Bicara Tokoh: Pendidik Anak Dan Masyarakat

Segmen: Bicara Tokoh
Sumayyah Amar: Pendidik Anak Dan Masyarakat

Melibatkan diri dalam dakwah untuk mendirikan Khilafah bukanlah sebatas pilihan bagi orang yang memiliki waktu, namun ia merupakan sebuah kewajipan yang sangat mendesak bagi semua orang yang beriman. Baru-baru ini team Fikratul Ummah telah menemu ramah salah seorang pejuang Khilafah, Dr. Sumayyah Amar bagi mengulas serba sedikit perihal situasi Umat Islam masa kini. Berikut merupakan bual bicaranya.

FU: Boleh Dr. ceritakan serba sedikit latar belakang Dr.?
Dr. Sumayyah: Saya seorang ibu kepada dua orang anak perempuan. Alhamdulillah, saya baru sahaja menamatkan pelajaran saya di peringkat doktor falsafah dalam bidang Kejuruteraan Sel Fuel di Universiti Kebangsaan Malaysia.

FU: Sudah berapa lama bergiat dalam dakwah bersama Hizbut Tahrir (HT)?
Dr. Sumayyah: Saya mula mengenal Parti Politik Hizbut Tahrir pada tahun 2002. Setelah membuat pengkajian, pada tahun 2003 saya mula mengikuti Halaqah dan aktiviti bersama HT.

FU: Setelah Dr. melakukan pengkajian, apakah yang membuatkan Dr. memilih untuk berjuang bersama HT?
Dr. Sumayyah: Matlamat yang jelas dan thariqah (metod) dakwahnya yang mengikut manhaj kenabian membuatkan saya amat yakin dan ingin terus berjuang untuk mengembalikan semula kehidupan Islam dalam naungan Khilafah.

FU: Sejauh mana penglibatan Dr. dalam dakwah bersama HT?
Dr. Sumayyah: Saya merupakan Wakil Pejabat Media Pusat HT di bahagian Asia Tenggara Saya bertugas untuk melaporkan dan menganalisa keadaan umat Islam di Asia Tenggara. Isu-isu yang berkaitan dengan Muslimah akan cuba dirungkai dan diberikan penyelesaian melalui pelbagai uslub (kaedah) seperti seminar, forum, pameran termasuklah diskusi bersama tokoh dan pihak media. Menyampaikan maklumat yang benar merupakan tugas penting kami di Pejabat Media Pusat.

FU: Sebagai wakil CMO (Pejabat Media Pusat) di Malaysia, apakah yang Dr. boleh gambarkan keadaan umat Islam masa kini?
Dr. Sumayyah: Jika kita melihat nasib wanita Islam ketika ini, kebanyakannya hidup dalam keadaan yang tertindas jauh sekali dari keadaan sejahtera. Wanita Islam telah ditindas daripada pelbagai sudut seperti politik, ekonomi, sosial dan sebagainya. Wanita Islam Rohingya, Kemboja, Xiangyang, Vietnam dan Selatan Thailand terutamanya ditindas oleh pemerintah kufur. Hak mereka dinafikan, bahkan ada di antara mereka yang dihalau dari tanah air. Penindasan dari segi ekonomi dan sosial dialami oleh wanita di kebanyakan negara termasuklah wanita di Indonesia dan Malaysia. Kemiskinan yang menjerut dibebankan di bahu wanita. Wanita terpaksa dikerahkan bekerja bagi mengatasi masalah kemiskinan yang berpunca dari kerakusan para kapitalis yang meragut semua hasil bumi Asia Tenggara.

Ironinya, walaupun penindasan ini telah meragut kesejahteraan yang sepatutnya diperoleh oleh wanita, namun wanita hanya membiarkan dan pasrah dengan nasib yang menimpa mereka. Kenapa? Ini kerana wanita Islam kurang menyedari hak mereka seperti yang ditawarkan oleh syariah Islam.

Selain itu, serangan ideologi kufur yang bertubi-tubi telah banyak meracuni pemikiran wanita Islam. Ramai dalam kalangan kita tidak sedar bahawa pelbagai idea yang dibawa masuk dari Barat terutamanya, merupakan racun yang telah melemahkan pemikiran kita. Sebagai contoh, konsep kebebasan atau liberalisme yang diperkenalkan pihak Barat penjajah telah merosakkan sistem sosial dan institusi keluarga Muslim. Budaya kebebasan sedikit demi sedikit telah mengubah corak kehidupan kita dan menghakis identiti Islam dari kehidupan kita. Melalui hujah kebebasan, anak-anak kurang rasa hormat terhadap ibu bapa mahupun ahli keluarganya yang lain. Mereka mahu mengatur hidup mereka sendiri tanpa campur tangan sesiapa dan dengan hanya pendidikan agama yang sedikit mereka mudah hanyut dalam arus kemodenan yang tidak berpaksikan Islam.

Konsep kebebasan yang diamalkan juga sering mengundang pelbagai ideologi dan fahaman-fahaman songsang yang masuk ke dalam kehidupan umat Islam sama ada melalui media massa mahupun alam maya. Serangan pemikiran ini sebenarnya telah menewaskan umat Islam dan seterusnya merosakkan pemikiran generasi kita. Justeru, kita sebagai Muslimah perlu bangkit dengan mempersiapkan benteng bagi menangkis segala idea-idea kufur dan tidak Islami agar tidak mempengaruhi generasi kita. Caranya dengan mengukuhkan kefahaman kita dengan tsaqafah Islam dan membuang segala idea-idea kufur kemudian menggantikannya dengan Islam.

FU: MasyaAllah, besar sungguh peranan dan tanggungjawab yang digalas oleh Dr. Siapakah tokoh pilihan Dr. yang memberi motivasi kepada Dr. dalam berdakwah?
Dr. Sumayyah: Saya sangat mengagumi keteguhan iman Sumayyah binti Khabath. Sumayyah adalah hamba Abu Huzaifah bin Mughirah. Tuannya mengahwinkan Sumayyah dengan Yasir bin Amir, perantau dari Yaman ke Mekah. Apabila Allah mengurniakan mereka seorang anak yang diberi nama Amar, Abu Huzaifah pun membebaskan Sumayyah daripada menjadi hambanya. Apabila Islam mula tersebar, keluarga Yasir antara golongan pertama memeluk agama suci itu. Sumayyah tidak gentar dengan amaran musyrikin Quraisy yang menyeksa dan membunuh sesiapa yang memeluk Islam.

Apabila bangsawan Quraisy mengetahui Sumayyah sudah memeluk Islam, mereka menyerbu rumahnya. Keluarga Amar ditangkap dan dibawa ke khalayak untuk diseksa. Mereka diseksa di tengah-tengah padang pasir yang panas membahang. Mereka diikat pada batu yang sangat panas. Namun, keimanan mereka tidak luntur bahkan seksaan yang pedih ini telah meningkatkan lagi keimanan mereka. “Saya beriman dengan Allah sahaja”, kata Sumayyah dan kata-kata inilah yang telah meningkatkan lagi kemarahan Abu Jahal.

Berita penyeksaan keluarga Yasir sampai ke pengetahuan Nabi SAW sehingga baginda dan Abu Bakar keluar bagi menyelamatkan keluarga tersebut daripada seksaan kejam Abu Jahal dan pengikutnya. Namun, mereka dihalang oleh orang-orang Quraisy yang menyaksikan seksaan terhadap keluarga Yasir.

Hati Abu Jahal semakin sakit melihat reaksi Yasir, Sumayyah dan Amar yang kelihatan cukup tenang dan masih enggan menerima berhala sebagai tuhan mereka. Dia mengarahkan pengikutnya memakaikan baju besi kepada ketiga-tiga ahli keluarga tersebut agar bahang matahari semakin menyeksa mereka. Namun, seksaan ini langsung tidak menggugah keimanan mereka sekeluarga.

Seksaan demi seksaan ke atas Yasir menyebabkan fizikalnya menjadi lemah kerana usianya yang sudah lanjut. Akhirnya, Yasir menghembuskan nafasnya yang terakhir dengan menyebut nama Allah tanpa menerima agama berhala Abu Jahal. Walaupun hati Sumayyah hancur melihat suaminya mati akibat seksaan Abu Jahal yang kejam, dia gembira kerana suaminya mati dalam menegakkan agama Allah.

Abu Jahal cuba sekali lagi memaksa Sumayyah untuk meninggalkan agama suci Islam, namun Sumayyah tetap juga menolak. Keengganan Sumayyah ini telah mengundang kemarahan Abu Jahal. Abu Jahal mengambil tombak dari tangan kanannya lalu membunuh Sumayyah. “Allahu Akbar”!!. Begitulah kata terakhir Sumayyah sebelum menghembuskan nafasnya akibat tikaman tombak Abu Jahal.

Sumayyah adalah wanita pertama mati syahid dalam sejarah Islam. Kematian Sumayyah dengan nama Allah di mulutnya demi mempertahankan keimanan pada Allah merupakan inspirasi kepada saya untuk tetap teguh mengembalikan kehidupan Islam sesuai dengan Bisyarah Rasulullah SAW,
“… Kemudian akan kembali Khilafah ala minhaj Nubuwwah..” [HR Ahmad].

FU: Untuk yang terakhir, apakah harapan Dr. pada Umat Islam di luar sana?
Dr. Sumayyah: Islam telah memuliakan wanita dengan amanah yang harus dipikul sebagai ibu dan pengurus rumah tangga. Tugas utama tidak boleh dipandang ringan ataupun beban kepada wanita. Bahkan tugas inilah yang kemudian menjadikan wanita sangat mulia di hadapan Rabb-nya. Tugas ini sebenarnya merupakan sebuah penghormatan di mana disebalik lahirnya generasi yang cemerlang terdapat ibu yang hebat. Tugas utama ini juga ditunjangi dengan beberapa peranan dalam kehidupan bermasyarakat yang telah diatur sesuai dengan ketentuan syariah.

Namun, tidak bermakna peranan utama wanita sebagai ibu dan pengurus rumah tangga (ummun wa rabbah al-bait) menjadikan dirinya tidak memiliki peranan di dalam kalangan masyarakat. Allah SWT berfirman:

وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ أُولَٰئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

“Kaum Mukmin dan Mukminat, sebahagian mereka adalah penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka melakukan amar makruf nahi mungkar, mendirikan solat, menunaikan zakat serta mentaati Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana” [TMQ at-Taubah (9):71].

Justeru, marilah kita bersama kembali kepada fitrah penciptaan wanita. Kedudukan utama wanita adalah sebagai ibu pendidik generasi masa hadapan. Ibu yang cerdas, beriman dan sedar akan tugas utamanya, akan melahirkan generasi-generasi pejuang yang akan memperbaiki nasib umat Islam ketika ini.

Wallahu’alam.
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment