Obama Datang Lagi: Kehadirannya Membawa Sebuah Malapetaka, Tidakkah Kita Mengambil Pengajaran?

Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama sekali lagi akan menjejakkan kakinya ke negara ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak AS-Asean dan Asia Timur di Kuala Lumpur pertengahan bulan November ini. Kunjungan tersebut merupakan sebahagian daripada siri kunjungan Obama yang bakal berlangsung mulai 14 November sehingga 22 November 2015 yang bakal menyaksikan Obama menghadiri Persidangan G20 di Turki dan Sidang Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik di Filipina. Menurut Duta AS ke Malaysia, Joseph Yun, kehadiran Obama ke negara ini bakal menyentuh mengenai isu-isu keselamatan serantau dan juga berkaitan isu TPPA yang sudah pun dipersetujui oleh Malaysia dan hanya menunggu ratifikasi [The Star.com, 3/11/205]. Kunjungan kali ini merupakan kunjungan ketiga Presiden negara penjajah tersebut ke Malaysia sepanjang tempoh pentadbirannya (kali pertama diwakili oleh John Kerry). Hubungan baik Perdana Menteri Malaysia dengan Obama sudah terserlah dalam banyak kesempatan, termasuklah apabila Najib dilihat bermain golf dengan ketua pengganas dunia itu pada penghujung tahun lepas di Hawaii di saat negara dilanda krisis banjir terburuk dalam sejarah.

Kehadiran Obama kali ini merupakan kesinambungan daripada polisi luar AS terhadap Asia Tenggara, yang bertumpu kepada usaha untuk mengekang pengaruh China terhadap rantau ini. Di sebalik alasan untuk mengekalkan keselamatan dan mengembalikan keseimbangan geopolitik serantau, hakikatnya kehadiran Obama tidak lebih dari makar politik dan ekonomi yang dilaksanakan bagi mengekang cita-cita China yang mencabar hegemoni AS di rantau ini. Sudah tentu AS tidak akan berdiam diri menyaksikan pengaruhnya terhakis di rantau yang kaya dengan sumber alam dan menempatkan salah satu laluan perdagangan yang tersibuk di dunia ini. Di bawah polisi luarnya yang dikenali sebagai “Pivot to Asia”, pentadbiran Obama berusaha untuk meraih sokongan diplomatik dengan negara-negara Asean dan Asia Timur seperti Jepun dan Korea Selatan. Dari sudut ekonomi pula, AS berusaha mengikat negara-negara Pasifik melalui perjanjian permuafakatan Trans-Pasifik (TPPA) yang penuh dengan muslihat dan agenda tersembunyi. Di samping menggunakan pendekatan diplomatik dan ekonomi, AS sengaja menunjukkan taringnya dari aspek ketenteraan apabila kapal-kapal perangnya dilaporkan belayar berhampiran kawasan perairan yang menjadi rebutan antara China dan beberapa buah negara Asia Tenggara. AS turut mengukuhkan semula ikatan ketenteraan dengan Filipina, negara yang pernah menjadi tanah jajahannya dahulu.

Demikianlah polisi luar AS di bawah Obama yang secara zahirnya menggunakan “soft power” dan kelihatan lebih lunak berbanding pentadbiran Bush sebelumnya. Namun hakikatnya dasar luar AS tetap sama biarpun pemimpinnya bersilih ganti, iaitu untuk terus mengukuhkan cengkamannya dalam percaturan politik antarabangsa. Pada dasarnya, perkara yang sama akan turut diteruskan oleh penggantinya kelak, meskipun mungkin berbeza dari segi pendekatannya. Sikap bermuka-muka Obama yang licik dalam bermain sentimen, khususnya apabila berhadapan dengan dunia Islam, ternyata berjaya memperdaya ramai penguasa Muslim dan sebahagian umat Islam. Melalui jentera propagandanya, Obama berusaha untuk membersihkan imej AS di mata umat Islam.

Obama turut mempromosikan gerakan-gerakan sivil demokratik Islam, dengan bertopengkan idea kesederhanaan, pluralisme, liberalisme dan toleransi agama bagi memerangi apa yang disifatkannya sebagai “ekstremisme” Islam. Melalui pemerkasaan gerakan sivil dalam dunia Islam, Obama turut menyuntik racun pemikiran yang berpaksikan idea kebebasan dan demokrasi agar umat Islam terus kekal dalam status quo pada hari ini. Hal ini jelas terlihat di mana-mana dan kita dapat menyaksikannya di Malaysia apabila Obama mengundang beberapa orang wakil daripada gerakan-gerakan sivil di Malaysia dalam sesi dialog tertutup sewaktu kunjungannya yang lalu ke negara ini. Dalam pada itu, beberapa buah badan pemikir tajaan AS turut menyebarluaskan idea-idea kebebasan yang disadur dengan istilah-istilah Arab agar diterima oleh umat Islam sebagai selari dengan ajaran Islam.

Melalui polisi “Combating Violent Extremism”, Obama berusaha untuk memburukkan gerakan-gerakan politik Islam yang berjuang di luar daripada demokrasi dan cuba mengaitkannya sebagai kelompok yang cenderung kepada keganasan. Kesemua makar ini dilakukan bagi membendung kebangkitan hakiki yang berpaksikan ideologi Islam, serta cuba melarikan umat daripada bangkit mendukung usaha mengembalikan semula Negara Khilafah yang akan berdiri di atas manhaj kenabian. Hal ini dapat difahami dengan jelas melalui ucapan-ucapan dan tindakan presiden negara Uncle Sam itu.

Di sebalik kelunakan madah berhelah Obama, sebenarnya terserlah sikap hipokrasi AS yang kononnya memperjuangkan idealisme hak asasi manusia. Hakikatnya Obama hanyalah penerus kepada dasar-dasar zalim penjajah yang diwarisinya daripada presiden-presiden terdahulu. Sejarah telah membuktikan keangkuhan dan kekejaman AS dalam membuli negara-negara lain di dunia melalui institusi-institusi antarabangsa seperti PBB, WTO, IMF dan Bank Dunia. Melalui kuasa veto dalam Majlis Keselamatan PBB, AS seringkali menggunakannya untuk menjamin pengaruhnya. AS turut memperalatkan badan dunia tersebut untuk menghalalkan tindakannya menyerang Iraq semasa Perang Teluk Pertama. Dalam pada itu, AS menjadi penjaga nombor satu kepada segala kepentingan entiti haram Yahudi melalui kuasa yang ada padanya.

Perang Anti-Keganasan Sejagat (Global War on Terror) masih diteruskan oleh Obama, meskipun diberikan penjenamaan semula kerana istilah tersebut telah memberi konotasi negatif kepada dunia Islam kerana setiap yang celik tahu bahawa war on terror adalah war on Islam. Di awal pemerintahan Obama, AS masih lagi menjajah Iraq dan Afghanistan. Pengunduran tentera AS hanya dibuat apabila negara tersebut tidak lagi mampu menampung belanja untuk mengekalkan pendudukannya di Iraq. Itu pun setelah AS melantik ejen yang tunduk kepadanya sebagai pemimpin di negara tersebut. Lihatlah apa yang terjadi di Iraq pada hari ini di bawah kekuasaan AS, negara itu tidak pernah stabil dan umat Islam sentiasa jadi buruan. Demikian juga halnya apa yang berlaku di Afghanistan. Tidak seperti Bush, Obama menggunakan serangan ‘drone’ dan pembunuhan terancang ke atas umat Islam bagi mengelakkan timbulnya persepsi buruk terhadap tindakannya itu. Tidak ramai yang mengetahui perang ‘drone’ ke atas umat Islam Pakistan yang menelan korban lebih daripada tiga ribu nyawa. Meskipun mendapat liputan media, Obama berhasil menyembunyikannya melalui persekongkolannya dengan penguasa Pakistan.

Berbaik dengan AS Tidak Hanya Mengundang Malapetaka, Malah Haram Di Sisi Islam

Senario politik dunia gempar seketika dengan tercetusnya revolusi ‘Arab Spring’ di rantau Asia Barat pada 2011. Revolusi ini menyaksikan beberapa rejim diktator di Timur Tengah yang selama ini tunduk kepada AS, tumbang dengan hina melalui kebangkitan massa. Namun disebabkan ketiadaan kekuatan ideologi yang membimbing kebangkitan ini, AS telah berjaya mengambil kesempatan merampas kebangkitan tersebut dan menyuntik idea kebebasan serta demokrasinya. Natijahnya, kebangkitan yang lahir secara spontan lagi diberkati itu, telah digantikan dengan pemerintahan demokratik di bawah telunjuk Amerika yang tidak membawa kepada apa-apa perubahan, malah lebih buruk dari sebelumnya.

Sebagai negara yang mempunyai banyak kepentingan di Asia Barat, sesudah jatuhnya para diktator penjilatnya, AS sudah tentu tidak akan membiarkan mana-mana pemimpin naik dengan mudah, tanpa izinnya. Kerana itu, AS sekali-kali tidak akan berhenti dari campur tangan di rantau terbabit. Boleh dikatakan kesemua negara yang terjadi revolusi telah berjaya ditundukkan oleh Amerika, kecuali di Syria. AS masih belum menjumpai ejen pengganti yang layak di Syria. Kerana itu, mereka masih mempertahankan rejim Basyar dan kini AS mempergunakan Rusia, meskipun Rusia mempunyai agendanya tersendiri di Syria, untuk memerangi umat Islam, khususnya kelompok yang menentang Basyar di Syria. Hal ini jelas menunjukkan hipokrasi AS yang kononnya pembawa obor keamanan, demokrasi dan hak asasi untuk manusia sejagat!

Sedarlah wahai kaum Muslimin, bahawa sebarang bentuk persahabatan dengan AS akan hanya mengundang musibah ke atas kita. Malah, apa yang lebih penting untuk difahami ialah, haram bagi kita untuk menjalin hubungan persahabatan dengan AS. Dasar luar AS yang memerangi Islam menjadikan AS sebagai sebuah negara berstatus al-Daulah al-Kafirah al-Harbiah al-Muharibah bi al-Fi’li (negara kafir yang sedang memerangi umat Islam secara nyata), meskipun Obama cuba menyembunyikan hakikat ini. Tangan Obama berlumuran dengan darah umat Islam dan pisau yang digunakannya untuk membunuh itu masih tergenggam erat di tangannya untuk dia meneruskan pembunuhan demi pembunuhan.

Mana-mana negeri yang dimasukinya, maka akan hancurlah negeri itu, kecuali beberapa orang yang mengikutinya sahaja. Itu pun tidak lama. Setelah ia melihat orang itu tidak lagi berguna kepadanya, maka tanpa belas kasihan AS akan mencampakkannya, malah ke tahap membunuhnya. Tidakkah kita mengambil pengajaran daripada apa yang telah dan sedang kita saksikan ini? Sampai bilakah para penguasa umat Islam akan sedar dan akan keluar dari malapetaka ini? Sedarlah wahai kaum Muslimin, Amerika Syarikat sebagai negara penjajah dan Obama yang mewakili negara tersebut, tidak pernah ikhlas dalam ‘persahabatannya’ dengan umat Islam. Setiap langkahnya terhadap umat Islam dipenuhi dengan muslihat dan tipu daya dan setiap apa yang dilakukannya ke atas kita akan mengundang malapetaka. Tidak cukupkah kita mengambil peringatan dari firman Allah SWT,

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu sehingga engkau menurut milah mereka” [TMQ al-Baqarah (2):120].

Justeru, mengundang Obama untuk sama-sama bermesyuarat di sini dan juga tindakan Malaysia yang telah bersetuju terhadap TPPA baru-baru ini, tidak lebih dari sebuah kesilapan yang bakal mengundang padah. Isi kandungan perjanjian yang penuh rahsia itu sahaja sudah cukup untuk membuktikan ketidakikhlasan dan agenda tersirat yang wujud. Apa yang lebih utama, mengundang Obama dan juga TPPA itu sendiri adalah haram di sisi Islam berdasarkan status AS sebagai sebuah al-Daulah al-Kafirah al-Harbiah al-Muharibah bi al-Fi’li. ‘Hubungan’ yang wujud di antara Negara Islam dengan negara seumpama itu hanyalah hubungan jihad fi sabilillah.

Namun demikian, terdapat segelintir pihak yang bersikap skeptikal terhadap golongan yang ikhlas menolak campur tangan AS dalam dunia Islam. Mereka melihat bahawa AS merupakan sebuah negara kuasa besar (super power) yang terlalu kuat untuk disingkirkan dari persada politik antarabangsa. Bahkan ada yang beranggapan bahawa tanpa AS, kuasa besar lain seperti China akan menguasai percaturan di rantau ini dengan membawa ancaman dan mudarat kepada kita. Ada juga yang takut untuk menolak AS kerana dikhuatiri AS akan menyerang kita dan hal ini akan membawa mudarat yang lebih besar dan macam-macam alasan lagi.

Pandangan sebegini hanyalah lahir daripada mereka yang bersikap pesimis terhadap potensi dan kekuatan yang ada pada umat Islam. Mereka gagal melihat kekuatan umat Islam yang boleh diibaratkan sebagai sebuah gergasi yang sedang tidur. Hakikatnya umat ini mempunyai kekuatan yang luar biasa dan sumber yang melimpah-ruah yang mampu mengalahkan kuffar Amerika dan mengembalikan semula kegemilangan Islam yang pernah suatu ketika dahulu kita kecapi. Pihak yang berpandangan sebegini juga lupa bahawa umat Islam adalah umat yang beriman kepada Allah Azza wa Jalla, Dzat yang Maha Kuat lagi Perkasa, yang dengan izinNya, Amerika dan lain-lain musuh Islam akan dapat dikalahkan dengan mudah. Apabila umat ini bangkit dan berjuang, Allah dan para malaikat beserta mereka, manakala syaitan dan ketakutan pula akan beserta dengan Amerika. Siapakah yang dapat mengalahkan golongan yang dibantu oleh Allah dan para malaikatNya?

Masalah kita sekarang ialah kerana adanya para pemimpin yang tunduk kepada Amerika, yang memerintah untuk kepentingan peribadi dan duniawi. Masalah kita sekarang ialah kerana tiadanya pergerakan dari ahlu al-quwwah (para tentera) untuk berjihad menentang musuh-musuh Allah. Masalah kita sekarang ialah kerana adanya sebilangan umat Islam yang masih berpeluk tubuh dan tidak mahu bergerak untuk menegakkan agama Allah dan menjadikan agama Allah zahir di atas agama-agama yang lain. Masalah kita sekarang ialah tiadanya sebuah negara yang akan menjadi buku dengan ruas terhadap kekuatan Amerika, sebuah negara yang dahulunya menjadi super power yang mana Amerika terpaksa membayar cukai kepadanya untuk melalui Laut Mediterranean dengan selamat. Inilah antara masalah yang menyebabkan Amerika dengan mudah menguasai orang-orang Islam.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Ingatlah bahawa mengundang Obama ke sini samalah dengan mengundang sebuah malapetaka. Mengundang Obama juga bererti mengundang musuh Allah dan sekali gus mengundang murka Allah SWT, na’zubillah min zalik. Kita telah melihat bagaimana kehancuran dunia pada hari ini berpunca daripada keangkuhan Amerika yang berlagak sebagai polis dunia dan menjadikan dunia dalam genggamannya. Namun dalam masa yang sama, kita juga yakin bahawa hegemoni AS ke atas dunia pasti akan berakhir. Berdasarkan realiti yang dapat kita saksikan, zaman kekuasaan AS semakin menghampiri penghujungnya dan kembalinya Daulah Islam, al-Khilafah al-Rasyidah ala minhaj nubuwwah sebagai sebuah janji daripada Allah dan RasulNya, sudah semakin hampir. Apa yang penting sekarang ialah untuk kita terus tingkatkan usaha untuk mendirikan semula Daulah Islam ini dan yakin dengan pertolongan Allah.

“Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu sangat dekat” [TMQ al-Baqarah (2):214].

Wallahu a’lam.
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment