Negara ‪‎Muslim‬ Adalah Negara Yang Paling Menderita Disebabkan Isu ‪‎Terorisme‬ [Bahagian 1]

Pada tahun lalu, berdasarkan analisis, Iraq telah menjadi mangsa kesan terorisme (keganasan) yang besar. Global Terrorism Index 2015 (GTI) telah mencatat 9,929 jumlah kematian akibat aksi terorisme di Iraq pada tahun 2014, merupakan jumlah tertinggi untuk sebuah negara menurut laporan yang dikeluarkan oleh Institute for Economics and Peace (IEP). Walaupun kajian tersebut telah memberi kesan pada seluruh dunia, namun jumlah kematian tertinggi hanya berlaku di 5 buah negara sahaja.


Index yang dikeluarkan sebelum serangan di Paris, menunjukkan bahawa sebanyak 78% kematian berlaku disebabkan keganasan pada tahun 2014 yang berlaku di Iraq, Afghanistan, Nigeria, Pakistan, dan Syria. Berikut adalah sepuluh buah negara yang disenaraikan dalam Global Terrorism Index, mengikut urutan menaik:

1) Thailand: mencatat sebanyak 7,279 kematian. Negara ini adalah negara yang mencatat kematian tertinggi di kawasan Asia Tenggara. Pada tahun 2014, Thailand mencatatkan serangan pengganas tertinggi dalam sejarah Negara Gajah Putih itu, dengan peningkatan insiden sebanyak 16% dari tahun sebelumnya, walaupun angka kematian menurun jika dibandingkan pada tempoh genting pada tahun 2009 yang telah mengorbankan nyawa sebanyak 255 orang. Konflik di Thailand sering berlaku di selatan negara tersebut, dimana banyak pertentangan antara umat Islam Thailand dan pemerintahnya.

2) Libya: dengan jumlah kematian sebanyak 7,290, Libya telah mencatatkan peningkatan sebanyak 255% kematian akibat terorisme pada tahun 2014 berbanding tahun sebelumnya. Terorisme di Libya dikaitkan dengan krisis Libya yang bermula pada tahun 2011 selepas kejatuhan Muammar Gaddafi dari tampuk kekuasaannya.

3) Somalia: negara ini mencatat 7,600 jumlah kematian dalam GTI, dan merupakan antara 10 buah negara yang paling berpengaruh selama 8 tahun berturut-turut. Tahun 2014, negara ini telah mencatat sejarah dengan jumlah korban yang terburuk. Insiden terburuk berlaku di sebuah kafe apabila sebuah pengeboman bunuh diri berlaku dan telah mengorbankan 20 orang , manakala 20 orang lagi mengalami kecederaan.

4) Yaman: sebanyak 512 insiden keganasan berlaku selama 15 tahun kebelakangan ini di Yaman, dan mencatatkan jumlah 7,642 kematian. Pada tahun 2014, jumlah aksi keganasan / terorisme meningkat sebanyak 72% berbanding tahun sebelumnya, dengan jumlah korban mencapai 654 orang. Jumlah tersebut meningkat hampir dua kali ganda dibandingkan dengan tahun terburuk sebelumnya, iaitu pada tahun 2012 di mana terdapat sebanyak 372 orang kematian.

5) India: Agak mengejutkan, negara ini telah muncul sebagai ‘top 10’ dalam GTI sebanyak 14 kali, dengan jumlah kematian pada tahun ini sebanyak 7,747 orang. Kebanyakan aksi terorisme di India memiliki jumlah korban yang sedikit. Pada tahun 2014, lebih kurang 70% serangan yang tidak mengorbankan nyawa manusia. Mungkin ini juga alasan mengapa aksi terorisme di India tidak disiarkan di berita antarabangsa. Kebanyakan aksi keganasan di India dilakukan oleh tiga kelompok: komunis, Islamis, dan puak pemisah.

6) Syria: Sebanyak 8,108 kematian telah direkodkan bagi negara ini di GTI. Pada tahun 2014, seramai 1690 jiwa terkorban dan jumlahnya dianggap kecil jika dibandingkan apa yang ditunjukkan di media tentang Syria. Hal ini kerana kebanyakan kematian di Syria dicatat sebagai korban perang. Serangan terburuk di Syria adalah apabila sebuah kenderaan meledak berhampiran sebuah pasar yang membunuh 40 orang dan 60 orang cedera. (Laporan rasmi PBB menyebutkan, jumlah orang awam yang terkorban akibat kekejaman rejim Bashar al Assad mencapai lebih 200 ribu nyawa)

7) Pakistan: Walaupun jumlah insiden di Pakistan telah turun sebanyak 7%, Pakistan tetap merupakan 5 negara tertinggi dalam jumlah kematian akibat keganasan yang mencatat 9,065 nyawa. Ini disebabkan oleh ramai yang tewas dalam serangan pengganas di Pakistan, dengan jumlah 1760 orang yang terkorban sepanjang tahun 2014. Kumpulan yang dikatakan paling ganas membunuh di negara ini adalah Tehrik-i-Taliban Pakistan, yang bertanggungjawab ke atas 31% serangan dan 60% kematian.

8) Nigeria: Negara yang telah menukarkan ibu negaranya dari Lagos ke Abuja pada akhir tahun 1991 telah mencatatkan jumlah kematian sebanyak 9,213 orang dalam GTI. Pada tahun 2014, Boko Haram di Nigeria menjadi kumpulan yang paling agresif dalam pembunuhan di dunia, dengan jumlah korban yang mencapai 6,118 orang. Tahun sebelumnya, Boko Haram bertanggungjawab ke atas 86% jumlah kematian di Nigeria. Di peringkat kedua, terdapat kumpulan militan Fulani yang telah membunuh seramai 1,229 orang sepanjang tahun 2014.

9) Afghanistan: dengan jumlah kematian sebanyak 9,233 orang, negara ini berada di tangga kedua dengan kesan terburuk akibat terorisme. Pada tahun 2014, sebanyak 515 bandar berbeza di Afghanistan telah diserang dengan pengganas. Tempat yang paling banyak diserang bertumpu di daerah yang jaraknya 100 batu dari sempadan Pakistan, dengan polis sebagai target paling banyak, yang telah mencapai 50% dari keseluruhan insiden.

10) Iraq: Negeri 1001 Malam ini telah mencatatkan negara yang paling parah didunia akibat kesan keganasan. Sebanyak 3,370 kes keganasan yang berlaku di Iraq sepanjang tahun 2014. Keadaan ini telah mengakibatkan 9,929 orang meninggal dunia, 4,211 buah bangunan rosak, serta 15,137 orang yang cedera.

Daripada 10 negara tersebut, terdapat 7 buah negara dengan majoriti penduduknya adalah Muslim, manakala Nigeria terdiri daripada populasi Islam dan Kristian yang sama rata.

IEP juga mendapati bahawa terdapat pertindihan kepada penyebaran sasaran tindakan keganasan sepanjang 2014, di mana penurunan dalam kadar kematian pemimpin agama dan penganutnya sebanyak 11%, namun bilangan kematian orang awam meningkat mendadak sebanyak 172%. Di samping itu, IEP juga mengatakan bahawa negara mangsa keganasan tersebut juga merupakan negara yang mempunyai masalah pelarian yang paling teruk. Keadaan ini membenarkan kenyataan Presiden Suruhanjaya Eropah, Jean- Claude Juncker yang mengulas bahawa mereka yang melakukan serangan di Paris adalah mereka yang dihindari oleh pelarian.

Sementara dalam Index yang sama, Indonesia tercatat di kedudukan ke-33 dengan jumlah 4,755 orang.

(BERSAMBUNG)
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment