Hukum Masuknya Pengantin Lelaki Ke Tempat Resepsi Wanita

Soal Jawab Bersama Amir Hizbut Tahrir 

بسم الله الرحمن الرحيم

Siri Jawapan asy-Syaikh al-‘Alim Atha’ bin Khalil Abu ar-Rasytah Amir Hizbut Tahrir Kepada Soalan di Akaun Facebook Beliau “Fiqhiyun”

Jawapan Soalan Mengenai: Masuknya Pengantin Lelaki ke Tempat Resepsi Wanita Kepada Sameh Raihan Abu Maysarah, al-Khilafah Wa’dullah dan Sofyan Qasrawi.

Soalan:
Soalan Sameh Raihan Abu Maysarah: Assalamu ‘alaikum wa rahmatullahi wa barakatuhu. Adakah terdapat keharaman pada situasi ini: pengantin lelaki memberitahu para wanita bahawa dia akan masuk ke ruangan pelamin dan meminta semua wanita duduk di tempat duduk mereka masing-masing dan bersikap sopan dan tiada yang berada berhampiran pengantin perempuan kecuali mahram pengantin lelaki dari para wanita. Kemudian mereka mengucapkan tahniah kepada pengantin lelaki, sementara para wanita asing telah bersikap sopan dan duduk di tempat duduk mereka masing-masing dan tidak terjadi campur baur di antara mereka dengan pengantin lelaki ketika pengantin lelaki masuk ke dalam majlis? Semoga Allah memberkati anda.

Soalan al-Khilafah Wa’dullah: Bolehkah pengantin lelaki duduk di sebelah pengantin perempuan untuk memakaikan perhiasan kepada pengantin perempuan. Perlu diingat bahawa semua wanita menutup aurat dan sebahagian besar daripada mereka adalah mahram, kemudian selepas memakaikan perhiasan, pengantin lelaki keluar semula?

Soalan Sofyan Qasrawi: Assalamu ‘alaikum wa rahmatullahi wa barakatuhu. Syaikhuna yang dimuliakan, saya mempunyai soalan, iaitu sekiranya telah ditetapkan waktu majlis untuk para mahram dan waktu lain untuk selain mahram, bolehkah pengantin lelaki masuk ke ruangan majlis ketika waktu mahram saja?

Jawapan:
Wa’alaikumussalam wa rahmatullahi wa barakatuhu.
Tiga soalan anda adalah mengenai perkara yang sama. Oleh itu, kami jawab serentak, dengan izin Allah:

Kami telah menjawab pada 6 Jamadil Akhir 1424 H/8 Ogos 2003 pada topik ikhtilath dalam majlis pernikahan dalam bentuk jawapan yang terperinci. Di dalamnya dinyatakan termasuk yang berikut:

– Ikhtilath (campur baur) lelaki dan wanita adalah haram. Dalil-dalilnya adalah terperinci. Kehidupan kaum muslim pada masa Rasulullah saw dan para sahabat sesudah baginda, mengatakan hal itu. Ikhtilath tidak dibenarkan kecuali kerana keperluan yang dibenarkan oleh syarak yang dalam perkara itu dinyatakan nasnya dalam kitabullah atau sunnah rasul-Nya seperti jual beli, silaturrahmi … dan sebagainya.

Dan tidak dinyatakan nas tentang bolehnya ikhtilath lelaki dan wanita dalam majlis perkahwinan. Walau bagaimanapun, yang dinyatakan pada masa Rasulullah saw dan para sahabat baginda bahawa para wanita bersama pengantin wanita dan para wanita, hanya mereka sahaja. Sedangkan para lelaki bersama para lelaki. Dengan begitu, ikhtilath dalam majlis pernikahan adalah haram dan tidak dikecualikan. Yang dinyatakan mengenai majlis perkahwinan adalah zafaf wanita ke rumah suaminya. Jadi lelaki dan wanita boleh membawa pengantin perempuan ke rumah suaminya, kemudian para lelaki dipisahkan dari para wanita…

Atas dasar itu, adanya lelaki dan wanita dalam majlis pernikahan tanpa diasingkan (tidak infishâl), iaitu dalam satu ruangan dan bukan dalam dua ruangan, adalah haram. Dan jika aurat para wanita terbuka, seperti yang biasanya dalam keadaan sebegini, maka keharamannya lebih lagi. Begitu juga, duduknya pengantin lelaki di samping pengantin perempuan dengan dikelilingi para wanita mahram dan bukan mahram, adalah haram, terutamanya jika para wanita itu membuka aurat, dan itu biasa terjadi pada para wanita di sekeliling pengantin perempuan pada hari ini…

Sementara kata-kata bahawa musibah ini telah umum tersebar luas, maka ia tidak menjadikan yang haram menjadi halal. Itu adalah kata-kata yang ditolak kerana ia bercanggah dengan syarak. Sebaliknya ada hadith-hadith yang memuji orang-orang yang berpegang teguh kepada agama mereka seperti orang yang memegang bara api kerana hebatnya musibah di mana seorang muslim berpegang teguh dengan Islamnya.

Rasulullah saw bersabda: يَأْتِي عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ الصَّابِرُ فِيهِمْ عَلَى دِينِهِ كَالْقَابِضِ عَلَى الْجَمْرِ

“Akan datang pada manusia satu zaman, orang yang sabar di tengah-tengah mereka di atas agamanya seperti orang yang memegang bara api…”

Atas dasar itu, duduknya pengantin lelaki bersama pengantin perempuannya dalam ruangan yang di situ lelaki dan wanita bercampur baur (ikhtilath) adalah haram. Demikian juga duduknya pengantin lelaki dalam ruangan wanita bersama pengantin perempuannya dan para wanita di sekeliling mereka, mahram dan bukan mahram, adalah haram. Jika ditambah pula dengan terbukanya aurat para wanita di situ dan mereka bertabarruj maka itu adalah keharaman di atas keharaman…

Sementara jika dalam ruangan itu hanya ada mahram pengantin lelaki sahaja maka boleh pengantin lelaki masuk ke dalam ruangan tersebut dan duduk bersama pengantin perempuannya dan bersama para wanita mahram pengantin lelaki dan pengantin lelaki memakaikan perhiasan kemudian dia keluar, dan selepas itu barulah semua wanita masuk ke ruangan itu.

Kesimpulannya:
Tidak boleh terjadi ikhtilath (campur baur) antara lelaki dan wanita dalam ruangan majlis perkahwinan sama ada aurat terbuka ataupun tidak. Jika aurat para wanita terbuka maka keharamannya lebih kuat lagi.

Tidak boleh pengantin lelaki masuk ke dalam ruangan wanita untuk duduk bersama pengantin perempuannya selama para wanita asing (bukan mahram pengantin lelaki) ada di ruangan tersebut hingga walaupun jika pengantin lelaki memberitahu para wanita sebelum dia masuk supaya para wanita menutup diri mereka dan tidak mendekati pelamin, serta yang menghampiri hanya mahram pengantin lelaki… Selama semua wanita asing di ruangan tersebut di tempat-tempat duduk mereka dan menyaksikan pengantin lelaki itu, iaitu para wanita itu ada di ruangan tersebut, maka tidak boleh.

Boleh pengantin lelaki masuk dan duduk bersama pengantin wanita di ruangan majlis jika dikhaskan waktu untuk mahram pengantin lelaki sahaja, di mana di ruangan tersebut pada masa pengantin lelaki masuk dan selama dia duduk bersama pengantin wanita, di situ tidak ada selain mahram pengantin lelaki, kemudian selepas itu dia keluar dan para wanita masuk ke ruangan tersebut setelah pengantin lelaki keluar.

Saudaramu Atha’ bin Khalil Abu ar-Rasytah
7 Muharram 1437 H 20 Oktober 2015 M

SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment