Hukum Wanita Mengerjakan Haji & Umrah Tanpa Mahram Atau Dengan “Mahram Tumpang”

Soalan:

Saya berhasrat untuk pergi menunaikan umrah tidak lama lagi bersama rakan-rakan. Tetapi saya belum berkahwin serta tidak mempunyai saudara-mara lelaki yang boleh menemani saya. Bolehkah saya pergi menunaikan umrah dengan ‘menumpang’ mahram rakan saya yang ditemani suaminya?

Jawapan:

Kini kita semakin menghampiri bulan Zulkaedah yang sangat sinonim sebagai bulan haji yang amat dinanti-nantikan oleh umat Islam yang ingin mengerjakan rukun Islam kelima iaitu ibadah haji di Baitullah. Umat Islam sama ada lelaki mahupun wanita, masing-masing merebut peluang berharga ini untuk menjejakkan kaki di Baitullah bagi menunaikan ibadah haji. Di bulan Zulkaedah dan bulan-bulan lain juga, ada sebahagian umat Islam yang mengerjakan umrah ke Baitullah. Kewajipan menunaikan ibadah haji berdasarkan dalil-dalil berikut:

“Padanya terdapat tanda-tanda yang nyata, (di antaranya) maqam Ibrahim; barangsiapa memasukinya (Baitullah itu) menjadi amanlah dia; mengerjakan haji adalah kewajipan manusia terhadap Allah, iaitu (bagi) orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah. barangsiapa mengingkari (kewajipan haji), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari semesta alam” [TMQ Ali-‘Imran (3): 97].

“Dan serulah kepada manusia untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki dan mengenderai unta yang kurus yang datang dari segenap penjuru yang jauh” [TMQ al-Hajj (22): 27].

Dari Ibnu Abbas ra., ia berkata: “Rasulullah S.A.W berkhutbah di hadapan kami, seraya bersabda: “Sesungguhnya Allah telah mewajibkan kamu menunaikan haji.” Maka berdirilah Al Aqra’ bin Khabis seraya berkata: “Apakah dalam setiap tahun, wahai Rasulullah?” Beliau bersabda: “Seandainya aku mengatakannya, ia menjadi wajib. Kewajipan haji sekali dan selebihnya adalah sunat” [HR. Imam lima selain Tirmidzi/Bulughul Maram: 741].

Hukum Safar dengan Mahram Tumpang

Seorang wanita wajib ditemani mahram untuk mengerjakan ibadah haji atau umrah. Di antara syarat-syarat seseorang mahram ialah seorang lelaki, baligh, berakal dan beragama Islam. Selain suami, mahram yang dimaksudkan di sini ialah mahram kekal, iaitu yang tidak boleh dikahwini selama-lamanya seperti bapa, datuk, adik-beradik lelaki dan seumpamanya. Seorang wanita tidak dibolehkan melakukan ibadah haji tanpa mahram, meskipun dia berangkat bersama para wanita dan seorang lelaki yang dipercayai. Hadis sahih telah melarangnya, seperti sabda Rasulullah S.A.W,

“Jangan seorang wanita bermusafir melainkan bersama dengan mahram. Dan jangan bersendirian seorang lelaki dengan seorang wanita melainkan bersama wanita itu mahramnya”. Tiba-tiba seorang lelaki bertanya: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku akan keluar untuk berperang dan isteriku pula hendak pergi menunaikan haji.” Lalu Rasulullah S.A.W. menjawab: “Pergilah kamu bersama isterimu (menunaikan haji)” [Muttafaqun alaihi – HR Bukhari dan Muslim].

Berdasarkan hadis di atas, Rasulullah S.A.W tidak meminta penjelasan kepada lelaki tersebut adakah isterinya itu dalam keadaan aman atau tidak dan apakah ada para wanita dan lelaki yang dipercayai bersamanya atau tidak, padahal keadaannya menghendaki demikian itu, sedangkan suaminya telah menetapkan dirinya untuk ikut berperang. Maka Rasulullah S.A.W memerintahkan kepadanya agar meninggalkan perang dan keluar untuk menunaikan haji bersama isterinya.

Sesungguhnya ahli ilmu telah menyebutkan bahawa wanita ketika tidak memiliki mahram maka dia tidak wajib haji, walaupun sehingga dia mati, tidak perlu berhaji atas namanya (menggantikannya) dengan harta peninggalannya, kerana dia tidak mampu melakukannya. Allah S.W.T hanya mewajibkan haji bagi mereka yang mampu. Mampu di sini termasuklah berkemampuan mengerjakan haji dengan ditemani mahramnya. Rasulullah S.A.W bersabda,

“Tidak halal bagi perempuan yang beriman dengan Allah dan hari akhirat untuk keluar tiga hari atau lebih, melainkan bersama-samanya bapanya atau saudara kandung lelakinya atau suaminya atau anak lelakinya atau mana-mana mahramnya” [HR Bukhari dan Muslim] (di dalam riwayat lain ada dinyatakan satu hari satu malam dan ada yang menyebut dua hari dua malam).

Sehubungan dengan itu, ia sekaligus menolak istilah “mahram tumpang” yang sering diamalkan untuk menunaikan haji dan umrah. Perkara ini bukan menutup peluang wanita untuk mengerjakan haji atau umrah, bukan juga merupakan satu diskriminasi kepada kaum wanita. Tetapi hukum ini adalah hukum yang telah ditetapkan oleh Islam untuk kemashlahatan wanita itu sendiri. Sebagai seorang Muslim, kita telah sedia maklum bahawa apa-apa ketetapan yang dibuat oleh Allah dan RasulNya, adalah hukum yang wajib dipatuhi. Adalah jelas sekiranya syarat mahram tidak dipenuhi maka hukum wajib haji dan umrah kepada seseorang wanita tidak berlaku.

Setiap orang Islam perlu melakukan ibadah yang terbaik dan ibadah yang terbaik ialah menepati syariat. Maka mestilah difahami dengan benar bahawa dalam bab mahram, Islam tidak memiliki istilah “mahram tumpang”. Oleh itu, dalam melaksanakan ibadah kepada Allah S.W.T, perkara-perkara yang melibatkan tatacara dan hukum-hakam ini mestilah dipatuhi secara tauqifiyyah (seadanya, tanpa menambah-nambah) bagi memastikan hukum terpelihara dan tidak mendapat kemurkaan Allah S.W.T.

Khatimah

Oleh yang demikian, seorang wanita yang benar-benar bertakwa kepada Allah Azza wa Jalla, dan hendaknya dia tidak mengerjakan haji dan umrah kecuali bersama mahramnya. Adapun kaum lelaki yang telah dijadikan oleh Allah S.W.T sebagai pemimpin bagi wanita, juga wajib bertakwa kepada Allah Azza wa Jalla dan tidak membiarkan wanita-wanita mereka keluar untuk mengerjakan haji dan umrah tanpa mahram. Dan janganlah sampai agama Allah ini sirna dari diri-diri mereka, kerana seseorang akan dimintai pertanggungjawaban (dihisab) tentang isterinya dan keluarganya kerana Allah S.W.T telah menjadikan keluarganya sebagai amanah untuknya. Allah S.W.T berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak menderhakai Allah ter-hadap apa yang diperintahkanNya kepada mereka dan mereka selalu mengerjakan apa yang diperintah-kan” [TMQ at-Tahrim (66):6].

Wallahu a'lam.

Rujukan:

• Al-Quran

SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment