Semarak Ramadhan Dalam Negara Khilafah

Oleh: Ustaz Hafidz Abdurrahman

Nabi SAW pernah bersabda, "Idza ja'a Ramadhan futihat abwab al-jannah (Jika Ramadhan tiba, maka pelbagai pintu syurga telah dibuka)" [HR Muttafaq 'Alaih].


Pintu syurga itu sangat banyak. Siapa sahaja yang ingin dibukakan pintu syurga-Nya, maka dia perlu mengetuk pintu dengan amalan yang dapat membuka pintu tersebut. Ada pintu ar-Rayyan bagi orang yang berpuasa. Semakin banyak berpuasa, maka semakin kuat ketukan seseorang untuk dibukakan pintu ar-Rayyan. Ada Bab al-Jihad bagi orang yang berjihad, maka semakin banyak berjihad, semakin kuat ketukan seseorang untuk dibukakan Bab al-Jihad [pintu jihad]. Ada Bab as-Solat bagi orang yang ahli solat. Semakin banyak mengerjakan solat, maka semakin kuat ketukan seseorang untuk dibukakan Bab as-Solat. Ada Bab as-Shadaqah bagi orang yang ahli sedekah. Semakin banyak bersedekah, maka semakin kuat ketukan seseorang untuk dibukakan Bab as-Shadaqah. Ada Bab al-Birr bagi orang yang ahli taat, termasuk mentaati ibu bapa. Semakin kuat ketaatannya kepada ibu bapa, maka semakin kuat ketukan seseorang untuk dibukakan Bab al-Birr. Dan banyak lagi yang lain.

Oleh kerana itu, ketika umat Islam memahami bahawa pintu-pintu syurga itu telah dibukakan oleh Allah seluas-luasnya pada bulan Ramadhan, maka mereka pun mengisi pelbagai aktiviti yang dapat mengetuk pintu-pintu syurga-Nya. Ramadhan pun semarak dengan bermacam-macam aktiviti ketaatan, bukan kemaksiatan. Ramadhan pun semarak dengan pelbagai aktiviti ibadah, bukan senda gurau, membeli-belah atau lain-lain. Oleh itu, aktiviti ketaatan inilah yang sentiasa dihidupkan oleh umat Islam, begitu juga ketika khilafah menjadi penjaga Islam yang amanah itu.

Pada Malam Hari

Pada malam menjelang Ramadhan, ketika menjelang Maghrib, kaum Muslim pun mencari hilal. Oleh kerana hal ini hukumnya fardhu kifayah, maka tidak perlu dilakukan oleh setiap umat Islam. Oleh itu, sesiapa saja yang menemuinya, maka akan diambil sumpahnya. Setelah dinyatakan sah, maka khalifah kaum Muslim pun berpidato menyampaikan hasil itsbat 1 Ramadhan. Pidato disampaikan dalam bahasa Arab ke seluruh penjuru dunia. Disertakan dengan pesanan penting dari khalifah kepada seluruh umat Islam.

Selepas solat Isyak, kaum Muslim pun melakukan solat Tarawih di masjid-masjid dengan berjamaah. Di ibu negara, khalifah biasanya memimpin secara langsung solat tersebut. Malam itu pun menjadi malam penuh berkat. Pada malam penuh berkat itu, umat Islam tidak seperti malam-malam biasa. Mereka pun menghidupkan malam-malamnya dengan memperbanyak zikir, membaca al-quran dan pelbagai halqah.

Setelah malam berlalu, menjelang Subuh, mereka pun bangun untuk melakukan sunnah sahur. Sahur ini pun di dalamnya mengandungi banyak keberkatan, kata Nabi SAW. Oleh itu, waktu sahur pun tidak pernah terlepas begitu sahaja, kecuali mereka akan gunakan dengan sebaik-baiknya. Setelah mengambil sahur secukupnya, mereka pun tidak tidur, tetapi menghidupkan malam-malamnya dengan memperbanyak zikir, membaca al-quran dan qiyam al-lail. Sebagaimana yang dituturkan oleh Ibn 'Umar.

Suasana malam itu pun kelihatan bersemarak. Lampu-lampu rumah-rumah mereka pun terang-benderang, suasana riuh oleh suara orang sahur, berzikir, bacaan al-quran dan qiyam al-lail pun berdengung bak kumbang. Belum lagi masjid-masjid yang tidak pernah sepi dari orang beribadat.

Pada Siang Hari

Tentu tidak kalah semaraknya adalah siang hari mereka. Suasana ibadah kelihatan. Tidak ada orang makan, minum, merokok dan aktiviti yang boleh membatalkan puasa terlihat di tempat awam. Walaupun itu dilakukan oleh orang non-Muslim atau musafir yang sedang tidak berpuasa. Semuanya menghormati umat Islam yang sedang berpuasa. Puasa pun menjadi syiar, yang tidak hanya dizahirkan oleh Muslim, tetapi juga non-Muslim. Bukan sebaliknya, orang berpuasa diminta menghormati orang yang tidak berpuasa.

Suasana di jalan-jalan, di kedai-kedai, di pejabat-pejabat dan pasar-pasar kelihatan teduh. Tidak ada orang yang cekcok, kerana mereka sedang berpuasa. Mereka berusaha sekuat tenaga menahan diri. Apabila ada yang cuba melakukan provokasi, mereka pun berkata, "Maaf, saya sedang berpuasa." Semangat, kesedaran dan kebiasaan memberi kelihatan begitu menonjol dalam bulan Ramadhan ini. Sebaliknya, semangat, kesedaran dan kebiasaan mengalah, memaafkan pun kelihatan.

Masjid-masjid pun mula padat ketika menjelang azan. Apabila azan dilaungkan, kaum Muslim berbondong-bondong ke masjid untuk menunaikan solat Zohor berjamaah. Mereka memulakannya dengan solat Tahiyyat Masjid, Qabliyah, solat Zohor, kemudian dilanjutkan dengan solat ba'diyah. Selepas itu, waktu mereka pun mereka isi dengan berzikir, membaca al-quran dan aktiviti ketaatan yang lain.

Suasana serupa juga terlihat menjelang Asar. Apabila azan dikumandangkan, kaum Muslim berbondong-bondong ke masjid untuk menunaikan solat Asar berjemaah. Mereka memulakannya dengan sembahyang Tahiyyat Masjid, Qabliyah, solat Asar. Setelah itu, masa mereka pun mereka isi dengan berzikir, membaca al-Quran dan aktiviti ketaatan yang lain. Begitulah suasana siang hari mereka.

Umat Islam pun tidak membiarkan waktu berbuka, kecuali untuk berlumba memberikan sedekah kepada kaum Muslim yang lain, yang hendak berbuka. Suasana masjid-masjid pun tampak semarak dengan orang-orang yang memberikan ta'jil. Pada masa yang sama, pemandangan orang-orang yang menunggu berbuka pun mula kelihatan menjelang Maghrib tiba. Tatkala azan Maghrib berkumandang, perasaan gembira, suka dan bahagia pun terlihat menghiasi wajah-wajah mereka.
Semarak Jihad dan Dakwah

Itu adalah pemandangan biasa yang mewarnai kehidupan umat Islam di wilayah-wilayah mereka. Nun jauh di sana, ada suasana lain, ketika kaum Muslim menjadikan Ramadhan sebagai momentum untuk meraih kemenangan. Sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi SAW dan para sahabat ketika Perang Badar, tahun 2 H dan Penaklukan Kota Mekah, tahun 8 H. Semuanya dilakukan pada bulan Ramadhan.

Untuk melakukan misi tersebut, mereka pun tidak hanya menghidupkan Ramadhan dengan berperang. Tetapi, juga dengan ketaatan yang lain. Bermula dari menguatkan taqarrub mereka dengan Allah, berinfaq, mengasah senjata, penggemblengan pasukan, latihan perang, menyiapkan logistik, kuda, unta dan sebagainya. Mereka pun berangkat ketika berpuasa. Berkilo-kilo meter mereka harungi, dengan berjalan kaki dan naik unta / kuda secara bergilir-gilir.

Maka, Ramadhan pun telah diisi oleh para khalifah setelah mereka dengan pelbagai penaklukan.
Pada 28 Ramadhan 92 H, Thariq bin Ziyad berjaya menakluk Andalusia, Sepanyol. Perang lapan hari itu berjaya dimenangi oleh pasukan kaum Muslim. Selepas itu, Sepanyol pun menjadi salah satu pusat peradaban Islam yang terkenal di Eropah, sehingga Raja George II, Raja Inggeris, Norway dan Sweden menghantar anak perempuannya untuk dididik di sana.

Tarikh 6 Ramadhan 223 H, Khalifah al-Mu'tashim menakluk Ammuriyah, untuk membalas kebiadaban tentera Romawi terhadap seorang wanita Muslimah yang jilbabnya ditarik. Benteng Amuriyah yang mengerikan itu pun berjaya ditawan.

Perang Ain Jalut, juga sama. Tepat pada 24 Ramadhan 658 H, pasukan kaum Muslim berjaya mengalahkan tentera Tatar, yang dipimpin oleh Qutuz dan pembantunya, Baibaras. Seruannya yang terkenal, "Wa Islamah!"

Pada 14 Ramadhan 666 H, Antiokhia juga berjaya ditawan oleh Baibaras. Ketika itu, Antiokhia menjadi pusat kekuatan kaum Salib.

Pada 26 Ramadhan 928 H, Bandar Belgrad berjaya ditawan oleh Khalifah Sulaiman al-Qanuni. Mereka pun mendirikan solat Jumaat pertama di bandar itu.

Itulah semarak Ramadhan pada era Khilafah.
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment