Fikratul Ummah November 2015


Muqaddimatul Kalam

Oleh: Maryam Ismail (Ketua Editor FU)

Assalamu’alaikum wa rohmatullahi wa barokatuh...

Tidak pernah terbayang dalam benak fikiran kaum Muslim sejak generasi sahabat sehingga dua generasi yang lalu bahawa Negara Khilafah yang telah berdiri selama lebih dari 13 abad, yang menjadi penjaga dan pelindung Umat Islam serta yang menjadi asas utama tertegaknya sebuah sistem Islam akan runtuh jua. Sepanjang tempoh keberadaan institusi Khilafah itu, rakyat hidup dalam kesejahteraan. Malah, keagungan dan kehebatan Negara Khilafah diakui oleh para sejarawan Barat sendiri.

Namun, detik 3 Mac 1924 menjadi penamat atas segala kedamaian yang dirasai oleh seluruh alam. Bermula saat itu, umat Islam sentiasa berada dalam mimpi ngeri dan igauan yang menakutkan. Hidup tanpa sebuah Negara Khilafah telah membawa kesengsaraan yang luar biasa bagi Umat Islam. Umat Islam menjadi terpecah belah, kesatuan Khilafah yang dahulunya tersergam gah di mata dunia telah sirna kekuatannya dari setiap sudut dan menjadi negara-negara kecil yang lemah, yang dipisahkan atas faktor geografi dan kebangsaan (nationalism) semata.

Terlalu banyak episod duka yang menimpa kaum Muslim saat ini. Pertelingkahan dan peperangan sesama umat Islam, pembelotan pemimpin-pemimpin kaum Muslim terhadap umat Islam dengan manuver politiknya bersama negara kafir harbi fi’lan, penghinaan, pembantaian dan pembunuhan umat Islam yang kian meningkat hari demi hari seolah-olah kejadian ini seperti tidak ada titik noktahnya. Tentera-tentera kaum Muslimin juga kelihatan bacul dan dayus apabila membiarkan sahaja saudara-saudaranya diratah oleh si kafir laknatullah! Kekuatan-kekuatan tentera yang ada hanyalah untuk dipertontonkan di festival-festival ataupun lebih dahsyat lagi ianya digunakan untuk membunuh saudaranya sendiri.

Bila direnung dan dihalusi penderitaan kita saat ini, sesungguhnya mengembalikan semula keberadaan Negara Khilafah disisi umat Islam adalah satu hal yang sangat vital (penting), yang mesti menjadi satu kewajipan utama yang perlu disegerakan. Alhamdulillah, sehingga kini kewajipan itu semakin banyak diemban oleh individu dan juga kelompok-kelompok Islam yang ada, yang rindu dan ingin Negara Khilafah dikembalikan. Seiring dengan itu juga, saat ini kita dapat merasakan bahawa agenda-agenda Barat untuk menghalang kebangkitan Khilafah semakin marak dan rancak. Ini menggambarkan kepada kita betapa detik yang yang dinantikan itu (baca: Khilafah) sudah sangat menghampiri kita. Cuma, yang perlu diperhatikan di sini adalah setiap individu dan kelompok yang memperjuangkan kebangkitan itu wajiblah memperhatikan beberapa syarat agar perubahan yang dilakukan adalah perubahan yang benar dan menyeluruh. InsyaAllah FU keluaran November/Safar ini akan mengulas lebih lanjut lagi berkenaan dengannya sehingga umat yang mulia ini akan mendapat gambaran bahawasanya masih ada sinar di penghujung terowong apabila Islam benar-benar menjadi rahmatan lil alaamiin.

Wallahhu’alam...
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment