Benarkah Khilafah Semakin Hampir?

Oleh: Insyirah Ameer (Aktivis MHTM)

Khilafah kedua pasti akan berdiri. Banyak alasan yang menguatkan keyakinan tersebut. Bermula daripada landasan i’tiqadi, iaitu janji Allah dalam surah an-Nur ayat 55 dan bisyarah Rasulullah SAW melalui banyak hadis baginda yang mencapai darjat mutawatir bil ma’na (diriwayatkan oleh 29 sahabat, 39 tabi’in dan 63 tabi’ut tabi’in). Bandul sejarah sedang mengarah pada perubahan besar dan mendasar yang lahir dari akidah Islam dan sistem sempurna dari Allah SWT. Berdirinya Khilafah Rasyidah yang kedua jelas akan menggoncang dunia sebagaimana kali pertama ia berdiri. Tanda-tanda semakin dekatnya Khilafah ini dapat diteliti dari beberapa fakta penting yang sedang berlaku dalam dunia umat Islam.

Pertama, kejatuhan ideologi kapitalisme semakin ketara. Tanda-tanda akan tumbangnya peradaban barat (kapitalisme) ini jelas dapat dilihat dari situasi yang menimpa Negara super power global, Amerika Syarikat (AS) seperti yang ditulis oleh David S Mason (2009) dalam bukunya, ‘Berakhirnya Abad Amerika’; “Amerika kini berada di akhir tempoh kepimpinan global dan dominasi yang kita nikmati selama 50 tahun. Negara ini sudah muflis secara ekonomi. Kita kehilangan dominasi politik, ekonomi dan sosial. Kita tidak lagi mampu dibandingkan dengan negara lain dan tidak lagi dikagumi sebagaimana dahulu. Kita pun tidak lagi dianggap sebagai model ekonomi dan politik seperti dahulu. Sungguh ini merupakan pergeseran global dalam sejarah dunia, samada kepada Amerika dan seluruh dunia”.

Kedua, di sisi lain, umat semakin sedar roh ‘keIslamannya’. Majoriti umat tidak lagi melihat Islam hanya pada aspek akidah dan ibadah ritual semata-mata, tetapi semakin celik tentang aspek pemikiran Islam. Ini boleh dicermati melalui sikap penolakan umat terhadap idea-idea kufur seperti sekularisme, liberalisme, demokrasi dan pluralisme.

Ketiga, umat menginginkan syariah Islam dalam bingkai sebuah negara iaitu Daulah Khilafah sebagai sebuah sistem untuk mengatur urusan orang hidup dan bukan hanya mengurusi orang mati, bab nikah-talaq, faraid dan thaharah (bersuci) sahaja. Umat juga semakin sedar kewajipan untuk menerapkan syariah secara kaffah (menyeluruh) dalam kehidupan. Global Public Opinion Survey yang dijalankan oleh University of Maryland pada tahun 2009 menunjukkan 81% umat Islam menyokong kembalinya negara Islam Khilafah. Pada pertengahan tahun 2010, Pew Research Center yang melakukan kajian di tujuh negara majoriti Muslim seperti di Indonesia, Mesir, Nigeria dan Jordan, menunjukkan 3/4 respondan memberikan pandangan positif tentang peranan besar agama Islam dalam kehidupan politik sebuah negara.

Keempat, umat Islam juga semakin mengenali musuh-musuhnya. Berbekalkan kaca mata iman yang tajam, umat Islam menyaksikan pembantaian, pembunuhan berdarah serta penghinaan dan pencabulan kehormatan saudara-saudara Muslim di Iraq, Afghanistan, Palestin, Pakistan dan Syria. Umat Islam juga mengenali pemimpin-pemimpin boneka tajaan AS dan sekutunya seperti Hosni Mubarak, al-Sisi, Asif Ali Zardari, Hamid Karzai, Maliki, Hasina, Khaleda, Raja Abdullah, Bashar al-Assad dan lain-lain. Umat menyaksikan pengkhianatan pemimpin-pemimpin ketika Iraq dan Afghanistan diserbu dan dijajah; ketika rakyat Palestin dan Syria terus dibantai dan diusir; ketika pemakaian khimar dan dakwah dihalangi serta ketika al-Quran dan Rasulullah SAW dihina kehormatannya.

Arab Spring: Belajar Dari Kegagalan Sebuah ‘Revolusi’

Arab Spring menjadi bukti kukuh bahawa umat menginginkan perubahan. Malangnya, setelah empat tahun pasca Arab Spring, revolusi tersebut jelas mengarah kepada kegagalan. Kegagalan Arab Spring dibuktikan dengan harapan rakyat Timur Tengah yang tidak tercapai. Harapan kehidupan Islami yang diingini, berakhir dengan semakin kukuhnya cengkaman rejim sekular sebagaimana yang berlaku di Tunisia. Ditambah lagi dengan konflik berpanjangan yang berlaku di Libya, pembantaian rakyat yang berlaku di Syria, ancaman disintegrasi (perpecahan) di Iraq, sehinggalah pertarungan kuasa-kuasa besar dunia memperebutkan tanah umat Islam seperti yang berlaku di Yaman. Inilah hasil dari Arab Spring.

Walaubagaimanapun, gelombang perubahan di Timur Tengah ini menyedarkan kita tentang beberapa perkara:

(1) Sekuat manapun suatu rejim pemerintah, ia tidak mustahil untuk ditumbangkan. Buktinya, revolusi Arab Spring berjaya menumbangkan sebahagian rejim Arab yang telah puluhan tahun berkuasa secara kuku besi dan kejam seperti Ben Ali di Tunisia, Ghaddafi di Libya dan Mubarak di Mesir.

(2) Umat adalah sumber kekuasaan. Merekalah yang berhak untuk melantik pemimpin, malah mampu untuk menjatuhkan pemimpin diktator yang sudah puluhan tahun berkuasa. Jika umat telah bergerak untuk mengambil alih kekuasaan, sekuat apa pun dukungan asing terhadap sesuatu rejim, mereka pasti akan tumbang.


(3) Negara-negara kuffar Barat akan selalu memantau dan berusaha keras untuk mengalihkan tujuan perubahan yang terjadi di negara-negara umat Islam, khususnya Timur Tengah. Mereka akan mengambil kesempatan untuk mencegah terjadinya perubahan sistemik. Mereka akan menggantikan rejim yang dibenci oleh umat dengan rejim baru yang hakikatnya adalah boneka mereka juga, seperti yang berlaku di Mesir. Al-Sisi sama kejamnya dengan Mubarak. Pemimpin boneka baru ini akan terus berkiblat ke Barat, menjaga demokrasi dan hukum-hukum Barat, serta mempertahankan kepentingan-kepentingan Barat di negara mereka.

(4) Perubahan yang tidak dipimpin oleh gerakan Islam yang kuat dan tidak melalui persiapan yang baik, akan selalu berkesudahan dengan kegagalan. Kesedaran umat Islam yang belum sempurna di beberapa wilayah Timur Tengah telah berhasil dimanfaatkan oleh barat, khususnya AS, Britain, Perancis dan Russia. Proses perubahan sosial yang terjadi secara spontan tanpa arah, akhirnya melahirkan kekecewaan demi kekecewaan. Hakikatnya, perubahan masyarakat perlu terarah. Perubahan yang salah atau tanpa arah akan pasti mendatangkan nestapa dan tidak mustahil menimbulkan rasa putus asa di benak umat. Hanya perubahan yang benar sahaja yang akan membawa manusia ke arah kebangkitan, keadilan dan keredhaan Allah SWT.

(5) Akibatnya, perubahan tersebut gagal mentransformasikan umat menuju perubahan hakiki, iaitu terbentuknya kekuasaan Islam dalam kerangka negara.

(6) Secara umumnya sambutan umat Islam untuk memenuhi seruan Khilafah jauh lebih kuat berbanding seruan yang lain. Bahkan ketika Mursi mengadakan kempen presiden, beliau menyatakan wajib memberi dukungan kepada Khilafah.

(7) Selain itu, berkobarnya Revolusi Syam yang berterusan berbeza dengan revolusi di wilayah lain. Revolusi Syam ialah revolusi Islam yang tidak hanya bertujuan untuk menumbangkan rejim Bashar Assad, tetapi bertujuan untuk menegakkan Khilafah yang menerapkan sistem Islam. Maka, tidak hairanlah ini menimbulkan ketakutan kepada musuh-musuh Islam kerana mereka sangat faham bahawa ‘uqru dar al-islam bi as-syam’ (pusat/ ibukota negara Islam ada di Syam).

Perubahan Yang Sahih

Realiti dari Arab Spring menunjukkan bahawa perubahan individu iaitu penggantian pemimpin semata-mata tidak mampu menyelesaikan masalah yang menimpa umat Islam. Justeru ia tidak layak untuk digelar ‘revolusi’. Ini kerana yang berubah adalah susuk pemimpin dan bukannya sistem kufur (sekular-kapitalisme) yang diterapkan dalam masyarakatnya.

Sesungguhnya, negara-negara umat Islam ketika ini menerapkan sistem kufur iaitu sekular-kapitalisme sebagai asas negara. Maka, perjuangan umat Islam hendaklah diarahkan untuk mengubah asas dan sistem kufur tersebut kepada asas Islam. Ini bermakna, perubahan yang perlu diperjuangkan oleh umat Islam adalah perubahan yang bercorak inqilabiyyah (revolusi total). Hanya dengan perubahan seperti ini Islam mampu ditegakkan secara sempurna di tengah-tengah masyarakat dan negara. Ini juga adalah kaedah yang digunakan oleh Rasulullah SAW sepanjang dakwah baginda sehinggalah baginda berjaya mendirikan Daulah Islam pertama di Kota Madinah.

Hal ini diakui oleh salah seorang penulis Amerika, Professor Noah Feldman dari Harvard di dalam bukunya yang bertajuk ‘Kejatuhan dan Kebangkitan Negara Islam’ (2008), beliau menyatakan bahawa, “Kemunduran syariah Islam pada masa lalu akan diikuti dengan kebangkitan semula, tetapi memerlukan beberapa keadaan tertentu untuk memenuhi proses kebangkitan tersebut. Negara Islam akan menerapkan keadilan bagi umat, namun negara tersebut tidak akan mampu dibangun dengan menerapkan sistem lama iaitu sekular-kapitalisme, sebaliknya, hendaklah membawa dan memperkenalkan sistem baru yang kontradik atau bertentangan dengan sistem sedia ada ketika ini”.

Lalu, apakah syarat-syarat yang mesti dipenuhi agar masyarakat memiliki keupayaan untuk melakukan perubahan inqilabiyyah?

Pertama, adanya visi perubahan yang jelas dan kuat iaitu untuk mengubah sistem kufur kepada sistem Islam.

Kedua, adanya pandangan umum (ra’yu al-‘am) yang lahir dari kesedaran umum (wa’yu al-‘am). Maksud pandangan umum adalah: (1) pandangan umum untuk membela Islam dan keinginan untuk hidup di bawah naungan Daulah Khilafah Islamiyyah; (2) pandangan umum untuk membela dan membantu gerakan Islam yang hendak mendirikan Daulah Khilafah Islamiyyah. Sementara, kesedaran umum (wa’yu al-’am) adalah kesedaran umum terhadap beberapa perkara, seperti: (1) kesedaran tentang Islam, terutama pemikiran tentang Khilafah dan kekuasaan; (2) kesedaran tentang permusuhan dan usaha-usaha penyesatan yang dilakukan kaum kafir untuk merintangi tegaknya Khilafah; (3) kesedaran bahawa umat tidak akan pernah mampu melepaskan diri dari masalah yang menimpanya, kecuali jika mereka mampu membebaskan dirinya dari pemerintahan yang menerapkan hukum-hukum kufur; (4) kesedaran terhadap tipudaya dan permainan politik kaum kafir untuk memalingkan umat dari jalan yang benar; 5) kesedaran umat untuk mendukung gerakan Islam mukhlish yang berjuang untuk membebaskan umat dari dominasi sistem kufur serta (6) kesedaran untuk mendukung gerakan Islam sehingga bersedia untuk menyongsong urusan yang sangat besar ini iaitu kembali tertegaknya Khilafah Islamiyyah.

Ketiga, adanya kesedaran politik (wa’yu as-siyasi) di tengah-tengah umat iaitu kesedaran untuk selalu memandang setiap persoalan, samada setempat mahupun global; dari sudut pandang Islam. Dengan kata lain, ia adalah kesedaran untuk memandang urusan dunia berdasarkan perspektif akidah dan syariat Islam.


Keempat, adanya dukungan ahlun-nushrah atau ahlul-quwwah kepada gerakan Islam yang sahih. Tanpa dukungan mereka, gerakan Islam tidak akan mungkin mampu meraih kekuasaan dari tangan umat dan mendirikan Khilafah Islamiyyah.

Kelima, adanya kelompok kuat, iaitu parti politik Islam yang mampu memimpin dan mengawal umat menuju perubahan inqilabiyyah. Ini memerlukan mereka untuk memperincikan ‘master plan’ (rancangan induk perubahan) atau ats-tsaqafah al-mutabannah berupa sejumlah konsep terperinci dan praktis tentang sistem pemerintahan Islam, sistem ekonomi Islam, sistem sosial Islam, polisi pendidikan dalam negara Islam, sistem politik dalam negeri dan luar negeri, serta sistem-sistem lain yang diperlukan untuk membangun sebuah Khilafah Islamiyyah sesuai dengan tuntutan syara’. Gerakan Islam ini juga hendaklah memiliki kaedah perjuangan yang sahih yang sejalan dengan manhaj (jalan) dakwah Rasulullah SAW.

Sesungguhnya, umat tidak akan bergerak jika tidak digerakkan. Umat tidak akan mengetahui hak dan kewajipan mereka jika tidak diberitahu. Umat juga tidak akan menyedari kerosakan yang berlaku dalam masyarakat kecuali jika disedarkan dengan benar. Bahkan umat tidak akan “berani” untuk menuntut perubahan, kecuali ada kelompok yang mampu memimpin dan mengatur arah fikir dan gerak mereka. Umat memerlukan sebuah gerakan sama ada yang berupa sebuah parti politik, harakah atau jemaah yang secara terus menerus mampu untuk membimbing dan memimpin mereka ke arah perubahan yang hakiki dan sahih. Sayangnya, terlalu banyak gerakan-gerakan yang ada di tengah-tengah umat dengan tujuan, target dan gerak kerja yang berbeza serta saling berlumba-lumba untuk merebut kepercayaan umat.

Sesungguhnya, dalam keadaan seperti sekarang di mana umat telah memiliki keinginan dan kesedaran untuk bangkit, umat hanya memerlukan sebuah gerakan ikhlas yang mampu menjaga kelurusan, kejernihan dan kesucian pemikiran-pemikiran Islam. Mereka juga hendaklah mampu untuk mengungkapkan kerosakan yang terjadi di tengah-tengah masyarakatnya. Pada hakikatnya, umat tidak memerlukan gerakan yang berhaluan sekular, kelompok sosialis, kelompok pragmatis pendukung pemerintahan kufur, kelompok berkepentingan untuk mempertahankan status quo mereka serta kelompok yang bergerak tanpa memiliki konsep dan garis perjuangan yang jelas. Atas dasar itu, umat hendaklah dijauhkan dari kelompok-kelompok tersebut.

Umat hanya memerlukan kelompok yang benar-benar tegak di atas akidah Islam, memperjuangkan tegaknya syariah dan Khilafah, memiliki konsep yang jelas (sama ada thariqah untuk menegakkan Khilafah, mahupun sistem yang akan diterapkan dalam negara kelak). Kelompok seperti inilah yang diperlukan oleh umat. Bahkan, umat wajib untuk menghimpunkan dirinya di sekitar kelompok ini, mendukung dan membantunya untuk merealisasikan tujuan.

Peranan Hizbut Tahrir

Peranan Hizbut Tahrir adalah untuk menyedarkan umat bahawa perubahan hakiki hanya mampu diwujudkan dengan menerapkan Islam secara kaffah melalui penegakan Daulah Khilafah Islamiyyah. Kapitalisme dan sistem demokrasi-sekular adalah punca kepada segala permasalahan yang menimpa umat pada hari ini. Keadaan umat tidak akan pernah berubah menuju ke arah yang lebih baik, selagi kita masih menerapkan sistem kapitalisme, sekularisme dan demokrasi. Kebangkitan yang sahih hanya boleh dicapai dengan menggantikan ideologi yang rosak dan menerapkan ideologi yang sahih iaitu Islam.

Hizbut Tahrir juga berperanan untuk menghilangkan kepercayaan dan kekeliruan umat terhadap pemimpin-pemimpin sekular, pihak yang mementingkan status quo mereka tanpa mempertimbangkan kemaslahatan umat Islam, serta kelompok-kelompok pragmatik; dengan cara menggoncang kedudukan mereka. Ini dilakukan dengan menyingkap kejahatan, kezaliman, pengabaian hak-hak umat serta persekongkolan mereka dengan negara dan pemimpin kafir. Hizbut Tahrir tidak akan pernah berkompromi dengan pemimpin sekular, bermanis muka kepada mereka, apatahlagi untuk bermusyarakah dalam pemerintahan sekular-demokrasi. Hizbut Tahrir juga akan terus menjaga dan membentengi umat dari kejahatan mereka, dengan cara membekali umat dengan pemahaman Islam yang jernih dan mendalam.

Sementara itu, dalam konteks menegakkan kembali Daulah Islamiyyah, Hizbut Tahrir memulakannya dengan cara meletakkan mafahim (pemahaman), maqayis (tolok ukur perbuatan) dan qana’at (perasaan) Islam di tengah-tengah umat; serta menyerang mafahim, maqayis dan qana’at kufur. Tanpa mafahim, maqayis dan qana’at Islami dalam diri umat, Daulah Islamiyyah tidak mungkin terbentuk. Daripada sudut thariqah (metod) untuk menegakkan Daulah Islamiyyah, Hizbut Tahrir menempuh thariqah yang digariskan Nabi SAW iaitu thalab an-nushrah. Thalab an-nushrah adalah meraih dukungan ahlul quwwah bagi Hizbut Tahrir untuk menegakkan Daulah Khilafah Islamiyyah, di mana dengan izinNya ia akan kembali sebentar lagi, Insya Allah.

Wallahua’alam bisshowab.
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment