Karya Liberal Terus Merosakkan Rakyat

Oleh: Maizatul Akmar (Ahli Lajnah I'lamiyyah MHTM )

Politik tanah air kita telah diwarnai dengan pelbagai warna dan ragam yang ditunjukkan oleh barisan kepimpinan kita yang diketuai oleh Dato' Seri Najib Abdul Razak. Pelbagai isu, baik dari sudut ekonomi, 1MDB, rombakan kabinet, dan baru-baru ini keluar kenyataan yang menzahirkan kekeliruan serta kecelaruan pemikiran seorang menteri yang juga bergelar muslim terkait isu industri perfileman negara.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said menegur pihak di Lembaga Penapisan Filem (LPF) agar tidak berfikiran sempit dan perlu mengkaji semula garis panduan penapisan bagi penerbitan drama atau filem.

Berikut adalah antara kenyataan beliau dalam mStar Online, "Azalina yang sebelum ini Pengerusi, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) berkata, isu mengenai adegan pasangan bercinta berpegangan tangan atau berpelukan tidak perlu diperbesarkan memandangkan ia sekadar lakonan yang tidak mengundang maksiat terhadap penonton.

Dari kenyataan di atas, jelas beliau mengatakan bahawa adegan pasangan bercinta dan berpegangan tangan tidak mengundang maksiat terhadap penonton. Hal ini jelas menunjukkan betapa jahilnya beliau dalam mengeluarkan hukum. Sedangkan aksi lakonan itu sendiri adalah berstatus maksiat. Apabila akal dan logik digunapakai sebagai standard hukum, dan tidak berlandaskan al-Quran dan sunnah dalam mengeluarkan sesuatu hukum serta pendapat, maka akan banyaklah pendapat-pendapat sampah sebegini rupa.

Katanya lagi, "Isu ini dah jadi agak merepek kerana sesebuah drama atau filem merupakan industri kreatif dan apa yang dipaparkan di televisyen adalah sebuah lakonan."

Apabila perkara ini diangkat sebagai satu "isu" dalam masyarakat, kita boleh katakan umat begitu sensitif dengan adegan-adegan berahi dan melampaui batas norma-norma budaya masyarakat Islam. Ini menunjukkan satu peningkatan tahap pemikiran yang baik bagi masyarakat itu sendiri amnya.

Tambah beliau lagi, "Kalau nak cakap babak-babak itu (berpelukan) boleh mengundang perlakuan tidak senonoh, rasanya tidak perlu medium televisyen, (kerana) di internet, hanya di hujung jari saja sudah boleh mempengaruhi masyarakat."

Ya, memang benar, hal ini berlaku kerana sistem pemerintahan demokrasi kapitalis yang bertunjangkan akal dan logik manusia semata-mata, pengaturan yang haru biru dan membinasakan komuniti manusia sejagat. Manusia bebas berideologi, bebas bertingkah laku, serta bebas mengeluarkan hukum. Ideologi sekularisme yang memisahkan agama dari kehidupan ini telah mencerap cantik dalam benak pemikiran seluruh masyarakat termasuklah barisan para pemimpin.

Kata Azalina lagi, "Kita tak boleh berfikiran sempit. Kalau semua tak boleh, takkan nak bercakap dengan bantal?" katanya kepada mStar Online.

Adakah beliau tidak berfikir sebelum meengeluarkan kenyataan sebegitu rupa? Walhal bercakap dengan bantal itu lebih "mulia" serta tidak mengundang murka Allah jika dibandingkan dengan adegan berpelukan.

Allah SWT telah berfirman dalam Al-Qur’an surah An-Nur ayat 30, yang bermaksud, “Katakanlah kepada orang-orang yang beriman, agar mereka menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.”

Jelas dari firman Allah ini kita hendaklah menjaga pandangan dan memelihara maruah diri. Sudah tentulah adegan berpelukan apatah lagi dengan yang bukan mahram,merupakan sesuatu perkara yang dapat menjatuhkan maruah diri.

Firman Allah lagi “Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk,” (TMQ Al-Isra’: 32).

Oleh itu, hendaklah kita menundukkan pandangan dan menjauhi zina agar kita selamat dari noda-noda dosa. Akar pokok bagi permasalahan ini secara mendasar adalah dari sistem perundangan atau pemerintahan sesebuah negara. Dengan penerapan hukum Allah oleh sang khalifah dalam segenap aspek, insyaAllah isu-isu sebegini akan terpelihara seterusnya masyarakat akan terpelihara dari tontonan adegan-adegan aksi panas dan sebagainya. Selain itu, kita juga akan disatukan dengan pemikiran, perasaan dan peraturan yang sama.

Bukan sekadar itu, dengan penerapan sistem perundangan Islam, barisan pimpinan kita juga adalah dikalangan orang-orang yang faqih dan beriman insyaAllah.

Sumber berita: mstar.com.my
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment