Kain Sarong vs Kod Etika Berpakaian

Oleh: Rojana Md Noor (Ahli Lajnah I'lamiyyah MHTM)

Isu kain sarong @ kain batik tiba-tiba menjadi viral hangat di media sosial serta mendapat liputan meluas media tempatan baru-baru ini berikutan tindakan seorang pelanggan JPJ yang berpakaian skirt di atas paras lutut diberi kain sarong untuk dipakai ketika berurusan di kaunter JPJ Wangsa Maju dimuat naik di laman sosial miliknya. Isu ini menerima kritikan hebat dari pelbagai pihak khususnya wakil rakyat pelbagai parti dan Menteri Pengangkutan sendiri yang merupakan ‘bos besar’ kepada JPJ. Apa yang tidak kena dengan isu ini? Adakah kain sarong atau kod etika berpakaian atau pelaksanaan kod etika atau apa-apa yang selainnya?

Wanita tersebut mendakwa "Mereka menyerahkan kain tersebut kepada saya dan saya percaya borang pemindahan saya tidak akan ditandatangani sekiranya saya membuat kekecohan di situ,". Berikutan dari kejadian tersebut, pihak JPJ segera meminta maaf dari wanita itu dan menegaskan JPJ tidak ada sebarang peraturan mengenai kain sarong. Tidak cukup dengan tindakan maaf, JPJ telah dengan segera membuat siasatan dan berjanji akan mendapatkan laporan dari pegawai terbabit sekiranya dakwaan wanita ‘berkain sarong’ ini benar. (http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2015/06/09/sarong/)

Ironisnya di sini, tindakan pegawai JPJ tersebut telah diselar sedemikian rupa dan dianggap sebagai biadap, semata-mata kerana memberi kain sarong kepada seorang pelanggan perempuan yang datang berurusan dengan memakai skirt di atas paras lutut. Apa pula agaknya reaksi yang bakal timbul sekiranya wanita tersbut diberikan kertas suratkhabar atau kotak untuk menutup bahagian lutut dan betisnya sekiranya kain sarong dianggap biadab?

Rakyat Malaysia sebenarnya sedia maklum mengenai kod etika berpakaian di premis kerajaan. Malah poster-poster mengenai kod etika berpakaian terpampang dengan begitu jelas di dinding-dinding premis kerajaan. Namun, etika hanya tinggal etika, kod hanya tinggal kod apabila ianya diniatkan sebagai hiasan dinding semata-mata ataupan ianya tinggal sebagai aksara-aksara untuk tatapan mata sahaja. Dengan kata lain, dari segi pelaksanaannya, tiada apa-apa tindakan yang boleh dikenakan sekiranya kod etika tersebut tidak dipatuhi.

Perkara sebegini sebenarnya terjadi kepada hampir kesemua kod etika, iaitu dari segi pelaksanaannya, sekiranya berlaku sebarang ketidakpatuhan atau pelanggaran kepada mana-mana kod etika, tiada sebarang tindakan yang boleh diambil sama ada tindakan pembetulan atau tindakan pencegahan, jauh sekali dari tindakan undang-undang. Maka isu di atas sebenarnya adalah satu isu yang wajar berlaku di dalam amalan sistem sekular yang sangat terkenal dengan sistem buatan manusia dan tidak mencampurkan unsur-unsur moral jauh sekali unsur-unsur agama dalam hal-hal penerapan nilainya.

Ini adalah sebahagian dari natijah amalan sistem sekular dalam kehidupan. Orang yang berbuat baik dianggap biadab justru, orang yang berkelakuan biadab pula dianggap benar dan tidak bersalah dan harus dipertahankan. Tindakan mulia pegawai JPJ yang bersifat amar makruf nahi mungkar tersebut telah membawa padah dan bakal menerima tindakan susulan dari bosnya. Manakala perempuan yang berskirt pendek selepas ini akan dengan bebasnya muncul di premis-premis kerajaan.

Oleh yang demikian, peraturan terbaik yang perlu dirujuk bukanlah kod etika pakaian, tetapi wajib kembali kepada peraturan yang telah ditetapkan di dalam Islam. Islam memiliki pandangan khusus tentang pakaian. Peraturan ini termaktub di dalam kitab Al-Quran sejak dahulu dan tidak akan berubah dan diubah walau semua umat Islam tidak mahu mengikutinya.

Firman Allah SWT:

"Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian takwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat" [TQM al-A’raf (7): 26].

Begitulah hebatnya Islam sebagai sebuah ideaologi yang diturunkan untuk mengatur kehidupan manusia, sebagaimana makan dan minum, pakaian juga merupakan keperluan asas yang perlu diurusi dan ditetapkan hukumnya bagi memenuhi tujuan sebenar berpakaian. Ayat di atas juga menjelaskan tentang pakaian terbaik buat manusia. Jika hari isu seumpama berlaku kepada wanita non-Muslim, dibimbangi sedikit masa lagi kepincangan ini akan menular kepada wanita-wanita Muslim pula kerana sistem yang ada tidak menggariskan peraturan pakaian yang sebenar serta tidak menjamin aurat wanita dijaga dengan sempurna.
Nau’zubillahiminzalik
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment