Rombakan Kabinet: Peringatan Untuk Najib

Tindakan Datuk Seri Najib Tun Razak menggugurkan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal serta beberapa menteri yang lain sudah pasti mengundang ketidakpuasan hati para penyokong kedua-dua pemimpin tertinggi UMNO itu.

Walaupun Muhyiddin dan Shafie tidak nampak atau belum dapat menggugat kedudukan Najib semasa mereka memegang jawatan masing-masing, namun setelah dipecat dengan cara yang agak mengaibkan seperti ini, tidak mustahil yang mereka akan bertindak balas, apatah lagi jika ditekan oleh para penyokong masing-masing dan tidak mustahil kedudukan Najib akan tergugat selepas ini.


Najib sudah pasti mengambil kira segala strategi, kesan dan percaturan sebelum membuat keputusan, namun ini tidak bermakna yang percaturan Najib akan membuahkan hasil atau dengan kata lain dapat menyelamatkan takhtanya. Mungkin sahaja penyokong kedua-dua pemimpin tertinggi UMNO itu tidak seramai dan sekuat Najib, namun dalam keadaan sekarang di mana kebencian rakyat dan sebahagian ahli UMNO sendiri terhadap Najib, maka segala kemungkinan boleh wujud.

Walaupun Muhyiddin dan Shapie tidak sepenuhnya berada di hati rakyat, namun rasa simpati rakyat dan ahli UMNO terhadap mereka boleh membangkitkan semangat dan perasaan marah rakyat kepada Najib, apatah lagi tatkala Najib diselubungi dengan skandal 1MDB yang penuh kontroversi dan masih belum terjawab.

Kita sudah menyaksikan berapa ramai pemimpin yang terdesak di seluruh dunia sanggup melakukan apa sahaja yang dirasakan dapat menyelamatkan survival politik mereka, tetapi apa yang berlaku ternyata sebaliknya. Lihat sahaja Arab Spring yang masih segar dalam ingatan. Kita telah menyaksikan dengan jelas apa yang berlaku kepada pemimpin apabila rakyat sudah mula membenci dan menolak mereka.

Di Indonesia yang dekat sahaja dengan Malaysia, kita menyaksikan bagaimana Soeharto tersungkur dengan sungguh memalukan apabila rakyat bangkit menentangnya manakala dalam masa yang sama di Malaysia, Mahathir bernasib baik masih dapat bertahan kerana polis dan tentera masih setia kepadanya. Namun, ‘kejayaan’ Mahathir menahan gelombang kebangkitan dan kebencian rakyat terhadapnya tidak sepatutnya ditiru oleh Najib kerana ia akan berakibat kepada bertambahnya kebencian rakyat di samping ketidakstabilan politik yang cukup parah.

Itu dari satu sudut. Dari sudut yang lain, Najib sendiri tentunya sudah dapat mengagak yang kedudukannya sebagai Perdana Menteri sudah tidak lama. Jadi, sisa-sisa kuasa dan kekuatan itu digunakan sepenuhnya untuk terus mempertahankan takhtanya yang sudah goyah. Walhal untuk menyelamatkan kedudukannya, apa yang sepatutnya dilakukan Najib bukanlah dengan membuat rombakan kabinet, memecat menteri itu dan ini dan melantik menteri itu dan ini.

Apa yang sepatutnya dilakukan Najib ialah bertaubat dari kesalahannya menerapkan sistem sekular selama ini dan seterusnya menukarkannya kepada sistem Islam. Dengan kata lain, Najib wajib menggantikan hukum-hukum kufur tinggalan British yang ada sekarang ini dengan hukum Islam berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah. Dengan menerapkan Islam, Insya Allah kesemua menteri yang beragama Islam, malah seluruh rakyat yang beragama Islam akan menyokong Najib.

Namun ternyata, Perdana Menteri Malaysia ini tidak pernah mengambil pengajaran daripada para pemimpin dunia yang telah ditolak oleh rakyatnya sendiri, bagaimana mereka akhirnya jatuh dari kekuasaan dengan cara yang amat mengaibkan. Lebih dari itu, Najib tidak pernah mahu berhukum dengan hukum Islam dalam pemerintahannya yang mengundang bukan sahaja kemarahan umat Islam, tetapi kemurkaan Allah SWT.

Sepatutnya di akhir-akhir hayat politiknya ini, Najib ingat akan firman Allah SWT,

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan pemilik kekuasaan, Engkau berikan kekuasaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kekuasaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sungguh, Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu” [TMQ Ali Imran (3):26].

Sesungguhnya teramat jelas bagi setiap Muslim, baik rakyat apatah lagi pemimpin, bahawa Allah Maha Kuasa untuk mencabut dan memberikan kekuasaan kepada siapa yang Dia kehendaki. Persoalannya, apakah semasa berkuasa, seseorang pemimpin itu menerapkan apa yang Allah kehendaki atau tidak? Jika tidak, maka Allah bukan sahaja berkuasa merentap pemerintahannya di dunia dalam sekelip mata, malah sudah pasti Allah akan mengazabnya di akhirat.

Wallahu a’lam.

SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment