Muhammad Muhazhab Havan, Syuhada Dari Libya

Di tengah aktiviti pengajian, tiba-tiba semua mahasiswa, pensyarah dan staf Universiti Libya disuruh untuk berkumpul di kawasan lapang di Fakulti Teknik. Kerana tidak ada pengumuman tentang kenapa mereka disuruh berkumpul, mereka pun mula berteka-teki tentang apa yang terjadi.
Mengapa dan sebab apa mereka disuruh berkumpul? Adakah untuk menghormati para pensyarah universiti dan mahasiswa? Atau untuk perasmian perguruan tinggi, makmal, perpustakaan baru? Atau…?


Yang jelas, mereka semakin tertanya-tanya ketika dipasang tiang gantung di tengah kawasan lapang itu. Suasana pada jam 10 pagi pada tahun 1983 yang sebenarnya cerah terasa mencengkam ketika sebuah kenderaan berhenti berhampiran kawasan lapang tersebut. Mereka ternganga apabila melihat seorang lelaki berbadan tinggi, kulitnya sawo matang keluar dari kereta itu. Sebahagian besar dari mereka langsung tidak mengenali lelaki tersebut, tetapi para pensyarah yang sudah bekerja lebih dari 10 tahun terus mengingati peribadi beliau seorang yang rajin, tekun, murah senyuman dan teguh pendirian. Dialah Muhammad Mahazhab Havan.

Mahasiswa jurusan teknik mesin fakulti teknik yang hilang sepuluh tahun lalu sedang dibawa ke tengah kawasan lapang. Siapa sahaja yang menghampiri atau dianggap menghalang jalan, ditendang, dimaki bahkan ditampar oleh pengawal yang membawanya menuju tiang gantung. Dan beberapa minit kemudian, Havan pun syahid-insya Allah-di tali gantung.

Salah seorang pengikut rejim Qaddafi yang bernama Nashrul Mabruk menarik kaki beliau yang tergantung itu dengan gembira. Peristiwa tersebut membuatkan semua orang tercengang, sedih, trauma dan menyampah atas tindakan biadab itu.

Melawan Pemerintah Kuku Besi

Setelah merampas kuasa Raja Idris, Muammar Qaddafi pun menjadi penguasa Libya pada tahun 1969. Qaddafi menjadikan sosiolisme sebagai panduan hidup bernegara berbanding menerapkan syariah Islam yang bersumberkan dari Al Quran dan Sunah.

Maka dengan lantang Havan, lelaki kelahiran Ghuryan, Libya pada 1947 pun mengkritikya. Beliau berdebat dengan dua orang anggota Dewan Komando Revolusi Libya iaitu Datuk Bandar Basyir Hawariy dan Datuk Bandar Umar al-Mahisyi dalam Simposium Pemikiran Revolusioner yang diadakan pada Mei 1970. Beliau juga berdebat dengan Qaddafi.

Menurut saksi, sudut pandang Havan dalam dialog tersebut lebih mendalam dan berobjektif berbanding ketiga-tiga pimpinan Libya tersebut. Bahkan, sudut pandang Havan mucul dari kecerdasan dan pandangan ke depan serta pemahaman yang mendalam terhadap arena politik di Libya dan dunia Islam.

“Maka, bermula saat itu, kedua pihak, iaitu Dewan Komando Revolusi dan Qaddafi membenci dan iri hati terhadap Havan,” ungkap rakan seperjuangan Havan, Syeikh Dr Fathi Fadli. Qaddafi semakin lama semakin memandang remeh sumber hukum Islam. Dia menyebarkan pendapatnya yang meragukan tentang kebenaran hadis. Dia menganggap semua hadis itu palsu (maudhu), tidak ada yang merupakan wahyu Allah SWT. Sehingga dia tidak mahu menerapkan hukum yang terkandung dalam hadis.

Havan kembali mengkritik namun kali ini berakhir dengan penculikan dirinya. Havan diculik pada tahun 1973, di tahun terakhir pengajiannya untuk meraih gelaran jurutera. Anak sulung daripada lapan beradik ini ditangkap oleh pengawal sesudah dia membacakan pidatonya yang dikenali sebagai Khithab az-Zuwarah yang mengkritik Qaddafi kerana tidak menerapkan syariat Islam secara kaffah.

Havan dan rakan-rakannya yang juga aktivis Hizbut Tahrir Libya ditangkap dan dipenjarakan di Al Hishan Al Aswad dengan tuduhan melakukan ‘propaganda menentang revolusi’ dan ‘percubaan mengguling pemerintah’.

Orang yang pernah dipenjarakan bersamanya mengatakan bahawa beliau mengenal aktivis Hizbut Tahrir Libya tersebut sejak 1972. “Kemudian, saya lebih mengenalinya ketika bersama-sama ditahan di penjara tentera di Tripoli Barat (Libya), kemudian kami dipindahkan ke penjara sivil, setelah sebelumnya mengalami seksaan yang biadab selama tiga bulan oleh Qaddafi si musuh Allah, Rasul-Nya dan kaum Mukminin.” Demikian kata salah seorang rakan seperjuangan yang enggan disebut namanya.

Pada persidangan 1 Julai 1974, beberapa orang dibebaskan, kemudian sebahagian yang lain ditangkap lagi termasuk Havan.

Kesesatan Qaddafi semakin menjadi-jadi. Hizbut Tahrir Libya pun cuba meluruskan pandangan Qaddafi yang salah itu. Maka pada tahun 1978, delegasi HT Libya berkunjung ke kediaman Qaddafi. Mereka berdebat selama empat jam. Namun tidak ada kata sepakat.

Untuk melawan pandangan kufur yang disebar Qaddafi di tengah rakyatnya, HT Libya pun menerbitkan buku ‘Seruan dari Hizbut Tahrir untuk Kolonel Qaddafi’ pada 9 September 1978 (7 Syawal 1398). Buku yang memuatkan semua perdebatan yang meluruskan kekeliruan pandangan Qaddafi mengenai hadis itu disebarkan.

Pada saat itu, Qaddafi amat berang. Dia pun memerintahkan badan perisikan untuk menyelidiki siapa sahaja yang menyebar buku yang membangkang pendapatnya itu. Maka ditangkaplah beberapa aktivis HT Libya. Lalu dimasukkan ke penjara mengikuti Havan dan rakannya yang lain.
Semua yang ditahan ditakut-takutkan di dalam penjara. Namun mereka tetap teguh dengan pendiriannya. Tidak sedikit pun goyah dan meninggalkan prinsipnya untuk terus berjuang menegakkan Khilafah Islam, yang menjadikan Al-Quran dan hadis sebagai sumber hukumnya.

Qaddafi pun berang. Dia mengancam untuk memenjarakan mereka seumur hidup. Mereka tidak goyah. Bahkan dengan lantang Muhammad Muhazhab Havan menjawab, “Sungguhpun dipenjara seumur hidup itu merupakan kebanggaan dan kehormatan bagi saya.”

Mendengar hal itu, Qaddafi pun memutuskan untuk menjatuhan hukuman bunuh kepada mereka. Maka, pada tahun 1983, para pejuang Islam ideologis ini pun dihukum mati di sekolah-sekolah dan universiti, di depan para guru, pensyarah, murid dan mahasiswa, serta di hadapan keluarga dan anak-anak mereka.

Selain Havan, mereka yang turut dihukum bunuh adalah (1) Nashir Surais (2) Ali Ahmad Iwadhullah (3) Badik Hasan Badar, warga Palestin (4) Namer Salim Isa (5) Abdullah Hamudah (6) Abdullah al-Maslati (7) Al Kurdi (8) Shaleh Nawal (9) Anak saudara Shaleh Nawal.

Ada diantara mereka yang masih hidup setelah dihukum, tetapi kemudian digantung semula. Setelah diturunkan kemudian diikat pada kenderaan dan diseret.

Tiga aktivis Hizbut Tahrir lainnya, iaitu (10) Dr Majid Al Qudsi Al Douwik, warga Palestin (11) Muhammad Bayoumi dan (12) Al Faquri meninggalkan dunia fana ini setelah diseksa secara keji oleh badan perisikan Libya di Tripoli.

Semoga Allah menjadikan Havan dan 12 rekan lainnya yang digantung sebagai penghulu para syuhada seperti sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan Al Imam Al Hakim dari Shahabat Jabir radhiallahuanhu: “Penghulu para syuhada adalah Hamzah bin Abdul Muthalib, dan orang yang melawan penguasa kejam, ia melarang dan memerintah, namun akhirnya ia mati terbunuh."
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment