Ibadah Haji Dan Penyatuan Umat Islam

Ibadah haji pada hakikatnya adalah simbol perpaduan umat kerana untuk melakukan ibadah ini semua bakal haji diwajibkan untuk hadir ke padang ‘Arafah serentak selepas waktu asar pada tanggal 9 Zulhijjah untuk menjalani ibadah wuquf. Contohnya, pada tahun ini umat Islam akan berkumpul di padang ini dalam keadaan berihram. Orang miskin atau kaya akan memakai dua helai kain putih rida’ dan izar sebagai pakaian ihram ketika berada di sini dalam keadaan bertaqarrub kepada Allah. Setiap Muslim akan merasa persamaan mereka di hadapan Allah semasa berihram; semua perhiasan yang biasa dipakai olehnya terpaksa ditinggalkan ketika menghadap Allah di padang ‘Arafah.

Kaum Muslimin di seluruh dunia akan sama-sama menjalani ibadah puasa ‘Arafah pada hari tersebut dan merayakan hari raya ‘Idul ‘Adha serta menjalani ibadah Qurban serentak pada tanggal 10 Zulhijjah. Setiap Muslim juga akan merasakan persamaan antara mereka kerana Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam pada saat Haji Wada’ telah bersabda dengan maksudnya,

"Wahai manusia, sesungguhnya Tuhan kalian adalah satu, dan bapa kalian adalah satu. Ingatlah, tidak ada kelebihan bagi orang Arab atas orang bukan Arab; juga tidak ada kelebihan bagi orang yang berkulit hitam atas orang yang berkulit merah, kecuali dengan taqwa" [HR Ahmab, Ibn Hibban, dan al-Harits].

Semua Muslim Arab dan bukan Arab, dengan berbagai warna kulit yang bukan merupakan pilihan mereka adalah sama di sisi Allah kecuali taqwa yang dicapai dengan kesungguhan mereka untuk mencapai keredhaanNya. Sejarah telah membuktikan bahawa selama lebih 1,300 tahun manusia pelbagai bangsa dan warna kulit telah bersatu dengan gagahnya sebagai satu umat di atas asas aqidah Islam.

Inilah keberkesanan penyatuan yang telah dimulakan oleh Rasulullah setelah berhijrah. Di Madinah, beliau telah mempersaudarakan kaum Muslimin. Beliau mempersaudarakan diri beliau dengan ’Ali bin Abi Talib. Pakciknya, Hamzah dengan bekas hambanya Zaid. Abu Bakar dipersaudarakan dengan Kharijah bin Zaid, ’Umar bin Khattab dengan ’Utbah bin Malik al-Khazrajiy, Talhah bin ’Ubaidillah dengan Abu Ayyub al-Anshariy dan Abdul Rahman bin Auf dengan Sa’ad bin Rabi’.

Persaudaraan semacam ini mempunyai pengaruh yang sangat kuat dalam melahirkan masyarakat yang stabil dan kukuh, mampu menghadapi tentangan luar dan dalaman, dari orang munafik dan propaganda Yahudi [Negara Islam, Taqiyyuddin An-Nabhani].

Gelombang Penyatuan Yang Benar

Islam telah menunjukkan kaedah penyatuan yang berstruktur dan teratur dengan menghadkan kewujudan hanya seorang sahaja pemimpin umum kaum Muslimin pada setiap masa. Pemimpin ini dipanggil Khalifah. Struktur ini adalah sangat jelas berdasarkan sabda Rasulullah Sallallahu ’alaihi wasallam dalam hadis riwayat Abi Said al-Khudri bahawa Nabi bersabda,

”Apabila dibai’at dua orang khalifah, maka bunuhlah yang terakhir dari keduanya.” [HR Muslim]

Kata ’bunuh’ di dalam hadis ini merupakan qarinah (indikasi) tentang ketegasan perintah ini yang membawa implikasi hukum haram bagi kaum Muslimin untuk memiliki lebih dari seorang Khalifah. Ini memberikan isyarat kepada kita bahawa kewujudan lebih dari 50 orang pemimpin di negeri-negeri kaum Muslimin sekarang ini adalah tidak sah di sisi syara’.

Sempadan geografi yang wujud antara kaum Muslimin pada hari ini bukanlah datang dari Islam tetapi adalah merupakan paksaan oleh Barat ke atas umat yang diimplementasi melalui ejen-ejen mereka. Ini boleh dilihat dari pernyataan mereka sendiri seperti yang diungkapkan oleh John Kifner dalam artikelnya Building Modernity on Desert Mirages (Membina Kemodenan di atas Fatamorgana Padang Pasir). Beliau menyebut ”Dan daripada semua negara-negara buatan yang diciptakan oleh kuasa-kuasa Eropah yang telah memenangi Perang Dunia I, yang telah melakarkan garisan-garisan rawak di atas peta, tiada yang lebih palsu dari kepingan-kepingan kawasan padang pasir kecil, miskin dan tidak berperundangan yang merupakan negara Jordan. Malah benderanya adalah rekaan – lembaran warna hijau, merah, putih dan hitam yang berkibar di atas pasukan Arab yang diketuai oleh bani Hashim menentang Empayar Uthmaniyah – dasar kepada bendera Jordan dan Pertubuhan Pembebasan Palestin – telah dilakarkan oleh pegawai Petugas Luar British bernama Sir Mark Sykes dan dikeluarkan oleh pejabat perbekalan tenteranya di Kairo.”

Selepas Perang Dunia I muncullah negeri-negeri seperti Mesir, Arab Saudi, Jordan, Iraq dan lain-lain. Sempadan yang ada merupakan ciptaan penjajah semata-mata di bawah dasar pecah dan perintah mereka. Maka lahirlah negeri-negeri kecil dan lemah yang ’merdeka’ dengan hadiah pelembagaan ciptaan barat. Sebab itulah kita terpaksa bergabung dengan Liga Bangsa-Bangsa negara-negara kristian Eropah yang kemudiannya digantikan dengan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1946 selepas Perang Dunia II. Sehingga kini umat Islam sentiasa merujuk kepada Barat melalui PBB untuk menyelesaikan masalah-masalah mereka seperti di Chechya, Bosnia, Palestin, Mindanao, Selatan Thai, Kashmir, Ethiophia, Indonesia dan banyak lagi. Malangnya, apa yang berlaku adalah masalah kita malah menjadi semakin rumit.

Ini adalah amat berbeza jika umat Islam bersatu di bawah naungan Khilafah kerana Daulah yang dipimpin oleh Khalifah akan menjaga segala hal ehwal warganya. Ini adalah kerana Khilafah atau Imam kaum Muslimin adalah merupakan perisai/benteng kepada mereka. Abu Hurairah menuturkan bahawa Rasulullah pernah bersabda:

"Imam itu bagai benteng; tempat umat berperang di belakangnya dan berlindung dengannya" [HR Muslim].

Jika di dalam hadis itu disebutkan bahawa imam (pemimpin atau penguasa) itu bagaikan perisai bagi rakyatnya, maka pemimpin haruslah mampu melindungi dan menyelamatkan rakyatnya dari berbagai hal yang mengancamnya; termasuk kelaparan, kedinginan, penyakit, ataupun kebodohan; baik dalam keadaan normal, lebih-lebih dalam keadaan sulit akibat bencana seperti gempa bumi. Tidak perlu kita mengemis kepada musuh kita seperti Amerika untuk bantuan seperti khemah dan makanan kerana Daulah akan mempunyai sumber-sumber yang cukup untuk menyelesaikannya. Dalam hal pengaturan urusan umat ini Rasulullah juga pernah bersabda,

"Imam (pemimpin) adalah pengatur/pengelola; ia akan dimintai pertanggungjawaban atas orang yang dipimpinnya itu" [HR Muslim]

Yang jelas, apabila umat Islam telah bersatu, hidup di bawah sistem Islam yang mulia, maka sumber kekayaan seperti petroleum dan gas tidak akan lagi tertumpu kepada negeri kecil seperti Kuwait, Brunei dan lain-lain, dinikmati hanya segelintir orang semata-mata. Dalam keadaan mendesak, bantuan akan digerakkan secara efisien seperti apa yang telah berlaku ketika Madinah dilanda kemarau pada zaman Umar al-Khattab. Bekalan dengan segera datang dari Afrika – yang sekarang ini sebaliknya miskin dan tidak dapat membantu walau dirinya sendiri.

Imam sebagai pelayan umat dan penyatu dapat dilihat dari peranan yang dimainkan oleh Sultan Abdul Hamid, antara Khalifah di akhir zaman kekhilafahan Uthmaniyah sebelum kejatuhannya.

Sultan Abdul Hamid menyedari bahawa satu-satunya harapan untuk orang-orang Islam pada ketika itu adalah dengan membentuk Kesatuan Islam yang utuh. Sultan Abdul Hamid berpandangan bahawa Barat akan cuba memecahbelahkan negara Islam dan kemudian berurusan dengan setiap wilayah (negara bangsa) secara berasingan seperti yang berlaku pada hari ini di mana umat Islam telah berpecah menjadi lebih 50 buah negara. Sultan Abdul Hamid membuat keputusan untuk memperkenalkan atau mencanangkan semula bahawa kekhilafahan Uthmaniah adalah pemimpin dunia Islam.

Antara langkah ke arah penyatuan kaum Muslimin yang dilakukan oleh Khalifah Abdul Hamid adalah dengan membuat keputusan mewujudkan landasan keretapi Hijaz (1900) yang menghubungkan Damshiq di Syria dan Madinah sebagai simbol Kesatuan Islam. Pembiayaan landasan keretapi telah dilunaskan dalam waktu beberapa tahun sahaja dan ia berfungsi sebagai alat yang utama untuk menghubungkan wilayah-wilayah utama di dalam Daulah Islam. Ia juga digunakan sebagai laluan pantas untuk pengangkutan dan menempatkan unit ketenteraan. Selain itu, banyak lagi langkah-langkah politik yang telah diambil untuk menguatkan Khilafah sebelum pemecatannya oleh seteru-seteru politik beliau. Ini merupakan suatu yang tidak dapat dielakkan; seluruh kuasa Barat seperti Inggeris, Perancis, Belanda, Portugis, Jerman, Rusia dan lain-lain tidak pernah lelah dalam usaha mereka untuk menghancurkan Daulah.

Wahai kaum Muslimin,
Sekiranya falsafah persamaan dan kesatuan seluruh kaum Muslimin ini benar-benar dihayati maka ia pasti melahirkan suatu gelombang penyatuan yang amat dahsyat yang akan melanda umat Islam di seluruh dunia. Ia akan mampu meruntuhkan tembok-tembok nasionalisme Arab dan Turki yang telah dibina oleh Barat dan kuncu-kuncunya sebelum kejatuhan kekhilafahan Uthmaniyyah. Gelombang yang sama juga mampu meruntuhkan dan mamadamkan tembok sempadan-sempadan buatan Barat yang diagung-agungkan oleh ramai kaum Muslimin sehingga mereka terpecah-pecah kepada negeri-negeri kecil yang lemah dan diperintah oleh boneka-boneka yang lemah. Gelombang itu perlu bermula dengan tertubuhnya Daulah Khilafah yang akan menjadi pencetus dan memimpin kepada penyatuan umat secara fizikal dan mental. Negeri Islam yang bergabung dengan Khilafah adalah umpama cebisan daging yang bercantum membentuk semula gergasi yang akan menghancurkan kekufuran dan mengembalikan kemuliaan yang telah sirna sejak kejatuhan Daulah Khilafah kepada umat Islam.

Ketahuilah bahawa Islam, melalui penegakkan semula Khilafah, secara fitrahnya mampu menjadi kenderaan yang dapat membawa penumpangnya untuk menghadapi serangan-serangan dan propaganda kaum kuffar. Penumpang kenderaan ini adalah umat Islam yang diikat oleh tali persaudaraan yang tidak mengenal taraf sosial, bangsa dan warna kulit. Umat ini adalah umat yang diikat dengan aqidah Islam yang dipilih melalui proses berfikir yang jernih dan rasional sehingga ia diyakini oleh akal tanpa sebarang keraguan. Kekuatan ikatan ini tidak boleh dinafikan. Coretan sejarah membuktikannya. Dan ia akan kembali mendominasi dunia, dengan izin Allah yang Maha Kuasa. Semoga musim haji pada tahun ini menimbulkan motivasi di dalam diri umat untuk bersatu dan menegakkan Islam, mengembalikan kemulian kaum Muslimin yang sudah terlalu lama menghilang…

Aamiin.. Aamiin ya Rabbal'alamin..
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment