Hubungan Antara Negara Dan Keluarga

Umumnya, keluarga adalah elemen kecil dan merupakan asas penting dalam pembentukan masyarakat. Keluarga yang utuh, harmoni, sejahtera dan bahagia adalah jaminan dalam mewujudkan masyarakat ideal.

Namun, saat ini, untuk membina sebuah keluarga yang ideal bukan perkara yang mudah. Jalan menuju alam pernikahan semakin sukar, penuh rintangan dan cabaran. Dalam masa yang sama, keluarga yang sedia ada juga berhadapan dengan cabaran-cabaran rumahtangga dan mengalami kesulitan untuk mempertahankan institusi rumahtangga. Jadi,apakah kaitan negara dan keluarga?

Proses Pernikahan Yang Rumit

Bagi setiap individu, membentuk keluarga adalah fasa kehidupan yang dinanti-nantikan. Keinginan untuk berkahwin seterusnya mempunyai pasangan hidup adalah naluri setiap insan, baik wanita mahupun lelaki. Lelaki dan wanita yang telah akil baligh akan terdorong untuk berkahwin. Ransangan ini merupakan kecenderungan terhadap lawan jenis (gharizah nau’). Malah, semasa proses perkembangan organ-organ pembiakan berlaku, manusia akan dirangsang dengan ransangan seksual.

Seperti yang kita maklum,di zaman liberal ini terdapat lambakan sumber perangsang nafsu syahwat di pasaran yang boleh diakses dengan mudah dan murah, dimana keadaan ini telah mengancam dan mengusik naluri seksual anak-anak di awal usia mereka. Jika anak-anak ini tidak disibukkan dengan urusan sekolah, sudah pasti mereka akan sibuk dengan perkara-perkara yang tidak sihat demi memenuhi naluri seksual mereka yang sedang mengembang mekar.

Negara pula menunjukkan sikap yang keliru dan celaru. Dalam satu keadaan, negara membuka ruang seluasnya sarana-sarana yang mampu merangsang nafsu syahwat pemuda pemudi, dan dalam satu keadaan lain, negara menyukarkan pula jalan menuju perkahwinan. Perkahwinan di usia muda dipandang sebagai kontraproduktif, khususnya oleh sistem sekular-kapitalis yang diterapkan oleh negara saat ini.

Buktinya, negara berusaha sedaya upayanya untuk menghalangi perkahwinan di usia muda. Negara mempropagandakan kesan-kesan negatif pernikahan di usia muda, kesan negatif kehamilan dan melahirkan anak di usia muda. Seterusnya negara menggubal Undang-undang Pernikahan dengan meninggikan syarat usia pernikahan, yang bermula di usia 17 tahun menjadi 18 tahun, menjadi 21 tahun dan seterusnya entah berapa tahun lagi akan dinaikkan sebagai syarat untuk berkahwin.

Sekatan melalui undang-undang seperti ini akan meningkatkan lagi gejala sosial yang sememangnya sudah parah, sehingga mendorong berlakunya perzinaan, pemerkosaan, pencabulan, pelacuran dan keganasan seksual. Remaja yang tidak mempunyai kekuatan aqidah dan iman, akan menjadikan zina sebagai alternatif pemuas nafsu jika pernikahan dipersulitkan. Na'udubillahi min zalik.

Justeru, keadaan ini lebih mengundang kesan buruk yang luar biasa akibat daripada pola hubungan seks luar nikah. Seperti mengandung anak luar nikah, keguguran, jangkitan penyakit kelamin, dan keruntuhan institusi kekeluargaan. Malah, yang lebih merbahaya ialah apabila kesulitan menuju pernikahan itu adalah kerana menganggap bahawa naluri seksual dapat dipenuhi walaupun tanpa ikatan pernikahan.

Halangan lain dalam pembentukan keluarga menuju jalan pernikahan adalah: (1) kos perkahwinan yang semakin meningkat akibat daripada gaya hidup, majlis yang ‘grand’ akan meningkatkan tahap prestij individu (2) Sukar menacari pasangan hidup, kerana pasangan hendaklah setaraf, sedarjat , dll (3) Kesibukan individu, baik lelaki maupun wanita demi memenuhi keperluan hidup ber’standard’ tinggi, sehingga mengabaikan pernikahan. (4) Aturan pernikahan yang berbelit, dipersulit dan juga mahal.(5) Tiada mekanisme perjodohan yang islamik, yang memudahkan pertemuan antara calon mempelai.

Dalam hal ini, negara wajib campur tangan untuk memudahkan warga negaranya dalam proses pernikahan yang sah, suci dan murah. Jangan mempersulitkan proses pernikahan termasuklah isu usia dan kos pernikahan. Negara juga hendaklah menyokong pasangan muda yang baru bernikah ini dengan memberi jaminan peluang pekerjaan yang luas buat para suami, serta menyediakan sarana pendidikan dan kesihatan percuma untuk seisi keluarga.

Selain daripada itu, negara juga bertanggungjawab untuk menutup segala pintu-pintu maksiat seperti membanteras sumber-sumber porno, pusat-pusat pelacuran, menghukum pelaku zina dan perogol, sehinggalah naluri seksual disalurkan di jalan yang benar dan tidak melanggar hukum syarak. Negara juga wajib menjadikan pernikahan lawan jenis sebagai satu-satunya jalan sah dan halal dalam memenuhi naluri nau'.

Mempertahankan Institusi Keluarga

Sementara itu, keluarga-keluarga yang sudah terbentuk hendaklah sedaya upaya mempertahankan institusi kekeluargaan mereka. Jika ada masalah, hendaklah diselesaikan. Bangunan keluarga yang rapuh hendaklah segera diteguhkan. Sebaiknya mengelakkan dari perceraian walaupun ianya halal, tapi sesuatu yang dibenci Allah.

Usaha untuk mengukuhkan kembali institusi kekeluargaan adalah dengan mengembalikan fungsi-fungsi keluarga pada jalannya, iaitu suami sebagai pencari nafkah, isteri sebagai ibu dan pendidik anak-anak, dan anak-anak yang menghormati ibu bapa.

Disamping itu, negara hendaklah menyokong kuat usaha pengukuhan institusi keluarga ini. Negara wajib mencegah usaha-usaha yang mendorong kepada keruntuhan sesebuah keluarga. Hentikan gagasan liberalisasi, mencegah pemicu pergaulan bebas, hubungan sulit, campurtangan pihak yang tidak professional dalam menyelesaikan masalah rumahtangga, memperketat proses perceraian, dll.

Negara wajib menyediakan peluang pekerjaan seluas-luasnya agar para suami dapat menjalankan perananya sebagai pemberi nafkah. Negara juga wajib memberi ruang dan fasiliti yang kondusif kepada kaum ibu agar mereka mampu mendidik anak-anak dengan baik.

Dengan jaminan kesejahteraan ini, tiada lagi para isteri yang terpaksa keluar bekerja untuk sama-sama memberi nafkah buat keluarga. Apabila ibu fokus dengan peranannya iaitu sebagai pendidik pertama dan utama buat generasi, maka akan lahirlah generasi-generasi yang berkualiti. Jika ini berlaku secara berlanjutan, maka masyarakat dan negara jugalah yang akan memetik hasilnya.

Kukuhkan Keluarga

Menjadikan keluarga muslim yang harmoni adalah dambaan setiap umat Islam, namun ianya satu ketakutan buat Barat. Mereka khawatir, jika keluarga muslim yang kukuh akan melahirkan generasi mujahid yang kuat, yang kelak bakal menjadi tunas-tunas pejuang, penegak syariah dan Khilafah.

Inilah sebab utama mengapa Barat dengan sedaya upaya mereka, melalui cengkeram liberalismenya berusaha sehabisnya memporakperandakan institusi kekeluargaan umat Islam. Maka, inilah realiti yang seharusnya setiap komponen umat Islam sedar dan marilah kita bersama-sama mengukuhkan institusi kekeluargaan, teruslah berpegang pada tali-tali syariah Islam, sehingga tertegaknya Khilafah Islamiyah.

Sumber: MediaUmat
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment