya agar bersatu dengan akidah Islam sebagai landasan penyatuan mereka. Islam menolak setiap fahaman selain akidah Islam sebagai dasar penyatuan umat. Realitinya pada hari ini, kaum Muslimin berada dalam keadaan yang amat mendukacitakan kerana mereka sedang terpecah belah kepada banyak negara yang menyebabkan mereka menjadi umat yang lemah, terpecah-belah, dan mudah diadu-domba. Dalam keadaan begini, kaum Muslimin mudah dikuasai musuh-musuh mereka. Keadaan ukhuwah umat Islam juga sedang berada dalam keadaan kacau-bilau yang wajib untuk diperbetulkan segera.

Tidak ada jalan penyelesaian lain lagi untuk mempersatukan umat Islam kecuali dengan penegakan semula Daulah Khilafah Islamiyyah. InsyaAllah, dengan tertegaknya Daulah Khilafah, ukhuwah Islamiyyah yang hakiki sudah pasti dapat dikembalikan semula. Kaum Muslimin pasti dapat meraih semula kejayaan dan kegemilangan seperti yang telah dikecapi oleh mereka yang terdahulu daripada kita. Allahu Akbar!


Rujukan :

1. Terjemahan Al Quran oleh Yayasan Penyelenggara Pen-terjemah/Pentafsir Al Quran Menteri Agama Indonesia.
2. English Translation Tafsir Ibn Kathir (Abridged) Darussalam.
3. Al-Alusi, Ruh al-Ma’ani, 13/303; Abu Hayyan al-Andalusi, Tafsir al-Bahr al-Muhith, 8/111.
4. Wahbah az-Zuhayli, Tafsir al-Munir, 25/239.
5. Abdurrahman al-Maliki, Nizham al-‘Uqubat, hlm. 79, Dar al-Ummah, Beirut. 1990.
6. Abdul Qadim Zallum, Kayfa Hudimat al-Khilafah, hlm. 197, Dar al-Ummah, Beirut. 1990.
7. Rokhmat S. Labib, Persaudaraan Islam Yang Hakiki, Publikasi 31/05/2005 hayatulislam.net
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment