Tindakan Negara Ketika Menghadapi Krisis dan Bencana


Oleh: KH Hafidz Abdurrahman
Pada setiap zaman, krisis dan bencana hampir tidak dapat dielakkan. Tidak terkecuali dalam sistem Khilafah. Cuma yang berbeza adalah sikap manusianya dalam menghadapi krisis dan bencana. Allah SWT. sendiri menyatakan, “Maka apakah penduduk negeri-negeri itu merasa aman dari kedatangan seksaan Kami kepada mereka di malam hari ketika mereka sedang tidur? Atau apakah penduduk negeri-negeri itu merasa aman dari kedatangan seksaan Kami kepada mereka di waktu matahari sepenggalan naik ketika mereka sedang bermain? Maka apakah mereka merasa aman dari azab Allah (yang tidak disangka-sangka)? Tiada yang merasa aman dan azab Allah kecuali orang-orang yang dalam kerugian. Dan apakah belum jelas bagi orang-orang yang mempusakai suatu negeri sesudah (lenyap) penduduknya, bahawa kalau Kami menghendaki tentu Kami azab mereka kerana dosa-dosanya; dan Kami kunci mati hati mereka sehingga mereka tidak dapat mendengar (pelajaran lagi)?”
Inilah yang diinginkan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya. Dengan musibah yang Dia turunkan, Dia hendak mengingatkan dan menyedarkan kita, agar kita kembali kepada-Nya. Tunduk dan patuh pada keputusan dan hukum-Nya. Begitulah yang Allah tuturkan dalam TMQ . Thaha: 128, as-Sajdah: 29, Ibrahim: 44-45, Maryam: 98, al-An’am: 6, al-Ahqaf: 25-27, Saba’: 45, al-Mulk: 18, al-Hajj: 45-46 dan al-An’am: 10.
Kembali kepada Allah
Berdasarkan nas-nas di atas, ketika bencana melanda, perkara pertama yang dilakukan oleh para pemerintah, khususnya khalifah sebagai ketuaa negara adalah melakukan penilaian secara menyeluruh. Tujuannya untuk mengetahui apa yang sebenarnya terjadi, apa penyebabnya dan bagaimana jalan penyelesaiannya?
Negara Khilafah yang menerapkan hukum Islam secara kaffah tetaplah negara manusia, bukan negara malaikat. Ketua negara dan para pegawainya juga manusia biasa, bukan para malaikat. Oleh kerana itu, tidak mustahil terjadi kesilapan yang dilakukan oleh manusia yang tidak maksum itu. Di sinilah, penilaian perlu dilakukan bagi memastikan tiada kesilapan. Jika terjadi juga, kesilapan tersebut perlu diatasi dengan segera. Sebab, inilah yang menjadi punca datangnya bencana.
Penilaian boleh dilakukan pada tiga peringkat: Pertama, sistem. Kedua, masyarakat. Ketiga, individu. Pada peringkat sistem, secara umum, negara Khilafah telah menerapkan hukum Islam secara kaffah. Pada konteks sistem, tentu tidak ada yang salah dengan sistem Islam. Namun,perlu diingat, bahawa sistem ini diterapkan oleh manusia. Kemunginan berpotensi melakukan kesalahan dalam penerapan sistem itu tetap ada. Sebagai contoh, bai’at merupakan sistem pengangkatan khalifah adalah sistem yang benar. Tetapi, dalam implementasinya mungkin terjadi kesalahan, sebagaimana yang dilakukan Mu’awiyah ketika mengambil baiat untuk anaknya dengan cara paksaan. Cara seperti ini akan menyebabkan lahirnya penguasa yang tidak mempunyai kredibiliti, yang boleh menjadi punca bencana.
Oleh kerana itu, ketika terjadi bencana kemarau, kebuluran dan penularan wabak, ‘Umar bin al-Khatthab banyak melakukan muhasabah dan bertaubat kepada Allah ‘Azza wa Jalla. Akibat kemarau yang sangat panjang, Madinah pun mengalami kekurangan bekalan makanan. Harga barang melambung, kerana permintaan meningkat, padahal bekalannya tidak ada. Sebagai ketua negara ‘Umar tidak melakukan penetapan harga, tetapi dengan menyalurkan bekalan makanan dari Iraq dan Syam ke Madinah, sehingga harga kembali normal, dan keperluan rakyatnya pun dapat dipenuhi.
Sebaliknya, ketika wabak ganas menyerang wilayah Syam, ‘Umar pun berangkat ke sana dan menyelamatkan seramai-ramainya penduduk Syam yang boleh diselamatkan, dipindahkan ke tempat yang selamat, seperti Madinah. Ini termasuklah Wali (Gabenor) Syam, Abu ‘Ubaidah al-Jarrah, yang ketika itu sakit akibat serangan wabak tersebut, yang akhirnya nyawanya juga tidak dapat diselamatkan. Abu ‘Ubaidah berkata, “Adakah Anda hendak lari dari Qadar Allah?” Dengan tegas, ‘Umar pun menjawab, “Andai sahaja yang berkata-kata ini bukan Anda [seorang sahabat Nabi]. Kita lari dari satu Qadar Allah menuju Qadar Allah yang lain.”
Hanya sahaja, sistem yang diterapkan oleh negara Khilafah ada yang merupakan hukum syara’, dan ada hukum ijra’i. Sebagai contoh, menghindari bahaya hukumnya wajib, sama ada ribut taufan, banjir, tanah runtuh, gempa bumi, tsunami, dan sebagainya. Tetapi, bahaya tersebut tidak boleh dihindari, kecuali dengan sistem peringatan awal [early warning], termasuk analisis Jabatan Meteorologi dan Kaji Cuaca (JMKC). Penerapan sistem peringatan awal dan analisis JMKC ini sebahagian dari hukum ijra’i. Maka, baik hukum syara’ mahupun hukum ijra’i ini sama-sama pentingnya dalam menjauhkan diri dari bahaya.
Jika negara menerapkan hukum Islam, dan dengan pasti menyatakan bahawa menghindari bahaya hukumnya wajib, tetapi negara tidak menerapkan sistem peringatan awal [early warning], termasuk analisis JMKC dalam konteks bencana alam, maka negara dianggap melakukan kelalaian. Ini juga merupakan bentuk kemaksiatan yang boleh menyebabkan terjadinya bencana, sebagaimana tumbangnya kren di Masjidil Haram, setelah diterajang ribut sehingga mencederakan dan mengorbankan lebih dari 100 bakal jemaah Haji.

Masyarakat dan Individu
Bertaubat dan mendekatkan diri kepada Allah tidak hanya dilakukan oleh khalifah dan para pemerintahnya, tetapi juga oleh masyarakat dan individu. Kemaksiatan yang dilakukan di tengah-tengah masyarakat juga boleh mengundang bencana. Sebagai contoh, sikap pengabaian masyarakat terhadap pengurusan sampah, penebangan hutan, dan lain-lain. Begitu juga sikap rakus dan tamak individu juga boleh menjadi penyebab bencana. Kes lumpur Lapindo(Indonesia) adalah contoh yang jelas. Semuanya ini merupakan bentuk kemaksiatan yang boleh mengundang bencana.
Oleh kerana itu, baik negara, masyarakat mahupun individu wajib melakukan muhasabah. Setelah menyedari kesalahan dan dosanya, barulah mereka boleh kembali ke jalan Allah. Hanya sahaja, ini memerlukan proses pendidikan dan kepemimpinan.
Masyarakat akan bergerak jika mendapatkan pendidikan dan teladan dari pemimpinnya. Ketika menghadapi bencana, sebagai ketua negara, ‘Umar terus turun ke tengah masyarakat. Hidup bersama mereka, bahu-membahu dengan mereka. Memikul sendiri makanan dari Baitul Mal untuk rakyatnya. Selama 2 tahun, beliau pun tidak mahu makan keju dan mentega, padahal itu merupakan makanan kegemarannya.
Sikap ini berhasil memupuk semangat kebersamaan, dan sikap ta’awun di tengah-tengah masyarakat, di antara sesama mereka. Walaupun mereka sama-sama tidak cukup keperluan, tetapi masih boleh mendahulukan orang lain. Tidak berebut, apatah lagi saling membunuh kerana berebut makanan. Inilah yang dikatakan oleh ‘Abdurrahman bin ‘Auf kepada ‘Umar, “Betapa berbezanya keadaan, kerana keberkatan kepemimpinanmu? Tidakkah engkau perhatikan bencana dan orang-orang ini? Seandainya bencana ini terjadi pada masa Jahiliyah, nescaya kaum Arab kesemuanya pasti sudah saling membunuh untuk merebut setangkai gandum atau setitis air. Tapi lihatlah mereka ini. Mereka semua bersabar dan teguh, mereka menangis tetapi redha terhadap takdir Allah. Mereka saling berkongsi dengan mengutamakan saudaranya, serta bahu-membahu menghadapi semuanya dengan ketabahan yang takkan terbayangkan di masa lalu.”
Masyarakat dikuatkan mental dan jiwanya untuk pasrah, redha dan tawakkal kepada Rabb-nya. Pada waktu yang sama, mereka dibentuk supaya tidak menyerah. Itulah yang disampaikan ‘Umar kepada Abu ‘Ubaidah al-Jarrah dan penduduk Syam ketika diserang wabak, “Kita lari dari satu Qadar Allah menuju Qadar Allah yang lain.” Secara bersama-sama, mereka pun diajak untuk memohon kepada Allah, dengan solat dan munajat. Bahkan, ‘Umar secara khusus mengirim surat kepada penduduk Syam dan Iraq untuk mendoakan penduduk Madinah ketika ditimpa bencana. Begitu juga sebaliknya, ketika Syam diserang wabak.
Dengan demikian, mental dan jiwa tadi juga menjadi mental dan jiwa individu. Maka, individu-individu masyarakat ini mempunyai kepasrahan, redha dan tawakkal kepada Allah SWT. Mereka pun bersabar, dan lebih banyak mengingati Allah SWT. Begitulah sepatutnya, ketika negara menghadapi krisis dan bencana.

SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment