Islam-lah Yang Memuliakan Wanita Sebagai Ummun wa Rabbatul Bait, Bukan Liberalisme.

oleh: Zulaikha Mastor (Aktivis MHTM)

Dalam Forum Transformasi Global di Kuala Lumpur baru-baru ini, bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam ucapannya berkata bahawa masyarakat tidak boleh memandang rendah terhadap wanita yang berhenti kerja demi menjaga anak-anak. Katanya dalam perbincangan panel bertajuk "Wanita: Modal Baru", setiap wanita bebas untuk meninggalkan kerjaya mereka selepas mencapai tahap tertentu tanpa perlu menghadapi penolakan masyarakat atas keputusan tersebut kerana mereka mengorbankan sebahagian hidup mereka untuk mendidik generasi berkualiti pada masa depan. Beliau juga melontarkan komen kepada kaum lelaki untuk memikul tanggungjawab bersama dalam mendidik anak-anak dan bukannya dilihat sebagai peranan wanita semata-mata kerana lelaki kurang cenderung mengimbangi keluarga dan kerjaya dan ini dilihat sebagai tidak adil. Beliau mengesyorkan masyarakat melihat setiap individu sebagai "manusia" atau bergender neutral selain wanita meletakkan sifat kewanitaan mereka di rumah dan tetap menjadi modal sumber manusia ketika diluar.

Pandangan tokoh wanita ini ada kebenarannya. Ini kerana hukum wanita keluar berkerja adalah mubah. Jika keperluan asas telah dipenuhi maka adalah tidak salah untuk wanita memilih untuk menjadi suri rumahtangga. Isu ini terhasil dari ideologi sekular-kapitalis yang menjadi stigma masyarakat yang memandang wanita bekerjaya lebih bermanfaat berbanding menjadi ibu di rumah. Pandangan ini tidak selari dengan pandangan Islam yang mana peranan wanita adalah sebagai ummun wa rabbatul bait (ibu dan pengatur rumah tangga). Maka, jika ada wanita yang memilih untuk berhenti bekerja bagi menumpukan perhatian ke gelanggang asalnya di rumah, maka perkara ini harus disokong.

Dalam Islam, wanita atau ibu adalah madrasah pertama bagi anak-anak. Anak-anak yang dididik oleh para ibu yang berilmu, berfikiran mustanir dan bersyahsiah Islam pasti mendidik anak-anaknya menjadi insan yang cemerlang dunia dan akhirat. Wanita dibolehkan bekerja secara syari’ie untuk mengamalkan ilmu yang telah dipelajari dan hal ini tidak dilarang. Bahkan mengaplikasi ilmu yang telah dipelajari dengan bekerja sebagai guru, pensyarah, doktor, jururawat dan lain-lain adalah termasuk dalam kategori fardhu kifayah. Memiliki jawatan penting dalam sesebuah syarikat juga dibolehkan. Namun, perlu dipastikan kewajipan utama sebagai ibu dan pengatur rumah tangga tidak diabaikan. Malah adalah sangat mengelirukan jika ada yang berpandangan bahawa kaum wanita mesti bekerja untuk menafkahi keluarga bersama-sama suami. Ini kerana kewajipan memberi nafkah terbeban di bahu suami dan bukan si isteri sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah,

“...dan kewajiban ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara ma'ruf” [TMQ al-Baqarah (2): 233].

Ada wanita yang merasakan syariat Islam yang meletakkan wanita sebagai ibu dan pengatur rumahtangga sebagai sesuatu yang tidak adil seolah-olah lelaki adalah lebih baik dan lebih layak diberikan penghargaan dan diakui kebolehannya dalam menyumbang kepada masyarakat dan negara. Allah SWT telah mensyariatkan seluruh hukum yang berkaitan manusia dengan keadaannya sebagai manusia (lelaki dan wanita) tanpa ada perbezaan. Pelbagai taklif, hak dan kewajipan itu dilihat dari sisi ini adalah sama.

“Sesungguhnya lelaki dan perempuan muslim, lelaki dan perempuan mukmin, lelaki dan perempuan yang tetap dalam ketaatannya, lelaki dan perempuan yang benar, lelaki dan perempuan yang sabar, lelaki dan perempuan yang khusyu’, lelaki dan perempuan yang bersedekah, lelaki dan perempuan yang berpuasa, lelaki dan perempuan yang memelihara kehormatannya, lelaki dan perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah, Allah telah menyediakan untuk mereka ampunan dan pahala yang besar” [TMQ al-Ahzab (33):35]

“Dan tidaklah patut bagi lelaki beriman dan tidak (pula) bagi perempuan beriman, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka” [TMQ al-Ahzab (33):36].

Berdasarkan beberapa ayat di atas, jelas bahawa seluruh hukum syara’ yang telah disyariatkan oleh Allah SWT sesungguhnya adalah sama bagi lelaki dan wanita tanpa ada perbezaan atas kapasiti kedua-duanya di mana keduanya adalah hamba Allah SWT yang bernama manusia. Hukum-hukum tersebut merupakan seruan Allah SWT yang terkait dengan amal-perbuatan manusia. Sebagai hambaNya, kita perlu memaklumi bahawasanya Allah SWT Maha Mengetahui segala kekurangan dan kelemahan manusia. Dalam hal ini, pelbagai hak, kewajipan dan taklif syariah ada kalanya terkait dengan karakter kemanusiaan dengan jenis (kelamin) tertentu, bukan bagi seluruh manusia secara umum.

Namun, mengesyorkan masyarakat untuk memandang individu bergender neutral bagi menghadirkan keadilan bagi wanita dalam masyarakat adalah salah satu hal yang diperjuangkan oleh golongan feminis dalam memperjuangkan kesetaraan gender. Idea kesetaraan gender ini bercambah dari pemikiran liberalisme yang terhasil dari ideologi sekularisme yang memisahkan agama dari kehidupan. Justeru, pandangan ini pandangan yang salah dan menyeleweng. Secara fitrahnya, lelaki dan wanita memang berbeza, maka selayaknya peranan mereka berbeza. Ingatlah pada ayat Allah SWT,

“Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikurniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak dari sebahagian yang lain. (Kerana) bagi lelaki ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan, dan bagi para wanita (pun) ada bahagian dari apa yang mereka usahakan” [TMQ an-Nisa’ (4):32].

Sirah telah membuktikan, wanita-wanita hebat dizaman Rasulullah SAW dan para sahabat seperti Aisyah RA, Fatimah RA, Asma’ RA dan ramai lagi, tidak pernah ‘menyimpan’ sifat kewanitaan mereka dirumah semata-mata untuk meraih pengiktirafan dari kalangan para sahabat yang hebat pada ketika itu. Tanpa meninggalkan kemuliaan mereka sebagai wanita, para sahabiyah telah banyak menyumbang kepada perkembangan ilmu dalam masyarakat, negara dan peradaban. Buanglah bibit-bibit perjuangan kesetaraan gender yang berlegar di fikiran para Muslimah yang mencari redha Allah SWT. Jauhkanlah dari saling berasa iri hati dan dengki dengan mempersoalkan apa yang telah Allah lebihkan kepada sebahagian atas sebahagian yang lain. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala kelemahan dan kekurangan makhluknya dan tiada hukum sebaik hukum Allah dalam mengatur hidup manusia. Wallahu alam.

SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment