Pernikahan Sejenis : Racun Demokrasi Yang Merosakkan!


Oleh: Nurul Shafiqah Abdul Hakim (Ahli Lajnah I'lamiyyah MHTM)

Pada hari Jumaat, 26 Jun lalu, Mahkamah Agung Amerika Syarikat memutuskan pernikahan sejenis dibenarkan di seluruh wilayah di Amerika Syarikat. Menurut Anthony Kennedy (Hakim Bersekutu Mahkamah Agung Amerika Syarikat) golongan gay ini mempunyai hak untuk bernikah dan tiada siapa boleh menghalang pernikahan sejenis tersebut.

Di media sosial, sebahagian besar pengguna di seluruh dunia khususnya di Amerika Syarikat menggunakan hashtag #LoveWins dan menambahkan filter pelangi di gambar profil mereka sebagai tanda sokongan kepada keputusan yang telah ditetapkan oleh Mahkamah Agung Amerika Syarikat dan juga golongan gay/lesbian.

Melihat kepada keadaan di sekeliling kita, terlalu banyak perkara mungkar yang sedang berlaku hasil daripada penerapan sistem kufur yang mengatur kehidupan manusia pada hari ini. Keputusan mahkamah yang membenarkan hubungan/perkahwinan sejenis ini hanyalah secebis daripada kerosakan yang lahir daripada sistem yang buruk ini.

Ajaran Islam tentang cara hidup sangat berbeza dengan ajaran hidup bebas yang dibawa oleh demokrasi. Menurut ajaran demokrasi, kebebasan individu adalah sesuatu yang amat suci dan mesti dihormati oleh setiap orang termasuk Negara. Seseorang bebas melakukan apa sahaja asalkan tidak mengganggu orang lain. Justeru, hubungan sejenis adalah tidak salah kerana ini merupakan hak individu yang tidak boleh dihalang oleh individu lain. Inilah ajaran demokrasi!

Padahal, Allah SWT telah menceritakan perihal kaum Nabi Luth iaitu Kaum Sadum yang mengamalkan budaya hubungan songsang serta azab yang ditimpakan Allah kepada mereka kerana perbuatan maksiat yang dilakukan. Firman Allah dalam Surah Hud ayat 82-83 yang bermaksud :
“Ketika seksaan dari Kami (Allah) itu datang, maka Kami jadikan negeri kaum Luth itu yang di atas dibalikkan ke bawah dan Kami turunkan hujan seksa ke atas mereka yang berupa batu, tanah yang terbakar dengan bertubi-tubi, yang diberi tanda oleh tuhanmu, dan seksaan itu tiadalah jauh dari orang-orang yang zalim” [TMQ Hud : 82-83]

Adakah mereka yang membenarkan, mengamalkan serta menyokong hubungan sejenis ini tidak takut akan azab serta amaran Allah terhadap pelaku hubungan songsang? Adakah mereka tidak mengambil iktibar dari kisah Kaum Sadum yang ditimpakan azab yang pedih kerana perbuatan maksiat yang dilakukan? Sungguh, sistem yang rosak melahirkan umat yang rosak!

Wahai kaum Muslimin! Wujudnya golongan LGBT ini adalah kerana adanya idea kebebasan dalam sistem demokrasi. Sistem kufur ini sememangnya akan membenarkan segala aktiviti maksiat lahir dengan subur dan bermaharajalela. Sampai bilakah pihak berkuasa dan pihak pemerintah akan sedar bahawa undang-undang buatan manusia yang mereka amalkan selama ini tidak pernah dapat malah tidak akan mampu menyelesaikan masalah sosial yang kian meruncing? Sebaliknya semakin banyak menimbulkan masalah dan mencipta kerosakan baru kepada umat manusia. Hanya hukum Allah sahaja yang mampu mengatasi pelbagai masalah yang menimpa umat pada hari ini. Namun, hukum Allah ini tidak akan dapat dilaksanakan selagi mana tidak adanya Daulah Khilafah yang menaungi kita semua.
Wallahu a’lam.
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment