Klasifikasi Tentera Dalam Negara Khilafah

Allah SWT mewajibkan semua umat Islam untuk berjihad. Mereka semua termasuk dalam firman Allah SWT:

كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِتَالُ

"Diwajibkan atas kamu berperang" (TMQ al-Baqarah [2]: 216).

Walau bagaimanapun, adakah semua orang Islam diwajibkan untuk pergi ke medan pertempuran, meninggalkan bandar-bandar dan kampong-kampung mereka, dengan meninggalkan semua aktiviti harian yang selama ini telah menjadi rutinnya?

Kajian Buku kali ini akan membincangkan Draf Perlembagaan (Masyru’ Dustur) Negara Islam pasal 63, yang berbunyi:

“Tentera ini terdiri daripada dua bahagian: Pertama, pasukan simpanan yang terdiri daripada semua umat Islam yang mampu untuk memikul senjata. Kedua, pasukan tetap yang mendapat gaji dan masuk anggaran belanjawan sebagaimana kakitangan awam yang lain.” (Hizbut Tahrir, Masyru’ Dustur Dawlah al-Khilafah, hlm. 18).


Klasifikasi Tentera

Tentera dalam Negara Islam diklasifikasikan menjadi dua kumpulan. Pertama: Pasukan tetap yang mendapat gaji dari anggaran belanjawan sebagaimana para kakitangan awam lain.Kedua: pasukan simpanan yang terdiri daripada semua umat Islam yang mampu untuk memikul senjata (Hizbut Tahrir, Muqaddimah ad-Dustur, hlm. 210; Hizbut Tahrir, Ajhizah Dawlah al-Khilafah, hlm. 88; Zallum, Nizham al-Hukm fi al-Islam, hlm. 152).

Dr. Muhammad Khair Haikal mentakrifkan pasukan tetap (al-jaysy an-nizhami) adalah pasukan yang siap siaga dan mendedikasikan diri mereka untuk berperang. Dengan itu kewajipan kifayah tertutup selama-lamanya. Sementara pasukan simpanan (al-jaisy al-ihtiyathi) adalah semua umat Islam yang dibebankan kewajipan jihad; mereka bersedia untuk terlibat dalam peperangan apabila diperlukan atau umat Islam yang menjadi orang awam—dalam istilah sekarang (Haikal, Al-Jihad wa al-Qital fi as-Siyasah asy-Syar’iyah, hlm. 987, 1003).

Dalil berkaitan klasifikasi ini adalah dalil kewajipan jihad. Sebab, setiap orang Islam wajib berjihad dan wajib berlatih dalam rangka jihad. Oleh itu semua umat Islam merupakan pasukan simpanan kerana jihad wajib ke atas mereka. Adanya sebahagian daripada mereka yang menjadi anggota pasukan tetap, dalilnya adalah kaedah syarak:

مَالاَ يَتِمُّ الوَاجِبُ إِلاَّبِهِ فَهُوَ وَاجِبٌ

Suatu kewajipan yang tidak sempurna pelaksanaannya kecuali dengan sesuatu yang lain maka sesuatu itu menjadi wajib.

Ini kerana, kewajipan jihad—sesuai dengan realiti perang pada masa kini—tidak boleh sempurna dijalankan secara berterusan. Begitu juga halnya dengan kewajipan menjaga wilayah Islam dan melindungi umat Islam daripada musnah akibat serangan orang-orang kafir, kecuali dengan adanya tentera dengan pasukan tetap (pasukan regular). Oleh itu Imam (Khalifah) wajib merealisasikan kewujudan tentera dengan pasukan tetap atau regular (Hizbut Tahrir, Muqaddimah ad-Dustur, hlm. 210; Hizbut Tahrir, Ajhizah Dawlah al Khilafah, hlm. 88; Zallum, Nizham al-Hukm fi al-Islam, hlm. 153).

Mendapat Gaji

Masalah gaji yang telah ditetapkan bagi para tentera sebagaimana kakitangan awam yang lain merupakan perkara yang sudah jelas jika dikaitkan dengan orang bukan Islam. Sebab, orang bukan Islam dalam Negara Islam tidak diperintahkan berjihad bersama dengan umat Islam melawan dan memerangi orang-orang kafir. Walau bagaimanapun, jika mereka melakukan jihad, maka mereka diterima dan boleh diberi harta (gaji). Ia berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi dari az-Zuhri:

أنَّ النبيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَسْهَمَ لِقَوْمٍ مِنَ الْيَهُودِ قَاتَلُوا مَعَهُ

"Sesungguhnya Nabi saw. memberikan bahagian harta rampasan perang kepada orang Yahudi yang ikut berperang bersama baginda" (HR at-Tirmidzi).

Walaupun hadith ini termasuk di antara hadith mursal dari az-Zuhri. Namun, Ibnu Qudamah menjadikan hadis ini sebagai dalil—berkaitan masalah ini—dalam kitabnya Al-Mughni (Hizbut Tahrir, Muqaddimah ad-Dustur, hlm. 211).

Ibnu Qudamah dalam kitabnya Al-Mughni, dan Ibn Hisyam dalam kitab Sirah-nya juga menggunakan hadith tentang Shafwan bin Umayah:

أَنَّ صَفْوَانَ بْنَ أُمَيَّةَ خَرَجَ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ حُنَيْنٍ وَهُوَ عَلَى شِرْكِهِ، فَأَسْهَمَلَهُ، وَأَعْطَاهُ مِنَ الغَنَائِمِ مَعَ الْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ

Sesungguhnya Shafwan bin Umayah pernah keluar bersama Nabi saw. pada masa Perang Hunain, sedangkan ia—ketika itu—masih musyrik. Kemudian Nabi saw. memberinya bahagian harta rampasan Perang Hunain bersama-sama dengan para muallaf.

Imam al-Bukhari meriwayatkan dari jalan Abu Hurairah ra. bahawa Rasulullah saw. bersabda:

يَابِلاَلُ قُمْ فَأَذِّنْ لاَ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ إِلاَّ مُؤْمِنٌ وَإِنَّ اللَّهَ لَيُؤَيِّدُ هَذَاالدِّينَ بِالرَّجُلِ الْفَاجِرِ

"Wahai Bilal, berdirilah dan umumkan, bahawa tidak akan masuk syurga kecuali orang Mukmin. Sesungguhnya Allah akan benar-benar menolong agama ini dengan seorang lelaki yang buruk (fajir)."

Ibnu Ishak dalam kitabnya As-Sirah menyebutkan bahawa Quzman keluar bersama para Sahabat Rasulullah saw. semasa Perang Uhud. Pada masa itu Quzman adalah seorang musyrik. Dalam perang itu Quzman membunuh lapan atau tujuh orang musyrik sehingga Rasulullah saw. bersabda:

إِنَّ اللَّهَ لَيُؤَيِّدُ هَذَاالدِّينَ بِالرَّجُلِ الْفَاجِرِ

"Sesungguhnya Allah akan benar-benar menolong agama ini dengan seorang lelaki yang buruk (fajir)."

Imam as-Syaukani dalam kitabnya Ad-Darari al-Mudliyah dan Nayl al-Awthar mengatakan bahawa hadis ini dinyatakan kuat (sahih) oleh ahli-ahli Sirah (Hizbut Tahrir, Muqaddimah ad-Dustur, hlm. 211).

Dengan demikian dalil-dalil tersebut menunjukkan bahawa orang kafir boleh menjadi sebahagian daripada tentera Islam. Mereka diberi gaji kerana mereka berperang di dalam tentera Islam. Selain itu, definisi ijarah (kontrak pekerjaan), iaitu akad atas suatu manfaat dengan pampasan, menunjukkan bahawa ijarah itu boleh dilakukan dalam setiap bentuk manfaat yang mungkin dipenuhi oleh ajir (pekerja, pegawai) kepada musta’jir (majikan), termasuk di antaranya adalah manfaat seseorang untuk menjadi tentera dan untuk berperang, kerana ia merupakan manfaat juga. Kerana itu keumuman dalil ijarah yang meliputi semua bentuk manfaat, merupakan dalil mengenai kebolehan mengikat kontrak perkhidmatan (manfaat) orang kafir untuk menjadi tentera dan untuk berperang (Hizbut Tahrir, Muqaddimah ad-Dustur, hlm. 211; Hizbut Tahrir, Ajhizah Dawlah al-Khilafah, hlm. 89; Zallum, Nizham al-Hukm fi al-Islam, hlm. 154).

Hanya, ketika orang kafir menjadi tentera dan berperang, maka ia mesti berada di bawah panji-panji umat Islam, bukan panji-panji orang-orang kafir. Sebagaimana hal itu jelas dalam fakta dalil-dalil di atas, bahawa orang-orang kafir yang berperang bersama umat Islam itu berada di bawah panji umat Islam, bukan di bawah panji-panji orang-orang kafir. Ini bermakna, mereka ini berperang dengan statusnya sebagai perajurit dalam tentera Islam. Atas dasar ini, maka boleh kaum kafir zimmi berperang menjadi perajurit dalam tentera Islam dengan diberi gaji. Sudah tentu masalah ini perlu ditetapkan oleh Khalifah. Iaitu, Khalifah melihat bahawa berperangnya orang kafir sebagai perajurit dalam tentera Islam membawa manfaat bagi kaum Muslim, dan tidak mendatangkan mudarat (bahaya). Oleh itu jika ia membawa manfaat, maka mereka diterima menjadi perajurit dalam tentera Islam, dan mereka diberi gaji. Bermakna, mereka boleh menjadi perajurit dalam tentera Islam dengan diberi gaji. Sebaliknya, kewujudannya dicegah dan dilarang jika membahayakan tentera Islam (Hizbut Tahrir, Muqaddimah ad-Dustur, hlm. 211).

Pelaku Ibadah Boleh Menerima Gaji

Meskipun jihad adalah ibadah, kontrak perkhidmatan seorang Muslim dibenarkan untuk menjadi tentera dan berperang. Ini bertepatan dengan dalil ijarah (kontrak pekerjaan) yang bersifat umum kerana ijarah (kontrak pekerjaan) untuk melaksanakan ibadah—jika manfaatnya dirasakan dan diperoleh juga oleh pelakunya—maka boleh. Ini adalah selaras dengan sabda Rasulullah saw., sebagaimana yang diberitahu oleh Ibn Abbas ra.:

إِنَّ أَحَقَّ مَا أَخَذْتُمْ عَلَيْهِ أَجْرًا كِتَابُ اللَّهِ

"Sesungguhnya manfaat (perkhidmatan) yang paling berhak untuk kamu ambil ujrah (gaji)-nya adalah (mengajarkan) Kitabullah (al-Qur’an)" (HR al-Bukhari).

Mengajar Kitab Allah adalah ibadah. Ketika mengikat kontrak perkhidmatan seorang Muslim untuk mengajar al-Qur’an, menjadi imam, atau menjadi muazzin itu boleh, maka boleh juga mengikat kontrak perkhidmatan seorang Muslim untuk melaksanakan jihad dan menjadi tentera. Kerana, semua itu adalah ibadah yang manfaatnya dapat diperoleh pelakunya. Bahkan kebolehan mengikat kontrak perkhidmatan kaum Muslim untuk berjihad, termasuk orang yang telah dilantik untuk melaksanakan jihad (Hizbut Tahrir, Muqaddimah ad-Dustur, hlm. 212; Hizbut Tahrir, Ajhizah Dawlah al-Khilafah, hlm. 89; Zallum, Nizham al-Hukm fi al-Islam, hlm. 154).

Dalil mengenai hal ini telah dinyatakan dengan jelas di dalam hadith. Imam Ahmad dan Abu Dawud telah meriwayatkan dari Abdullah bin Amr bahawa Rasulullah saw. pernah bersabda:

لِلْغَازِي أَجْرُهُ وَ لِلْجَاعِلِ أَجْرُهُ وَ أَجْرُ الْغَازِي

"Bagi al-Ghazi ada pahalanya, manakala bagi al-Ja‘il ada upah dan juga pahala al-Ghazi."

Al-Ghazi adalah orang yang berperang kerana motivasi dari dirinya sendiri. Adapun al-Ja‘il adalah orang yang berperang kerana dibayar oleh pihak lain. Dalam Qamus al-Muhith dinyatakan: Al-Ja‘alah (upah) itu ada tiga, iaitu: upah yang diberikan kepada seseorang kerana kerjanya; beberapa orang yang saling mengupahkan sesuatu lalu upahnya dibahagi di antara mereka; dan upah yang diberikan kepada al-Ghazi jika ia berperang kerana mendapat upah dari anda.

Hadith tersebut menjelaskan tentang keharusan seseorang untuk memberikan upah kepada orang lain untuk berperang kerana upah yang diberikan kepadanya, bererti boleh mengikat kontrak perkhidmatan atau manfaat seorang lelaki untuk berperang (Hizbut Tahrir, Muqaddimah ad-Dustur, hlm. 212; Hizbut Tahrir, Ajhizah Dawlah al-Khilafah, hlm. 90; Zallum, Nizham al-Hukm fi al-Islam, hlm. 154).

Imam al-Baihaqi telah meriwayatkan dari Jubair bin Nufair yang mengatakan bahawa Rasulullah saw. bersabda:

مَثَلُ الَّذِينَ يَغْزُونَ مِنْ أُمَّتِى وَيَأْخُذُونَ الْجُعْلَ وَيَتَقَوَّوْنَ عَلَى عَدُوِّهِمْ مَثَلُ أُمِّ مُوسَى تُرْضِعُ وَلَدَهَا وَتَأْخُذُ أَجْرَهَا

"Perumpamaan orang-orang yang berperang dari umatku dan mereka memperoleh upah (dari berperang) serta mereka yang berusaha melindungi diri dari musuh-musuhnya adalah seperti ibu Nabi Musa as. yang menyusukan anaknya sendiri dan memperoleh upah dari khidmat menyusukannya itu."

Hadith ini juga diriwayatkan oleh Said bin Manshur. Al-Ajr[u] dalam hadith ini maknanya adalah ujrah (upah, gaji). Oleh itu, boleh menetapkan gaji untuk tentera sebagaimana kakitangan awam yang lain (Hizbut Tahrir, Muqaddimah ad-Dustur, hlm. 213; Hizbut Tahrir, Ajhizah Dawlah al-Khilafah, hlm. 90; Zallum, Nizham al-Hukm fi al-Islam, hlm. 154).
Wallahu a’lam bis-shawab.

[Oleh: Muhammad Bajuri]

Daftar Bacaan:
1.Haikal, Dr. Muhammad Khair, Al-Jihad wa al-Qital fi as-Siyasah asy-Syar’iyyah,
(Beirut: Dar al-Bayariq), Cetakan II, 1996.
2.Hizbut Tahrir, Ajhizah Dawlah al-Khilafah fi al-Hukm wa al-Idarah (Beirut: Darul Ummah), Cetakan I, 2005.
3.Hizbut Tahrir, Masyru’ Dustur Dawlah al-Khilafah, edisi Mu’tamadah, (versi terbaru tanggal 03/06/2014), http://www.hizb-ut-tahrir.info/info/index.php/contents/entry_28722.
4.Hizbut Tahrir, Muqaddimah ad-Dustur aw al-Asbab al-Mujibah Lahu, Jilid I, (Beirut: Darul Ummah), Cetakan II, 2009.
5.Zallum, Asy-Syaikh Abdul Qadim, Nizham al-Hukm fi al-Islam (Beirut: Darul Ummah), Cetakan VI, 2002.
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment