Peranan Wanita Dalam Islam

Oleh: Arini Retnaningsih (Lajnah Tsaqafiyah DPP MHTI)

Islam datang ke dunia membawa serangkaian peraturan untuk memastikan kehidupan manusia berjalan sesuai dengan fitrah dan membawa kebahagiaan kepada manusia dunia dan akhirat. Peraturan itu terpakai untuk kedua-dua lelaki mahupun wanita. Kedua-duanya sama dalam pandangan syariat (Lihat: TMQ al-Ahzab [33]: 35).

Walau bagaimanapun, ada kalanya Islam memberikan peraturan yang berbeza antara lelaki dan wanita. Lelaki wajib mencari nafkah, berjihad, solat Jumaat, menunaikan tanggungjawab perwalian; sedangkan wanita tidak wajib. Sebaliknya, wanita terikat dengan hukum-hukum tertentu seperti wajib meminta izin kepada suami, memakai jilbab dan tudung, ber-‘iddah, dan sebagainya; sementara lelaki tidak.

Pembezaan ini bukan untuk meninggikan darjat satu pihak dan menghinakan yang lain. Semua itu adalah penyelesaian dari Allah SWT atas perbezaan fitrah dan kudrat mereka yang tidak dapat dinafikan. Bahkan syariat Islam memuliakan wanita lebih dari hukum dan agama yang lain yang pernah ada di muka bumi.


Peranan Mulia

Islam menetapkan dua peranan penting wanita, iaitu sebagai ibu dan pengurus rumah tangga.. Dalam Muqaddimah Dustur bab ”Nizham al-Ijtima’i” dinyatakan:

"Hukum asal seorang wanita dalam Islam adalah ibu kepada anak-anak dan pengurus rumah suaminya. Dia adalah kehormatan yang wajib dijaga.”

Ibu adalah pendidik utama dan pertama bagi buah hatinya. Ibu adalah batu asas terhadap jiwa kepemimpinan pada anak. Ibu mempersiapkan anak menjadi generasi pejuang.

Berbahagialah para ibu Muslimah kerana Allah SWT memuliakan mereka. Diriwayatkan bahawa Jahimah as-Salami pernah meminta izin kepada Rasul saw. untuk berjihad. Rasul saw. bertanya apakah dia masih mempunyai ibu. Ketika baginda tahu ia meninggalkan seorang ibu, baginda bersabda, “Hendaklah engkau tetap berbakti kepada dia kerana syurga ada di bawah telapak kakinya.” (HR ath-Thabrani dan an-Nasa’i).

Sebagai seorang pengurus rumah tangga, wanita juga dimuliakan. Lihat bagaimana jawapan Rasulullah saw. ketika Asma’ binti Yazid menyampaikan kebimbangannya adakah peranan isteri di rumah akan sama mulia dengan peranan lelaki? Rasulullah saw. bersabda,

“Fahamilah, wahai wanita, dan ajarkanlah kepada para wanita di belakang kamu. Sesungguhnya amal wanita bagi suaminya, meminta keredhaan suaminya dan mengikuti apa yang disetujui suaminya setara dengan amal yang dilakukan oleh kaum lelaki seluruhnya.”

Walau bagaimanapun, tidak bermakna peranan utama wanita sebagai ibu dan pengurus rumah tangga (ummun wa rabbah al-bayt) menjadikan dirinya tidak mempunyai kiprah di tengah-tengah masyarakat. Allah SWT berfirman :

وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ أُولَٰئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

"Kaum Mukmin dan Mukminat, sebahagian mereka adalah penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka melakukan amar makruf nahi mungkar, mendirikan solat, menunaikan zakat serta mentaati Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana" (TMQ at-Taubah [9]: 71).

Dalam ayat ini Allah SWT menggariskan bahawa wanita memiliki kewajipan yang sama dengan lelaki dalam melakukan amar makruf nahi mungkar di tengah-tengah masyarakat. Mereka saling bantu-membantu (ta’awun) dalam menegakkan aktiviti yang menjadi tunggak kehidupan sosial tersebut.

Allah SWT juga memerintahkan lelaki dan wanita untuk berdakwah, melakukan muhasabah terhadap penguasa dan menjaga hal ehwal umat. Bagi wanita, aktiviti ini wajib dilakukan di samping memenuhi aktiviti utamanya sebagai ibu dan pengurus rumah.

Cara Islam Memelihara Peranan Wanita

Kudrat wanita adalah menjadi ibu yang penyayang dan selalu mendampingi anak-anaknya. Dia bahagia dicintai dan diperlukan oleh anak-anak. Dia mendidik dan menempa anak-anak untuk menghadapi kehidupan. Mendidik anak seperti ini tidak boleh dilakukan separuh masa atau sambilan sahaja. Dia memerlukan curahan masa, pemikiran, tenaga, kerja keras dan sokongan keadaan.

Untuk menyempurnakan fungsi keibuan (motherhood) ini, Islam telah menetapkan serangkaian hukum-hukum praktikal seperti hukum tentang kehamilan, penyusuan, pengasuhan, perwalian dan nafkah.

Islam membolehkan wanita hamil untuk tidak berpuasa Ramadhan untuk menjamin bayinya membesar dengan sempurna. Ibu yang sedang menyusukan untuk menyempurnakan penyusuan dua tahun juga boleh tidak berpuasa. Namun, mereka wajib meng-qadha-nya nanti apabila telah tidak lagi hamil dan menyusukan.

Pengasuhan anak merupakan hak sekaligus kewajipan ibu sehingga anak mencapai umur tamyiz (anggaran 7-10 tahun). Dengan demikian anak mendapat kasih sayang dan pendidikan dari ibu sehingga ia boleh membesar secara sempurna.

Untuk dapat menjalankan tugasnya mengasuh dan mendidik anak dengan secara optimum, ibu dibebaskan dari pelbagai kewajipan seperti solat berjamaah di masjid, bekerja, berjihad dan hukum-hukum lain yang akan meninggalkan fungsi keibuannya. Oleh kerana itu menunaikan solat di rumah adalah lebih baik bagi wanita. Mencari nafkah dibebankan kepada suami atau walinya, begitu juga perlindungan dan keselamatannya.

Islam menetapkan mekanisme yang menjamin seorang wanita, dalam apa jua keadaan, tetap memperoleh nafkah. Mekanisme ini dimulakan dengan penentuan hukum perwalian lelaki ke atas wanita. Perwalian, tidak seperti yang difahami oleh masyarakat hari ini, hanya sekadar hak untuk menikahkan, adalah kewajipan lelaki untuk melindungi, mendidik dan memberikan nafkah bagi wanita dan anak yang berada di bawah perwaliannya. Wanita yang belum berkahwin, walinya yang utama adalah ayahnya. Bagi wanita yang sudah berkahwin, tugas wali ini diambil alih oleh suaminya. Bila ayah atau suami tidak ada, perwalian akan berpindah kepada waris lelaki di sebelah bapa mengikut kedekatan hubungan keluarga.

Dalam keadaan seorang isteri dicerai ketika hamil, ‘iddah-nya ditentukan sehingga dia melahirkan. Iaitu, selama kehamilan dia masih mendapat nafkah dari suaminya. Apabila diceraikan ketika menyusukan, bapa bayi wajib membayar upah penyusuan (TMQ al-Baqarah [2]: 233). Ini bertujuan supaya ibu tidak perlu bekerja semasa hamil dan menyusukan sehingga mengganggu hak anak mendapat penyusuan yang sempurna.

Dalam kaitan dengan peranan wanita sebagai rabbah al-bayt, Islam telah menjadikan qawwam berada pada tangan lelaki (suami). Makna qawwam bukanlah kepemimpinan yang berlaku seperti orang atasan dengan orang bawahannya. Kata qawwam ini merupakan satu bentuk mubalaghah dari kata qa’im; maknanya adalah pemimpin, pengurus, dan pendidik wanita (Tafsir Ibnu Katsir, jilid 2). Dalam makna qawwam ini ada kewajipan untuk memenuhi keperluan para isteri dengan makruf, mengarahkan mereka pada kebaikan dan melindungi mereka.

Untuk menyempurnakan fungsi qawwam suami ini, isteri wajib taat dan sentiasa meminta izin suami ketika keluar rumah. Izin dan taat ini bukanlah suatu penindasan terhadap wanita. Hal ini kerana apabila Allah SWT memberikan kedudukan qawwam kepada lelaki. Namun, Allah SWT juga memerintahkan suami untuk melayan isteri dengan sebaik-baiknya (Lihat: TMQ an-Nisa’ [4]: 19; al-Baqarah [2]: 228). Rasulullah saw. juga pernah bersabda:

خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لأَهْلِهِ وَأَنَا خَيْرُكُمْ لأَهْلِي

"Orang yang paling baik di antara kalian adalah yang paling baik layanannya terhadap isterinya. Sesungguhnya aku sendiri adalah orang yang paling baik di antara kalian dalam melayan isteriku" (HR Ibnu Majah).

Berkaitan dengan peranan wanita di tempat awam, Islam juga telah menggariskan serangkaian hukum yang bertujuan untuk menjaga dan melindungi kemuliaan wanita. Hukum jilbab, safar dan larangan khalwat hakikatnya adalah hukum-hukum untuk melindungi wanita dari pelbagai fitnah ketika beraktiviti di luar rumah, menjauhkan mereka dari pengganggu dan memastikan ta’awun yang berlaku antara lelaki dan wanita di tempat awam adalah ta’awun yang positif dan produktif.

Dengan demikian, Islam tidak hanya mengatur peranan wanita, melainkan juga menjamin peranan tersebut dapat terlaksana dengan sempurna melalui serangkaian hukum yang bersifat praktikal. Kelebihan seperti ini tidak mungkin ada kecuali pada din yang bersumber dari Pencipta manusia, Sebaik-baik Pembuat Hukum. []
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment