Pelan Masa Depan UMNO : Apa yang Berubah?

Oleh: Nurul Shafiqah Abdul Hakeem (Ahli Lajnah I'lamiyyah MHTM )

8 Ogos yang lalu, Badan Perhubungan UMNO Johor merancang untuk melancarkan Pelan Masa Depan UMNO dengan menggariskan 11 agenda besar untuk melebar dan memodenkan parti tersebut dalam tempoh 10 tahun.

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, UMNO Johor juga akan mewujudkan Sekolah Politik dan Kepemimpinan UMNO bertujuan menyediakan pemimpin terbaik bangsa pada masa akan datang.

Jika kita perhatikan, berbagai perancangan yang sedang dirangka oleh UMNO untuk menyelamatkan parti tersebut. Lebih-lebih lagi sejak kebelakangan ini, banyak kemelut yang melanda parti tersebut yang menyebabkan rakyat hilang kepercayaan terhadap UMNO untuk terus mentadbir Negara. Perpecahan dan perbalahan yang terjadi di dalam parti politik tersebut kian meruncing sehingga masalah umat dan Negara semakin terabai kerana fokus mereka lebih kepada menyelamatkan kedudukan dan parti daripada terus jatuh.

Di sebalik pelbagai perancangan yang bakal dilakukan untuk mengukuhkan parti, penyakit yang dihidapi parti Melayu terbesar itu kian parah hingga apa jua perancangan yang dirangka oleh mereka tidak dapat dijadikan penawar untuk mengubati penyakit yang dihidapi parti tersebut.

Pelan yang bakal dijalankan oleh UMNO merupakan pelan yang rapuh dan tidak akan menjadikan UMNO dan ahli-ahlinya lebih baik kerana asas parti tersebut adalah assabiyah (perkauman) yang diikat dengan maslahat (kepentingan). Jika UMNO mahu menubuhkan sekolah politik sekalipun, ia pastinya berdasarkan politik perkauman yang dibangun atas dasar kepentingan. Inilah asas perjuangan umno sejak dulu hingga sekarang. UMNO perlu ingat bahawa perjuangan atas dasar assabiyah adalah diharamkan sekeras-kerasnya oleh Islam. Sabda Rasulullah SAW,

“Bukan termasuk umatku orang yang mengajak kepada assabiyah dan bukan termasuk umatku orang yang berperang atas dasar assabiyah dan bukan termasuk umatku orang yang mati atas dasar assabiyah” [HR Abu Daud]

Sesiapa sahaja atau parti apa pun yang menolak Islam sebagai hukum atau sistem yang mengatur pemerintahan negara, maka apa sahaja perancangan yang dirangka pasti akan memusnahkan parti dan ahli-ahlinya serta rakyat secara amnya. Buktinya, setelah 69 tahun UMNO ditubuhkan dan memerintah Malaysia, ternyata negara tidak pernah stabil dan semakin banyak masalah yang timbul hasil daripada perjuangan atas dasar assabiyah dan nasionalisme.

Satu-satunya pelan dan perubahan yang perlu dilakukan oleh UMNO adalah dengan menukar dasar perjuangan UMNO yang bersifat perkauman kepada perjuangan Islam serta menukar sistem pemerintahan demokrasi kufur ini kepada sistem pemerintahan Islam yang akan menerapkan hukum Allah secara kaffah (keseluruhan). Hanya dengan kembalinya Khilafah di persada politik dunia sahajalah yang akan dapat mengembalikan semula kemuliaan umat Islam dan menyelesaikan segala masalah yang melanda Umat Islam masa kini.

Wallahua’lam.
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment