Kapitalisme Memacu Kadar Penceraian Keluarga Muslim

Oleh: Ustazah Amani Mohamed (Ketua MHTM Cawangan Muar)

Realiti peningkatan kos sara hidup seperti kenaikan harga barangan, yuran pendidikan, kos kesihatan yang mahal, pelaksanaan cukai baru dan sebagainya, telah mengakibatkan kemelut kemiskinan dalam institusi keluarga semakin meningkat. Situasi ini bukan sahaja membebankan suami sebagai pencari nafkah tetapi turut mengheret para isteri mencari pekerjaan di luar rumah. Tidak kurang juga wanita terpedaya dengan arus materialistik dan hedonisme sehingga sanggup berhutang keliling pinggang bagi memenuhi kehendak mereka yang tidak terbatas.

Akibatnya, menguruskan rumah tangga menjadi tugas kelas kedua yang sering ‘terpaksa’ diabaikan oleh para wanita sehingga membawa kepada penceraian kerana telah hilang keharmoniannya. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melaporkan 98% daripada 47,779 kes cerai pada tahun 2012 adalah melibatkan pasangan Muslim. Menurut sumber Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia pula, antara penyebab berlakunya kes perceraian adalah masalah ekonomi keluarga, suami atau isteri yang tidak bertanggungjawab serta masalah akhlak.


Syariat Islam telah meletakkan kewajipan ke atas seorang suami (sebagai ketua keluarga) untuk memberi nafkah (menyara) anak-anak dan isterinya. Hal ini dinyatakan dalam sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud,

“Dan mereka (para isteri) mempunyai hak diberi rezeki dan pakaian (nafkah) yang diwajibkan ke atas kamu sekalian (wahai para suami)” [HR. Muslim No. 2137].

Berdasarkan hadis tersebut dapat difahami bahawa adalah wajib bagi seorang suami atau ayah untuk memberikan nafkah kepada isteri dan anak-anaknya. Pemberian nafkah tersebut meliputi keperluan makanan, minuman, pakaian dan tempat tinggal dengan cara yang ma’ruf. Allah SWT berfirman, “Dan kewajipan ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara yang ma’ruf” [TMQ al- Baqarah(2):233].

Jika tiada seorang pun yang berkewajipan memberikan nafkah kepadanya, maka syara’ mewajibkan nafkah diambil dari Baitul Mal. Abu Hurairah berkata, Rasulullah SAW pernah bersabda,

“Siapa sahaja yang meninggalkan harta, maka harta itu menjadi hak para ahli warisnya. Siapa sahaja yang meninggalkan orang yang sebatang kara, maka ia menjadi kewajipan kami” [HR Muslim].

Seterusnya apabila di dalam Baitul Mal tidak terdapat harta sama sekali, maka kewajipan itu berlaku atas seluruh kaum Muslimin. Negara mesti mewajibkan cukai ke atas harta orang-orang yang kaya, dan menyerahkan kepada para fakir miskin. Nabi SAW bersabda,

“Siapa sahaja yang menjadi penduduk suatu daerah, lalu di antara mereka terdapat seseorang yang kelaparan, maka perlindungan Allah SWT telah terlepas dari mereka” [HR Ahmad].

Oleh itu, jelaslah bahawa kesempurnaan syariat di atas tidak akan dapat dinikmati dengan sempurna seandainya sistem Kapitalisme yang zalim ini masih terus dilaksanakan. Rumah tangga setiap pasangan Muslim berhak merasai sakinah, mawaddah wa rahmah di bawah sistem Khilafah Islam.

Wallahhu’alam…
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment